Sunday, March 11, 2018

Ibrah umrah –Umrah 30 Nov -10 Dis (Bahagian 12)


Masa untuk melakukan umrah tidak lama, beberapa jam sahaja. Ketika balik daripada Hudaibiyah iaitu tempat miqat, letak dulu barang di hotel dan intai dulu siaran langsung keadaan tawaf ramai orang ke tak.
Dataran sentiasa sesak dengan orang ramai


Allahuakbar! Allahuakbar!Tersergam kaabah depan mata. Berpusu-pusu orang memasuki ruangan tawaf, walaupun nampak padat daripada siaran langsung di tv tadi, Alhamdulillah ada ruang-ruang kosong. Melihat lampu hijau menandakan pusingan bermula. Istislam. Bismillahi allahuakbar walillah ilhamd. Baca segala zikir dan doa tanpa melihat buku panduan yang diberi. Kadang kala dari belakang terdengar zikir-zikir yang orang lain baca, terikut bersama. Tak perlu jalan laju-laju, relax sahaja sedar-sedar sudah cukup 7 pusingan.

Di sekeliling kaabah ada sekatan-sekatan/binaan (katanya untuk naik taraf telaga zam-zam) menyebabkan pusingan tawaf jadi kecil. Itulah komen dari orang lain yang pernah mengerjakan haji atau umrah sebelum ini. Malah ianya lebih memudahkan lagi. Memandangkan zohor hampir masuk, mencari tempat untuk solat zohor sebelum melakukan saie.
Setiap kali waktu solat akan cari ruang-ruang yang boleh nampak kaabah. 

Datang awal sebelum subuh boleh buat tawaf sunat.

Melihat ramainya manusia dengan berpakaian putih semuanya, kadang kala terbayang beginilah keadaan di padang mahsyar nanti. Ketika ramai bersesak  dan berhimpit mulalah berfikir-fikir, “cepatlah habis” lagi-lagi jika semasa tawaf, panas teriknya terasa.  Ketika saie, boleh berehat minum zam-zam dan tahu setelah 7 kali maknanya habis dan setelah selesai boleh balik ke hotel yang selesa, tapi di akhirat, penantiannya tidak diketahui bila penghujungnya.

Biasakan sekarang ni, orang bila dah marah, “Aku takkan maafkan kau, carilah aku kat padang mahsyar nanti!” Amboi! Amboi! Macam kita ni tak ada dosa ya. Nak tunggu ketika diberikan kitab sama ada dapat di sebelah tangan kiri atau kanan pun dah berdebar ( Surah Al-Insyiqaq). Semua orang fikir hal sendiri je.  Jadi seharusnya bayangan orang ramai di Mekah ini sama seperti di padang Mahsyar patut disimpan imejnya di kepala.

Ketika di sini, masa dirasakan bergerak pantas. Pagi buat tawaf sunat, masuk zohor, balik hotel beli makan, baru habis makan, masuk asar pula, balik sekejap eh dah dekat nak maghrib terus  menunggu isyak.  Setelah selesai solat isyak, pergi cari makan malam dan singgah-singgah kedai yang terdapat berdekatan hotel. Keesokannya rutin yang sama.
Lepas waktu isyak, memang sesak orang ramai. Ada yang jalan berangkai-rangkai, dengan berkerusi roda lagi. Silap-silap kita pun dilanggar kerusi roda. 

Seperti biasa, bila ramai orang, jalan pun tak nampak jadi panduannya dongak ke atas tengok menara jam ni untuk arah balik ke hotel.
Kedai-kedai di bawah hotel ini merupakan destinasi sebaik habis solat isyak. Tinjau-tinjau.

Walaupun kebanyakan barang yang dijual sama, tapi sebenarnya kedai yang di  terletak lebih dalam kadang kala boleh lagi tawar menawar. Alah guna BM sahaja.

Hari Jumaat buat pertama kalinya solat Jumaat. Dinasihatkan oleh travel agency datang 3 jam sebelum masuk waktu untuk mendapatkan tempat di dalam. Saya baru belajar bahasa Arab peringkat tadika maksudnya level bawahla,  Alhamdulillah seronoknya bila dapat faham beberapa patah perkataan dalam khutbah. Perkataan yang biasa dipelajari. Umpama bermain jigsaw puzzle, perkataan rumah, barakah, sakinah, Saidatina Khadijah, Nabi Muhammad SAW dan beberapa perkataan ringkas lain. Seakan faham apa yang nak disampaikan. Jelas sebutannya bukan macam percakapan biasa yang kadang kala laju.

Alhamdulillah.




No comments: