Monday, December 6, 2010

Maal Hijrah

Muharam, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijah. Berapa ramai di antara kita yang boleh menyebut bulan-bulan Islam dengan lancar sama ada dari Muharam hingga Zulhijah atau dibaca daripada belakang iaitu dari Zulhijah ke Muharam. Sukar nak diingat kalau tidak diamalkan. Saya sendiri terpaksa menyanyi ikut rentak nasyid (tak ingat kumpulan mana yang nyanyi lagu bulan-bulan Islam) kalau nak menyebutnya. Paling ingat lepas Ramadan tentu saja Syawal. Tahun pula teragak-agak juga lah menyebutnya. Begitulah jadinya kalau ingat Tahun Masihi je. Kita akan melangkah ke tahun baharu 1432 Hijrah. Seelok-eloknya di penghujung bulan Zulhijah ni kita baca doa akhir tahun selepas solat asar. Selepas solat maghrib, doa awal tahun bagi menyambut tahun baru.

Doa akhir tahun

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah Tuhan Pemerintah sekalian alam. Rahmat Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW. Ya Allah apa yang aku kerjakan pada tahun ini daripada perkara yang Engkau tegah, aku tidak bertaubat daripadanya dan Engkau tidak meredhainya, dan Engkau tidak melupainya, dan Engkau tidak memarahi daku sedangkan Engkau berkuasa menyeksa akan daku, dan Engkau memerintahkan daku untuk bertaubat setelah aku berani melakukan maksiat terhadap-Mu, maka aku memohon keampunan kepada-Mu, ampunilah akan daku daripada yang aku lakukan padanya daripada perkara yang Engkau redha dan Engkau menjanjikan untuk memberi pahala, oleh itu aku pohonlah daripada-Mu. Ya Allah, wahai Tuhan yang Maha pemurah, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan Engkau terimalah dariku, janganlah Engkau putuskan harapanku terhadap-Mu wahai Tuhan yang Maha Mulia. Allah telah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW ke atas keluarga dan sahabat handainya sekalian.

Doa awal tahun

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah kagi Maha Mengasihani.

Segala puji bagi Allah tuhan pemerintah seluruh alam. Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya ke atas penghulu kami Nabi Muhamad SAW, ke atas keluarga dan sahabat handainya sekalian. Ya Allah Engkaulah yang abadi lagi kekal dan tidak ada permulaan . Di atas kurniaan-Mu yang besar, kemurahan-Mu yang luas – Ini adalah tahun yang baru sahaja muncul. Kami memohon kepada-Mu supaya memelihara kami daripada syaitan, penyokong-penyokong dan tentera-tenteranya, serta menolong kami menentang nafsu yang mengajak kepada kejahatan. Dan menolong akan daku supaya sibuk melakukan amalan untuk mendekatkan daku kepada-Mu wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah telah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW keluarga dan sahabatnya kesemua. Segala puji bagi Allah Tuhan Pemerintah Sekalian Alam. Amin.

Sumber: Buku Amalan Harian Sepanjang Zaman. (Disemak oleh Al Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus). At Tafkir Enterprise, Kampung Baru. KL

ISBN: 983-99902-4-1

Selamat tahun baharu. Moga hijrah yang dilakukan akan lebih baik dan sentiasa dalam keberkatan-Nya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails