Monday, June 8, 2015

Muzium Labuan



Hari dan masa lawatan
8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Alamat:
Muzium Labuan, U0364, Jalan Dewan, 87008 WP Labuan.

Untuk mengetahui sejarah sesuatu tempat itu sudah pasti muzium paling sesuai. Memanglah bosan nak membaca, tapi kena juga memaksa diri. Terletak berhampiran Dataran Labuan, seberang sahaja. Sebenarnya mencari kedai makan, rupa-rupanya park kereta betul-betul dekat muzium. Oleh itu rajin-rajinkanlah diri mencari ilmu untuk mengenali Labuan sebelum meneroka ke seluruh kawasan.

Bangunan  ini dibina pada zaman kolonial tahun 50-an dan pernah digunakan sebagai pusat pentadbiran sejak zaman penjajahan sehinggalah selepas kemerdekaan. Ada dua tingkat, tingkat bawah, anda akan dibawa untuk mengetahui sejarah Era Perang, Era Pentadbiran British dan Era Pasca Perang. Manakala di tingkat atas lebih kepada sosiobudaya, sosioekonomi dan seronok sikitlah nak melihatnya kerana lebih dalam bentuk bercerita pada masa sekarang. Labuan mendapat namanya daripada perkataan “labohan” (pelabuhan). Berukuran 92km persegi dan merangkumi satu pulau utama dan 6 lagi pulau yang kecil.

Selepas kehancuran kerajaan Majapahit pada kurun ke14, Labuan telah bertukar tangan di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei (ketika itu Sultan Omar Ali Saifuddin II). Pada tahun 1846, pulau ini telah diserahkan kepada pemerintahan British di mana telah dirasmikan sebagai sebuah jajahan Kerajaan British. Di bawah pemerintahan British, pulau ini dinamakan Victoria sempena nama Ratu Victoria. Labuan telah diisytiharkan sebagai pelabuhan bebas cukai pada 1848 dan Inggeris mula membangunkannya dari segi ekonomi khususnya perlombongan arang batu dan perdagangan.  

Pada 1852, Labuan menjadi tempat berlabuh kapal-kapal dagang yang berulang alik antara Singapura dan Brunei. Pada 1863, aktiviti import eksport dengan Singapura, Hong Kong dan Sulu terus meningkat terutama bagi barangan kapas, garam, candu, tembakau, peralatan tembaga, pakaian, kelapa, tikar, buah pinang, sirip yu, sarang burung dan alat-alat jentera. Barangan eksport Labuan sendiri selain arang batu ialah tepung sago, balak dan papan.

 Pada tahun 1 Jan 1942, tentera Jepun mula mendarat dan memerintah Labuan sehingga Tentera Bersekutu mula melancarkan serangan pada 10 Jun 1945. Ketika pemerintahan Jepun, Labuan telah diberi nama Pulau Maida oleh Jeneral Tojo sempena nama Jeneral Maida, Komander Tentera Jepun yang mati dalam nahas pesawat menuju Labuan pada 5 Sept 1942.

Antara Gabenor yang dilantik di Labuan. Jika dilihat pada senarai ini pasti kita ingat dua nama ini yang biasa dalam sejarah negeri lain iaitu James Brooke dengan sejarah Borneo dan Hugh Low sejarah Perak. Orang yang samalah ni. 



Kisahnya Sir James Brook ni telah dilantik sebagai Gabenor Pertama dan Panglima Tertinggi Labuan pada 22 Jan 1848. Beliau juga telah dilantik sebagai Pesuruhjaya dan Konsul Jeneral kepada Sultan dan Ketua-ketua Bebas Borneo pada Feb 1847. Dikatakan tempoh dia dilantik menjadi Gabenor Labuan barangkali merupakan detik yang mengecewakan sepanjang kerjayanya yang cemerlang. Ini berpunca daripada begitu banyak jawatan yang beliau pegang menyebabkan Brooke terpaksa menanggung banyak beban. Kesibukan itu menyebabkan beliau jarang berada di Labuan dan gagal memberikan perhatian untuk membangunkan pulau ini. Dalam tempoh 12 bulan dalam tahun 1849 contohnya James Brooke hanya berada selama 39 hari sahaja di Labuan dan tugasnya diserahkan pada timbalannya.
 Sepanjang tempoh pentadbiran Brooke, Labuan tidak dapat memenuhi tujuan sebenar ia ditubuhkan. Malah ia dibiayai oleh Perbendaharaan British sebanyak purata 9000 paun setahun. Brooke melepaskan jawatan sebagai Gabenor Labuan kepada John Scottt pada Okt 1854 dan meninggal dunia pada 11 Jun 1869 di Devonshire selepas meninggalkan Borneo pada tahun 1863. Gitulah kisahnya, hemm selalu kita baca sejarah pasal British penjajah so semua yang buruk la..tapi kalau membaca kisah ini dikatakan Brooke kecewa tak dapat membangunkan pulau ini seperti yang sepatutnya. Terselit kisah kemanusiaan. Kontradiksi perasaan ni hehe. 

Kisah Hugh Low pula, walaupun telah beberapa kali menjadi pemangku Gabenor, beliau tidak dilantik sebagai Gabenor. Ini menyebabkan beliau kecewa dan akhirnya meninggalkan Labuan pada 1877 untuk menjawat jawatan Residen Perak dan telah berjaya menukarkan Perak kepada sebuah negeri yang makmur hingga beliau diiktiraf sebagai antara pentadbir British yang paling berjaya di Timur Jauh. Itu kalau dilihat daripada sudut pandangan British, kalau dari sudut pandangan rakyat tempatan mungkin berbeza rasa.
Replika Rumah Kaum Kedayan yang terdapat di tingkat atas Muzium Labuan
Pada 16 Sept 1963, bersama-sama dengan Sabah, Labuan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Labuan diisytiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada Oktober 1990 pula dikenali sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa. Ada 65 buah bank antarabangsa yang beroperasi di sini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails