Friday, December 29, 2017

Merasa Kemeriahan Subuh Di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 2)

1 Disember, Maulidur Rasul. Jika di Malaysia, pastinya selawat dan lagu Rasulullah nyanyian Hijaz sudah berkumandang di radio.

                                    Rasulullah dalam mengenangmu
                                    Kami susuli lembaran sirahmu
                                    Pahit getir pengorbananmu
                                    Membawa cahaya kebenaran

                                    Engkau taburkan pengorbananmu
                                    Untuk umatmu yang tercinta
                                    Biar terpaksa tempuh derita
                                    Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Awal pagi
Namun di Madinah ini saya hanya mendengar selawat dari bilik hotel. Saya tidak pasti adakah inisiatif pengunjung hotel atau hotel itu sendiri. Malas pula nak tengok sebab nak tidur awal.

Merasa berjemaah subuh di Masjid Nabawi. Hari Jumaat pula tu, penghulu segala hari. 2.30 pagi lagi dah bangun. Tak jadi masalah sebab di Malaysia pukul 7.30 pagi. Pukul 3 pagi meriah di jalan. Ramai yang lain dari hotel berdekatan juga sudah mula bergerak ke masjid. Pintu 25 itulah pintu keluar masuk kami. Malah kalau ditenang-tenang, memang boleh nampak terus ke hotel. Datang awal-awal ni bolehlah pilih tempat mana yang nak duduk.

Rutin setiap hari datang ke masjid, minum segelas air zam-zam yang diletakkan di laluan masuk masjid sambil berdoa supaya diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di sini.  Di samping itu isi air zam-zam dalam botol untuk bekal bawa balik. Masa nak balik pun minum segelas lagi.

Ketika azan yang pertama (di sana azannya dua kali, sela waktu lebih kurang satu jam)semakin ramai yang mula memenuhi saf. Penjaga masjid (berpurdah hitam seluruhnya) mula meletakkan tape kuning di ruang-ruang solat yang berpermaidani dan orang ramai akan duduk di bahagian simen. Biasanya kalau dah letak tape kuning tu maksudnya ruang carpet tu dah penuh. Tapi sesiapa yang bentang sejadah di laluan berlapik getah tu siaplah kena halau dengan penjaga ni. Mana taknya, dah memang laluan orang nak jalan. “Ibu ke sini ibu”, “Hajjah! Hajjah! Sini ada kosong.” Begitulah tugas penjaga masjid atau pencuci masjid yang akan memanggil jemaah untuk memenuhi saf. Ramai juga pekerjanya orang Indonesia.  Seronok tengok gelagat orang ramai. Pagi tu, tiba-tiba rasa sejuk, “kuatnya aircond”. Tiba-tiba tengok orang keliling dongak ke atas. “La bila masa pula open air ni?” Rupanya bumbungnya terbuka tempat yang saya duduk tu. Tak sempat tengok dia buka dari awal, tengok-tengok dah ternganga. “Original aircond patutlah sejuk”. Masa tu je yang dapat merasa bumbungnya terbuka.  Hari lain tak dapat pun.

Selepas solat, biasanya ada solat jenazah. Saya tanya rakan sebilik, macam mana tahu? Dia kata memang begitulah kebiasaannya, setiap kali selepas solat memang ada solat jenazah. Selepas beberapa kali baru saya dapat ‘tangkap’ tanda-tandanya, imam akan menyebut ‘solat’ dan ‘mauta’. Sepanjang berada di Madinah dan Mekah  memang setiap waktu ada solat jenazah kecuali ada satu waktu je memang tak ada masa tu. Ambillah kesempatan untuk lakukan solat jenazah, pahalanya bersamaan sebesar bukit Uhud.



Kalau balik solat sahaja, fuh, menderu-deru orang keluar. Lebih baiklah duduk sebentar mengaji  atau baca al matsurat dulu. Hotel sediakan breakfast selepas solat subuh, lunch selepas solat zohor dan dinner selepas solat isyak. Kalau balik hotel pun susahnya sebab nak tunggu lif. Lifnya kecil sahaja, pengunjungnya ramai. Kalau masuk dek orang Turki, mau penuh dah. Alternatif – naik tangga- tapi tingkat 9. Oleh itu alternatif lagi, sebelum balik hotel singgah dulu kedai –kedai yang ada dalam perjalanan balik. Hehe. Tak pernah dibuat subuh-subuh sepii membeli-belah. Memang banyak je kedai buka lepas solat subuh. Taklah beli banyak pun sebab bukan kaki shopping, jadi penasihat pada orang je.
 
Selain kurma, tengok gelang, cincin, minyak atar.
Zoom daripada bilik hotel. Kredit: Adam Ahmad Saifudin

Ruang bawah tu penuh kedai-kedai Kredit: Ahmad Saifuddin
Tepi-tepi hotel ni pun ada kedai-kedai. Kiranya tak susah la kalau nak membeli barang keperluan .

No comments: