Showing posts with label Kucing. Show all posts
Showing posts with label Kucing. Show all posts

Wednesday, September 2, 2020

Rumah Kucing

 

Masuk rumah baru

Mendapat tajaan daripada Yang rumah ni untuk anak-anak kucing yang baru lahir sebab kesian bila hujan depa bertempiaran lari mencari tempat perlindungan.

Rumah ni ada pintu je, dan diberi satu lapik. Kiranya macam toto. Hihi.

Mula-mula sampai depa tengok-tengok je tapi tak nak masuk. Kena paksa masuk. Agaknya bau baru tu kuat. Lebih suka duduk di luar.

Keluar masuk tengok rumah baru

Yang kelakar maknya. Esoknya saya intai dalam rumah, ada lembaga warna putih padahal anak-anak ada di luar. Apa benda tu? Anak kucing lain pulak ke yang masuk. Tikus putih ke? Saya jenguk betul-betul dalam rumah, la … popia basi rupanya mak dia bawak masuk. Maknya mengiktiraf itu rumahnya untuk simpan makanan. Minggu selepas tu, maknya bawak tongkol jagung dalam rumah. Dia je yang suka jagung anaknya idak pun. Sis terhibur dengan gelagat Mak Putih.


Nampak tak tongkol jagung lebih dari orang buat cucur jagung


Zoom dalam rumah ...  tada tongkol jagung. Adui mak putih ni buat rumah bersemut je haha. Memang kena check hari-hari kut ada benda lain pulak dalam rumah.
 
Bagus maknya, walaupun makanan tersedia sarapan, tengah hari dan malam, dan di antara tu makan makanan kering (kibbles) tetap maknya tahu tugas mencari makanan untuk anaknya. Dia akan jalan keliling  rumah tengok apa yang ada. Misal kata kalau tak ada apa yang jumpa, dia akan duduk depan pintu dan akan mengiau minta makan. Padahal bila bagi kat dia idaklah dia makan pun. Untuk anak-anak. Dia tengok je. Kadang baling ayam, maknya akan kejar dan ambil. Masa ayam tu dah ada kat mulut dia berbunyi panggil anak. Bila tiga-tiga dah berkumpul baru dia lepaskan ayam tu. Berebut la depa.


Fitrah seekor ibu. Hebatkan makhluk ciptaan Allah walaupun dia datang sebelum ni seekor je tak de sapa mengajar cara nak besarkan anaknya tu. 

Sama seperti kita, keluar dari perut ibu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu tetapi kita tahu macam mana nak menyusu bila lapar, berjalan – langkah pertama. Semuanya atas kurniaan Allah.

An Nahl (16:78)  Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.

Bersyukurkah kita?

Rumah ni muat je untuk depa berempat tapi Mak Putih mengalah agaknya, anak-anak dia masuk rumah dan dia tunggu di tepi pintu. Tu yang saya kesian kalau nak bagi orang kena ambiklah semuanya dengan maknya sekali, ni ada yang nak seekor je. Kecik lagi, perlu kasih sayang maknya. 

Bila dah hilang bau baru tu dan udah bau dema je barulah ada masuk. Tapi tiga hari lepas memang seharianlah duduk dalam rumah sebab tiga-tiga demam. Tak nak keluar langsung walaupun dah bawa makanan. Dah kena keluarkan pulak sebab nak bagi ubat.


Demam. Tiga-tiga duduk dalam. Udah le tu hujan ha, kena letak payung jugak sebab tempias rosak rumah. Tak boleh letak tempat lain dah, memang dema suka letak rumah kat sini. Kali kedua pindah tempat.

Dah sihat sikit baru cari matahari. Ni depa duduk kat rumput helikopter, baca dik orang viral katanya baik untuk kucing. Entahle beno ke idak. Kena rebus rasanya tapi ni depa baring je. 

Dah sihat. Kucing jalanan ni permainannya apa yang ada nampak depan matalah Bangku tu udah beberapa kali bergerak buat dik dema. Seekor duduk atas seekor tarik bawah. Budak-budak seronok main.

Ni bakul sampah pun jadi. Memang dah pecah nak buang, tapi depa terbalik-balikkan masuk longkang.

Udah macam Saloma link saya tengok haha. Pandai dia duk dalam ni, memang tak kena air pun.

Dia je yang pandai masuk dalam ni. Yang dua lagi tak reti.

Payung ni untuk elak dema tempias hujan pun udah punah main dek dema. Budak-budaklah katakan. Redha je lah.


Sunday, July 19, 2020

Tempat-tempat bahaya untuk anak kucing.

Masih lagi cerita kucing yang dibela di luar rumah. 

Kasih sayang ibu kucing memang tak boleh dinafikan. Kadang kita dah letak tempat baik punya dengan kain, surat khabar dalam bekas, udah pula dipindahkannya. Setelah ditilik-tilik mungkinlah ibu kucing nak mengelak daripada dikacau kucing jantan atau benda-benda berbahaya yang lain. Degilnya kadang tak boleh nak lawan. Ada satu ibu kucing tu dia pindahkan anaknya dalam longkang. Di waktu pagi memanglah elok je anaknya duduk situ. Dah tengah hari, panas terik dalam longkang simen tu udah tercungap-cungaplah anaknya. Dah kita pindahkannya ke tempat redup, balik dipindahkannya kat situ juga. Degil ya amat.

Ni antara tempat-tempat lain yang bahaya untuk anak kucing.

Paip longkang ni si bulus main-main keluar masuk. Dah risau dah tengok dia tak keluar, pastu lega bila tengok dia keluar semula. Tapi ada satu malam tu, dia tak datang makan. Maknya sahaja yang ada. Esok pagi pun tak ada. Jenuhlah pusing satu rumah mencari. Teringat pula dia duk main-main dekat longkang semalam. Saya cuba panggil, tetiba dengar halus je suara. Masya-Allah betul dari dalam tanah. Sah dah ni dia masuk longkang.

Adoi tak pasal-pasal nak kena panggil bomba suruh pecahkan simen tu. Kelam kabut mikir macam mana nak buat sebab dengar suara halus. Yang maknya pun selamba dek je tak de risau.  Tetiba teringat la nak tolak penutup kumbahan tu. Alhamdulillah rupanya dia jalan ke paip tu dan terus jatuh dalam lubang kumbahan. Eh sebenarnya bukan kumbahan, air dari longkang je so sebenarnya dalam tu ada tanah mungkin tanah yang masuk dalam longkang.  Nak capai dia gitu sahaja tak sampai. Dah terpaksalah pulak ambil tangga, turun ngambil dia. Tak sangka saya boleh tolak penutup tu. Mungkin sebab nak selamatkan sangat kucing tu sebab esoknya saya cuba semula nak buka, berat sangat rasanya tak tertolak. 

Untuk mengelak dari dia masuk semula dalam longkang tu, tutup lubang dengan pasu. 

Esoknya, masih main lagi dekat longkang ni dengan maknya. Tak serik-serik.

Baldi ni letak kat tangga untuk tadah air hujan. Dah lama ada di sini. Entah macam mana, anak kucing yang sama masuk lubang paip sebelum ni dia boleh masuk dalam baldi pulak.  Masa tu kaki belakang dia bengkak ada bisul, Jadi memang agak lemah untuk melompat, atau memang tinggi nak lompat. Entahlah dan dia tak bersuara pun. Saya cuma perasan dia dalam baldi tu bila turun dari tangga. Masa naik tangga tak perasan langsung. Dan mungkin ajalnya, lepas dari kejadian ni dia sakit teruk dan mati kemudiannya.

Kalau tengok sahaja 'flower box' ni macam biasa sahaja, kan?


Sekali, rupa-rupanya ada kucing beranak kome oii. Idak le perasan kalau anaknya tak berbunyi. Entah siapa la beritahu sini boleh jadi tempat beranak, sebenarnya ini kucing ketiga yang beranak di sini. Hahaha!
Dema ingat sini hospital?

Lahir dekat nak raya. Masa tu musim hujan. Jadi berpayunglah kita.

Pukul 12 tengah malam terasa-rasa nak pergi tengok bila dengar hujan lebat. Rupa-rupanya payung tak dapat menghalang tempias hujan, lencun. Yang maknya pun idakle tau pindah tempat bila dah hujan tu. Basah dema. Terus saya pindahkan dalam sangkar kucing (bahagian bawahnya)

Dekat seminggulah duduk dalam bekas, udah maknya pindah dalam longkang ni. Diletaknya pula dekat tengah-tengah, jadi nampak dema dekat celah lubang tu je.

Aman duduk situ dalam dua hari. Hujan lebat tiba-tiba satu tengah hari tu, dengar suara maknya mengiau-ngiau kecemasasan. Ya Allah rupanya air dah naik dalam longkang tu, dahlah anaknya dalam tu. Penutup longkang tu memang tak pernah bukak, memang ketatlah. Nak mencapai anaknya tu terpaksa meniarap. Dua ekor lenjun habis dengan saya sekali basahnya. Tinggal satu je lagi tak dapat nak capai.  Seluk tangan kat tengah tu dan memang dapat capai tapi kalau nak keluarkan ikut lubang tu tak muatlah pula, patah pulak kakinya nanti. Terpaksa panggil kakak untuk pegang dari lubang tu dan suruh dia tolak ke arah laluan keluar. Saya cuba mencapainya. Alhamdulillah mujurlah dapat capai. Yang ni lagi teruk lenjunnya, Nyaris tak lemas atau hanyut. Dekat setengah jam misi menyelamat. Pindah semula kat dalam bekas sebelum ini. Dalam longkang ni pernah ada ular sawa besar sampai terpaksa panggil bomba, bila difikir-fikirkan semula, ngeri pulak. 


 Ingatkan dah seriklah maknya dan dapat pengajaran. Dua hari kemudiannya balik dipindahkan dan masih di tengah-tengah. Adoilah si ibu bulus. Akhirnya dapatlah juga keluarkan dia balik dan saya tutup laluan tu supaya si ibu tak dapat masuk.

Ok ni dia Si Bab yang telah pindahkan anak-anaknya di bahagian dapur pula. Tempat asalnya masa dia baru datang. Bahagia dengan anak-anaknya. Dia suka makan jagung. Bahaya ke idak tak tahulah, tapi dapat tahu dia suka tu bila campak tongkol jagung keluar tingkap nak bagi kera, dia pula yang  gonggong. Hahaha. Bila kita kupaskan memang dia makan jagung tu tapi tak bagi banyaklah. Boleh ke kucing makan jagung ni?

Saturday, July 4, 2020

Kasi Kucing

Bukan kasi yang maksud beri, tapi mandulkan. Kebanyakan kucing yang biasa dibuang  ialah kucing betina sebab selalu beranak. Bukan sahaja beranak banyak, kerap pula tu. Dan memang kucing betina nilah selalu jadi mangsa. Kesian.

Kawasan rumah saya sentiasa ada kucing yang datang dan terus menetap di situ. Dah jadi satu rutin pula, bila kucing tu mati atau hilang. Ada je yang datang mengganti kawasan. Kebiasaannya yang datang kucing jantan. Baru-baru ni pula ada dua kucing betina datang. Remaja lagi. Tapi kedua-duanya tak boleh bertemu muka, pasti bergaduh. Jadinya seekor akan ‘jaga’ kawasan dari halaman depan sehingga ke pagar. Seekor lagi dari bahagian dapur ke halaman belakang. Yang paling untung mestilah yang jaga bahagian dapur. Mengiau sahaja dah dapat makan.

Tiba masa musim mengawan, aduhai kedua-duanya mengandung. Jika kita dapat berikannya rumah, tak apalah kan. Ni dengan kucing yang ada di rumah pun tak terjaga dan memang akan bergaduh dengan kedua-dua kucing yang di luar ni.

Teringat saya terbaca berita sebelum ni dari persatuan haiwan yang mengatakan jangan sekadar beri kucing makan. Mandulkan juga untuk kucing jalanan. Memanglah beri makan tu senang sahaja tapi sedar tak sedar kita telah menyumbang kepada pembiakan tidak terkawal haiwan di jalanan. Jadi saya ambil keputusan kasi, kan sebab tak mampu menjaganya dan tak dapat nak sediakan rumah untuknya.

Baby, ada anak dua ekor tapi mati seekor. Tinggal seekor.  Lahir masa PKP. Yang seekor kucing lagi, tiga ekor anaknya dan lahir dua hari sebelum Syawal. Kucing dah boleh dikasi selepas anaknya berusia dua bulan. 

Baby namanya, kadang-kadang jadi Vivy. Jaga kawasan depan.

Ni udah tak bernama, panggil Bab je (Debab) 3 ekor anaknya. Jaga kawasan belakang.

Di Klinik Veterinar Kuala Kangsar, proses pembedahan hanya hari Isnin dan Khamis sahaja. Tidak perlu temu janji. Bayaran RM80 untuk betina.

Jadi seelok-eloknya sebaik buka (8.30 pagi) kita dah hantar sebab dia berpuasa. Pemilik akan diberi satu borang pengesahan dan tulis nama, alamat, no telefon dan tanda tangan. Kepilkan dalam sangkar. Dia akan call bila dah siap. Masa tu lah juga baru terperasan anaknya ada bengkak di kaki belakang. Udahle pulak mencari sangkar bawa anaknya. Pukul 3 baru nak gerak. Kata doktor, kaki anaknya bisul tapi dia suruh tunggu sampai pecah sendiri sebab kalau dipecahkan awal luka kat dalam pula. Doktor cucuk antibiotik dan bagi ubat bengkak.

2.30 petang dapat panggilan kata dah boleh ambil. Doktor bagi ubat bengkak, antibiotik dan iodin. Dia suruh datang minggu depannya buka jahitan. Masa ambil tu Baby dah sedar, mak ai meronta-ronta cakar pintu sangkar nak keluar. Dahlah pintu sangkar tu memang ada kerosakan sikit, silap-silap memang boleh terbuka sendiri. Perjalanan dari klinik ke rumah yang 20 minit rasa lama bebeno dengan trafik light yang asyik merah sahaja. Tak tenang dibuatnya. Pegang stering sambil pegang pintu sangkar takut terbuka.

Balik rumah baru pindahkan dalam sangkar besar. Sebenarnya masih lemah lagi, jalan jatuh jalan jatuh masih longlai. Bawa anaknya nak jumpa maknya, sedihnya alahai anak menderam tak nak dekat. Tak kenal maknya. Pagi tadi je pun baru berpisah. Huhuhu. Saya sampai tengok semula kucing tu, betulke maknya, takut tersalah ambil. Memang ada kucing yang corak macam ni juga ada datang. Agaknya mak dia bau ubat, dia tak kenal.

Saya biarkan anak di luar. Mujur bapaknya ada meneman.

Bapak? Hihi masa dulu yang selalu datang ada 3 kucing jantan. Kalau ikutkan dari rupanya ingat bapaknya yang ni. Jati-jati macam dia. Tapi idak le melayan. Tup-tup yang si oren ni pulak rajin melayan. Ada la sikit warna oren kat belakang telinga.

Jati-jati macam Jantan yang ni tapi sikit pun tak peduli.

Mak masih dibiarkan berehat dalam sangkar. Letak dia dalam bilik dan anaknya dibiarkan lepas dalam bilik yang sama.

Esok pagi. Anaknya masih menderam-deram tak nak. Maknya dah boleh berdiri betul.

Hari ketiga, bukakan sangkar, maknya terus dapatkan anaknya dan menjilat. Tapi anaknya buat dek je dan masih menderam. Huhu sedihnya saya. Anaknya tak kenal mak walaupun saya letak anak bawah perut maknya. Mak masih menjilat.

Hari keempat, Alhamdulillah tengok anaknya dah menyusu pada emaknya. Entah apalah agaknya dicakap maknya malam semalam.

Toy namanya. Matanya unik. Macam serigala.
Anaknya dah kenal bau maknya.

Kedua-duanya makan ubat yang sama cuma dos berlainan. Kaki anaknya masih membengkak tapi masih berlari-larian macam tak ada apa-apa.

Hari Isnin bawa maknya semula ke klinik dan buka jahitan. Doktor kata ok.

Anaknya pula kaki membengkak dan keluar air tapi masih aktif. Cuma ada satu malam, entah macam mana dia terjatuh dalam baldi dan duduk dalam tu semalaman. Tak tahulah sama ada dia cuba untuk melompat tapi memandangkan kaki belakang bengkak dia tak boleh buat apa. Jenuh saya mencari, keliling rumah. Dia tak mengiau walaupun saya melepasi baldi tu. Sejak itu dia tak lalu makan. Esoknya makin teruk dan asyik baring. Akhirnya 2 Julai 2020, si anak mati. Sedih sangat. Sekarang ni saya meluangkan lebih masa meneman maknya takut dia kemurungan. 

Saturday, May 9, 2020

Peribahasa berkaitan ibu kucing yang mengandung.

Dalam bahasa Melayu, peribahasa terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah. Setiap satunya untuk memberi pengajaran tertentu.

Orang dulu-dulu cakapnya berlapik. Malah, banyak mengaitkan tentang alam dan keadaan persekitaran. Contohnya:

Seperti kucing nak beranak.

Seperti kucing keguguran anak.

Bagai kucing kehilangan anak.

Bagai kucing jatuh anak.

Kesemuanya sebenarnya nak menggambarkan aksi seseorang yang tidak keruan dan berasa serba tidak kena. Duduk salah, berdiri salah. Macam-macam yang difikirkannya.

Jadi macam mana kita ni nak tahu kucing ni nak beranak dah?

Ha, memandangkan bukan kelulusan doktor veterinar, idak le tau bila due datenya tapi marilah kita tengok balik peribahasa di atas. Seperti kucing nak beranak. Kucing ni kalau nak beranak, dia mula masuk bawah katil, bawah tangga dan cari tempat tersorok.  Tak keruan kelihatannya. Kalau pencariannya lebih kerap, maksudnya memang tak lama la tu. Jadi kita sediakanlah kotak untuk tempat dia bersalin.

Contohnya kucing ni baru datang Januari lepas. Entahlah sama ada sesat atau orang buang sebab dia betina. Bila kita selalu bagi makan, jadilah penunggu setia di luar. Muda remaja lagi, tu yang panggil Baby Siam.  Tiba datang musim mengawan, udahlah mengandung pulak.


Masa mula-mula datang. Si mata biru yang comel.

Lagi dua hari dia nak beranak, pantang ada peluang pintu terbuka, dia akan masuk rumah dan masuk tempat-tempat tersorok. Memandangkan itu tanda-tanda nak beranak, saya sediakan kotak dan letak dia di beranda. Memang dia tak adalah nak duduk situ. Dua hari kemudiannya, bila nak bagi makan, dia tak datang. Jadi, agak dah beranak gamaknya.

Pandai pulak dia beranak dalam kotak yang disediakan. Dua ekor. 

Anak dua ekor selamat dilahirkan. Pandai masuk kotak yang disediakan.

Lepas tiga hari, tengok dalam kotak, anak dia dah tak ada. Ha takkan dah dibunuh kucing jantan atau haiwan lain.  Maknya selamba je duk tunggu makan. Tak ada pun seperti yang dikatakan peribahasa bagai kucing kehilangan anak. Ibu kucing ni kalau hilang anak, memang mengiau bagai nak gila dan tak tentu arah.

Keesokan harinya pun masih tak dapat kesan sama ada anaknya mati atau dibawa pindah sebab dia tetap datang makan di rumah. Setelah lebih kurang seminggu, datanglah dia bawa anaknya seekor je. Mata pun dah celik. Agaknya yang seekor tu dah mati. Ibu muda ni jenuhlah nak menjaganya, sebab asyik pindahkan anaknya. Pernah jumpa anaknya tu lenjun kena hujan. Heh maknya pun idakle pindah ke tempat yang kering. Ni pun dalam sehari udah 3,4 kali dia pindahkan anaknya. Mungkin emaknya rasa tempat-tempat tu tak selamat. Hanya ibu yang mengetahui apa yang terbaik untuk anaknya, kan.


Tinggal anak yang warna hitam dan putih sahaja.

Kalau korang rasa, “Bela aje la, kan kesian anaknya tu”. Ha tolong bincang dengan tuan rumah ni(gambar bawah). Dia memang tak boleh dibawa berbincang. Tak berkawan dengan kucing lain. Semuanya kena buru.


"Siapa ngumpat aku ni"

Ni ada pula lagi seekor kucing pendatang nak beranak. Pening dibuatnya. Dua-dua ni gayanya pertama kali bersalin.

Perut membuyut dah. Selalu diam-diam masuk rumah duduk antara tong sampah dan pintu dapur. Dia ingat pandailah tu menyorok orang tak nampak dia.

 


Wednesday, December 25, 2019

Murung Si Kucing


Sekarang ni sudah banyak kisah kemurungan atau depresi yang merupakan masalah kesihatan mental. Malah melalui pembacaan saya, menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar membahayakan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. Tarikh 10 Oktober juga dipilih sebagai sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Lagilah banyak pendedahan kita boleh baca. Sedangkan masa dulu hanya tahu stress, tension bila banyak kerja di pejabat atau hadapi jalan sibuk lebih-lebih lagi di KL.

Haish melalut pulak, sebenarnya nak cerita pasal kucing pun ada murungnya.


Dia suka tidur dalam besen. Kiut,kan? 

Ini namanya Si Kentang, nama kentang muncul sebab masa kecil dia duduk di bakul kentang dan nampak bulat-bulat macam Kentang sebab gemuk. Maknya kucing pendatang. Duduk rumah jiran. Bela di luar sahaja beri makan. Maknya memang mengandung aje sepanjang tahun, dahlah tu banyak pulak kadang kadang 5, 6, 4 ekor sekali. Tak pernahnya sikit. Jika nak diikutkan jumlah kalau dikumpul-kumpul mahu dekat 16 ekor dari satu ibu sahaja. Tapi kemudiannya banyak yang mati. Setiap kali mengandung tulah memang jiran dah bagi amaran nak buang sebab tak larat nak jaga. Dan setiap kali tu juga tak jadi buang sebab dah bersalin pulak.

Saya memang tak boleh bela kucing lain sebab Si Kuntum ni idak beri kebenaran kucing lain masuk ke rumah haha. Dia jenis berkawan dengan orang je tak geng dengan kucing.

Tuan Rumah Si Kuntum.
Ketika Si Kentang ni besar sikit, udah nampak emaknya mengandung lagi. Timbul lagi cerita nak buang sebab ditambah pula ibu kucing yang lain datang bawa anak-anaknya juga. Suami jiran ni pun bukanlah suka sangat kucing. Daripada dema bergaduh sebabkan kucing ni, mak Si Kentang ni kenalah buang. Dari sehari ke sehari Si Kentang nampak murung, duduk termenung. Tak berapa nak makan.Walaupun ada abang-abangnya (dari generasi sebelum ni) tapi tidak dapat menggembirakannya. Badan yang gemuk pun dah jadi kurus, kiranya tang tengkuk tu macam nampak kulit je. 

Kentang dan ibu, sama warna, kelabu dan putih.
Kentang dah pulih dari kemurungan
Ni kucing datang lagi, yang ni pun sekali beranak dah 4 ekor. Ni la kawan-kawan Kentang.

Masa berlalu, dalam 4 bulan macam tu, Si Kentang kelihatan aktif semula sebab ada anak kucing lain yang beranak kat situ dan dia macam ada geng bermain. Sekarang semakin besar dan semakin nakal.



Dua-dua kucing ni kucing jiran. Sebab derang ni datang berdua tu saja panggil Kak Siam. Yang kuning tu dah mati.
Kisah seekor lagi ni namanya Kak Siam sebab jenis siam. Mata biru tau. Saja bagi gelaran ‘kak’ sebab selalu datang dengan kucing lain yang kecik sikit macam adik dia. Dia duduk rumah jiran (dalam 50 meter jaraknya) kiranya pendatang juga, bela di luar. Duduk rumah jiran tapi dia selalu datang rumah saya makan tiga kali sehari. Tak cukup makan kut, ibu mengandung. Beranak rumah jiran, tapi dia tetap datang makan ke rumah saya. Walaupun jiran ni dah meninggal dunia dan tiada siapa yang nak beri makan, dia akan datang rumah saya dan lepas makan akan balik semula ke rumah jiran sebab anak-anak dia ada di sana.


Dengan tak semena-mena sempena bulan Muharam, pandai pulak dia bawak anak dia dua ekor datang rumah saya berhijrah. Azam baru le tuh. Kecik-kecik lagi anaknya mungkin dalam 3-4 bulan.  Memang dalam ketakutan je sebab suasana baru. Nampak orang sahaja cabut lari bawah kereta. Dalam seminggu dia duduk, masa saya pergi KL entah macam mana anaknya dah tak ada, tak dapat dikesan. Memang maknya lari dari pagar pergi ke rumah jiran sambil mengiau mencari anak. Bila dah letih dia diam duduk termenung. Lepas tu mula pergi balik sambil mengiau. Saya syak ada kucing jantan yang datang sebelum ni bunuh. Tak tahu la mitos ke apanya, tapi kucing jantan memang bunuh anak kucing jantan. Ha betui ke? Cuma teringat masa bela kucing dulu-dulu, yang anak kucing betina idak dikacaunya tapi yang jantan mati.


Kak Siam dengan anak-anaknya masa baru berhijrah.

Ataupun sebab kedua-duanya selalu lari bawah kereta dan masuk enjin lepas tu.. huhuhu. Entahlah tapi memang tak dapat dikesan jejak. Maknya la kesian, kemurungan. Kadang bila dia nampak kereta warna merah, dia akan masuk bawah tu dan mengiau. Huwaa. Kesiannya. Perkara ini berlarutan dekat 3 bulan. Alhamdulillah masa berlalu, keceriaan mula kelihatan bila nampak dia melompat-melompat mengejar tupai. Hanya masa sahaja yang mengubatnya.

Itu kalau kucing, tapi kalau manusia yang murung, jangan buat pasal nak tunggu lama, sila dapatkan rawatan.

Dari catatan fb Hafiza Razali (Medical Doctor & Pharmacology Lecturer)

Simptom Depresi

  1. Perasaan sedih sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu.
  2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti yang disukainya sebelumnya.
  3. Kurang selera makan atau berat badan merosot daripada asal dalam waktu yang singkat.
  4. Corak tidur berubah, kurang tidur atau lebih tidur.
  5. Selalu letih dan kurang tenaga
  6. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu perbuatan atau merasa diri tidak berguna.
  7. Tidak mampu memberikan perhatian. Konsentrasi yang terjejas.
  8. Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai rancangan untuk membunuh diri.
  9. Gejala ini menjejaskan fungsi seharian individu sama ada daripada aspek sosial atau pekerjaan.


Sila dapatkan rawatan.

Tuesday, April 16, 2019

Zombie Kucing


Kalau tengok cerita Zombi Kampung Pisang, kita boleh tertawa melihatnya walaupun nak digambarkan mukanya seram, tetapi bila tengok kucing yang dijangkiti penyakit Sporo ni, kita akan jadi sedih sangat bila tengok keadaannya. Kenapa dikatakan zombie? Sebab dia boleh berjalan macam biasa tapi mukanya dah ‘berlubang’ seperti kawah akibat jangkitan. Boleh google gambar, tak sanggup nak menangkap gambar bila tengok keadaan macam tu.

Sporo merupakan sejenis penyakit kulit yang lambat sembuh. Mulanya lukanya kecil (sebesar syiling 5 sen) sahaja di atas dahi tapi dalam masa 3 hari dah kelihatan menanah, membesar dan berlubang sekitar dahi sehingga mata hanya boleh dibuka kecil sebab nanah dan air tu mengalir.

