Friday, December 30, 2016

Jepun 30 Nov 2016 – 6 Dis 2016 (Bahagian Akhir)

Menghabiskan sisa-sisa Yen

Di Kawaguchiko ni kami pilih yang masuk percuma sahaja. Destinasi pertama di Hentian (Nombor) 7 Kawaguchiko Herb Hall. Pelbagai tanaman herba boleh tengok dekat tapak semaian di belakang kedai. Ha dari sini juga boleh nampak Mount Fuji. Pekena teh herba untuk pelancaran darah. Ada sale untuk bijih benih. Saya beli ubi bit dan tomato kecil. Hasilnya tak tahu jadi ke tak, nanti kita lihat ya. Seronok beli sourvenir berasaskan herba ni, ada haruman herba yang boleh selit dalam bantal. Jadi bila bangun tidur akan rasa kesegarannya. Ada haruman lavender, grape fruit, rosemary- ni udah rasa macam makan spageti pulak.

Ni serai. Nampak? 

Pendek kata kalau di setiap tempat ni memang boleh nampak view Gunung Fujilah.
Teh herba ni untuk poor circulation katanya. Dihidang bersama madu.

Isi kandungan herba, halia, echinacea dan elder flower

Pelbagai cenderamata boleh dibeli, aiskrim lavender juga ada di sini.
Di sini paling ramai jumpa orang Malaysia, semasa turun bas, semasa naik bas, semasa dalam kedai, semasa di tasik.  Macam melawat dalam negara sendiri je ni haha. Assalammualaikum semua!! Rasanya kalau campak batu, pasti kena orang Malaysia. Hiperbola ya.

Inilah hentian basnya, boleh bandingkan dengan peta yang ada untuk tengok anda samapai ke tempat yang betul ke tak.


Penutup lubang di jalan. Seni ni. Imej yang terlukis ni menunjukkan identiti tempat tersebut. So jangan lepaskan peluang untuk tangkap gambar-gambar yang menarik ni walaupun hanya penutup lubang. Kiranya macam cop mohor la ni. Hehe.
Akhirnya hentian akhir Kawaguchiko Lake, cuaca cerah.   Fujisan berketinggian 3776 m di hadapan mata. Subhanallah, Fujisan sugoi!.  Segala pujian itu kembali kepada Allah. Tatkala melihatnya, ada dua ayat al-Quran yang pop up dari kepala, tentang gunung sebagai pasak bumi dan perumpaan manusia dan gunung, jika turun al-quran ni kepada gunung pasti akan berpecah belah sebab takut kepada Allah. Sedangkan kita? Jika melihat Gunung Kinabalu tidak terasa sebegitu sebab seakan jauh di depan mata, ni betul-betul direct. Semoga tersemat di dalam kepala gambaran itu. Semoga kita mendapat pengajaran daripada setiap yang dilihat. 

Fujisan, sacred place and source of artistic inspiration inscribed on the World Heritage List in 2013 
Fujisan

“(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan; (An-Nabaa’ (78):6)

dan gunung-gunung sebagai pancang pasaknya? (An-Nabaa’ (78):7)

“Dan Kami telah menjadikan gunung-ganang yang tetap di atas bumi supaya bumi itu tidak akan bergoncang dengan mereka. Dan kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang supaya mereka dapat sampai kepada  mencapai keperluan rohani dan jasmani.” (Al-Anbiyaa (21):31)
 
Perasaannya lain bila tengok di gambar dan di hadapan mata. Semoga imejnya masih kekal tersemat dalam diri.
“Sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah kepada) perumpamaan-perumpamaan ini yang Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.” (Al-Hasyr (59):21)

-Kamus Harfiah Al-Quran Kaedah al-Furqan (Ustaz Nasaruddin Hasim)

Sudah menjangkakan tidak terdapat prayer room di sini dan pasti kena solat di tempat terbuka jadi memang sediakan sejadah untuk lapik. Memandangkan waktu solat pun dah masuk, solat di tempat letak kereta.  Cari tempat tersorok sedikit supaya tidak menarik perhatian orang sangat. Memang benda tak salah, tapi buatnya dihalau dek orang atau security kat situ, manalah tau, negara orang. Bersyukur negara pernah kemarau dan ketika ketiadaan air banyak ustaz menunjukkan wuduk hanya sebotol air sahaja cukup, kan?. Jadi apa lagi alasan kita.

Pernah google makanan halal yang ada di sini, ada satu yang jumpa, tapi kami pun tak rasa nak makan sangat. Makan coklat yang dibawa sebagai bekalan sahaja. Semasa hendak balik ke Stesen Kawaguchiko ternampak kedai halal tu.

Alladin Indo Restaurant boleh google alamat.

Dalam laluan merah juga. Kalau balik dari Lake Kawaguchiko, selepas Fuji Lake Hotel, di sebelah kanan lokasinya. Nanti boleh nampak signboard ada tulis halal. Saya nampak halal daripada nama restoran itu sendiri haha. Sebelum sampai Kawaguchiko Herb Hall tau, kalau dah nampak tu, maknanya anda dah terlepas.

Sementara tunggu bas untuk ke Haneda Airport pukul 5.45 petang, singgah dahulu di kedai cenderamata yang terdapat di Stesen Kawaguchiko dan tempat kami letak beg. Harga tiket bas dari Kawaguchiko Stesen ke Haneda Airport JPY 2470. Perjalanan mengambil masa selama satu jam lebih. Dari stesen ini juga ada bas ke Shinjuku Station dan Tokyo Station. Kiranya senang juga nak datang ke sini.

Autumn, warna-warni yang kekal dalam ingatan. Seharusnya makin mengingati keagungan Allah dalam mencipta alam ini. Betapa pokok-pokok itu terapi untuk hati, bayangkan jika dihiasi bangunan pencakar langit semata-mata, indahnya hanya di mata tapi kemudian lupa. Alhamdulillah diberi kesempatan datang ke Jepun lagi. Jepun tidak pernah menghampakan, oleh itu repeat lagi pun pelbagai perkara yang boleh dipelajari.

Kad Pasmo yang dipakai, boleh ditebus nilai semula di kaunter Keikyu Line. Tanya sahaja kaunter informasi di situ kalau tak jumpa. Yeay ada balance JPY 3200 lagi, boleh belanja lagi. Oppps tadi dah guna kredit kad, supaya idak teroyak (menangis) balik Malaysia nanti, menahan diri dari menggunakan balance yang ada, haha.  Belanjakan duit syiling je lagi untuk beli dinner di 7E, onigiri dan  salmon. Ha ada JPY 99 lagi, tengok semula apa yang boleh dibeli. Biskut kapal lagi hehehe, JPY 99. Sampai di kaunter dengan yakinnya letak duit, lepas tu dia suruh tengok mesin cashier, JPY 106, haha, ada tax..Sorry, not enough money. Tak jadi beli. 

Sementara menunggu waktu boarding, didatangi dua orang pelajar universiti. Mereka sedang membuat survey tentang makanan Jepun di kalangan pelancong asing. Punyalah banyak orang duduk dekat situ, kenapa saya? Ooh memang jelas pelancong asing sebab warna kulit pun sawo matang, bertudung pula tu. Orang lain kulit cerah dan ada kemungkinan orang Jepun sendiri. 5 soalan yang ditanya, antaranya, sama ada makan tak makanan jepun? “As a muslim, its hard too find halal food here.” Mereka faham apa itu halal food tanpa perlu dijelaskan lagi walaupun sebutannya ‘haral food’ hehe. Dia tanya lagi, ada masak tak makanan Jepun di Malaysia. Tak masak tetapi senang makan makanan Jepun yang halal di kedai. Eh sebenarnya tak susah manapun nak cari makanan halal di Jepun ni sebab  di fb pun ada page halal Japan, cuma kami yang tak berapa kisah nak makan, jalan lebih utama. Seronok dapat membantu dalam melengkapkan survey.

Balik pun flight ANA (All Nippon Airways), pukul 12.05 tengah malam. Ramai orang Malaysia juga naik bersama-sama. Pramugari check nama dan letak sticker di kerusi. Tanda untuk kami dapat makanan halal nanti.  Kali ni tengok cerita Shah Rukh Khan (SRK) pula. Cerita baru ni, FAN.  SRK memainkan dua watak iaitu sebagai peminat yang memang minat gila dengan artis ni dan sebagai artis. Layan di kala orang lain asyik diulit mimpi. Dalam pukul 4 pagi tu dah hidang breakfast yang sedap sambil tengok Frozen. Sangatlah ketinggalan sebab tak pernah tengok. Ok kali ni dah boleh sembang dengan anak saudara pasal Elsa, Anna dan Olaf. Sempat habis cerita sebelum touch down Malaysia pukul 6.45 pagi. Ok back to reality, habis dah. Sila move on. Let it go, let it go, jangan dok terkenang lagi haha. Semoga ramainya orang Malaysia yang dah pergi Jepun, ambil pengajaran positif dari sana ya, mode telefon silent dalam pengangkutan awam untuk tidak mengganggu orang, kalau nak pasang video pakai ear phone-dengar sorang-sorang je,  recycle sampah dan asingkan, berjalan cepat dan tidak lenggang kangkung- bersemangat, hisap rokok di tempat khas, jangan makan sambil berjalan, belajar dari cashier cara pulangkan duit dengan polite, dua tangan dan tunduk hormat, dan ada lagi, cuma tak teringat masa ni. Sayonara.

Sayonara!

No comments:

Related Posts with Thumbnails