Friday, May 6, 2011

Mengaji

Pagi tadi pergi mengaji, ustaz menceritakan tentang adab makan dan minum di dalam Islam. Seperti yang kita tahu setiap apa yang kita lakukan, syaitan ada bersama-sama kita. Bila makan tu jangan lupa baca bismillah. Tahan anak-anak dari makan/minum sebelum dia baca bismillah sebab akan makan bersama syaitan. Tu yang tak kenyang-kenyang tu. Kalau anak-anak tu masih kecil, kita bacakanlah bismillah.

Kalau buat perkara yang baik tu gunakanlah tangan kanan, pegang gelas, buka buku atau bawa al-Quran. Kalau makan dengan pisau dan garpu, walaupun garpu itu di tangan kiri, bila nak suap tu gunakan tangan kanan.

Nabi juga melarang minum air dari botol terus, makruh hukumnya. Eloknya guna cawan atau straw. Tak elok rupanya kalau anak gadis tonggang air terus dari botol. Kalau buat tak berdosa, kalau tinggalkan dapat pahala.

Jangan minum/makan secara berdiri, apatah lagi berjalan (makan aiskrim). Senang aje nak dapat pahala, carilah tempat duduk. Teringat masa pergi Medan, tengah lepak kat depan Istana Maimoon. Ada penjual tu datang sembang-sembang dengan kitaorang (dia pernah kerja di Malaysia). Dia kata kita ni dijajah Yahudi, makan sambil berjalan. Tak ada adab-adab lagi. Kadang-kadang bila dah dijadikan tabiat, tak perasan apa yang kita lakukan tu salah. Kalau di meja makan, kita ambil berat sangat etikanya tetapi adab-adab di dalam Islam tak pula kita jaga.

Nabi juga melarang bernafas dalam bekas minuman. Dari sudut kesihatannya, untuk mengelakkan kuman. Bila baca bismillah, syaitan lari tapi kuman masih ada di situ juga. Nabi bila minum, bernafas tiga kali. Caranya, minum, berhenti sekejap bernafas, minum, bernafas, minum, bernafas. Bukannya minum sekali teguk je dalam satu nafas.

Kalau makanan jatuh, kita kutip, basuh dan makan. Tengok keadaanlah, kat jalan tu tak payahlah. Kat rumah, kan kita dah pasti tahap kebersihannya. Tu pasallah orang dulu-dulu ada seperah. Bila jatuh atas seperah tu tak payah basuh dah boleh terus makan. Tapi orang sekarang ni seperahnya surat khabar. Hmm...bagus orang dulu-dulu. Apa relevennya kita kutip? Nabi kata jangan tinggalkan untuk syaitan. Syaitan akan kutip makanan yang jatuh tu. Nanti dia jadi kuat dan berkuasa. Senang ajelah dia nak kacau orang.

Sunat menjilat jari/pinggan selepas makan. Selesai makan kita jilat jari sebab kita tak tahu tang mana berkatnya (tambah baik) apa yang kita makan tu. Tapi kenalah ikut adab dan sopannya. Kalau kat rumah, ikutlah macam mana nak jilat jari pun tetapi kalau makan depan orang cukup sekadar hisap sikit-sikit jaritu. Nanti orang tengok pun geli padahal dia tak habis makan lagi.

Adab menerima tetamu pula, bila tetamu datang mesti beri minum/hidangan, paling kurang pun air masak je. Besar pahalanya. Mengikut hadis, kalau tetamu datang tanpa dijamu apa-apa, rumah itu ibarat kubur. Kalau tak ada orang datang ke rumah dalam tempoh sebulan tu, eloklah jemputlah saudara-mara atau kawan-kawan datang ke rumah untuk nak dapat fadilatnya.

Walaupun benda yang ringkas dan biasa kita lakukan, ada adab-adabnya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails