Sunday, May 20, 2012

Keluarga Sakinah

Perkahwinan di Johor berbeza dengan negeri lain kerana konsep keluarga sakinah ini. Ia lebih detail, lama dan menyentuh perasaan. 

Menjadi keluarga sakinah mawaddah wa-rahmah. Sakinah bermaksud tenang dan tenteram. Mawaddah  bermaksud bahagia dan wa-rahmah  bermaksud mendapat rahmat atau bahagia.
 
Sebelum ini semasa sepupu perempuan di Johor kahwin, saya sibuk di dapur jadi tak tengok upacaranya. Baru-baru ni ke Kluang mengiringi rombongan dari Kajang barulah dapat tengok perbezaannya dengan negeri lain.

Biasanya bila nak akad nikah kita akan lihat pengantin perempuan duduk sekali tapi yang ni, pengantin perempuan hanya keluar  dari bilik selepas selesai akad nikah. Saya pula yang excited nak tengok bila pengantin perempuan ni nak keluar.

 
Semasa membaca taklik pengantin lelaki dan pengantin perempuan duduk berhadapan dan akan menyebut, adalah saya .... suami kepada ... telah menerima tanggungjawab dengan ini menyerahkan kepada isteri dengan mas kahwin sebanyak 22.50 tunai. Oleh itu hendaklah kamu isteriku menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami.

Kalau tak silap masa nilah pengantin lelaki memegang ubun-ubun pengantin perempuan. Ada setengah yang buat ada setengah yang tak.
 Selesai akad dan solat sunat. Bapa akan melafazkan penyerahan tanggungjawab beliau sebagai bapa kepada menantunya agar dapat menjaga anak perempuan dengan baik. Dan pengantin lelaki akan menerima. Manuskrip disediakan.
Selepas itu ibu pula akan melafazkan kepada anak perempuannya, lebih kurang berbunyi begini:

Anakku, hari ini kamu akan berpindah dari tanggungjawab bonda ke satu alam yang baru. Selama ini bonda telah mendidikmu menjadi anak yang solehah .... Jadikanlah dirimu itu sebagai seorang isteri yang solehah. Anaknya ini akan membalas ucapan ibunya tadi. Manuskrip juga disediakan.  

 
Ia diakhiri dengan bacaan selawat. Kesemua tetamu yang ada di situ akan  membentuk bulatan berdiri dan berselawat sambil pengantin lelaki dan perempuan bersalaman dengan tetamu. Masa ini juga pengantin lelaki mengambil kesempatan memperkenalkan kepada isteri, bapa saudara, mak saudara dan sepupu. Menarik sekali secara keseluruhannya.
 
Orang-orang Johor yang baca ni. Sila betulkan kalau ada penerangan yang salah ya.



Hayati lirik dari Kumpulan Far East ini


No comments:

Related Posts with Thumbnails