Friday, April 16, 2010

Reflections at Bukit Chandu




Disediakan satu tempat khas untuk pelawat-pelawat memberi kata-kata semangat.



Beralamat di Pepys Road, Singapore. Bangunannya terletak atas bukit, jadi lebih mudah naik teksi sebab boleh terus sampai pintu utama. Muzium mesti bosan, kan…tapi beri peluang pada diri, tengok semuanya. Mula-mula masuk dapat baca sejarah Tanah Melayu, bagaimana keadaan sosio-politiknya pada tahun 1930an. Ada peta, barang yang digunakan oleh Jepun, dan banyak lagi yang mengembalikan kenangan kita ke masa lalu. Ala boring je…baca buku sejarah pun tak pernah nak ingat.



Kat sini ada juga yang menceritakan melalui panduan audio tentang sejarah kemasukan Jepun. British tidak menyangka Jepun akan serang ke kawasan itu. Ada lah ditunjukkan peta bahagian mana Jepun masuk, lampu dinyalakan di kawasan mana yang disebut.


Tiba pada bahagian yang menarik … penceritaan secara virtual oleh Koperal Din dalam satu ‘kotak’ macam kita tengok wayang tapi macam benar-benar berlakulah. Nampak asap, kapal terbang dan kesan khas. Koperal Din menceritakan dengan penuh mimik muka dan gaya sekali. Comel je tengok dia macam nak elak dari peluru dan dia menyorok kat dalam gua.


Pada masa itu beliau berkata Rejimen Askar Melayu belum pernah mengalami 'perang yang sebenar' dan baru habis latihan tetapi terus berjuang dengan moto taat setia (kalau tak silap). Memang boleh rasalah penceritaan tu dan faham keadaan masa tu. Penceritaan lebih kurang 15 minit dan dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu.



Di tingkat atas pula terdapat bilik Teater Bukit Chandu yang mengimbas semula petempuran yang berlaku di Pasir Panjang. Selama ini memang selalu dengar pasal pengorbanan Leftenan Adnan Saidi tetapi seperti biasalah, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Bila dah masuk ke sini baru terasa bagaimana keadaan masa tu.


Kita akan mendengar bunyi senjata dan letupan melalui headphone khas. Sambil tu di depan ditunjukkan apa yang tengah diceritakan dibantu oleh gambar-gambar bersejarah masa lalu. Dengan keadaan yang gelap memang boleh rasalah apa yang diceritakan.

Leftenan Adnan yang mengetuai Rejimen Askar Melayu merupakan seorang yang bijak. Beliau dapat mengesan ada sesuatu yang tak kena bila melihat tentera Sikh datang ke arah mereka, dan memang benar itu sebenarnya askar Jepun yang menyamar. Beliau mengarahkan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya memberikan tentangan hebat. Biarpun tentera Jepun suruh menyerah tetapi Leftenan Adnan berpesan kepada anak buahnya ‘biar putih tulang jangan putih mata. Teruskan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir’. Walaupun apa yang kita dengar itu lakonan semula, tetapi memang boleh terbayanglah keadaan beliau yang tercedera.


Akibat keberaniannya melawan, Leftenan Adnan diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya menggantungkan kakinya ke pokok ceri dan menikamnya berkali-kali. Memang sedihlah dengar dan ada ditunjukkan gambar.


Lawatan yang sungguh bermanfaat. Nak tahu lebih lanjut, klik www.s1942.org.sg.

No comments:

Related Posts with Thumbnails