Monday, February 10, 2014

Kota dan Makam Laksamana Bentan


 Ingat lagi filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang? Rasanya sepanjang hidup pernah tengok sekali je tayang kat TV masa sekolah menengah rendah, pelakonnya siapa pun tak ingat, Noordin Ahmad kot yang jadi Laksamana Bentan.  Kalau cerita P. Ramlee tu memang setiap tahun berulang-ulang kali tengok, idak ke stesen tv ni nak tayang cerita Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ni pulak boleh lah ingat-ingat sejarah sikit.


Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan. Papan tandanya jelas dilihat cuma bila nak sampai makam tu,  agak tersorok sedikit simpangnya. Jadi kena lihat dengan penuh perhatian di sebelah kiri jalan.

Dipercayai bahawa disinilah disemadikan Laksamana Megat Seri Rama yang dikenali sebagai Laksamana Bentan yang berasal dari Bentan, Sumatera yang merupakan panglima angkatan laut terbilang dan isterinya Dang Anum pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah II yang memerintah jajahan takluk Johor (1685-1699).
Al-Fatihah. Ada dua makam di sini.
Mengikut cerita legenda, Laksamana Bentan yang berani telah ditugaskan untuk menghentikan pemberontakan yang berlaku di daerah Haru dan Jambi. Walaupun beliau merupakan seorang pembesar yang setia tetapi beliau bimbang meninggalkan isteri, Dang Anum  yang sedang mengandung,  seorang diri. Baginda Sultan faham dilema Laksamana Bentan lalu berjanji untuk menjaga Dang Anum sepanjang ketiadaan Laksamana Bentan mempertahankan negeri daripada serangan musuh.



Pada suatu hari, seorang lelaki datang ke istana dengan membawa sebiji nangka yang besar hasil pertama dari kebunnya. Ditakdirkan, ketika itu baginda Sultan keluar melawat kawasan. Dang Anum yang mengandung telah terlihat nangka tersebut lalu  mengidam untuk makan nangka tersebut. Lelaki tersebut menyatakan hasil tersebut untuk dipersembahkan kepada raja. Keinginan Dang Anum tidak dapat lagi ditahan dan menyatakan seulas sahaja sudah cukup. Apabila baginda Sultan kembali ke istana dan melihat nangka tersebut yang telah dimakan (walaupun sedikit), baginda sangat marah pada  Dang Anum yang  telah menderhaka kerana makan nangka kepunyaan raja.

Dang Anum meminta maaf kepada Sultan dan cuba menjelaskan bahawa bukan dia yang ingin makan nangka tersebut tetapi anak di dalam kandungannya. Akhirnya, Tun Bija Ali, pembesar di istana yang mendengar kisah tersebut mula mempengaruhi Sultan untuk membelah perut Dang Anum untuk memastikan adakah betul anak dalam kandungan itu yang ingin makan nangka tersebut. Tindakan jahat Tun Bija Ali ini berikutan dendam kerana tidak berjaya mengahwini Dang Anum sebelum ini.

Apabila Laksamana Bentan mendengar berita ini, perasaan marah dan dendam mula dirasai. Beliau kembali ke Kota Tinggi dan membuat kacau di istana. Akhirnya Laksamana Bentan telah menikam Sultan Mahmud yang dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Ketika itu baginda sedang dijulang di atas usungan. Namun demikian Sultan sempat menikam balas Laksamana Bentan dan bersumpah, “Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi, selama tujuh keturunan”. Peristiwa ini terkenal dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.  Kemangkatan Sultan Mahmud Shah tanpa meninggalkan zuriat  telah menamatkan keturunan Sultan Melaka di negeri Johor.

Dipercayai, kawasan ini juga merupakan kota pertahanan pada zaman kesultanan Melayu silam. Kedudukannya di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirahat meninjau kedatangan musuh.

2 comments:

Mila@Rimbun said...

salam zarina.. banyaklah info sejarah kat blog awak ni.. bagusnya

zarina said...

Salam, terima kasih kerana melawat. Ada kesempatan melawat tempat bersejarah so mengenang kembali apa yang pernah kita belajar di sekolah dahulu.

Related Posts with Thumbnails