Friday, December 29, 2017

Merasa Kemeriahan Subuh Di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 2)

1 Disember, Maulidur Rasul. Jika di Malaysia, pastinya selawat dan lagu Rasulullah nyanyian Hijaz sudah berkumandang di radio.

                                    Rasulullah dalam mengenangmu
                                    Kami susuli lembaran sirahmu
                                    Pahit getir pengorbananmu
                                    Membawa cahaya kebenaran

                                    Engkau taburkan pengorbananmu
                                    Untuk umatmu yang tercinta
                                    Biar terpaksa tempuh derita
                                    Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Awal pagi
Namun di Madinah ini saya hanya mendengar selawat dari bilik hotel. Saya tidak pasti adakah inisiatif pengunjung hotel atau hotel itu sendiri. Malas pula nak tengok sebab nak tidur awal.

Merasa berjemaah subuh di Masjid Nabawi. Hari Jumaat pula tu, penghulu segala hari. 2.30 pagi lagi dah bangun. Tak jadi masalah sebab di Malaysia pukul 7.30 pagi. Pukul 3 pagi meriah di jalan. Ramai yang lain dari hotel berdekatan juga sudah mula bergerak ke masjid. Pintu 25 itulah pintu keluar masuk kami. Malah kalau ditenang-tenang, memang boleh nampak terus ke hotel. Datang awal-awal ni bolehlah pilih tempat mana yang nak duduk.

Rutin setiap hari datang ke masjid, minum segelas air zam-zam yang diletakkan di laluan masuk masjid sambil berdoa supaya diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di sini.  Di samping itu isi air zam-zam dalam botol untuk bekal bawa balik. Masa nak balik pun minum segelas lagi.

Ketika azan yang pertama (di sana azannya dua kali, sela waktu lebih kurang satu jam)semakin ramai yang mula memenuhi saf. Penjaga masjid (berpurdah hitam seluruhnya) mula meletakkan tape kuning di ruang-ruang solat yang berpermaidani dan orang ramai akan duduk di bahagian simen. Biasanya kalau dah letak tape kuning tu maksudnya ruang carpet tu dah penuh. Tapi sesiapa yang bentang sejadah di laluan berlapik getah tu siaplah kena halau dengan penjaga ni. Mana taknya, dah memang laluan orang nak jalan. “Ibu ke sini ibu”, “Hajjah! Hajjah! Sini ada kosong.” Begitulah tugas penjaga masjid atau pencuci masjid yang akan memanggil jemaah untuk memenuhi saf. Ramai juga pekerjanya orang Indonesia.  Seronok tengok gelagat orang ramai. Pagi tu, tiba-tiba rasa sejuk, “kuatnya aircond”. Tiba-tiba tengok orang keliling dongak ke atas. “La bila masa pula open air ni?” Rupanya bumbungnya terbuka tempat yang saya duduk tu. Tak sempat tengok dia buka dari awal, tengok-tengok dah ternganga. “Original aircond patutlah sejuk”. Masa tu je yang dapat merasa bumbungnya terbuka.  Hari lain tak dapat pun.

Selepas solat, biasanya ada solat jenazah. Saya tanya rakan sebilik, macam mana tahu? Dia kata memang begitulah kebiasaannya, setiap kali selepas solat memang ada solat jenazah. Selepas beberapa kali baru saya dapat ‘tangkap’ tanda-tandanya, imam akan menyebut ‘solat’ dan ‘mauta’. Sepanjang berada di Madinah dan Mekah  memang setiap waktu ada solat jenazah kecuali ada satu waktu je memang tak ada masa tu. Ambillah kesempatan untuk lakukan solat jenazah, pahalanya bersamaan sebesar bukit Uhud.



Kalau balik solat sahaja, fuh, menderu-deru orang keluar. Lebih baiklah duduk sebentar mengaji  atau baca al matsurat dulu. Hotel sediakan breakfast selepas solat subuh, lunch selepas solat zohor dan dinner selepas solat isyak. Kalau balik hotel pun susahnya sebab nak tunggu lif. Lifnya kecil sahaja, pengunjungnya ramai. Kalau masuk dek orang Turki, mau penuh dah. Alternatif – naik tangga- tapi tingkat 9. Oleh itu alternatif lagi, sebelum balik hotel singgah dulu kedai –kedai yang ada dalam perjalanan balik. Hehe. Tak pernah dibuat subuh-subuh sepii membeli-belah. Memang banyak je kedai buka lepas solat subuh. Taklah beli banyak pun sebab bukan kaki shopping, jadi penasihat pada orang je.
 
Selain kurma, tengok gelang, cincin, minyak atar.
Zoom daripada bilik hotel. Kredit: Adam Ahmad Saifudin

Ruang bawah tu penuh kedai-kedai Kredit: Ahmad Saifuddin
Tepi-tepi hotel ni pun ada kedai-kedai. Kiranya tak susah la kalau nak membeli barang keperluan .

Saturday, December 16, 2017

Perjalanan mencari keredaan Allah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 1)

Memandangkan giliran mengerjakan haji berpuluh tahun lagi, eloklah jika kita dapat mengerjakan umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Tengok orang atau artis pergi umrah setiap tahun, kan, mudah je kan.  Tambahan lagi bila cuti sekolah ni iklan umrah berlambak-lambak. Ada yang berkemampuan dari segi duit, tapi niat tu takde, katanya tunggu seru. Ada yang berniat sangat ingin pergi, tapi fulusnya tiada pula.  Namun percayalah bila dalam hati kita dah terdetik nak pergi, peluang untuk pergi itu insyaAllah ada. Banyak ruang dan peluang yang tidak disangka-sangka akan memudahkan perjalanan.

Pertama kali pergi, risau juga sebab ini bukan melancong tapi ibadah. Biasa pergi melancong dengan jeans dan kasut sukan, hai macam tak kena pulak pergi umrah. Syaratnya tutup aurat, kan.  Aha, jubah dan dalamnya jeans.  Mudah nak tolak beg besar.  

Seperti mana kita bersedia untuk menempuh beribadat di bulan Ramadan. Begitu juga untuk umrah. Wajib hadir untuk kursus umrah. Jangan ingat dapat A dalam subjek agama SPM dan baca sahaja daripada buku dah boleh pandai. Mencari ilmu dengan berguru baru ada manfaatnya sebab guru boleh menegur jika ada salah dan membetulkan. Saya hadir 3 kali kursus umrah, bila sampai di lapangan, macam dah lupa juga apa yang dikursuskan.  Terkejut juga bila semua tempat yang pergi seperti miqat, tawaf dan saie memang ramai.  Kena ada orang juga meneman untuk ingatkan.

 Jaga mulut jaga hati itu yang sering dipesan oleh orang ramai. Tanah Haram, apa yang diucapkan makbul.  Kalau yang buruk diucapkan bertambah dosa pula lagi. Dan itu juga yang menjadi sebab ada sesetengahnya takut  nak pergi sebab dapat balasan ‘cash’. “Banyak sangat baca Mastika tu,” kata ustaz masa kursus. Memang betul pun, dari dulu lagi memang selalu baca tu pun. Bermacam-macam seksaan diterima. Alah macam tengok cerita Tanah Kuburlah. Balasan yang baik tu sedikit sekali diceritakan. Tapi jangan lupa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Kenapa kita tak ubah kepada, kita cakap yang baik pun dapat ‘cash’ terus.  Contoh mudah, saya  beli makanan nasi dan ayam panggang. Lepas tu kawan sebilik terpandang pula fun fries, teringin sangat nak makan. “Jom beli.” Saya cakap, ni pun dah banyak, tak terhabis nanti. Masa balik ke bilik eh eh, ada pulak 2 batang fun fries dalam tu. Dapatlah hilang kempunan dia nak makan. Padahal semalam masa beli menu yang sama tak ada pula kentang tu. Itu benda yang nampak. Sedangkan banyak lagi nikmat yang Allah kurniakan yang tidak terjangkau di fikiran kita.

Mengerjakan umrah, peluang untuk  kumpul pahala banyak-banyak. Malah untuk mengenali lebih dekat Rasulullah dan sahabat.  Menaiki Saudi Airlines kami seterusnya mendarat di lapangan terbang Madinah. Ahlan wa sahlan Madinah. Bandar raya Nabi.  Alhamdulillah. Hanya kami sahaja ketika itu, urusan imigresen berjalan lancar cuma masalah beg lambat keluar.  Keluar sikit lepas tu conveyor berhenti. Sebenarnya awal penerbangan lagi ada masalah kargo dan dia pindahkan barang. Rasanya  itu sebabnya. Ujian pertama, tunggu beg.  Zohor dah masuk. Kalau solat sekarang, tiba-tiba beg keluar, siapa pula yang nak ambik. Masih fikir keduniaan lagi tu.  Semua ingat nak solat kat hotel saja rancangan awalnya.  Akhirnya, ada jemaah bersuara, jom kita solat. Muhasabah diri. Orang sana, masuk sahaja waktu solat, memang semuanya solat, semuanya ditinggalkan. Dan di mana-mana sahaja boleh solat, bentang lapik, menghadap kiblat dan solat.
KLIA
Perjalanan ambil masa 8 jam 27 minit. Sampai tu patutnya tengah hari.
Sedap juga nasi lemak dalam ni. 
Cantik binaan di airport Madinah ni

Tunggu beg


Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu, Ya Allah. Jangan kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan kau uji kami dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami, Ya Allah. Astaghfirullah
– petikan daripada buku Prof Mohd Kamil, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Saya tulis doa ni di post-it notes dan tampal di buku untuk dijadikan panduan dan reminder selalu. 
Laluan ke Masjid Nabawi
Dataran Masjid Nabawi

Perjalanan ke hotel melalui tanah perkuburan Baqi, kemudian ternampak orang berbondong-bondong dari satu arah. Kelihatan menara dan ‘payung’ dari kejauhan, walaupun hanya melihat Masjid Nabawi daripada gambar sahaja, confirm dah inilah masjid yang dirindui oleh ramai orang yang telah menziarahinya.  Hotel Durrat Andalus  nama hotel kami, menjadi tempat persinggahan ramainya jemaah Indonesia, Malaysia dan selebihnya Algeria dan Turki. Sebaik sahaja dapat kunci cepat-cepat bersiap nak solat maghrib. Tak tahu juga arah yang dekat sebenarnya. Dalam lif jumpa orang Algeria. Dia tegur, “Jemaah”, kitaorang pun tanya la ikut mana. Cakap Inggeris sikit-sikit sahaja, siap pimpin tangan kami. Memang dekat, lalu 3 blok sahaja. Dia tunjuk air zam-zam suruh minum. Belum sempat ucap terima kasih dah hilang. Indahkan, semua orang Islam itu bersaudara walaupun berbeza warna kulit dan dari mana datangnya.  Kena tahu bahasa Arab ni untuk berinteraksi.  Ada orang tu siap tanya saya, aduhai spontan je jawab “la lughatul arabiah” Haha macam ada yang tak kena je, tapi kira bolehlah tu.  Sebelum datang memang dah hafal sikit-sikit. Lupa eh bila tak biasa.

Thursday, November 9, 2017

Terminal bersepadu

Terminal bersepadu seperti KL Sentral atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) memudahkan orang ramai mengunakan pengangkutan awam yang  menyambungkan kedua-dua stesen ini untuk pergi ke mana-mana.

Bagi pengguna bas dari utara, dulunya bas berhenti di Puduraya, dan dari situ boleh ambil bas atau naik lrt untuk balik ke PJ. Setelah bas berpindah ke TBS lagi mudah, ada ERL untuk ke Putrajaya/Cyberjaya atau KLIA, ada LRT untuk  ke bandar raya dan ada KOMUTER untuk ke bandar raya atau Seremban.

Oleh itu pengguna boleh membuat pilihan sama ada nak cari pengangkutan yang lebih murah atau mahal tapi lebih cepat. Semuanya di atas pilihan kita. Semasa saya baru mencuba naik bas di TBS ni, saya memilih komuter untuk ke KL SENTRAL tapi setelah 3 kali naik, terpaksa menunggu  lama dan setiap kali naik juga orangnya terlampau ramai. Tak pernahnya dapat tempat duduk. Bayangkan dengan beg besar dan orang ramai yang berhimpit. Sambil tunggu tu tengok  LRT yang di seberang dah dua tiga kali berlepas.  Penantian itu satu penyiksaan, kali ni bijak sikit. Mula-mula, tengok jadual  tren sampai di stesen komuter.  Nampaknya kena tunggu  40 minit lagi. Oleh kerana lambat lagi saya buat keputusan naik LRT.

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan tak boleh sampai terus ke KL Sentral  sebab dia laluan lain, jadinya kita akan bertukar tren  nanti. Kalau naik komuter, tak perlu tukar tren.  Oleh itu laluannya begini:

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan  ke Stesen Hang Tuah dan dari Stesen Hang Tuah tukar naik monorel  (tak perlu EXIT) ke KL Sentral (keluar di Nu Sentral) Tambang  RM4.50. Naik LRT orang tak seramai naik Komuter.

LRT Bandar Tasik Selatan ---.> Stesen Hang Tuah ---> monorel  stesen Hang Tuah ---> stesen KL Sentral
Stesen Hang Tuah. Pada mulanya saya plan nak solat di KL Sentral je, tapi bila turun LRT nampak ada surau di sini. Oleh itu solat di sini dulu. Kecil je suraunya, dalam 4  orang solat serentak boleh lagi.

Boleh lihat di sini untuk memastikan arah laluan.




Setelah selesai urusan di KL Sentral, saya nak pergi ke Damansara Damai pula.  Laluannya begini:

MRT Muzium Negara (dari KL Sentral juga,  cuma nama stesennya muzium negara dan jalannya jauh sikit tapi masih dari KL Sentral juga)  ke MRT Sg Buloh dan dari situ naik feeder bus ke Damansara Damai. Tambang MRT dalam RM3.50 rasanya.  Feeder  bus RM1.00

MRT Muzium Negara ---- > MRT Sungai Buloh ---> Feeder Bus

Ya itulah bersepadu kerana semuanya boleh dihubungkan. Ia memudahkan kita.  Tapi kena bersenam sikitlah ya. Turun naik eskalator.
 
Di Stesen Sungai Buloh, ada dua exit, exit Selangor tu akan keluar ke jalan besar jangan ambil tu, jalan terus je turun eskalator. Arah bangunan meletak kereta. Kat sini banyak bas perantara untuk pelbagai laluan.

Rujuk jadual ni untuk pastikan nombor bas yang mana dan dia masuk tak laluan kita nak pergi tu. Damansara Damai,  nombor bas T103.


Bagi laluan balik ke TBS


MRT Sungai Buloh  ke MRT Merdeka  dan tukar ke LRT Plaza Rakyat,  tak perlu touch tiket untuk EXIT, boleh terus naik LRT ke arah Bandar Tasik Selatan untuk ke TBS.  (tambang  lebih kurang RM 5 rasanya. Tak ingat.)

MRT Sungai Buloh ---> MRT Merdeka ---> LRT Plaza Rakyat ----> LRT Bandar Tasik Selatan
MRT Sungai Buloh. 

MRT Merdeka bersambung dengan LRT Plaza Rakyat

MRT Stesen Merdeka menarik juga, ada lambang dan bendera setiap negeri. Negeri Perak punya jauh la pula, tak dapat tangkap gambar. 

Kita ikut sahaja panduan papan tanda ni untuk bertukar naik lrt pula. InsyaAllah tak sesat.

Bagi yang tak biasa, tengok dulu laluan mana. Untuk ke Terminal Bersepadu Selatan, berhenti di stesen Bandar Tasik Selatan. Laluan yang berwarna maroon.  


Bagi sesiapa yang memang mengira bajet, boleh kira-kira dahulu mana yang lebih menguntungkan. Saya pakai kad touch n go, jadi mudah juga walaupun bertukar-tukar tren tapi tak perlu berhenti untuk beli tiket.

 
Guna touch n go senang sahaja, naik bas, lrt boleh guna, kelemahannya, kita tak ingat kita bayar berapa sebab just touch n go hehe. Kalau orang tanya pun tak ingat. Yang pastinya, setiap tambang sekali perjalanan purata RM5. So pastikan anda top up kad secukupnya.  Kad TBS tu untuk makan di Food Court, makanan situ mahal juga. Kalau nasi  rata-rata 6.50 ke atas, belum campur air lagi. Biasanya saya top up kad ni RM10. Di food court ni tak boleh pakai wang tunai. Kalau ada baki dalam kad ni boleh minta semula tapi saya simpan je sebab biasanya baki tinggal 10 sen 20 sen. Next time datang lagi just top up kat situ.


Monday, May 29, 2017

Kuntum Si Peramal Cuaca

Biasa dengar,kan binatang ni ada six sense. Dia boleh tahu ada bahaya di sekitar atau bencana alam.  Dengan bangganya saya nak beritahu kucing saya ni boleh ramal hujan akan turun. Tandanya dia akan duduk di pintu bilik dan nak masuk.  Selepas beberapa minit kebiasaannya memang hujan turun.

Sebelum ni memang tahu dia takut guruh. Bila dengar bunyi guruh tu dia akan menyorok bawah meja dekat pintu bilik dan bila pintu bilik terbuka dia akan duduk bawah katil. Entah kenapalah dia takut sangat  sebab kalau anak kucing, bila hujan nak turun dia akan gembira, berlari-larian. Mungkin sebab tinggal dia seekor je kot jadi udah takut. Setiap kali mendung dan angkat kain nak bawa masuk bilik, terus dia menyelit celah kaki. Tak sedar langsung. Kadang sampai ke malam terkurung dalam bilik. Dia pulak idak nak mengiau suruh buka pintu. Seronok juga tu dapat duduk bilik.

Namun begitu, lately ni bila angkat kain yang dah kering,  awal-awal lagi dia dah tunggu depan pintu bilik. Eh mengada-ngada pulak tiada sebab nak masuk bilik. Gamaknya dia pulak dah pening, kalau angkat kain maknanya hujan nak turun, jadi dia kena masuk bilik.
Baru bangun tidur. Lokasi: bilik.
Haha..sorry kalau pusing-pusing. Saja nak cerita kecomelan #kuntumTheCat


Wednesday, May 24, 2017

Laksa Kuala

Laksa, antara makanan popular di setiap negeri. Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Sarawak, semuanya ada identiti sendiri. Kuala Kangsar, Perak pun  laksanya ada identiti sendiri. Laksanya berbeza kerana diperbuat daripada tepung gandum, oleh itu teksturnya kasar dan kenyal berbeza dengan tepung beras yang licin dan transparent je rupanya tu. Yang berbeza laksanya sahaja tapi kalau kuahnya sama sahaja macam laksa lain. Laksa jenis ni lebih mengenyangkan.  

Resipi sebenar laksa tu idak la teman tahu, tepung gandum semata-mata atau tepung gandum lebih tapi campur tepung beras hehe tak pernah menanya cara membuatnya.  Teman gemo makan je. Tapi boleh check di sini cara membuatnya. Orang kuale juga.

Namun begitu, bukan semua kedai yang  ada di Kuala Kangsar ni pakai laksa kuala ni sebabnya laksa yang ni lebih mahal daripada laksa kering tu. 

Oleh kerana teksturnya yang kasar dan kenyal ni, jadi rasanya ‘masuk’ dengan macam-macam kuah. Ok kat Kuala Kangsar ni anda boleh merasa:
1)Laksa Kicap
2)Laksa Goreng

3)Laksa Tulang 

Ni laksa biasa. Kuahnya memang jenis cair gini. Kalau makan laksa biasanya pekena cendol sekali.
Ni laksa cucur. Tapi kedai tu tak buat dah. Cucur udang, campur fish ball.
Ni laksa telur sarang..tapi yang ni laksa tepung beras ya. Nampak tak yang ni transparent.
Laksa Tulang. Kedai ni sebenarnya popular dengan mi tulang tapi bila dia try menu taruh laksa pula, memang 'masuk' juga rasanya. Daging pun lembut je. 
Malah laksa yang kuah biasa juga mempunyai variasi. Aksesori sampingan, telur sarang, telur mata, fish ball/fish cake, dan boleh juga tambah peyek/serunding/bawang goreng. Yeah!

Jika anda masih tidak dapat membayangkan bagaimana  tekstur laksa kuala tu, boleh try udon. Hehe.. sebab masa saya pi jepun, bila makan udon tu, terus teringat laksa kuala. Sedap.

Monday, May 22, 2017

Kedai Buku Iman Shoppe

Jika ikut alamat yang diberi, dikatakan berhampiran KTM Serdang. Boleh je kalau nak naik komuter tetapi memandangkan plan nak pergi hari Sabtu dan rasanya jalan tak jam kalau gerak pagi-pagi, parkir pun senang. Jadinya saya pilih bawa kereta. Kalau naik komuter, masanya tidak sekerap LRT.

Saya gerak dari Damansara. Malam sebelum tu dah tengok juga Google Maps untuk tahu lokasi. Dekat The Mines Shopping Mall. Saya tahu jalan nak ke sana cuma tak dapat nak agak kedai tu terletak di bahagian mana. Esok paginya, tetiba meletakkan sepenuh kepercayaan kepada GPS di kereta.  Taip-taip alamat tak ada dalam sistem. Pilih nama jalan baru dapat. Dengan yakinnya mengikut arahan. 

Walaupun hairan dia ikut jalan yang lain, tapi ikutkan aje maybe jalan yang dipilih ni lebih dekat.  Husnudzon tu dengan GPS hihi. Memang yakin ikut arahan tetiba Cik GPS ni boleh cakap calculating route… udah sampai ke INTAN dibawanya..eh eh bukannya aku nak pergi kursus. Disuruhnya pusing semula, ikut sahajalah sebab sudah memutuskan untuk meletakkan kepercayaan 100 peratus, kan.  Memang yakin sangat ikut arahan. Eh eh calculating route lagi…lor salahke, siap keluar real picture tu simpang yang mana. Mestilah lebih clear.

Arggh sudahlah Cik GPS, baik jalan sendiri. Ikut jalan ke Seremban Highway dan cari jalan ke lumba kuda. Cik GPS membebel sorang-sorang suruh patah balik.  Kubiarkan saja.  Sampai je The Mines tiba-tiba Cik GPS macam memberi arahan yang betul . Siapa pulak yang pandu siapa ni.. hahaha.  Tapi dia bawa ikut nama jalan tu je. Memandangkan masa mula-mula tadi kan dia tak dapat search Iman Shoppe dekat GPS jadinya terpaksa juga guna Google Maps di phone. Telefon ni dah nazak sikit, kalau buka data je, bila pakai dalam 10 minit kadang-kadang boleh off sendiri, kadang ok pula.

 
Saya sampai tepat 10.30 pagi. Banyak tempat parkir kosong.lagi.

Akhirnya, dengan Maps dan berbekalkan naluri hati dan ketajaman akal hehe kononlah, sampai juga. Masuk sahaja dalam tu, wah, ni bukan kedai buku biasa-biasa ya. Suasana macam di rumah sendiri. Eh tipu, rumah saya tak de cantik macam ni. Sebab buka kasut tu macam dekat rumahlah, kan. Dekorasi menarik. Ada rak kasut di dalam tu tapi ramainya letak di luar sahaja.  Sangat sesuai untuk lepak-lepak pilih buku sambil dengar  lagu-lagu nasyid/kemanusiaan yang dipasang.  Saya suka suasana di sini. Yang sedihnya, walaupun dah beli banyak buku di Pesta Buku, terbeli juga buku di sini. Huhuhu. Rabak.  
Pintu utama pun dah nampak berbeza, macam kedai style lama-lama dalam cerita Inggeris tu. Papan hitam di depan tu tulis boleh bayar guna debit card. Sekarang banyak restoran pun ada papan hitam macam ni untuk tulis menu, kan.
Kalau kedai buku biasa, banyak rak buku tetapi di sini lebih ruang untuk lepak. Ada senarai top 10 buku yang laku di Iman Shoope. Sesetengah orang dia terpengaruh juga bile tengok carta ni dan pilih buku popular.
Ada tulisan Iqra besar di situ. Sesuai.
Biasanya kedai buku, buku disusun dengan cara nampak 'tulang' buku tu jadi kita akan baca tajuknya dan baru  ambil daripada rak, bila dipamer sebegini kita akan nampak keseluruhan buku tu. Lebih puas hati.
Misi dan visi Iman Shoppe
Buku-buku yang dijual bukan hanya daripada Iman Publication tetapi daripada pelbagai penerbit juga.


Alamat:

8G, Jalan Dagang SB 4/2
Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor.

Masa operasi
Selasa-Ahad
10.30 pagi-6.30petang
Isnin Tutup
(berkuatkuasa 9 Mei)

Bagi yang nak naik komuter boleh juga cuma saya rasa jauh juga berjalan tu. Sebab kena seberang jejantas, turun tangga jejantas, lepas tu kena jalan lagi hingga ke hujung jalan. Kedainya barisan pertama, tapi agak jauh ke belakang.  Tapi kalau nak elak jam dan tak tahu jalan, naik komuter cara terbaik.

Terletak berhadapan jalan utama. Jika mengikut gambar ni, kalau sesiapa yang nak naik komuter tu, ha tak nampak kat sini hehe.  Di luar gambar.

Bagi yang naik kereta, tak perlu naik jejambat  sampai The Mines tu, kalau The Mines tu belah kiri, memang jalan terus sahaja. Err boleh jalan terus atau tidak saya pun tak pasti sebab saya dah naik The Mines tu dan kena u-turn. Nampak kawasan lot kedai, masuk simpang kiri dan terus. Kedainya agak-agak hujung la juga.  Jalan utama tadi akan menghala ke UPM.



Wednesday, May 17, 2017

Dari mata turun ke hati- Kriteria Pemilihan Buku

Masih berkenaan dengan pesta buku walaupun dah habis. Maklumlah Pesta Buku seakan Hari Raya bagi pencinta buku, tak gitu?

Apakah kriteria utama anda dalam memilih buku yang dibeli? Dah namanya pesta, mestilah kita berpesta-pesta bagai nak rak memilih kan. Kalau saya, memang dah ada senarai buku yang hendak dibeli. Senarai terhasil daripada membaca review orang ramai, follow penulis buku dan iklan yang di share di media sosial. Namun begitu tak semestinya beli sebab bila dah tengok isi kandungannya macam tak menarik je jadi ketepikan.

Ini je yang di dalam bajet

Antara sebab-sebab saya beli buku ni:

1)Tulis! Jangan Takut Takut, Zamri Mohamad, Legacy Publishing

Cover menarik. Simple sahaja dengan tajuk yang besar dan ada pulak pensil yang dijadikan chopstick untuk mengangkat kertas yang digumpal. Isi kandungan juga menarik. Saiz buku yang mudah dimasukkan dalam beg tangan. Maknanya kecik dan tak tebal sangat.

Walaupun orang kata, don’t judge a book by its cover tetapi saya tetap melihat cover sebagai tarikan untuk mengambil daripada rak dan menyelak bukunya. Lagipun,  masa Pesta Buku banyak buku lain yang hendak ditengok, cara paling mudah hendak memilih pastinya tengok cover sahaja. Oleh itu jangan buat cover yang serabut. Less is more.

2)Arkitek Jalanan, Teme Abdullah, Iman Publication

Buku pertama, Pelukis Jalanan dah baca jadi hendak tahu juga cerita seterusnya. Lagipun sentiasa follow penulis/pelukis ni. Jadi memang dah tahu kewujudan buku ini.

3)Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Za’ba, Dewan Bahasa dan Pustaka

Dalam FB haritu macam ada terbaca kontroversi buku ni. Himpunan tulisan Za’ba yang tidak pernah diterbitkan pada ketika beliau masih hidup. Ia hanya diterbitkan dalam tahun 1982 setelah himpunan tulisan beliau ini dijumpai oleh warisnya dan diserahkan kepada DBP. Boleh google untuk mengetahui apa kontroversinya.

4)Dudel Tarbiah, Iffah Nizar, Iman Publication

Tajuk menarik. Ia bukanlah berbentuk karangan, doodle -lakaran-lakaran yang memudahkan kita untuk lebih memahami sesuatu topik yang berat.

5)Hidup yang Aku Pilih, Muharikah, Iman Publication

Saya memang follow doktor ni di channel telegram tapi sebab pilih buku ni bila tengok cover belakangnya yang menceritakan keseluruhan tentang buku ini iaitu dari kita lahir hingga kita mati. Apa yang kita nak dalam hidup kita. Back cover juga main peranan besar ya. Jadi, penerbit sila ambil berat juga.

6)Perang Melawan Mitos,#MedTweetMy,White Coat Enterprise

Memang follow doktor-doktor ni.  Ini merupakan buku sulung mereka jadi, saya beli walaupun isi-isinya sudah dibincangkan sebelum ini. Mitos-mitos ditangkis dengan fakta. Dalam full colour tapi harga tak mahal. Tak rugi beli.

7)Projek Hafal Hadis,Mohd Solehah Ab. Razak,Telaga Biru

Tajuk menarik.  Macam ‘berat’ je nak menghafal hadis tapi bila ada perkataan projek tu bunyinya macam senang je hahaha. Saya memang suka benda-benda yang memberi tip ni. Tebal juga tapi sebab beli di pesta buku ada promosi jadi tak mahal mana. Semoga berjaya menghabiskan buku ini dan dapat menghafalnya. InsyaAllah.

8)Belajar Sendiri Faham Quran Kaedah Hafal Kata,Nadiyah Elias PhD

Seronoknya di pesta buku, ada je yang dapat percuma seperti risalah ini. Dapat daripada booth Legacy tetapi bukan terbitan mereka. Ringkas dan menarik isi dalamnya. Rupa-rupanya dia ada buku juga, risalah ini hanyalah sebahagian bab. Boleh tengok di FB Faham Quran @hafalkata.

9)Resipi Homemade, Rak Tanpa Ketuhar, Karangkraf

Buku resipi ini sebenarnya tiada dalam senarai tapi bila diberi peluang untuk belek satu demi satu muka suratnya, memang menarik sebab ada langkah demi langkah. Walaupun semua resipi ini boleh digoogle atau tengok blog, tetapi pastinya buku lebih menarik untuk dipegang dan ditengok sentiasa. Terapi juga tu, tak gitu?

Kebiasaannya, buku akan dibaca satu demi satu ikut urutan. Memandangkan semua buku yang saya beli ni menarik, tak boleh baca satu-satu, kena baca sekaligus. Caranya, satu bab secara istiqamah untuk semua buku setiap minggu. Alah macam kita tengok tv cerita episod yang panjang-panjang tu, kan. Satu hari sahaja pun dah macam-macam cerita. Jadinya kita buatlah begitu. Azamlah ni, silap-silap sampai Pesta Buku tahun depan pun belum habis lagi baca. Fuh … inilah cabaran selepas Pesta Buku berakhir.

Wednesday, May 3, 2017

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017

Dah lama juga tak pergi Pesta Buku. Masa di KL dulu kadang-kadang pergi dua kali, permulaan dan pengakhiran. Tapi bila dah pindah ni macam sakit hati je  duit tambang pun boleh beli  4 atau 5 buku hehe. Lagipun kalau dah sampai sana, mesti gila sikitlah nak membeli. Bertambah-tambah bajet tu. Kali ni ada sebab yang kuat untuk pergi.

Pasti ada yang sudah menyenaraikan buku yang hendak dicari. Jangan lupa selit #CeritaGagal ni dalam senarai ya. 19 cerita, 19 penulis. Bagaimana kami gagal dan kami bangkit. Kisah kehidupan seharian. Ujian itu daripada Allah. Bagaimana kita memandang sesuatu itu. Adakah sebagai penamat atau pemula? RM25 di Iman Publication. Booth Hijrah Indie, Tingkat 4 Dewan Tun Razak.







Wednesday, April 26, 2017

Sarip Dol versi kucing.

Pasti ramai yang mengenali watak Sarip Dol di dalam filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Watak ketua samseng Kampung Dusun. Ha, ni dia Sarip Dol, samseng di kampung ni.

Cak sikit.

 Mengikut pemerhatian sepanjang berpuluh tahun bela kucing ni, satu-satu masa tu akan ada seekor kucing jantan yang memang gangster la dalam kawasan tu.  Kucing jantan yang lain tak boleh masuk ke kawasan dia. Tak pasal-pasal kena buru nanti. Kalau dia masuk ke kawasan kucing jantan yang lain juga mereka akan beradu kekuatan. Siapa yang menang dia akan survive dan kawasan jajahannya akan lebih besar. Biasanya kucing jantan yang muka-muka ‘jambu’ dan muda-muda ni la yang jadi mangsa kena pukul. Kesian.
Cak banyak
Sarip Dol versi kucing ni,  nama sebenarnya Tiger sebab dari kecil memang warna macam harimau. Corak bulunya pun special. Kucing mak cik saya. Tapi dek kerana jenis garang suka mencakar, saya suruh tuannya tukarkan namanya. Manalah tau, kan, sebab namanya Tiger dia jadi ganas macam harimau. Haha.  Tapi sebab masih ganas lagi, akhirnya saya panggil Tan Tiger. Kat sini gambar Tan Tiger masa kecik.

Ada berani nak lawan saya?
Sebenarnya sebelum ni ‘abangnya’ ketua samseng di kawasan kampung ni tapi sejak dah hilang dan dia pun dah besar, Tan Tiger ni pula ambil alih. Kawasan jajahannya jauh juga lebih kurang 1km lebih dari kawasan rumahnya. Macam mana saya tahu? Jiran yang datang rumah nampak kucing tu, “Lor kucing Kak Gayah ke. Habis gaduh dengan kucing kat rumah tu.” Takpun, “Hai si pusar ni (siap tukar nama tu hehe), jahat betul”.  

Tenungan makrifat
Ha, terbabit sekali tuannya. Hihi. Macam mana pulak nak dilarang kucing tu, kan. Kawasan kampung, memang kucing tu bebas bergerak. Siapa yang kuat, dia akan survive. Kalau musim mengawan, memang tak nampak batang hidung. Tak balik rumah. Mencari aweks. Dua tiga hari kemudian baru balik. Kalau lepas ni dia pulak hilang, akan ada kucing lain yang akan menjadi ketua di kawasan itu. Belum nampak lagi siapa yang berpotensi itu.
Mangsa.  Baru datang. Namanya Si Pucat. Udah macam-macam kucing yang datang dan pergi. Dah tak tahu nak bagi nama apa. Gelaran Si Pucat sebab berwarna pucat. Berguling-guling sampai masuk longkang dipukul si Tan Tiger. Sentiasa kalah. Kena la orang menyelamatkan.

Monday, April 24, 2017

Budak Kripton

Alaf 21/Karangkraf, Telaga Biru, Utusan Publication, Berita Publishing, Dewan Bahasa Pustaka antara nama-nama besar yang memang dikenali bagi pencinta buku. Tapi sekarang ni rasanya macam banyak sangat penerbit-penerbit baru yang muncul. Contohnya macam buku ni daripada Legacy Publishing. Walaupun ada sesetengah majalah yang sudah dihentikan penerbitan sejak ada GST tapi banyak pula la kemunculan penerbit-penerbit baru ni. Itu belum masuk lagi ramai pula yang berkerjaya dalam bidang perubatan, engineering, dan kerjaya lain yang banyak pengikut di FB dan Twitter pun turut menulis buku. Yang memang penulis tak tau pulak nak tulis apa hehehe. Apa-apa pun baguslah bila ramai yang mula membaca buku. Bermakna buku fizikal masih diperlukan dalam industri walaupun dah banyak penawaran e-book. 



Tajuk: Budak Kripton
Penulis: Ammar Kamilin
Penerbit: Legacy Publishing PLT
ISBN: 978-967-0893-22-8
Harga: RM24.00                Cetakan pertama 2016
M/S: 146 halaman

Sinopsis:
Seronok melayan cerita anak-anak. Tanyalah sesiapa pun, soalan paling susah dalam dunia mesti soalan budak-budak. Mak ayah nak jawab pun boleh mendidih otak.

Tidak mengapa. Bapa yang jadi rujukan lebih 5,000 orang ibu bapa ini boleh membantu. Sebab beliau pun ada Budak Kripton di rumah.

Komen:
Tajuk Kripton tu memang menarik perhatian. Kenapa pula dipanggil sebegitu?  Ha kena baca sendiri ya. Biar ada kejutan sedikit. Buku ni sesuai untuk ibu bapa nak jadikan panduan macam mana nak jawab soalan anak-anak yang kadangkala boleh memeningkan kepala. Penulis, seorang yang mempunyai kelulusan Master Psikologi Pendidikan  UPM.  Beliau menceritakan pengalaman bersama anak-anak dan bagaimana cara mengatasi pertanyaan anak-anak tersebut. Ditulis secara santai, dan dalam buku ni ada warna-warni sikit jadi seronok membacanya. Dalam 3 jam je habis  itupun sebab tunggu giliran masa di hospital. Kalau tak, entah berapa lamalah nak habis. Saiznya pun kecil dan nipis jadi muat dalam handbag.

Antara soalan menarik,

Anaknya yang bernama Iman bertanya kenapa aurat perempuan lebih banyak daripada lelaki setelah melihat wanita Jepun yang memakai jubah sewaktu melawat masjid.

Penulis menjawab,
“Orang perempuan ni sangat berharga Iman. Tinggi nilainya. Cuba Iman tengok barang-barang mahal di kedai semua berbungkus, kan? Ada dalam kotak, ada dalam bungkus hadiah, diikat cantik-cantik. Sebab apa? Sebab nak jaga barang tu. Bila orang nak tengok, baru orang kedai bukakan bungkusan.” (Idea jawapan memang diceduk dari kisah-kisah pernah baca sebelum ini, abah tenang je jawab)
“Ooh, samalah macam lego Iman, Lego kan mahal, sebab itu dia masuk dalam kotak kan abah?”
“Haa, macam tulah lebih kurang.” ‘Macammana boleh tersasar ke lego pulak ni, takpelah janji sel-sel  otak mula berhubung’.
“Tapi abah, maknanya orang lelaki ni tak berharga lah eh?”
(Abah dah pengsan kat sebelah, berbuih mulut.)

*********************************


Sunday, April 23, 2017

Resipi Sambal Tempoyak Kacau

Kalau slang orang Kuala Kangsar, sambe tempoyak kaco. Hehe. Peminat sambe tempoyak ni, jangan pula jiwanya jadi kaco sebab tak dapat makan. Meh buat.

Bahan-bahan:

Cabai masak ikut tahap kepedasan yang diinginkan. Taruh cili api sikit biar pedas lagi.
Serai dalam tiga batang hiris halus.
Kedua-dua bahan ni ditumbuk. Setelah itu masukkan dalam periuk. Masukkan air sikit dalam lesung batu tu. Ambil air batu tu. Orang tua-tua kata bagi sedap. Entahlah tapi sebenarnya tak nak membazir baki-baki cabai yang ditumbuk tu.

Masuk ikan bilis, tempoyak ikut suka banyak mana. Kalau tempoyak tu masam taruhla gula sikit. Masuk air agak-agak macam sebati semua. Taruh garam sikit. Daun kunyit carik-carik. Ok setelah selesai bahan-bahan tersebut, masak atas dapur hingga jadi likat.

Dah likat tutup api. Bolehlah mencari segala ulam-ulam untuk cicah sambal ni.



Saya sebenarnya tak makan tempoyak mentah. Kalau jenis masak gini baru makan.

Friday, April 14, 2017

Apa itu jerayawara?

Saya terima surat dari agensi kerajaan dan tajuknya berbunyi sesi jerayawara 2017. Wah wah wah apakebenda la pulak tu. Surat bahasa Melayu pun tak faham dibuatnya. Walaupun bila dah baca isi tu agak-agak faham tapi ada satu tanda soal yang besar di kepala. Nasib zaman google je. Tanpa mencari Kamus Dewan jawapan yang diterima, dalam bahasa Inggeris roadshow. Ha lagi faham bahasa Inggeris sebab perkataan tu lagi banyak digunakan.

Kalau tak silap saya juga, kalau orang buat roadshow, perkataan 'jelajah' lebih banyak digunakan. Contoh siri jelajah bla bla bla. Jerayawara ini memang itu pertama kali saya membacanya. Dahlah tergeliat lidah nak menyebutnya. Oleh kerana ada persoalan lain yang bermain di minda, agensi yang layak ditanya sudah pasti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Soalan saya setelah diringkaskan: Adakah penggunaan jelajah tidak tepat untuk menggambarkan roadshow?

Jawapannya di bawah.

Mula-mula kita buka website ni dan ikut langkah-langkah berikut.
Pilih e-perkhidmatan

Pilih khimat nasihat bahasa 

Akan keluar paparan ini dan ada log masuk di situ. Oleh kerana saya memang dah daftar lama, jadi saya log in sahaja dan kemukakan soalan


Jawapan diterima dalam masa dua hari. Boleh telefon juga, tetapi emel lagi jelas penerangannya. Lagipun kita boleh tengok rekod soalan yang pernah ditanya sebelum ini. 

Jawapan daripada DBP: Perkataan jerayawara bermaksud persembahan, pameran, ceramah dan sebagainya diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang berkunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dan sebagainya. Perakataan jerayawara lebih mengkhusus maksudnya berbanding perkataan jelajah yang bermaksud pergi berjalan ke merata-rata tempat (untuk menyelidik dan lain-lain)

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Kita cuba.