Saturday, March 17, 2018

Pasca Umrah – Umrah 30 Nov- 10 Dis (Bahagian Akhir)


Ibadat umrah sebenarnya mengambil masa tak sampai pun sehari, singkat je, Tapi adakah umrah kita itu diterima? Sendiri yang boleh merasakannya. Adakah amalan yang kita lakukan sia-sia? Ramai yang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Ramai yang solat tetapi sambil lewa sekadar memenuhi ruang waktu solat. Oleh itu pasca umrah inilah cabaran yang lebih hebat sebenarnya. Mata-mata yang memandang, aik teruk lagi pulak perangai lepas balik umrah. Ha, kita nilai diri sendiri.

Sepatutnya, tumpuan pada ibadat yang dilaksanakan bukanlah tujuannya untuk shopping. Peluang yang diberi kena rebut sebaiknya. Kalau sebelum ini, memilih datang awal ke masjid semata-mata untuk merebut tempat yang lebih hadapan, dan mengelak dari kesesakan orang ramai. Tetapi selepas balik, kadang-kadang tu mula la datang perangai setelah azan didengar baru bergerak mengambil wuduk. Berbeza sebelum ini yang sudah ada di atas sejadah. Malah konsep ziarah semasa umrah patut berterusan dengan membaca kisah nabi dan sahabat dan perjuangan mereka menegakkan Islam di bumi ini.

Menjaga wuduk juga merupakan amalan biasa ketika di sana memandangkan lebih banyak masa dihabiskan di masjid. Tapi kalau di Malaysia, hmm. Walaupun dah batal, tunggu masa nak solat nanti baru ambil semula. Di sana, punyalah jaga makan dengan tidak memilih untuk makan makanan yang banyak angin supaya tak batal selalu hehe tetapi balik Malaysia, bedal semua.

Cabaran lain ketika sampai di Malaysia. Diuji kesihatan. Orang lain kata biasalah tu, jet lag lagi.  Masa dalam kapal terbang masih rasa sihat lagi. Turun sahaja dah  mula sok sek sok sek selesema.  Datang pula demam dan batuk. Makan ubat yang ada sahaja. Bila dah seminggu tak baik-baik batuk, kenalah datang hospital. Jangan lupa kena beritahu di kaunter baru balik umrah. Kalau tak, doktor pun tengok semacam je. Muka nak marah sebab saya cakap, “Saya selesema, batuk dan demam, baru balik umrah.”

“Kenapa tak beritahu di kaunter tadi?”

“Eh! Tak demam dah, batuk je.” Doktor suruh nurse ambil suhu. Ok je.

“Ok, lain kali kalau balik umrah beritahu kaunter,” baru nampak sikit senyuman doktor tu.

Bukannya saya tak tahu penyakit MERS-CoV  tu tapi lupa nak beritahu. Alangkan balik Jepun pun saya boleh demam, jadi saya rasa biasa sahaja bila balik travel tak sihat sebab perubahan cuaca. Apapun bersyukur dapat menjadi tetamu Allah di sana.

Kredit: En Azrul.


No comments: