Monday, May 16, 2016

Tabung Keluarga

Datuk saya, Allahyarham Hj Yusof bin Yaacob mempunyai wawasan yang besar sejak zaman 60-an lagi. Arwah telah melontarkan idea kepada anak-anak untuk membuka satu tabung untuk kegunaan bersama. Matlamat awal diwujudkan tabung ini untuk menampung belanja sekolah yang belum pasti dapat biasiswa atau tidak.  Sementelahan hidup mereka pada masa itu bukanlah senang dengan gaji hanya sebagai guru agama untuk menanggung anak seramai 12 orang (2 meninggal waktu kecil).

Proses tabungan tersebut begini; anak-anak yang bekerja menyumbang sebanyak RM10 manakala menantu RM5. Anak-anak yang masih bersekolah turut menyumbang iaitu RM1 dan RM2.  Sedar tak sedar duit yang dikumpul telah dapat membantu kesemua ahli keluarga.  Ada yang meminjam daripada tabung ini untuk belanja kahwin, membeli tanah, pinjaman belajar dan pinjaman perniagaan. Malah daripada tabungan ini juga kami peruntukkan sedikit sumbangan bagi yang masuk IPT, mangsa banjir, belanja kahwin, sakit dan pelbagai lagi mengikut apa yang telah dibincangkan dalam mesyuarat.

Mesyuarat diadakan kadang-kadang dua tahun sekali, kadang bertahun-tahun juga. Bayangkan pada masa dahulu dengan tak adanya kemudahan internet seperti sekarang, Pos Malaysia dan Telekom jadi penyambung silaturahim kami. Kini zaman Facebook dan What’s App. Jimat kos. Pak Cik dan Mak Cik kenalah jadi seorang yang celik IT juga.  Maklumlah, bukan semuanya duduk di Kuala Kangsar tapi merata, dari Utara hingga ke Selatan hinggalah ke Sabah.

Berikut saya senaraikan tip yang boleh diikut yang diamalkan keluarga kami. Masih belum terlambat lagi untuk memulakannya.
  • Adanya Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dalam keluarga. Lantikan dibuat secara giliran dalam keluarga. Adanya mesyuarat dan dibuat minit mesyuarat setiap kali perjumpaan.
  • Jika awalnya anak-anak menabung RM10 dan menantu RM5 tapi ada satu masa, tak ingat bila, semuanya kira RM10 dan untuk anak-anak yang sudah bekerja pun bayar RM10. Duit masuk dalam akaun. Ada satu ketika pernah dibuat sistem amil di mana amil zon utara, zon selatan dan zon tengah untuk kutip duit. Kiranya untuk rapat silaturahim tu sebab suruh datang rumah. Saya pernah dilantik menjadi amil zon tengah hahaha tak berapa berjaya. Kekangan kerja. Transfer sahajalah dalam akaun.
  • Generasi 1 Tuk dan Pah
  • Generasi 2- Anak-anak
  • Generasi 3- Cucu-cucu
  • Generasi 4- Cicit
  • Bagi memudahkan, kami membahasakan Gen2, Gen3 je untuk menerangkan sesuatu mesej tu untuk siapa.
  • Bilangan ahli terkini 125 orang dan sudah sampai ke Gen4.  Sesiapa yang berkahwin dengan anggota keluarga kami ni, wajib kenal rapat dengan kami semua ni ya dan bukannya sekadar ipar duai je.
  • Bagi yang meminjam, kenalah pulang balik duit tetapi kami beri bantuan secara Qardh al-Hassan (pinjaman ihsan). Ia merupakan pinjaman yang tidak melibatkan faedah dan syarat tambahan ketika membayar pinjaman. Peminjam boleh mengikut budi bicaranya, membayar balik tambahan wang yang lebih banyak daripada wang yang dipinjam sebagai tanda terima kasih. Pinjaman jenis ini tidak dikira melanggar syariah (dengan melibatkan riba) kerana tiada perjanjian untuk membayar lebih. Cara pinjaman; buat surat untuk rekod dan diajukan pada pengerusi, pengerusi akan berbincang dengan setiausaha dan bendahari sebelum membuat keputusan atau tunggu mesyuarat akan datang untuk perbincangan.
Kini, kami meningkatkan lagi tabungan ini dengan lebih sistematik dengan cara membentuk Koperasi Keluarga. Di dalam Koperasi Keluarga sendiri dinyatakan tujuan ditubuhkan untuk:

Sebahagian daripada keseluruhan keluarga besar kami.
  • Menjamin masa depan lebih cemerlang dalam bidang sosioekonomi
  • Memberi sumber pendapatan baharu kepada anggota koperasi dan menjana pendapatan anggota koperasi.
  • Harta pusaka dapat diuruskan bersama.

Koperasi Keluarga kami masih baharu. Masih bertatih dalam segala bidang. Kalau dilihat, Gen2 yang terdiri di kalangan pak cik dan mak cik yang telah pencen ni yang banyak memberi sumbangan dan kekuatan. Gen3 hanya menjadi sokongan sahaja. Entah macam mana di masa akan datang kalau hanya Gen3 sahaja yang mengepalai. Namun, fikir yang baik-baik, tulis yang baik-baik. Semoga masa depan koperasi keluarga kami bertambah kukuh.  Harmoni dalam menjana ekonomi. Sepakat membawa berkat. Tolong doakan sekali ya anda yang membaca!


p/s:Bagi yang ingin menubuhkan koperasi boleh dapatkan maklumat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Namun diingatkan, ia bukanlah semudah memetik jari. Banyak yang harus difikirkan. Beberapa kali juga hasrat ini ditangguhkan. Kerja perkeranian pun melelahkan. Maklumlah ada standard yang perlu diikut.  Tapi bila difikirkan ia baik untuk masa hadapan, bersabar dan bertabahlah wahai Setiausaha. Hahaha motivasi diri sendiri. 

No comments:

Related Posts with Thumbnails