Wednesday, September 3, 2014

Pujuklah Hati


Zaman baca buku cerita/novel dah berlalu. Sesuai dengan pertambahan usia, pemilihan buku lebih kepada motivasi yang mendidik jiwa. Lagipun dulu-dulu dah puas baca novel dan cerpen.


Di Kuala Kangsar sekarang ni sedang berlangsung Pesta Buku Habibi di Arena Square sehingga 7 September. Walaupun tak besar mana, lebih satu jam jugalah nak membelek-belek buku yang nak dibeli. Sambil-sambil tu lagu-lagu nasyid/kerohanian turut dipasang. Kalau rasa tertarik dengan lagu-lagu tu bolehlah dapatkan juga CDnya yang turut dijual di situ.

Tajuk: Pujuklah Hati
Penulis: Bonda Nor
Penerbit: Galeri Ilmu, Petaling Jaya        Cetakan Pertama 2014
ISBN: 978-983-097-495-8
Harga:RM 22 tetapi ada diskaun di pesta buku ini jadilah RM19.80
Muka surat: 320 halaman

Sinopsis:
Bukan setiap masa kita diuji. Ada masa-masanya, keadaan tenang sahaja. Kita sempat menarik nafas lega. Kita sempat ketawa dan tersenyum gembira. Cuma, sudah tentu putaran itu akan terus berulang. Lagu yang tenang, sudah pasti akan kembali dipukul gelombang. Namun, antara sela gelombang yang menghempas dan rasa damai yang bertunas, ternyata hingga ke hari ini, kita terus menghela nafas.

Komen: 
Sesuai dengan judulnya memang dia ‘mengajar’ kita memujuk hati di dalam setiap ujian yang dilalui. Benda yang tidak pernah kita terfikir untuk bersyukur baru ni tersedar. Kalau orang menasihatkan biasanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan tapi bila baca ni ia seakan menegur dalam diam tapi memberi kesan.
Permulaan setiap bab dimuatkan bait-bait puisi yang tersusun ayatnya, mudah difahami dan memberi kesan. Dari puisi tersebut kita boleh mengagak sketsa yang diterangkan berikutnya. Ia lebih banyak dari pengalaman penulis sendiri dan disuntik elemen mendidik jiwa. Ingatkan hasil tangan penulis yang berusia sebab pengalaman macam banyak je..rupanya baru 37 tahun.
Seminggu dah beli tapi tak habis lagi baca. Sengaja dilewat-lewatkan sekurang-kurangnya sehari 2 cerita, pagi dan petang. Bukannya apa, kalau baca sebab nak cepat habis rasa macam tak beri kesan sangat kepada jiwa. Kalau baca sikit-sikit kita akan ambil masa untuk berfikir.  Layout buku pun menarik, ada corak-corak di dalam, pemilihan tulisan pun sesuai. Kadang tu ada buku yang line rapat-rapat lepas tu tulisan kecil, serabut jugalah pemikiran.
Pilihan yang tidak sia-sia.

Antara puisi yang terdapat di dalam ni:

Tiada yang Sia-sia
Ada kalanya kita perlukan nyamuk,
untuk sedarkan kita,
yang kawasan rumah kita perlu dibersihkan,

Ada kalanya kita perlukan lalat dan langau,
untuk ingatkan kita,
bahawa ada sampah yang belum dibuang.

Ada kalanya kita perlukan sedikit luka,
untuk menyelamatkan kita,
daripada terus berada dalam bahaya.

Ada kalanya kita perlukan orang,
untuk menyakiti hati kita,
menegur dan menghina,
agar kita tahu kelemahan kita,
agar kita dapat memperbaikinya,
agar dapat bermuhasabah sekali skala,
dan agar kita menjadi seorang manusia,
yang sentiasa membaik dari satu episod hidup,
ke episod hidup yang seterusnya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails