Showing posts with label Pengangkutan awam. Show all posts
Showing posts with label Pengangkutan awam. Show all posts

Wednesday, April 3, 2019

Pesta Buku Antarabangsa KL : Trip Sehari dari Perak ke PWTC dengan ETS


Panduan ini sesuai untuk sesiapa yang sekitar Perak untuk merancang perjalanan. Balik hari sahaja dengan ETS. Pesta Buku 2019 bermula dari 29 Mac hingga 7 April.

Masa saya duduk di KL dahulu biasanya akan pergi minggu awal dan minggu akhir.  Dah duduk jauh ni kenalah merancang masa yang sesuai dan apa yang nak beli lebih awal.

Tahun lepas saya pergi betul-betul petang hari akhir, memang dapat banyak buku yang murah dan free sebab banyak lelong tetapi buku yang kita nak pula dah habis. Tahun ni pergi hari biasa orang bekerja. Tak adalah dapat banyak murah pun, buku baru dalam 10 % dan banyak jualan kombo. Tetapi, punyalah aman nak membeli-belah. Tak perlu bersesak-sesak. Budak-budak sekolah memang ramai sebab derang ada aktiviti tapi tak adalah pergi sangat tempat yang kita nak pergi tu.


 Perancangan awal sebelum pergi.
  1. Saya ikut channel telegram info PBAKL di https://t.me/ShareInfoKLBookFair
  2. Guna Google Keep senaraikan reruai (booth) yang nak pergi dan buku yang nak beli
  3. Saya pilih pergi hari Selasa sebab tiket ETS ada potongan 25%** pada hari tu.
  4. Jangan lupa bawa beg lipat sebab beg biasanya beranak-pinak dah. Ada orang siap bawa bagasi dan troli. Itu memang dah bajet nak membeli banyak tu. Ikutlah keperluan.

Senaraikan booth yang kita nak pergi dan buku yang hendak dibeli


Tiket pukul 7.28 pagi dari Kuala Kangsar.

Stesen-stesen seterusnya:

Ipoh 7.52
Batu Gajah 8.10
Kampar 8.23

Maknanya ni dalam setengah jam nak sampai dah


Kuala Lumpur 10.32 (Stesen kereta api KL)

KL Sentral 10.44

Sampai sahaja di KL Sentral, buat urusan tambah nilai kad Touch N Go dulu supaya senang nak turun naik lrt.

Sambung perjalanan dengan menaiki LRT ke stesen Masjid Jamek

KL Sentral 10.54
Pasar Seni 10.57
Masjid Jamek 11.00

Turun di  stesen ini dan tukar LRT ke arah Sentul Timur. Tak perlu touch kad  Touch n Go, terus je ikut EXIT Sentul Timur. Jalan kaki lebih kurang 8 minit mengikut kadar kelajuan biasa-biasa aje.

Ikut EXIT ke Sentul Timur untuk nak ke PWTC

Stesen Masjid Jamek dan belakang tu masjidnya.


Masjid Jamek 11.08
Bandaraya 11.10
Sultan Ismail 11.12
PWTC 11.14 Sudah sampai. Tambang dari KL Sentral ke PWTC tadi RM2 je.

Ikut je arah ke PWTC, tapi saya melencong dulu ke Sunway Putra Mall, brunch (breakfast dan lunch) dulu. Maklumlah pagi-pagi tadi sempat beli putu piring Perak je buat bekal. Lagipun di Mall ni banyak pilihan nak pergi. Ada food court atas dan bawah serta fast food. Kebetulan masa pergi situ ada sambutan Hari Autism.

Dari stesen PWTC hingga ke Sunway Putra Mall laluan berbumbung. Begitu juga ke PWTC.

Sambutan Hari Autism


Dah soru, barulah ada tenaga nak membeli-belah. Ada dua jalan masuk tapi saya ikut je jejantas dan ke arah Hotel Pacific. Akan nampak pintu gerbang menyambut kedatangan pengunjung. Ada pelan booth untuk kita rujuk tapi kalau jenis yang memang pening bila tengok macam-macam nama tu, kan. Boleh je tanya orang yang ada selempang ‘boleh kami bantu anda’ ha lebih kurang la bunyinya gitu. Memberi bantuan.


Pintu Gerbang berdekatan Hotel Pacific


Saya cari booth ikut yang telah saya senaraikan terlebih dahulu. Bila dah dapat apa yang nak tu baru pergi tengok lain. 


Booth Dubook

Seronok tengok hiasan booth

Galeri Ilmu
Budak-budak sekolah banyak di kawasan buku sekolahlah dan aktiviti

Iman Publication

Karangkraf 

Utusan, buku RM5. Benda-benda ginilah yang boleh menghabiskan duit tanpa sedar. Ala macam kita masuk kedai RM2. Murah je kan tapi bila dah dikumpul-kumpul ha berpuluh jadinya.
PTS, yang lama-lama RM4 je. Ada buku Saiful Nang 1 dan 2 tapi ala dah beli. 


Ate orang paghit, ni buku mike dekat booth Perpustakaan Negeri Perak.
Surau ada dua tempat, satu tingkat 3  dan satu lagi dekat bahagian masuk dari Hotel Pacific tu. Tapi bila ramai orang ni, sesak di surau lah pula. Alhamdulillah orang masih solat kan.


Arah surau

Pukul 2.45 dah selesai sebab dah melebihi bajet. Kalau tengok-tengok lagi, terbeli pulak lagi.


So kalau siapa yang nak balik hari tu bolehlah beli tiket ETS pukul 5.30 ke atas. Tapi, saya balik hari esoknya hihi. Memandangkan dah datang KL tu pi jumpa kawan sekalilah. Lagipun hari Rabu** pun ada potongan 25% tiket ETS.

Untuk mengelakkan keadaan tren yang sesak lebih-lebih lagi di Masjid Jamek tu, pukul 3 tu sedang elok masanya nak balik. Kalau balik time orang balik kerja juga, hai masaklah dengan nak ngangkut hasil tangkapan dari PBAKL lagi.

Bagi sesiapa yang tak sempat pergi Pesta Buku, boleh je pesan daripada Personal Book Shopper. Boleh ikuti channel telegram di t.me/addien90 dan tengok buku-buku yang ditawarkan. Cepat, cepat 7hb dah habis.


**kena beli di kaunter. Kena beritahu orang tu. Tidak boleh pulang balik atau tukar tarikh atau masa. Kiranya kalau tak jadi pergi haritu, kira hangus ajela tiket.

Hasil. Ambil buku motivasi, bahasa arab dan agama je.




Tuesday, December 18, 2018

Komuter Arah Utara


Bila tambang ETS terasa mahal, marilah kita beralih pada komuter pula.  Saya belum pernah naik lagi walaupun dah mula beroperasi pada hujung 2016.  Stesen Kuala Kangsar hanya ada ETS sahaja jadi kalau nak naik komuter kena naik di Padang Rengas. Tak adalah jauh sangat stesennya, sebelum pekan Padang Rengas sahaja.

Jadual perjalanan komuter (masa saya naik 11 November 2018)

Waktu Pagi                         Tengah hari              Petang                  Malam
5.24                                        12.54                     3.54                        7.54
6.54                                        1.54                       5.24                        9.54
8.54
11.00

Macam komuter di KL juga, beli tiket dan free seating. Destinasi saya Alor Star.  Kalau ETS tambangnya RM44 tapi naik komuter ni RM13 sahaja. Beza sungguhkan harganya. Beli tiket masa tu juga. Naik jam 1.54.
 
Pukul 1.40 dah boleh masuk. Marilah naik tangga ke platform sebelah.
Menyeberangi jejantas ni,

Boleh rehat kejap tengok pemandangan menghijau ni sementara kereta api belum sampai lagi. 


Stesen Padang Rengas tiada lif, kena naik tangga. Banyak pula anak tangganya tu. Kalau jalan di Japan dan Korea memang banyak juga tangga nak naik jadi ia bukanlah masalah yang besar tapi kesian tengok warga emaslah siksa nak naik tangga.
 
Nampak tak jauh lagi tu nak turun. Fuh! Beg berat.
Komuter dah sampai. Pilih je gerabak mana nak naik.
Sekali gini kerusinya, saling berhadap dan bukannya ke arah driver. Tapi saya tak pastilah sama ada keseluruhan gerabak begini atau macam biasa. Masalah juga bila kerusi begini, nak letak beg beroda tapi tak tau nak sandar kat mana jadi kepit je antara kaki takut beg berjalan sendiri nanti. Kalau letak melintang pula makan ruang banyak nanti.
Bila naik di stesen pertama ni  bestnya boleh pilih mana-mana tempat duduk yang disukai sebab tak ramai pun orang naik. Sampai di Taiping dan mula kerusi-kerusi dipenuhi. Laluannya:

Padang Rengas 1.54pm
Taiping
Kamunting
Bagan Serai
Parit Buntar 2.39pm
Nibong Tebal 2.43pm
Simpang Ampat 2.51pm
Bukit Mertajam 3.00 pm

Untuk ke Alor Star (yang menghala ke Padang Besar) kita kena tukar tren dan tukar platform 2. Ada pengumuman dibuat. Kena tunggu di  tingkat atas dulu. Platform 2 belum boleh masuk. Lebih kurang setengah jam iaitu 3.30 baru komuter sampai.

Wah ramainya orang, dengan budak-budak nak balik asrama lagi (gamaknya). Sebab nampak budak-budak remaja berkumpulan dengan beg. Lagipun hari tu Ahad. Memang tak dapat tempat duduk langsung.  Ada ibu dengan 2 orang anaknya dalam lingkungan 4-5 tahun pun tak dapat duduk.  Tak kanlah kita nak berebut tempat pula, tak patut rasanya.  Jadinya dari Bukit Mertajam sampai Alor Star saya berdiri. Ha tulah beza dengan ETS bayar mahal, ada tempat duduk dan tak payah tukar tren. Haha.

Tren baru ni pinjam dari KLjadi jangan terkejut bila masuk tren dan tengok peta laluannya ditulis Seremban, Pantai Dalam, Senawang, Sg Gadut. Siap ada koc wanita lagi tapi untuk komuter arah utara, lelaki pun boleh masuk.

Sambung laluan:
Bukit Mertajam 3.37 pm
Tasuk Gelugor 3.38 pm
Sungai Petani 3.59 pm
Gurun 4.12 pm
Kobah 4.22pm
Alor Star 4.33 pm

Alhamdulillah selamat sampai.



Thursday, October 11, 2018

Cara pergi stesen MRT dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Terminal Bas untuk perjalanan jauh.
Gambar: Carian Google


Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kita boleh naik ERL, Komuter dan LRT untuk pergi ke stesen MRT.
 
ERL
Gambar: Carian Google
MRT memudahkan perjalanan untuk Sungai Buloh sekitarnya juga Kajang dan sekitarnya. 
 
Stesen LRT Bandar Tasik Selatan
Gambar: Carian Google
Pilihan di tangan kita. Nak yang cepat sampai tapi mahal, yang murah tapi lambat atau yang sedang-sedang sahaja harganya. Kalau saya, pilihannya tengok bawak beg besar ke tak sebab kena mengangkut dari satu tempat ke satu tempat. 

Jika naik ERL dan Komuter boleh berhenti di stesen KL Sentral dan dari situ boleh naik MRT di stesen Muzium Negara.  Tak payah tukar-tukar tren tapi masalahnya nak pergi ke stesen MRT tu kena banyak jalanlah juga, naik eskalator, jalan lagi, naik eskalator lagi rasanya  jalan lagi barulah sampai (kira-kira240 m). Tapi ok je sebenarnya sebab berbumbung so jalan santai-santai tanpa risau dibasahi hujan atau panas.

Tapi saya pilih LRT sebab saya rasa pertukaran stesen MRT tu tak jauh sangat jalannya. Cumanya dari TBS tu nak ke stesen LRT kena jalan lebih sikit. Mula-mula dari TBS tu kita akan jumpa ERL dulu, kemudian Komuter dan barulah LRT.

Stesen LRT Bandar Tasik Selatan (BTS)  akan nampak tren Sentul Timur dan Ampang. Kita naik tren yang Sentul Timur tapi kalau dah naik yang Ampang punya pun tak apa cuma kena tukar tren di Chan Sow Lin dan naik tren yang ke Sentul Timur.

Kita nak pergi ke stesen Plaza Rakyat (garis satu di tengah). Perhatikan hentian akhirnya, Sentul Timur. Tu sebabnya kita naik LRT yang tulis Sentul Timur. Tapi kalau dah naik yang Ampang pun tak apa tukar sahaja di Chan Sow Lin (perhatikan pertemuan antara dua garisan tersebut) cuma menyusahkan sebab terpaksa tukar tren dan menunggu tren pulak la.
Boleh nampak KLCC 
Boleh nampak Menara KL
Ok kita dah sampai di stesen Plaza Rakyat. Turun eskalator dah boleh nampak arah MRT Merdeka
Turun di stesen Plaza Rakyat dah nampak sign MRT Merdeka. Tidak perlu exit sebab kita pindah daripada LRT ke MRT je. Bersepadu. Jalan selesa berbumbung.
Pilih laluan MRT sama ada hendak ke Sungai Buloh atau Kajang. 
Saya berhenti di hentian akhir MRT Sungai Buloh. Tambang keseluruhan RM5.  Eh lupa pulak termasuk feeder bus ke tidak ya. Lupa. Tapi feeder bus RM1 je.Guna Touch n Go senang je tak payah nak beli tiket.

                 Ringkasan laluan:

    LRT Bandar Tasik Selatan ---> LRT Plaza Rakyat----> MRT Merdeka ---> Destinasi anda


Feeder Bus MRT. Boleh tengok laluan feeder bus di bus stop. Guna Touch n Go dan 'tap' di mesin? dekat driver dan bila nak turun, 'tap' sekali lagi di mesin pintu keluar. 




Tuesday, August 28, 2018

Pemulangan Tambang Tiket ETS


Pernah tak anda dah check masa dan hari tiket keretapi atau bas tapi masih tak nampak kesalahan dan hanya ternampak bila esoknya nak berlepas. Jeng jeng jeng. Aduhai. Nasib baik tiket keretapi je, kalau tiket flight, rugi besar ni.

Saya beli tiket ETS dari Kuala Kangsar ke Taiping dua hala. Memandangkan janji dengan kawan yang dari KL untuk naik tren yang sama, jadi berpandukan nombor  tren dia dan masa berlepas, saya beli di Kuala Kangsar. Kami jumpa dalam tren. 

Saya lebih suka beli di kaunter berbanding online sebab stesennya tak lah jauh sangat, alang-alang memang ke pekan. Singgah je. Senang minta kat orang tu je. Dah siap tulis atas kertas nombor tren, masa dan destinasi dan bagi di kaunter. Dapat tiket. Semak. Betul masanya.

Hari nak bertolak, semak sekali lagi tiket pergi dan balik. Baru perasan tiket nak balik tu salah. Perbezaan am dan pm. Fuh. Pilih tiket 8.21pm. Dibaginya 8.21 am. Masa tengok tiket kawan tu, waktu 24 jam (20:21) saya tukar 8.21pm. Mungkin orang di kaunter perasan am dan boleh pula ada tren waktu yang sama. Tengok balik kertas yang saya tulis tu, nombor tren memang lain. Salah sendiri. Cepat-cepat cari tiket online kena beli lain, tinggal 3 seat je lagi.  Sempat direbut.

Menyesal betul salah tengok, walaupun RM13 je, makan nasi pun kenyang ya amat tu. Try tanya di kaunter kut boleh dapat balik duit. Kalau bas boleh dapat separuh balik duit. 

Ya boleh dapat 50 %, kena isi borang, tulis nama, ic dan tanda tangan. Kalau pulang tiket lebih awal (lebih 72 jam daripada waktu berlepas pemulangan tambang         75 %).



Perkara penting yang kita perlu perhatikan bila dapat tiket.

1)      Destinasi kita betul tak.

2)      Tarikh dan waktu berlepas. Masa yang diberi 24 jam. Tapi biasanya orang kaunter tu tulis waktu 12 jam  dengan pen besar-besar supaya orang tak tersalah tengok.  Walaupun saya ni anak askar yang sepatutnya biasa dengan waktu 24 jam, hanya beberapa waktu sahaja yang terus boleh tukar dalam kepala iaitu:
1300 – 1pm
1400 – 2pm
1500 – 3 pm
2000 – 8 pm
2100 – 9pm
2300 – 11pm

Untuk waktu-waktu yang lain, kira dengan tangan hahaha.

Waktu berlepas penting untuk kita, waktu tiba penting untuk beritahu orang yang akan ambil kita. Jangan tersalah beritahu pula, melangut di stesen keretapi pula nanti.

3)      Nombor  tren, penting masa kita nak naik nanti. Tengok di papan pemberitahuan. Kadang kala ada tren yang lambat, jadi tren kita akan jadi lambat juga. Bila tren yang tu sampai, kita ingat itu tren kita sebab sampai waktu kita. Sedangkan tren kita pun akan jadi terlewat sedikit. Bagi mengelak sebarang keraguan pastikan nombor tren di tiket dengan jadual.

Kita juga dapat pastikan sama ada keretapi ini kelas Platinum atau Gold. Platinum tak banyak berhenti. Macam tiket saya ni, dia tak berhenti di stesen Padang Rengas. Tapi untuk Gold dia berhenti di Padang Rengas. Beza tiket, RM1 je.  Kebiasaannya orang ambil ikut masa je, tak pedulilah gold ke platinum ke. Janji dapat tiket. Ya tak?

4)      Tempat duduk.  

5)      Tambang. Sila semak baki yang diterima setelah membeli tiket.


Wednesday, July 18, 2018

Tempat Letak Kereta di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh


Mana-mana hospital kebiasaannya masalah terbesar bagi pesakit atau pengunjung nak letak kereta. Jangankan Hospital Besar, Hospital Daerah seperti di Kuala Kangsar ni pun kalau waktu pagi sekitar 7.45 – 10 pun berpusing-pusing mencari parkir. Waktu terbaik kurang orang, Jumaat, lepas pukul 3 dan bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang nampak perbezaannya daripada hari biasa.

Di Hospital Ipoh. Jadual waktunya. Kalau tak nampak van yang ditunggu, tanya guard di situ. Mereka sedia membantu. 

Hospital Bainun, Ipoh ada menyediakan perkhidmatan shuttle van bagi  mengatasi masalah meletak kereta. Selain daripada di hospital sendiri, orang ramai boleh parkir di hadapan klinik kesihatan Greentown dan Veledrom Rakyat. Untuk kali ini saya ceritakan shuttle van di Veledrom Rakyat sebab yang Greentown belum pernah naik.

Dulu-dulu mesti nak parkir di hospital juga walaupun pernah terbaca hospital ada sediakan shuttle.  Walaupun keluar dari KK (dalam pukul 7) dan sampai setengah jam kemudian di Ipoh, masih tidak menjamin boleh dapat parkir. Tak sah kalau berpusing dekat 3 hingga 4 kali. Stress. Ramai je yang letak di luar sepanjang jalan utama. Silakan, kalau nak kena samanlah. Saya tak kuasa nak membayarnya.  Lagipun ia akan menghalang laluan utama. Tak baik menyusahkan orang lain, kan?

Akhirnya setelah berkali-kali stress memikirkan nak parkir di mana, barulah terbuka hati mencari arah Veledrom. Sejak itu parkir di situ sahajalah. Hantar pesakit dahulu di hospital kemudian baru pergi Veledrom.

Keluar hospital àterus. Bulatan ambil pukul 6 àterus. Nampak lampu trafik, ambil susur kiri signboard Kompleks MBI -à terus. Nampak lampu trafik, ambil susur kiri signboard  Stadium. Terus dan lihat di bahagian kanan akan nampak ruang lapang jalan bertar dan tulis Tempat Menunggu Kenderaan Percuma.
Di Veledrom. Tengah tunggu shuttle van datang.

Ruang parkir luas tapi biasanya tak banyak kereta.
Van dah sampai. Jom naik. Kalau van penuh, terpaksa tunggu giliran yang kedua.

Parkir ikut suka hati anda sebab memang biasanya kosong. Yeah!

Tunggu je shuttle (van ambulans) di situ. Ada waktunya. Tapi biasanya saya tunggu sekitar 15-20 minit. Alah lebih kurang sama je kalau kita berpusing-pusing cari parkir
Sampai di hospital depan Tempat Mengambil dan Menurunkan Pesakit

Berikut merupakan masalah parkir di hospital lain:

Hospital Selayang
Gerak dari Damansara Damai pukul 6.30 pagi dan akan sampai di hospital pukul 7 atau 7.15 pagi. Kalau sampai lebih daripada  waktu itu akan berpusing-pusing jugalah  dua tiga pusingan hospital. Bila dah dapat parkir pula, ada masalah lain. Kena tolak kereta. Di sini ada double parking (kereta diparkir depan kereta kita dan brek tangan dilepaskan) Ada juga yang tarik brek tangan tapi tinggalkan nombor.  Lepas tu bila telefon, orang tu tak angkat. Aduh! Ini boleh mendatangkan marah. Tolak kereta pun bukan sebuah sahaja,  kadang-kadang kena 2 atau 3 kereta sebab masing-masing parkir di sepanjang-panjang depan kereta kita. Udahlah kurus ni, kan. Tolak kereta macam tak gerak. Hai nasib. Tapi di Hospital Selayang juga ada shuttle. Kalau tengok dari banner yang diletak, kena tunggu di Selayang Capitol atau Selayang Mall. Siapa yang pernah menggunakan perkhidmatan ini sila komen di bawah.

Hospital Taiping
Masalah parkir memang teruk juga pagi-pagi. Bila bangunan parkir baru siap (sebelum inilah) Ya Allah bersyukur sangat tiada lagi masalah berpusing-pusing mencari parkir. Setelah setahun berlalu dan kembali semula ke Taiping. Penuh memanjang. Signboard FULL. Memang guard tak bagi masuk. Gamble je park kat luar setelah tak jumpa parkir lain. Guard situ bagi tips, antara waktu 2 -3 petang boleh dapat tempat sebab staf hospital tukar shif. Tidak membantu langsung. Yang jadi masalah tu nak pergi pagi-pagi.

Hospital Kuala Lumpur.
Tempat letak kereta di sebelah Jabatan Radioterapi dan Onkologi selesa tetapi hendaklah sampai sekitar pukul 7.15 pagi. Kalau selepas waktu itu memang masih ada tapi jauh sikit dari Exit. Di sini mudah nak tengok dari jauh tempat parkir yang kosong sebab ada lampu dari siling parkir menunjukkan tempat kosong atau tidak.  Lampu merah menandakan sudah ada kereta dan lampu hijau menandakan kosong.  Malah dinyatakan tingkat mana yang banyak lagi kosong. Kedai makan  pun ada dalam ni. Lepas stress kena keluar pagi-pagi, jom kita minum dulu.

Bagi mengelakkan stress untuk ke hospital pagi-pagi memang kenalah keluar selepas subuh mengkala nak berebut dengan orang pergi kerja pun satu hal juga. Kena baca doa dan zikir banyak-banyak supaya urusan dipermudahkan. Insya-Allah.

Thursday, July 5, 2018

Dari TBS (Terminal Bersepadu Selatan) ke MKM (Maktab Koperasi Malaysia) Petaling Jaya.

Terminal Bersepadu Selatan. Gambar: Ihsan Google
Maktab Koperasi Malaysia Jalan Templer. Gambar: Ihsan Google


Maktab Koperasi Malaysia terbahagi kepada beberapa zon:

1. MKM Zon Tengah yang juga Kampus Induk di Jalan Templer, Petaling Jaya
2. MKM Zon Sabah di Kota Kinabalu
3. MKM Zon Sarawak di Kuching
4. MKM Zon Timur di Kuantan
5. MKM Zon Selatan di Johor Bahru
6.  MKM Zon Utara di Alor Setar

Zon yang selalu menjadi tumpuan koperator (anggota koperasi) ialah MKM  Zon Tengah sebab pelbagai kursus jangka pendek yang lebih banyak diadakan. Bagi yang bukan anggota koperasi juga boleh menyertai kursus-kursus ini tapi yuran yang dikenakan berbeza. Boleh rujuk di laman web MKM

Oleh kerana ramai yang datang dari luar Kuala Lumpur, saya tunjuk jalan cara hendak ke sana dari TBS. Panduan ini juga boleh digunakan untuk sesiapa yang nak pergi menghala Petaling Jaya sehinggalah ke Kelana Jaya

                       TBS --- > Mid Valley Stesen---> KL-Gateway-Universiti Stesen ----> MKM
                               (komuter)                             (bas)                                                (teksi)    

Dari TBS, beli tiket untuk ke Stesen MidValley. Pakai Touch n Go lebih mudah tapi dia ada lane sendiri. Tengok arah. Naik komuter yang menghala ke KL Sentral. Senang je di sini, satu hala  KL Sentral, satu hala Seremban. Jangan pula poie Seremban.  

Sebelah kiri tu Little Penang Cafe. Kita keluar pintu ni akan nampak hentian teksi dan hentian bas. 

Berhenti di Stesen Midvalley, ikut je papan tanda masuk ke Mid Valley nanti turun satu tingkat dan cari jalan keluar.  Melalui Little Penang Café nanti akan nampak hentian teksi dan hentian bas. Tunggu bas yang tulis KL Gateway Universiti. Ada dua bas yang saya pernah naik.  Satu bas dia lalu depan pasar raya KL Gateway dan Flat PKNS  (T788) dan satu bas lagi dia akan terus menghala ke Lebuhraya Persekutuan. Jangan risau, boleh je naik sebab dia memang lalu stesen Universiti. Tambang bas antara 80 sen hingga RM1. Tak ingat.
 
Teksi pun banyak di Mid Valley Tapi kita nak jimat kos. Naik bas.
Kita akan berhenti di stesen ini sebelum meneruskan perjalanan. Gambar: Ihsan Google

Dari stesen ini nak ke Jalan Templer sebenarnya dah dekat jadi saya pilih naik teksi sahaja. Banyak teksi dekat Stesen Universiti ni. Meter dikira bermula RM3. Dalam 15 minit je dah sampai. Hari ahad petang tak jam. Total tambang RM7.

Alternatif:

TBS --- > Mid Valley ---> KL-Gateway-Universiti Stesen ----> Stesen Taman Jaya--- MKM
       (komuter)                 (bas)                                                  (lrt)                              (teksi)    

Stesen Taman Jaya, selang satu stesen sahaja dengan Universiti. Gambar: Ihsan Google

Cara lain, dari Mid Valley tadi dah naik bas, naik pula LRT di stesen Universiti tu dan berhenti  di Stesen Taman Jaya.  Kemudian, boleh naik bas. Ada 2 laluan juga, lalu depan MKM dan satu lagi dia berhenti di tepi dan kena jalan kaki dalam 1km lebih kurang.  *tapi yang ni saya naik tahun lepas. Sila rujuk dengan driver bas ya sama ada lalu atau tak depan MKM ni.

Tapi kalau dah bawa beg berat, baiklah naik teksi. Tambang mungkin RM4-5. Jalan di kawasan situ dah jadi one way, jadi saya tak pasti. 

Kenapa saya berhenti di  Mid Valley dan tidak turun di KL Sentral kemudian naik LRT ke Stesen Taman Jaya?

Walaupun Stesen KL Sentral hanya depan stesen Mid Valley sahaja, tapi saya mengelak untuk berhenti di KL Sentral yang biasanya ramai orang.  Tengah bawa beg banyak ni. Lagipun seakan berpatah balik ke belakang. Apabila di Mid Valley kita dah jimat masa sikit sebab dah separuh menghala ke Petaling Jaya. Cuma nunggu bas tu la ya mungkin ambil masa sebab Federal Highway ke Mid Valley tu memang kawasan sesak. Apa pun saya  prefer pilihan yang ni dan ia akan berubah kalau nak kejar masa (akan naik LRT dari TBS lagi) atau hujan lebat. Ikut situasi ketika itu.

Rujukan:
1. Panduan naik bas :

Pilih Lebuhraya Persekutuan untuk tengok laluan.   

2. Naik komuter ke Mid Valley




Thursday, November 9, 2017

Terminal bersepadu

Terminal bersepadu seperti KL Sentral atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) memudahkan orang ramai mengunakan pengangkutan awam yang  menyambungkan kedua-dua stesen ini untuk pergi ke mana-mana.

Bagi pengguna bas dari utara, dulunya bas berhenti di Puduraya, dan dari situ boleh ambil bas atau naik lrt untuk balik ke PJ. Setelah bas berpindah ke TBS lagi mudah, ada ERL untuk ke Putrajaya/Cyberjaya atau KLIA, ada LRT untuk  ke bandar raya dan ada KOMUTER untuk ke bandar raya atau Seremban.

Oleh itu pengguna boleh membuat pilihan sama ada nak cari pengangkutan yang lebih murah atau mahal tapi lebih cepat. Semuanya di atas pilihan kita. Semasa saya baru mencuba naik bas di TBS ni, saya memilih komuter untuk ke KL SENTRAL tapi setelah 3 kali naik, terpaksa menunggu  lama dan setiap kali naik juga orangnya terlampau ramai. Tak pernahnya dapat tempat duduk. Bayangkan dengan beg besar dan orang ramai yang berhimpit. Sambil tunggu tu tengok  LRT yang di seberang dah dua tiga kali berlepas.  Penantian itu satu penyiksaan, kali ni bijak sikit. Mula-mula, tengok jadual  tren sampai di stesen komuter.  Nampaknya kena tunggu  40 minit lagi. Oleh kerana lambat lagi saya buat keputusan naik LRT.

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan tak boleh sampai terus ke KL Sentral  sebab dia laluan lain, jadinya kita akan bertukar tren  nanti. Kalau naik komuter, tak perlu tukar tren.  Oleh itu laluannya begini:

LRT Stesen Bandar Tasik Selatan  ke Stesen Hang Tuah dan dari Stesen Hang Tuah tukar naik monorel  (tak perlu EXIT) ke KL Sentral (keluar di Nu Sentral) Tambang  RM4.50. Naik LRT orang tak seramai naik Komuter.

LRT Bandar Tasik Selatan ---.> Stesen Hang Tuah ---> monorel  stesen Hang Tuah ---> stesen KL Sentral
Stesen Hang Tuah. Pada mulanya saya plan nak solat di KL Sentral je, tapi bila turun LRT nampak ada surau di sini. Oleh itu solat di sini dulu. Kecil je suraunya, dalam 4  orang solat serentak boleh lagi.

Boleh lihat di sini untuk memastikan arah laluan.




Setelah selesai urusan di KL Sentral, saya nak pergi ke Damansara Damai pula.  Laluannya begini:

MRT Muzium Negara (dari KL Sentral juga,  cuma nama stesennya muzium negara dan jalannya jauh sikit tapi masih dari KL Sentral juga)  ke MRT Sg Buloh dan dari situ naik feeder bus ke Damansara Damai. Tambang MRT dalam RM3.50 rasanya.  Feeder  bus RM1.00

MRT Muzium Negara ---- > MRT Sungai Buloh ---> Feeder Bus

Ya itulah bersepadu kerana semuanya boleh dihubungkan. Ia memudahkan kita.  Tapi kena bersenam sikitlah ya. Turun naik eskalator.
 
Di Stesen Sungai Buloh, ada dua exit, exit Selangor tu akan keluar ke jalan besar jangan ambil tu, jalan terus je turun eskalator. Arah bangunan meletak kereta. Kat sini banyak bas perantara untuk pelbagai laluan.

Rujuk jadual ni untuk pastikan nombor bas yang mana dan dia masuk tak laluan kita nak pergi tu. Damansara Damai,  nombor bas T103.


Bagi laluan balik ke TBS


MRT Sungai Buloh  ke MRT Merdeka  dan tukar ke LRT Plaza Rakyat,  tak perlu touch tiket untuk EXIT, boleh terus naik LRT ke arah Bandar Tasik Selatan untuk ke TBS.  (tambang  lebih kurang RM 5 rasanya. Tak ingat.)

MRT Sungai Buloh ---> MRT Merdeka ---> LRT Plaza Rakyat ----> LRT Bandar Tasik Selatan
MRT Sungai Buloh. 

MRT Merdeka bersambung dengan LRT Plaza Rakyat

MRT Stesen Merdeka menarik juga, ada lambang dan bendera setiap negeri. Negeri Perak punya jauh la pula, tak dapat tangkap gambar. 

Kita ikut sahaja panduan papan tanda ni untuk bertukar naik lrt pula. InsyaAllah tak sesat.

Bagi yang tak biasa, tengok dulu laluan mana. Untuk ke Terminal Bersepadu Selatan, berhenti di stesen Bandar Tasik Selatan. Laluan yang berwarna maroon.  


Bagi sesiapa yang memang mengira bajet, boleh kira-kira dahulu mana yang lebih menguntungkan. Saya pakai kad touch n go, jadi mudah juga walaupun bertukar-tukar tren tapi tak perlu berhenti untuk beli tiket.

 
Guna touch n go senang sahaja, naik bas, lrt boleh guna, kelemahannya, kita tak ingat kita bayar berapa sebab just touch n go hehe. Kalau orang tanya pun tak ingat. Yang pastinya, setiap tambang sekali perjalanan purata RM5. So pastikan anda top up kad secukupnya.  Kad TBS tu untuk makan di Food Court, makanan situ mahal juga. Kalau nasi  rata-rata 6.50 ke atas, belum campur air lagi. Biasanya saya top up kad ni RM10. Di food court ni tak boleh pakai wang tunai. Kalau ada baki dalam kad ni boleh minta semula tapi saya simpan je sebab biasanya baki tinggal 10 sen 20 sen. Next time datang lagi just top up kat situ.