Sunday, February 21, 2021

Bagaimana menjaga tulisan di media sosial.

 

Kuliah Tadabur Hadith di Semat Quran Kuala Kangsar membincangkan dosa-dosa angkara lisan. Ada 24 muka surat sahaja pun tapi berbulan-bulan nak habis. Betapa banyaknya perkara yang dibincangkan walaupun ia sering dipandang remeh.  

Tambahan pula dengan adanya media sosial sekarang ni semua orang pun nak bercakap. Semua pun dia rasa dia yang betul. Yang komen pun laju sahaja menjawab seiring lajunya data internet. Kalau internet macam siput barulah agaknya sempat berfikir sesuai ke tidak menulis ni.

Saya teringat dalam satu group terbuka mengenai menghias rumah, ada seorang ni post status,

“Boleh bagi cadangan tempat gantung telekung atau kain pelekat solat? Sebab yang ada sekarang suami kata macam di asrama sekolah.”

Reply di komen, ada yang tunjuk almari dan rak serta beri link shopee. Dalam duk orang lain reply tu ada pula yang menulis komen;

“Ai beli rumah tahu, nak gantung telekung pun tak tahu?”

Da!!! Tak perlu komen langsung boleh tak? Saya seronok je tengok komen-komen lain yang letak contoh mereka hias surau di rumah.

Tak tahan baca komen tu apa lagi kalau diri sendiri yang dikomen. 

Biarkan sahaja, orang lain boleh menilai. Tapi saya sendiri pernah mengalami bila orang komen perkara yang tak berkaitan. 

Saya padam satu post dalam ni mengenai cara buat aduan dengan mudah secara online di Lembaga Air Perak (LAP). View banyak juga, 3000 lebih tapi ada yang komen marah-marah sebab tak ada air di rumahnya. Saya pun dah beberapa kali jawab di situ pergi terus ke website LAP sebab saya juga pengguna dan bukannya pekerja LAP. Tetap masih juga nak komen di situ. Adoi!

Cer kome Yop dan Yong baca bebeno dulu sebelum komen. Ini marahnya sampai nak mengadu ke SPRM sebab rasa ketidakadilan LAP. Dahlah tak berani letak nama sebenar, hanya anonymous. Sudahnya saya padam post tu. Aman. Tak perlu baca komen-komen yang tidak berkaitan.

Jadi, saya kongsikan sebahagian isi penting dari nota kuliah  Semat Quran bagaimana menjaga lisan dan tulisan untuk ingatan bersama:

1. Sentiasa mengingati segala perlakuan kita diperhatikan Allah dan ada malaikat yang mencatit setiap lafaz yang diucapkan.

2. Jauhi segala hal atau maklumat yang tidak berkaitan dan tidak memberi manfaat untuk diri sendiri.

3. Berhati-hati serta fikir berulang-ulang kali setiap kali ingin berbicara atau menulis sesuatu.

4. Sibukkan diri dengan hal-hal yang baik dan bermanfaat untuk diri sendiri terutamanya perihal akhirat dan elakkan daripada bercakap-cakap kosong.

5. Jika tidak mampu untuk elak daripada berkata buruk. Maka amalkanlah sikap berdiam diri.

6.  Banyakkan membaca al-Quran, taddabur dan berzikir kepada Allah.

7.  Banyakkan berdoa supaya dapat istiqamah dalam melakukan setiap perkara di atas.

8.  Istiqamah memelihara lisan dalam apa jua keadaan.

9. Apabila ditimpa sesuatu yang tidak disukai maka waspada dengan lidah, ingatlah setiap musibah itu menghapuskan dosa selama mana kita bersabar. Antara makna sabar ialah tidak berkeluh kesah.

 Terima kasih kepada Ustaz Hafidzal yang telah menyediakan nota.

 

No comments: