Wednesday, May 13, 2015

Menziarahi Makam-Makam



Istiadat Pertabalan juga akan dipenuhi dengan menziarahi makam diraja seluruh negeri Perak. Ia akan dimulakan dengan Makam Tok Temong. Mengikut sejarah, telah wujudnya Kerajaan Beruas dan Kerajaan Manjung, iaitu kerajaan-kerajaan Islam sesudah Kerajaan Gangga Negara di Dinding yang bersifat Hindu.

Di zaman munculnya kerajaan Beruas dan Manjung itu, terdapat juga di beberapa daerah di Perak pemerintahan secara tempatan, seperti di Temong terdapat seorang perempuan yang berkuasa dikenali sebagai Tok Temong, dan di Hulu Perak pula terdapat seorang yang berkuasa bernama Tun Saban yang dikatakan anak Bendahara Tun Perak Melaka. Ketika ini negeri ini masih belum mempunyai raja dan kebanyakan penduduknya adalah merupakan pedagang dari Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi. Sebelum wujudnya kesultanan di Perak juga terdapat beberapa nama yang dikenali sebagai penguasa tempatan, seperti Tok Masuka dan lain-lain pembesar tempatan.

Kesultanan Perak bermula pada kurun ke-16, yang mana putera kedua Sultan Mahmud Syah Melaka yang akhir setelah negeri Melaka dikalahkan oleh Portugis pada T.M 1511 yang bernama Raja Muzaffar Syah dilantik menjadi Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528.

Kisahnya, ketika Tok Masuka meninggal dunia, ada diwasiatkan supaya tempatnya digantikan dengan seorang raja yang berasal daripada anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Si Guntang tidak terputus di Tanah Melayu ketika itu. Berikutan itu, Tun Saban dan Nakhoda Kassim berangkat ke Kampar untuk menghadap Sultan Mahmud Syah dan memohon supaya seorang putera baginda menjadi sultan di Perak. 

Sultan Mahmud telah meminta putera baginda, Raja Muzaffar menjadi Sultan Perak. Waktu bakal sultan ini mudik Sungai Perak, kapal kenaikan baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Kemudian Raja Muzaffar telah berseru demikian bunyinya;

Sedikit tanah Minangkabau
Selengkung Pulau Perca,
Dilingkung ular sikat muna,
Sebenarnya aku menjadi raja,
Jauhkan segala mala petaka,
Perpisahan aku di Selat Melaka.

Selepas seruan itu diucapkan, maka barulah kapal kenaikan Raja Muzaffar Syah dapat bergerak, dan kemudian menuju ke ulu sungai hingga ke tempat yang kemudian dinamakan Tanah Abang (Teluk Bakong sekarang). Maka ditempat itulah Raja Muzaffar Syah ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Syah dan merajai sebuah negeri yang terdiri dari percantuman daerah-daerah penguasaan pembesar-pembesar tempatan, yang dikenali sebagai negeri Perak, iaitu mengambil sempena dari nama Tun Perak, iaitu Bendahara Melaka.

Itu jugalah signifikan istiadat memijak Beting Beras Basah bertujuan memperingati sejarah Sultan Perak yang pertama. Kapal baginda tersekat di Beting Beras Basah, baginda turun dan berpijak di situ, kemudian air naik sehingga membolehkan kapal masuk ke Sungai Perak.

Semasa pertabalan Raja Muzaffar Syah, Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat dikenali Mastika Embun yang telah dijadikan sebagai satu alat kebesaran diraja Perak dan digunakan dalam istiadat pertabalan diraja Perak.

Sebagai membalas persembahan Tok Temong itu, Sultan Muzaffar telah mengurniakan sebuah puan bujur (bekas sireh), tetapi dikembalikan oleh Tok Temong. Sebaliknya, Tok Temong hanya mahukan ikrar (janji) daripada Sultan Muzaffar supaya anak cucu baginda hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak, manakala Tok Temong serta anak cucunya memerintah di sebelah kiri mudik sungai tersebut.

Disebabkan itu, pada hari ini didapati kota-kota istana dan makam sultan-sultan terdahulu di negeri ini terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Shah yang mula membuat istana dan makam di sebelah kiri mudik Sungai Perak. Setelah meninggal dunia, Tok Temong dimakamkan di Kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah di Kuala Kangsar.
Masjid Kota Lama Kanan. Kalau orang tak biasa jalan sini memang tak perasan kat mana letaknya. Haritu saya pergi boleh nampak signboard homestay kepuanyaan Mr Os, letak dekat-dekat situlah juga.

 Saya berkesempatan melawat batu peringatan Sultan Mansur Syah di Masjid Kota Lama Kanan tahun lepas. Batu peringatan Sultan Mansur Syah I di dalam Masjid Kota Lama Kanan sebagai simbol tempat baginda ghaib/hilang ketika solat jumaat di dalam masjid. Menandakan tempat terakhir baginda berada. Tetapi masjid ini hanya dibuka ketika solat. Saya datang bukan waktu solat,  jadi tak dapat masuk untuk tengok.
Batu peringatan di dalam masjid. Gambar dari FB KK

Masjid Kota Lama Kanan Makan Sultan Mansur Shah diperbuat masjid ini pada zaman al-Marhum Qhatamallah dimulai sembahyang 10 Zulhijah 1331 iaitu 13 Oktober 1916. Hadir DYMM Sultan Abdul Jalil Nasarudin al Mukhtaram Shah. Dibelanja masjid ini sedekah Tengku Permaisuri Cik Uteh Mariah RM1000 dan kerajaan RM1800 dan lain-lain RM1000 jumlah RM3800. Maka yang menjalankan pekerjaan masjid ini Orang-orang Kaya Setia Bijaya Diraja Abdul Shukor bin Md Ali. Maka berharapkan rahmat dan mengikut Allah SWT pada sekaliannya.


Sumber:  Dari Buku sejarah tapi tajuk  lupa dah sebab fotostat yang perlu sahaja masa tu karya Abdullah Zakaria
                Akhbar Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts with Thumbnails