Monday, April 20, 2020

Bahasa Arab itu mudah.

Sekarang nilah berani nak kata mudah sebab dah belajar. Dulu-dulu selalu dimomokkan susah sampai takut nak masuk kelas. Yang susah tu bab tatabahasa dan komunikasinya. Sama ajelah belajar Bahasa Melayu pun. Jenuh aih masa tingkatan 6 ... morfologi, sintaksis.. ha entah apa ke bendanya lagi. Belajar pun tak ingat. Sama juga dengan Bahasa Inggeris, sampai sekarang idaklah dapat menguasainya.

Kelas Bahasa Arab yang saya masuk, bahasa Quran. Perkataan Bahasa Melayu pun banyak diserap daripada bahasa Arab jadi sebenarnya banyak yang kita boleh faham. Lagipun kelas yang saya masuk ni tak ada peperiksaan, so enjoylah belajarnya.

Kami gunakan buku Nahu Mudah terbitan Telaga Biru untuk faham dulu perkara asas tentang Bahasa Arab dan setelah habis buku ni terus masuk al Quran dan pratikkan pelajaran tatabahasa yang telah dipelajari. Udah dekat 3 tahun rasanya, masih di surah al-Baqarah lagi. Kelas seminggu sekali, bila cuti umum dan cuti sekolah je, kami pun cuti juga.  Masa Covid-19 ni pun cutilah, jadi kena belajar sendiri supaya tidak lupa

Buku ni ada banyak cetakan, kadang kala dalamnya berubah. Jadi kalau orang duk bergaduh-gaduh eh apasal yang ni lain, yang tu lain. Tengok je cetakan berapa ya. Tapi sikit jelah berubahnya tapi bendanya betul.

Perkataan bahasa Arab ni sebenarnya terdiri daripada tiga je:

  1. Kata nama
  2. Kata kerja
  3. Partikel.

Kata nama, samalah seperti kita belajar dalam bahasa Melayu, ada tanda-tanda untuk mengenalnya.

Kata kerja pula terdiri daripada :

  1. Kata kerja masa lampau
  2. Kata kerja masa kini
  3. Kata perintah

Jika dalam bahasa Inggeris, past tense dan present tense di mana perkataannya akan berubah mengikut masa.

Partikel pula ada:

  1. Kata nafi (tidak/tiada)
  2. Kata sendi (di/dalam/pada)
  3. Kata hubung (dan)
  4. Kata tanya (adakah)

Ada 'sifir' yang perlu diingat untuk kata ganti nama diri. Malah kata kerjanya akan berubah mengikut 14 kata ganti nama diri. Sedangkan sifir darab (x) 1 hingga 12 pun kita boleh hafal dan ingat sampai sekarang, begitu jugalah yang ni. Jika diulang-ulang, insya-Allah boleh. Tambahan pula zaman sekarang banyak ustaz/ustazah yang mempunyai teknik-teknik untuk belajar dengan mudah. Eh sifir tu bukan maksudnya angka ya, tapi 14 kata ganti nama diri yang perlu dihafal dan difahami penggunaan kata kerjanya. Takut pula orang nak belajar nanti, udah macam matematik

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni jom kita belajar bahasa Arab melalui kata dasar (root word). Sama macam dalam bahasa Melayu ada kata dasar dan kata imbuhan. Manfaatkan internet percuma masa PKP ni untuk tengok video kat sini. Dari awal PKP telah diiklankan tapi saya baru sempat tengok video ke-2. Saya memang dah ada buku teksnya beli masa Pesta Buku tahun lepas.
Dalam ni ada mini kamus kata dasar bagi perkataan yang sering digunakan. 


Friday, April 17, 2020

Puding Span

Kek kukus yang dimakan dengan sos 

Misi menghabiskan apa yang ada dalam rumah untuk mengelakkan kekerapan keluar pekan musim PKP ni.

Resipi ni dah lebih 40 tahun tapi masih jadi kegemaran dalam keluarga. Mak salin daripada Majalah Wanita. Majalah ni pun dah tiada dalam pasaran. Penggunaan oz tu menunjukkan lamanya, sekarang tulis auns la. Resipinya :

Kek:
3 oz tepung naik sendiri (kalau tiada, tepung gandum boleh campur dengan baking powder)
3 oz gula kastor (kalau tiada, gula biasa tu blend sekejap biar halus sikit)
3 oz mentega / majerin
2 biji telur
2 oz mix fruit
1/2 sudu besar koko

Sos
2 cawan susu cair
5 sudu makan gula
Sikit garam
2 camca teh tepung kastad
1/4 camca teh esen vanila

Yang ni saya ubah resipi keknya sekali ganda. Susu cairnya pulak malas nak ukur, jadi buat 1 tin tu je ..tapi memang tak cukuplah sebab semuanya nak kuah melimpah. So kalau resipi kek ikut ukuran original dan susu dia 1 tin. Ok lah kut. Dulu-dulu saya selalu keliru yang mana susu cair dan susu pekat sebab selalu kat kedai dia letak berdekatan. Kena baca dulu. Alah kadang boleh tersalah ambil jugak, jadi untuk kepastian sebelum sampai di kaunter bayaran, goncang dulu tin tu. Hihi . Kalau rasa berkocak confirm susu cair.

Cara buat kek:
Bancuhan kek sekali ganda

Mix fruit digaul dengan tepung. Majerin dan gula dikacau sehingga sebati. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Setelah itu masukkan tepung tadi. Bahagikan adunan dan satu bahagian taruh koko. Kukus dipanaskan. Lengserkan loyang dan masukkan adunan.Hias ikut citarasa sendiri. Bila air kukusan dah mendidih, kukus kek hingga masak lebih kurang 30 - 40 minit. Kadang saya tutup api tu awal sikit dan biar je dia dalam tu sementara air masih mendidih. Jimat gas.

Ikutlah nak bahagi sama banyak ataupun tidak. 

Gaya marble cake

Sementara tunggu kek masak. Kita buat kuahnya. Masukkan semua bahan dan panaskan dengan api kecil. Tanda  dia dah masak bila bancuhan sedikit pekat disebabkan tepung kastad tadi.



Monday, April 13, 2020

Motivasi daripada lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April 2020.

Setiap kali dengar pengumuman Perdana Menteri untuk tarikh PKP sama ada dilanjutkan atau tidak, setiap kali tu juga semangat baru datang untuk nak buat macam-macam. Macam azam la, setiap kali datangnya Muharam atau Januari, azam terpahat. Gitulah, manusia sentiasa menunggu sesuatu tanda dijadikan batu loncatan untuk berubah. Patutnya tak boleh gitu ya, masa tidak menunggu kita. (Diri sendiri pun kena selalu dimotivasikan)

Orang Islam patutnya tidak membuang masa, lebih-lebih lagi masa PKP ni. Setiap kali selepas mesyuarat atau penutup majlis pun kita akan diingatkan untuk membaca surah Al-Asr yang berkaitan dengan masa. Manusia akan berdepan dengan kerugian kecuali jika dia:

  1. Beriman
  2. Melakukan amal soleh
  3. Berpesan-pesan dengan kebenaran
  4. Berpesan-pesan dengan kesabaran

Orang Islam juga sepatutnya sentiasa berfikir. Dalam al-Quran sendiri selalu ada ayat yang disuruh memerhatikan, berfikir, memahami dan mengambil pelajaran. Antara ayatnya:

  1. Al-Baqarah : 219
  2. Al-Baqarah : 266
  3. An-Nisa : 82
  4. Al-An’am : 151
  5. Al-A’raf :176
  6. Al-A’raf : 179
  7. Yunus : 3
  8. Yunus : 5
  9. Hud : 24
  10. Ibrahim : 52

Ambil peluang PKP ni untuk retrospeksi diri. Kita juga kena tambah kebiasaan baharu yang memang kita tak pernah lakukan sebelum ini.

Jangan lupa lakukan perkara berikut:

Baca doa. Setiap pagi dan petang




  1. Tidak bersalaman. Apatah lagi salam arab yang berlaga pipi.
  2. Membiasakan cuci tangan dengan sabun (20 saat). Jika keluar dan tiada air dan sabun, guna hand sanitizer. Jangan sentuh muka, jika tangan belum dicuci.
  3. Tidak berkumpul ramai-ramai. Jarak dari orang lain sekurang-kurangnya 1 meter.
  4. Pakai mask.
Semoga kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Monday, April 6, 2020

Buku Kompas 114 Bantuan Pengembaraan Anda Menghayati Al-Quran


Kompas yang merupakan alat untuk pemandu arah, begitulah buku ini yang membantu kita 'mengembara' untuk menghayati al-Quran


Tajuk: Kompas 114 Bantuan Pengembaraan Anda Menghayati Al-Quran

Penulis: Syaari Ab Rahman

Penerbit: Ibrah Paradigm Training & Consultancy, Bandar Baru Bangi, Selangor

ISBN: 978-967-15748-1-2

Harga: RM 40             Cetakan Pertama: Mei 2018

M/s: 279 halaman

Sinopsis: 

“Kompas 114” berhasrat untuk menjadi alat bantu buat pembaca al-Quran sebelum mereka mengembara lebih jauh dalam Kitabullah itu sendiri dengan bantuan kitab-kitab tafsir yang muktabar. Dengan kompas ini, semoga anda menemui sebab mengapa anda wajar jatuh cinta kepada mana-mana surah dalam kalangan 114 surah al-Quran ini, sama ada Makkiyah atau Madaniyyah dan panjang atau pendek. Besar harapan saya agar buku ini membantu masyarakat awam mendapatkan “idea-idea besar” mengenai sesebuah surah, lantas memotivasikan mereka untuk membaca kesemua 114 surah daripada 30 juzuk al-Quran ini tanpa meninggalkan satu surah pun sepanjang pengembaraan kerohanian mereka semasa dalam atau luar bulan Ramadan. Semoga “Kompas 114” berjaya menimbulkan “debaran” terhadap keindahan dan keunikan setiap surah dalam al-Quran.

Di awal halaman telah ditulis metodologi penulisan untuk kita memahami penggunaan buku ini

Komen:  

Saya mengenali penulis ini melalui slot Ibrah di Ikim FM sebelum-sebelum ini. Memang menarik penceritaannya tentang ibrah yang kita boleh peroleh dari al-Quran. Buku ini saya beli secara online melalui fb ibrah paradigm. Dalam buku ni penulisnya menulis, ianya separa ilmiah tapi saya rasa memang ilmiah sepenuhnya dah ni. Memang idak le dibaca dari kulit ke kulit sebab baca pun tak masuk dalam kepala sangat. Errk. Tapi saya lebih gunakan buku ini untuk merujuk. Misalnya ketika membaca sesuatu ayat yang dikongsi ketika dalam kelas tadabur atau dalam Whatsapp kita akan tertanya-tanya lagi mengenai surah tu. So akan rujuk buku ni untuk tahu gambaran keseluruhan surah. Malah untuk kita nak hafal sesuatu ayat juga sesuai untuk kita tahu gambaran keseluruhan surah supaya dapat membantu mengingat lagi. Ibaratnya kalau dulu masa sekolah ada kamus ke ensiklopedia ke, ha ginilah juga buku ni untuk rujukan. Penulis juga mempunyai blog, boleh check di sini.  Dan ada nota kuliah di slideshare. Infografik yang berwarna-warni untuk bacaan kita.


Peta Sejarah Penurunan Surah
#manfaatkan PKP