Thursday, February 6, 2014

Kota Johor Lama, Kota Tinggi, Johor


Kota Johor Lama, terletak dekat sahaja simpang masuk ke Jojo Rakit. Ikut sahaja papan tanda jumpalah nanti. Ia telah dibina dalam tahun 1540 pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah II (1528-1564). Kota ini merupakan kota pertahanan yang terbaik di antara kota-kota pertahanan yang dibina sepanjang Johor.
Muzium Kota Johor Lama

Selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dalam tahun 1511, Sungai Johor telah dijadikan pusat pemerintahan dan kota pertahanan untuk menyerang balas kedudukan Portugis di Melaka. Keadaan semula jadi kota ini memudahkan pengawasan dibuat terhadap pergerakan keluar masuk kapal-kapal terutamanya ancaman dari orang-orang Acheh dan Portugis.  Dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh berkali-kali.

 Ia juga dikenali sebagai Kota Batu oleh masyarakat setempat kerana didirikan di atas sebuah tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Batu.  Kedudukannya yang menganjur ke arah Sungai Johor merupakan kelebihan bagi askar Johor yang berkawal dapat melihat kapal musuh yang datang menyerang Kota Johor Lama terlebih dahulu. Keadaan muka bumi yang curam serta licin juga akan menyukarkan musuh untuk naik ke bahagian atas Kota Johor Lama.


Dari sini boleh tengok musuh yang datang .
 Kota ini dibina berbentuk segi empat. Bukan hanya dibina dengan timbunan tanah yang tinggi tetapi mempunyai susunan batu yang terdiri daripada granit, laterit dan batu karang yang dibentuk dalam blok segi empat dan disusun sebelum ditimbus dengan tanah di bahagian atasnya. Susunan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi struktur agar tidak mudah pecah atau musnah apabila ditembak meriam musuh.
  
Dalam tahun 1587 kota ini akhirnya jatuh ke tangan Portugis yang telah mendapat bantuan daripada Portugis di Goa. Keseluruhan kota ini dibakar dan harta benda termasuk senjata dirampas.
 
Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699) maka berakhirlah pemerintahan kerabat Kesultanan Melaka dan digantikan dengan keturunan Bendahara.
Di dalam muzium ini telah dibahagikan kepada lima segmen

Segmen 1 – Pengenalan Sejarah Kota dan Kampung Johor Lama
Segmen 2 – Pemerintahan, Perdagangan dan Peperangan di Kota Johor Lama
Segmen 3 – Kota-kota Pertahanan di Sepanjang Sungai Johor
Segmen 4 – Taburan Nisan Acheh di Daerah Kota Tinggi
Segmen 5 -  Kajian Arkeologi yang dijalankan di Kota Johor Lama

Masuk: Percuma
Waktu Lawatan: Isnin – Ahad, 9 pagi – 5 petang. 

Seronok tengok dokumentari dengan bersila je. Udah macam rumah sendiri. Dokumentari ini menceritakan tentang Kota Johor Lama, Kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, dan Makam-makam yang terdapat di Kota Tinggi. Ada ditunjukkan Makam Kucing Bertanduk. Ha nak pergi ni nanti. Ingat!!!

No comments:

Related Posts with Thumbnails