Wednesday, February 14, 2018

Mengimbau Perjanjian Hudaibiyah – Umrah 30 Nov – 10 Dis (Bahagian 11)


Hari ketiga di Mekah, ke ladang unta. Jamal(un) kalau bahasa Arabnya.  Tapi sebenarnya banyak juga istilah unta yang lain cuma kalau belajar bahasa Arab peringkat tadika ni, jamalun la. Nabi sendiri ada unta yang disayangi, namanya al-Qaswa.

Ladang Unta

Teringat dalam Al-Kulliyah sebelum ini, Ustaz Wadi Annuar (semoga beliau diberikan kesihatan. Kemalangan kenderaan di Perak  awal 2018) bercerita dengan baik kisah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah. Sampai saya minat mencari sejarahnya sebab masa tu bahagian satu dan tak sabar nak tunggu siaran minggu depannya untuk nak tahu kisah akhirnya.

Perjanjian terjadi setelah 6 tahun Rasullullah berhijrah ke Madinah. Orang Muhajirin ni memang suka melakukan tawaf dan terkenang tanah air mereka dan Kaabah. 

Bayangkan dari Madinah kita nak ke Mekah naik bas pun dekat 5 atau 6 jam.  Bandingkan zaman Rasulullah, bersusah payah datang hendak beribadat dengan hanya berkenderaan unta. Muhasabah ya. Bersyukur dengan apa yang diperoleh.

Sebelum Perjanjian Hudaibiyah ini termeterai, Baginda memberitahu sahabat tentang cadangannya untuk menunaikan umrah, lalu bersiap-siaplah mereka berangkat. Baginda menunggang untanya yang bernama al-Qaswa. Baginda membawa isterinya Ummu Salamah bersama seribu empat ratus orang yang lain. Baginda tidak membawa kelengkapan senjata kecuali senjata yang biasa dibawa oleh orang musafir sahaja iaitu pedang-pedang yang dimasukkan ke dalam sarungnya. Bergeraklah baginda menunju ke Mekah. Apabila sampai di Dhul Hulayfah baginda memasang gelang dan penanda pada binatang-binatang korban seraya berihram untuk umrah. Tujuannya ialah supaya manusia tidak memeranginya.

Apabila orang Quraish mendengar berita keluarnya Nabi SAW mereka pun bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menghalang orang-orang Islam daripada sampai ke Baitullah dengan apa cara sekalipun.

Rasullullah SAW memilih jalan yang agak sukar di antara lorong-lorong di bukit. Apabila sampai di Thaniyyah al-Mirar, untanya tiba-tiba menderum tidak mahu berjalan. Unta itu tetap enggan bergerak walaupun mereka menyuruhnya berjalan. Mereka pun berkata, “Al-Qaswa engan berjalan, al-Qaswa engan berjalan. Nabi SAW bersabda, “Bukannya al-Qaswa sengaja enggan berjalan, itu bukan perangainya, tetapi ia tertahan sebagaimana tertahannya gajah yang menyerang Ka’bah. Kemudian baginda berkata, “Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, kalau mereka meminta kepadaku satu rancangan demi untuk membesarkan Tanah Haram ini nescaya aku sanggup menunaikannya”. Kemudian baginda mengerah al-Qaswa sehingga ia bangun. Kemudian baginda menukar arah perjalanan sehingga sampai di hujung al-Hudaybiyyah dekat sebuat genangan air yang sedikit.  (Sumber:Sirah Nabawiyyah, YADIM, 2011, hlm 499)

Orang Quraish menghantar utusan-utusan untuk menghalang Nabi daripada masuk ke Mekah bersama rombongannya. Walaupun Nabi mengatakan mereka datang untuk mengerjakan umrah tetapi orang Quraish tetap tidak benarkan. Orang-orang Quraisy takut akan pengaruh Rasulullah. Mereka khuatir penduduk Mekah akan bergabung dengan Nabi SAW. 

Berlaku peristiwa mencemaskan apabila Nabi SAW menghantar Saidina Uthman bin Affan untuk berunding dengan Quraish namun tidak kembali semula dalam tempoh yang lama.
Akhirnya,  utusan Quraisy bernama Suhail bin Aimer datang  menyampaikan perdamaian dengan mengatakan pada tahun ini Baginda tidak boleh melakukan umrah. Umrah hanya boleh dilakukan pada tahun depan.

Butir-butir perjanjian yang dimeterai:

1.  Tahun ini Muhammad tidak diperkenankan masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan orang-orang Islam boleh masuk ke Mekah dan menetap di situ selama tiga hari. Tidak boleh membawa senjata.

2. Kalau ada orang Mekah datang ke Madinah, Muhammad akan bertanggungjawab segera mengembalikan ke Mekah.  Tetapi kalau ada orang Madinah datang ke Mekah, kaum Quraisy tidak mempunyai kewajipan mengembalikan ke Madinah.

3. Kedua belah pihak memberi kebebasan kepada kabilah-kabilah Arab, memilih pihak mana mereka mau bersahabat dan meminta perlindungan. Kalau terjadi perselisihan atau peperangan di antara suku-suku Arab itu sesama mereka, pihak Quraisy dan pihak Muhammad sama-sama tidak boleh membela kabilah yang melindungkan diri kepada mereka. Hanya boleh mendamaikan.

4. Gencatan senjata selama 10 tahun di antara kedua-dua belah pihak.

Para Sahabat merasa tidak puas hati dengan perjanjian ini  kerana berpendapat seakan-akan kaum Muslimin yang rugi. Namun Rasullullah menjawab,”Aku utusan Allah, Dia tidak mengecewakan daku.” Dan memang benar. Allah tidak pernah mengecewakan umat-Nya.
(Sumber: Hamka berkisah tentang Nabi Muhammad SAW, Pustaka Melayu Baru 1982)


Mengikut mutawif di tempat yang berbatu inilah perjanjian diadakan. Susah juga bila di semua tempat lawatan tu diberi masa hanya 30 minit. Dahlah nak solat sunat kat sini pun sentiasa penuh dengan orang ramai, mana nak tengok tempat lain lagi jadinya tangkap gambar aje. Lagi satu kebanyakan tempat sejarah di sini tiada papan tanda yang jelas menceritakan tentang sejarah. Maksudnya bergantung apa yang diceritakan oleh mutawif. Malah daripada apa yang diberitahu, kebanyakan tempat sejarah ‘dijaga’ oleh orang luar dan bukannya kerajaan Arab Saudi sendiri. Ini kerana kerajaan bimbang akan adanya pengunjung-pengunjung yang melakukan perkara bidaah di tempat-tempat sejarah tersebut.


Bagi yang belum bertukar ihram, masa nilah pun nak tukar dan buat solat sunat ihram. Masjid Hudaibiyah

Bukan sahaja jemaah Malaysia yang turut berhenti di sini, ada 3 hingga 4  buah bas lagi yang datang. 
Setiap tempat yang dikunjungi ramai. Ada jemaah yang kata, masa dia pergi haji tahun 80an pun keadaannya macam nilah, bersesak-sesak menunggu giliran nak masuk solat. Nampaknya tidaklah kerajaan ni nak besarkan tempat agar lebih selesa. 

Ohh… sepanjang di Mekah dan Madinah juga saya perasan tiada cermin di masjid. Ha perasan tak? Akhirnya pakai telefon untuk membetulkan tudung /telekung. Terpegun tengok seorang Arab ni betulkan pashmina tanpa tengok cermin pun, elok terletak tudungnya. Pantas pulak tu pakainya. Kalau sayalah, bayang-bayang dari anak mata orang pun jadilah, sebab nak bagi tudung nampak elok terletak. Hehe.


No comments: