Sunday, January 14, 2018

Raudhah di Masjid Nabawi –Umrah 30 Nov – 10 Disember 2017 (Bahagian 5)

Kawasan Raudhah tidak luas. Ia adalah bahagian di antara mimbar dan makam Nabi SAW.  Raudhah tempat mustajab berdoa dan ia taman syurga. Seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Antara mimbarku dan rumahku adalah taman dari taman-taman syurga (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dataran Masjid Nabawi. Tiang-tiang berpayung ini biasa dijadikan tempat untuk mengambil gambar. Seminggu sebelum nak pergi, tersiar berita larangan mengambil gambar di Masjid Nabawi dan Kaabah. Namun ramai je yang tangkap gambar, saya sahaja yang tak berani tangkap haha lagipun malas nak bawa telefon ke masjid.  Minimakan barang-barang yang perlu dibawa supaya tak hilang. Tu pasal gambar saya tak banyak. Biarlah kenangan itu hanya menjadi memori sendiri.
Kerja-kerja pembinaan untuk meluaskan lagi masjid masih dijalankan.

Topik hangat di Masjid Nabawi. Hari kedua, “Dah masuk Raudhah?”

“Dah lepas Subuh.”

“Eh, tadi orang kata tutup sebab nak bersiap untuk untuk solat jumaat.”

“Tunggu lepas solat jumaat nanti,” kata jemaah  yang lain pula.

“Malam nanti lepas isyak,” kata jemaah Indonesia.

“Oh … kami tiada di sini malam nanti, ada urusan Hari Keluarga,” saya menjawab.

“Cuba cari mutawif Indonesia, derang kata mutawif tu akan jaga kita,” kata seorang jemaah Malaysia yang kami temui.

Selepas zohor, mencari laluan untuk masuk. Di satu sudut, kelihatan orang keluar  dari satu arah. “Raudhah di sini?”

“Iya, tapi makamnya tidak dibuka,bu,” sambil berlalu pergi. Aik tak sempat la nak bertanya banyak lagi. Lihat orang pergi jalan ke pintu keluar, takkanlah kami nak masuk berlawanan arah. Akhirnya kami balik ke hotel.

Hari ketiga, ada ziarah dalam. Pukul 8 dikehendaki berkumpul di hotel. Mutawif membawa kami ziarah sekitar Masjid Nabawi dan memberitahu untuk perempuan Raudhah masuk di pintu nombor 25. Tetapi terdapat had masa iaitu 7-10 pagi, 1-3 petang dan 9.30-11 malam yakni lepas subuh, zohor dan isyak.

 Habis ziarah dalam, kami membeli roti untuk mengisi perut sementara nak pergi Raudhah lepas solat zohor nanti. Habis solat salah seorang terasa nak pergi tandas pula. “Baik pergi sekarang sebelum masuk Raudhah”.
Tandas dan tempat wuduk ni terletak dekat pintu 25. Memandangkan dekat dengan laluan kami masuk atau keluar jadinya mudah juga nak ke toilet kalau batal wuduk.

Balik dari tandas, sambil tu sembang-sembang dengan yang lain pasal Raudhah.

“Semalam dekat sinilah saya tunggu, ha pintu no 25 ni,” kata jemaah Singapura.
Kami pergi ke arah orang berkumpul ramai di hadapan pintu kayu sambil bertanya seseorang yang kelihatan seperti orang Malaysia.

“Sinikah tunggunya?”

“Agaknya, saya pun ikut orang ramai ni,” katanya.

Di pintu kayu tersebut ada ditulis dengan kain kanvas, dalam bahasa Arab tapi saya dapat tangkap sikit-sikit perkataan - masuk-Raudah-syuruk-zohor-isyak. 

“Tak de pun tulis masa pukul berapa? Hanya waktu solat sahaja. Kenapa pulak ada dua tiga orang yang beritahu kami masanya? Hmmm ..."


Memandangkan ramai orang mengunjungi Madinah, setiap travel agency akan 'memberi' satu tanda pengenalan yang seragam kepada kumpulan tersebut. Gambar di atas, tudung segi tiga yang berwarna oren. Macam kami hanya pakai tag nama. Ada kumpulan yang ada sekuntum bunga (korsaj) di atas kepala (telekung) dan ada yang memakai selendang segi tiga macam pengakap tu dan ditulis nama travel agency.
Kami sabar menunggu. Teringat pula dari bacaan di blog, akan dikumpulkan orang-orang dari Asia Tenggara.

 “Eh takdepun nampak tanda.”

 Tiba-tiba kumpulan hadapan kami berlari-larian satu arah. Apalagi kami pun mengikut. Terhenti di sekatan pintu. Saya mencari lokasi yang boleh menyandar pada dinding supaya mudah menyusup. Strategi berjaya, hampir 30 minit tiada apa perubahan. Seakan menunggu pintu pasar raya dibuka. Sabar menanti. Semakin lama menunggu, orang yang berada di hadapan kami keluar, tak tahan menunggu. 
Yang ni dari Indonesia, pakai mafla. Malaysia pun ada yang pakai gini, rasa macam nak pi tengok bola juga. Hehe. Ada yang pakai seakan baju top dan belakang ada tulis nama travel agency. Yang pasti, kalau Asia Tenggara tu dikenali dengan pemakaian telekungnya. 
Yang ni selendang biru berjalur putih kalau tak silap Turki. India, Pakistan atau Bangladesh tiada uniform, biasanya punjabi suit sahaja. Jadi mereka ni lah yang memeriahkan warna-warni masjid. Algeria biasanya putih sahaja.

Kami mengambil tempat mereka dan akhirnya berada depan pintu kayu. Yeay berjaya mengambil tempat di hadapan. Mengintai di celah lubang ukiran kayu, macam tiada apa-apa. Kosong je. Ada dua tiga orang jemaah lelaki duduk baca Quran. Kami duduk bersila, maklumlah dari tadi berdiri menunggu giliran. Pandang sekeliling.

“Eh, apasal semua keliling kita ni, orang Turki, Algeria, Bangladesh, Pakistan dan India.?” Seorang pun tiada Asia Tenggara, hanya kami sahaja yang bertelekung. “Hahaha!” Saling berpandangan sesama sendiri. “Raudhah?” salah seorang macam dari India atau Pakistan bertanya. Udah tanya orang yang tak tahu juga, akhirnya kami beralih dari situ. Waktu asar dah dekat, kami  cari tempat.

Balik asar, singgah kedai beli nasi sebab di hotel confirm habis sebab dah waktu asar. Kena makan nasi juga sebab tadi hanya lunch roti. Malam ni cubaan nak pergi  Raudhah lagi, cari tenaga. Di lobi hotel, jumpa geng yang lain tanya dapat masuk tak.

“Dapat, zohor tadi.”

“Ehh hairan bin ajaib, kami pun pergi tadi lepas zohor. Pintu 25, betullah tu. Tak boleh jadi ni, malam ni kena cuba juga sebab esok nak ziarah luar, tak ada masa. Lusa nak ke Mekah.”

Nombor pintu tercatat di luar masjid dan juga di dalamnya. Kalau nak berjanji dengan orang lain kena beritahu nombor pintu sebab keadaan di luar ni sebenarnya sama sahaja. 
Naik ke bilik, lunch yang dah nak jadi makan petang/ hi tea la pulak. Siap-siap nak solat Maghrib.
Habis solat maghrib, pergi ke toilet ada seseorang ni duk senyum-senyum kat kami.

“Seperti pernah kulihat wajah ini. Tapi di mana ya …?” Jenuh mengingatkan. “Ohh … senasib semasa melangut depan pintu nunggu Raudhah tadi. Haha.”  Just ucap salam dan masing-masing perkenalkan diri dari negara mana.

“India.”

“Malaysia!”


Begitulah cubaan-cubaan untuk masuk ke Raudhah yang belum kesampaian. Ok kita sambung kemudian pula sama ada dapat masuk atau tak.

No comments: