Friday, May 10, 2019

Nasi Ulam Perak

Anda mampu makan ulam-ulam sebanyak 17 jenis sekaligus? Ha, hebat tak hebat orang Perak, boleh makan kesemuanya pada satu masa hahaha. Jom pekena nasi ulam puasa ni. Untuk orang yang ada tanam ulam-ulam ni memang mudah nak buat bila-bila masa sahaja tapi yang tidak menanam kenalah membeli. Kalau di pasar tu adalah orang siap menjual ulam-ulam untuk nasi ulam ni. Tapi kalau seringgit pun takdelah banyak mana. Akhirnya nasi lebih banyak daripada ulamnya.

Ini ulam-ulam yang digunakan:

Dari kiri atas : 1)Pegaga  2) Belalai Gajah 3)Tujuh Bilah 4) Mengkudu 5)Daun Kari 6) Daun Kunyit 7)Cekur  8)Bunga kantan

Dari kiri bawah: 9)Daun limau purut 10)Serai 11)Daun ati-ati 12)Kaduk 13)Bangun-bangun 14)Daun Gajus  15) Ulam raja.16)Kesum/Cenohom (bahasa Perak) 17)Kemangi
Hiris kesemua daun tadi. Untuk mudahkan menghiris daun-daun yang kecil, masuk dalam daun yang besar. Boleh dihiris bersama-sama. Hiris bawang besar dan halia. Boleh hiris awal dan simpan dalam peti ais dulu. Dah nak berbuka nanti baru gaul dengan nasi.

Sebelum nak gaul dengan nasi, pastikan nasi tu sejuk dulu. Janganlah lepas masak terus buat nanti lecur daun-daun tu. Ohh jangan lupa goreng ikan masin sementara tu. Agak-agaklah besar mana nak goreng ikan masin tu mengikut portion nasi.

Proses menggaul: Gaul nasi dengan kerisik. Tu yang warnanya gelap-gelap sikit. Kerisik tu buat sendiri juga. Tambah ikan masin tadi dan gaul dengan ulam-ulam.  Saya tambah sikit telur masin yang potong kecik dan gaul sekali. Makan macam tu saja pun dah sedap.

Wednesday, May 8, 2019

Kanji Masjid Ubudiah

Setiap kali datangnya Ramadan, pastinya hidangan yang dinanti, kanji atau orang luar Kuala ni panggil bubur lambuk. Tradisi zaman-berzaman. Bulan Syaaban lagi sudah diuar-uarkan jika ada jemaah yang ingin memberi sumbangan duit dalam penyediaan kanji.

Disember tahun lepas, ketua muslimat merangkap orang kuat dalam penyediaan kanji ni telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh Cikgu Napisah dicucuri rahmat. Al-fatihah.

Terima kasih kepada sukarelawan bahagian menghiris, mengacau, dan segala kerja yang telah berkorban masa dan tenaga untuk menyediakannya.  Sekitar 11 pagi ke atas dah siap boleh ambil secara percuma.
Gambar dari fb page Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar



Gandingan hebat kalau makan kanji mesti ada kerabu apa-apa pun. Yang ni kerabu tauge dan telur masin.  
Ayuh kita mengimarahkan masjid lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ni. Memetik kata penceramah tetap kuliah muslimat Ubudiah, Ustaz Jamaludin. "Bukannya jadi jemaah wal kanji wal moreh je". Hahaha.


Saturday, May 4, 2019

Chef Nic – Food Travelogue


      Tak kisahlah sekarang ni K-Pop ke, K-Drama berkuasa, saya tetap tengok cerita cina Hong Kong juga. Sama juga masa dulu-dulu popular drama Jepun, pilih cerita Hong Kong juga. Kalau Tahun Baru China tu memang tengok cerita cina ajelah sebab kebanyakan channel tayang filem baru. Cuma sekarang ni tak adalah ikut cerita-cerita bersiri TVB dah tapi tengok filem atau rencana je. Tak kuasa nak tengok cerita panjang-panjang, nanti melekat depan TV.

      Nicholas Tse memang popular zaman-zaman saya. Ada rupa, pandai berlakon dan cerita dia selalu best. Anak pelakon, Patrick Tse. Menyanyi juga tapi tak tahu lagu apa yang popular. Seiring peredaran masa, tertengok cerita Chef Nic ni tiga atau empat tahun lepas di 8tv. Jadi Chef la pulak. Memang terkejutlah sebab dulu imejnya artis yang suka memberontak. Zaman tu, berita hiburan artis dari Hong Kong hanya ada di Majalah Galaxy setiap bulan atau Media Hiburan setiap minggu. Beritanya pun satu muka surat sahaja.

    Season awal Chef Nic, dia masak di studio. Season yang sekarang ni dia pergi ke luar negara bersama artis jemputan yang berasal dari HK atau China. Untuk season yang ni Chef Nic banyak meluahkan perasaan. Mula masuk dalam industri hiburan di usia muda. Meraih populariti. Sering berjauhan dari keluarga sebab sibuk kerja hingga tak banyak bercakap dengan mereka. Dan dia memang mengaku zaman tu suka memberontak.  Namun sejak jadi chef ni dia bertambah rapat dengan keluarga dan melatih dia jadi sabar.



      Season yang baru ni konsepnya Nicholas dan tetamu jemputan akan ke rumah penduduk tempatan. Berkongsi pengalaman kehidupan dan akan masak untuk mereka. Ada satu babak dia tunjuk mainan tradisional dan basikal tua.  Dia kata seronok zaman tu sebab main sahaja. Ada juga dia tunjuk handphone lama yang besar tu (cordless). Dia kata teringat pergi sekolah bawa bekas air macam telefon tu. Ha! Di Malaysia pun sama, kan. Ada bekas air tu. Kiranya kalau orang Malaysia bersembang dengan orang Hong Kong pun boleh masuklah kisah-kisah nostalgia ni. Allah pun mencipta pelbagai ras  manusia untuk kita saling mengenali.

      Episod minggu lepas, penggambaran di Xian yang ada patung Terracota tu. Chef Nic berjumpa dengan penduduk di situ yang bekerja sebagai konduktor bas dan bekerja 7 hari seminggu. Kiranya 365 harilah. Boleh ambil cuti dalam 24 atau 25 hari setahun. Setiap kali Tahun Baru Cina pun kerja weh, sampai mak dan bapanya sedih tak dapat makan bersama. Tapi nak buat macam mana,  dah kerja. Pergi kerja awal pagi, balik malam. Ya belajar sesuatu dari situ, bersyukur kita ni. Ha, saya suka tengok rancangan begini. Ada feel.

     Di akhir cerita, Chef Nic sediakan makanan macam Yee Sang (dia sebut nama lain) tapi dekat Xian ni tak biasa makan macam tu. Chef terpaksa mengajar gaul Yee Sang tu rata-rata dan tarik tinggi bersama-sama.

     Pernah juga season sebelum ini jemputannya Lin Dan. Saya suka tengok personalitinya dalam rancangan tu dan jadi suka dan minat  pulak haha. Padahal kalau tengok dia berlawan dengan Lee Chong Wei, gayanya berlagak gila. Kerek je.

Eh terpanjang pula review cerita ni, hehe sebab suka tengok.

     Untuk minggu ni jemputannya penyanyi dan komposer Jay Chou. Gandingannya dalam Sing! China(macam The Voice) .Hari Ahad di 8tv jam 5 petang.



Friday, May 3, 2019

Pulut Tanak Menjadi Tapai



Orang belah-belah Utara ni, kalau sarapan, biasa makan pulut tanak dengan gula kabung.

Tanak tu masak lah ya. Manalah tau, ada pula yang terpaksa membuka kamus. Pulut tu masak dalam periuk nasi aje pun senang. Kacau sesekali. Jangan tinggal terus macam masak nasi tu. Kalau rasa keras, masuk air lagi. Ikut sendiri nak teksturnya macam mana.  Siap untuk dimakan. Tabur kelapa yang ditaruh garam sikit atas pulut tu dan makan dengan gula kabung atau gula melaka atau gula merah. Kalau pulut jagung pula biasanya saya makan dengan gula putih tu.

Kalau tak habis makan, apa nak buat ya?

Ha senang je, jadikannya tapai. Ambil ragi dan hancur-hancurkan. Tapis dan tabur atas pulut tu. Simpan dalam almari untuk dua atau tiga hari.  Nanti dia akan keluar airnya. Kreatifkan orang dulu, dari sarapan ke minum petang.
Banyak keluar airnya. Manis.

Yang ni kita tabur dengan kelapa yang ditaruh garam sikit. Sedap.
Tapai ni boleh makan dengan aiskrim (sesuai yang vanilla). Ragi yang elok akan membuatkan hasil tapainya pun elok.