Thursday, June 6, 2013

Khabar Angin Ibarat Debu Beterbangan




Saya suka baca cerita-cerita yang ada makna di sebaliknya. Macam ruangan Angguk Geleng dalam Solusi, hasil tulisan Sofiyah @ Satuyah Rasin dalam Nur, Midi dll serta Kisah dan Teladan dalam akhbar Utusan Melayu (sisipan Utusan Malaysia setiap hari Isnin).

Tulisan jawi sekarang lebih mudah jika dibandingkan baca kitab-kitab lama. Ada alif maksudnya huruf ‘A’ la tu. Kalau tak de, ia boleh jadi dua bunyi, ‘a’,’e’. Kalau nak baca macam pembaca berita tu taklah boleh sangat, ada gak tersangkutnya. Kadang-kadang benda yang kita tahu pun bila ditinggalkan boleh jadi lupa.

Setelah dialih bahasakan:

Di sebuah desa kecil, tinggal seorang pemuda yang suka sangat mereka-reka dan menyebarkan khabar angin. Dia sering mereka-reka cerita tentang jirannya walaupun dia tidak mengenali mereka. Bagaimanapun, disebabkan ingin berubah, suatu hari pemuda ini pergi bertemu dengan seorang lelaki tua yang bijaksana untuk meminta nasihat. Lelaki tua itu memintanya untuk membeli seekor ayam hidup di pasar dan menyerahkan kepadanya secepat mungkin.

Lelaki tua itu juga mengarahkannya mencabut semua bulu ayam itu ketika dia berlari menyerahkan ayam itu. Pemuda yang suka menyebarkan khabar angin ini mematuhi semua arahan dan mencabut bulu-bulu ayam tersebut sambil berlari menyerahkan ayam itu.

Sesampainya di rumah dan menyerahkan ayam yang telah dicabut bulu itu, lelaki tua berkenaan sekali lagi mengarahkannya mengutip semula semua bulu ayam yang telah dicabut itu dan menyerahkan padanya.
Menyirap darah pemuda itu kerana marah apabila disuruh berbuat demikian. Dia membantah arahan tersebut kerana menyifatkannya sebagai tidak masuk akal. Arahan tersebut mustahil dapat dilakukannya.
Sudah tentu bulu-bulu ayam tadi telah diterbangkan angin ke merata-rata tempat. Pemuda itu tidak mungkin dapat mengumpulkannya semula kesemua bulu ayam tersebut. 

Mendengar rungutan dan kemarahan pemuda itu, lelaki tua yang bijaksana itu berkata, “Memang benar. Begitulah juga dengan khabar angin. Satu khabar angin dapat tersebar ke merata-rata tempat dengan pantas. Lalu bagaimana kamu hendak mengambilnya semula? Jadi sebaik-baiknya jangan memulakannya sejak dari awal lagi.” Pemuda itu tertunduk malu dan insaf dengan kata-kata lelaki itu.

Moral: Sekali sahaja anda menyebarkan sesuatu khabar angin, maka ia akan cepat tersebar seperti debu ditiup angin. Baik atau buruk khabar angin itu bergantung pada isi dan tujuannya disebarkan. Jika khabar angin itu perkara yang baik dan disebarkan dengan maksud hendak menyampaikan sesuatu kebaikan, maka ia harus dipuji, tetapi jika sebaliknya, ia amat dikeji. 

Bagaimanapun, selalunya khabar angin sering disamaertikan dengan menyebarkan perkara-perkara yang belum tentu kesahihannya dan kebanyakannya cerita-cerita berbau negatif. Oleh itu, hindar lah dari menyebarkan khabar angin. Periksa diri sendiri adakah kita seorang yang sempurna tanpa cacat cela hingga menganggap menceritakan keburukan orang itu bukan kesalahan? Fikir-fikirkanlah.

Butang ‘share’ dalam FB juga berbahaya. Kalau kita nak siasat sedalam-dalamnya tak mungkin. Jadi kalau rasa ragu-ragu tak perlu ‘share’. Kadang-kadang  teruja ingin menjadi orang pertama yang menyampaikan menyebabkan tidak mempedulikan kesahihan sesuatu perkara. Masa buat assignment dulu sudah dibiasakan mesti ada nota kaki yang merujuk dari mana kita memetik sesuatu kenyataan. Ibid, op.cit. ha ingat lagi tak? Oleh itu seboleh-bolehnya dalam blog saya ni setiap fakta saya pastikan rujukannya sama ada dari buku, kamus, brosur dan sumber yang dipercayai. Kalau ada tersalah fakta harap e-melkan kepada saya untuk pembetulan. Terima kasih kepada kenalan dari Brunei.

4 comments:

Cendana Kasih said...

rajin ko baca paper jawi

zarina said...

praktis supaya tak lupa tapi baca ruangan yang tu je hehe :)

Be Simple Beb(BSB) - threeQ said...

baca utusan melayu ker?

zarina said...

BSB:memang langgan utusan, tapi kalau utusan melayu baca ruangan kisah dan teladan ni je, bukan semua :)

Related Posts with Thumbnails