Thursday, November 6, 2014

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Pintu Gerbang sebelum sampai di Kompleks Sejarah

Jalan Pandak Endut. Pandak Endut merupakan orang yangdilantik sebagai wakil untuk membunuh Birch


Bila sebut Pasir Salak, sudah pasti kita akan ingat sejarah JWW Birch yang ditikam ketika sedang mandi. Kompleks sejarah ini sesuai untuk mengenali sejarah ini. Di sini ada Terowong Sejarah yang berbentuk diorama. Maksud diorama hurmmm tak tau.. tapi penceritaan sejarahnya dalam bentuk drama. Kita dapat tengok gambaran situasi masa itu. Bermula dari sejarah awal perkampungan air di muara Sungai Selinsing Perak sehinggalah Perak masa kini. Bukan hanya sejarah di Perak tetapi peristiwa penting yang ada dalam sejarah tanah air kita. Di sini juga kita dapat tengok tapak JWW Birch dibunuh. Kawan saya cerita, dulu-dulu ada rumah bot (rasanya) dan kita boleh jalan dan tengok dengan lebih dekat tapak Birch dibunuh tetapi sekarang ini hanya diletakkan batu peringatan menandakan tapak Birch dibunuh. Secara keseluruhan  menariklah juga tetapi bila masuk mula-mula macam daif aje rupanya dan nampak macam dah lama ditinggalkan sahaja. Huruf di depan kompleks ni pun dah tertanggal. Tandas lagilah tak terjaga, dari rasa nak buang air terus terbantut. 


Menyorot kembali sejarah bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu;  Perjanjian Pangkor 1874 membuka peluang untuk British campur tangan. Perebutan takhta kerajaan Perak antara Raja Abdullah(Raja Muda), Raja Ismail(Raja Bendahara) dan Raja Yusof(Raja Dihilir) menjadi punca Perjanjian Pangkor ini.
Sepatutnya setelah Sultan mangkat, Raja Muda yang akan naik takhta  tetapi pembesar Perak di Hulu Perak telah melantik Raja Ismail yang merupakan Raja Bendahara ketika itu sebagai sultan. 

 Keadaan ini menyebabkan Raja Abdullah telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Andrew Clark untuk meminta bantuan. Apalagi, Andrew Clark yang baru dilantik ke jawatan itu memang mencari peluang untuk cuba campur tangan dalam politik tempatan supaya dapat membantu menggiatkan lagi penguasaan ekonomi pedagang British di Tanah Melayu.
Pintu masuk ke Kompleks Sejarah
 Kesan daripada Perjanjian Pangkor, British mula menempatkan residen mereka di Perak dan memperkenalkan sistem pentadbiran British di dalam hampir semua aspek kecuali melibatkan agama dan adat. Perlantikan residen ini menimbulkan konflik antara Birch, Sultan dan pembesar Perak. Nama-nama yang akan muncul bila disebut sejarah di Pasir Salak ini ialah Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela, Pandak Endut dan Siputum.
Batu peringatan yang menandakan tapak JWW Birch dibunuh

Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela mengetuai misi pembunuhan JWW Birch. Mereka sentiasa hadir dalam setiap mesyuarat berkaitan rancangan membunuh JWW Birch. Perasaan tidak puas hati ini timbul apabila British cuba menguasai segala-galanya termasuk soal Raja, Islam, kutipan cukai dan bukannya menjadi penasihat seperti dipersetujui dalam Perjanjian Pangkor 20 Jan 1874.

Kronologi pembunuhan JWW Birch

Mesyuarat di Durian Sebatang 21 Julai 1875

 Laksamana mengesyorkan JWW Birch diracun. Sultan Abdullah pula mencadangkan ‘bermain’ hantu jika cadangan meracun gagal. Dato’ Maharaja Lela pula mencadangkan menikam. Selepas rancangan meracun dan ‘bermain’ hantu gagal, satu lagi mesyuarat diadakan.
Sebenarnya beberapa mesyuarat telah diadakan bagi menjayakan rancangan mereka.

Terowong Sejarah ini dikenakan bayaran

Tugu Peringatan Pahlawan Perak

Tugu Peringatan JWW Birch

Mesyuarat 31 Okt 1875
Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam menganugerahkan persalinan kepada Pandak Indut sebagai wakil beliau membunuh Birch. Dalam pertemuan ini, para hadirin dimaklumkan oleh Dato’ Maharaja Lela bahawa Sultan, Laksamana dan Syahbandar mengumumkan dalam beberapa hari lagi J.W.W Birch akan datang ke Pasir Salak dan dia hendaklah dibunuh

2 November 1875
Pandak Indut telah merejam lembing ke arah Birch yang sedang mandi di rumah mandi di rakit. Salah satu rejaman lembing mengenai Birch dan beliau jatuh ke dalam Sungai Perak. Hulubalang-hulubalang Melayu menggeledah kapal Naga dan rumah rakit untuk mencari JWW Birch. Apabila Birch muncul semula beliau telah ditetak di kepalanya oleh Sipuntum. JWW Birch terus tenggelam dan tidak dapat dilihat sehinggalah mayatnya dijumpai dekat Bandar Baru pada empat hari berikutnya (6 November)

Kejadian ini telah menggemparkan Kerajaan British dan bertindak menggembleng tenaga tenteranya dari seluruh Asia termasuk London, India dan Hong Kong. Mereka akhirnya dapat menangkap orang yang terlibat dalam pembunuhan JWW Birch. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Pandak Endut dihukum gantung sampai mati di Bandar Baru pada 20 Mei 1876. Sementara Sultan Abdullah, Laksamana, Shahbandar dan Menteri dibuang negeri ke Pulau Seychelles dan Raja Ismail dibuang ke Negeri Johor.

Rujukan:
1)Buku Panduan Pelawat Kompleks Sejarah Pasir Salak
2)Panduan Diorama  Terowong Sejarah
Kedua-dua buku ini boleh dibeli di kaunter terowong sejarah. Tak mahal pun kedua-duanya, satu RM2 dan satu lagi RM3 so semuanya RM5.
Waktu Lawatan
Isnin-Ahad 9.30 pagi – 5.00 petang
Jumaat       9.30 pagi – 12.00 tengah hari
                    2.45 petang – 5 petang
(Ditutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha)
Bayaran Masuk
Dewasa RM4
Kanak-kanak 7-12 RM2
 
Rumai Kutai

No comments:

Related Posts with Thumbnails