Mengimbas semula 6 tahun lalu, ketika itu saya tak tahu sangat pasal penyakit ni. Ia menjangkit kucing pendatang yang selalu datang rumah.  Cuba mengubatinya dengan kunyit dan air gamat tetapi tak mahu baik malah setiap hari kelihatan luka membesar. Setelah dibawa ke klinik veterinar kerajaan, katanya tak boleh buat apa di situ tapi boleh cuba bawa ke klinik swasta di Taiping. Biasanya susah naik baik dan kos agak tinggi.

Dia boleh berjalan dan makan macam tiada sakit apa-apa tetapi mukanya seperti ‘dimakan’ sesuatu. Bila dah lama tu, memang keadaan dah teruklah, tiada selera makan dan lebih banyak duduk. Tidur tersengguk-sengguk. Lalat menghurung muka yang berlubang. Tiada daya upaya nak bawa ke Taiping pula. Cuma bersih luka sahaja yang mampu.

Dalam waktu yang sama, saya pula luka di jari tengah. Terbelah sikit sahaja di sendi jari terkena gunting. Tampal dengan plaster je. Dekat seminggu tak baik pula luka tapi jadi macam bisul. Geram pula mencari punat nak keluarkan nanah. Luka biasa je jadi rawat sendiri di rumah. Tiba-tiba dia jadi macam ada bonggol tapi tiada air atau nanah. Barulah pergi Hospital Kuala Kangsar. Doktor bagi ubat sapu antifungal.

Dekat seminggu, tiada apa-apa perubahan. Pergi hospital lagi dan doktor bagi ubat sapu yang lain dan ubat makan rasanya. Antibiotik kut. Tak ingat. Besarnya luka tu hingga orang bank boleh tegur, kenapa? Masa tu ada urusan nak cap jari. Kiranya macam pakai cincin batu akik orang dulu-dulu yang boleh kelihatan jelas.

Tiada perubahan juga ubat kali kedua, sampai doktor yang merawat tu pun pening-pening tak tahu kenapa dan dia panggil doktor di sebelah untuk tengok. Akhirnya dia bagi surat rujukan untuk pergi ke Hospital Ipoh bahagian kulit (dermatologi).

Sebelum nak pergi ke Ipoh tu elok pulak kawan bercerita pasal kucing yang sporo ni dan boleh berjangkit. Saya macam tak percaya je, eh takkanlah boleh berjangkit sebab sebelum ni pun saya bersihkan luka kucing tu. Tak ada apa-apa pun.

Semasa di Hospital Ipoh, saya ceritakan jari luka kena gunting tapi tak baik-baik. “Doktor, bolehkah luka kucing berjangkit dengan saya sebab sebelum ini saya ada bersentuhan juga dengan kucing tu tapi tak ada apa-apa pun. Kucing tu ada sporo.”

Doktor tu siap bawa saya ke bilik ketua dia dan terpaksalah mengulang balik cerita. Keputusannya, kena ambil sampel untuk test (biopsi). Kena buat pembedahan kecil ambil kulit (isi?) dekat lengan. Seriau dibuatnya sebab suruh baring nak bedah walaupun kecik je sebenarnya. Hihi. Lepas tu ambil darah dan tunggu keputusan. Minggu depan datang semula.

KEPUTUSANnya, betul ada jangkitan dari kucing tu. Sebelum ini memang saya cuci luka kucing dan tiada apa-apa. Tetapi bila tangan saya tu luka, masa tulah luka tu berjangkit. Memang tak sangka sungguh sebab luka saya tu kecik je. Doktor bagi ubat makan, berkotak-kotak sampai tak muat tangan membawanya dan ubat sapu untuk luka di jari. Saya tak ingat nama ubat sebab dah lama. Dalam masa beberapa minggu, ambil darah dan jumpa doktor semula. Alhamdullillah tiada jangkitan lagi dah.

Walaupun ada rasa risau (belum sampai trauma) bila tengok kucing mula luka ni tetapi memang tak akan ketepikan mereka. Malah akan lebih berhati-hati mengendalikannya.  Parut masa ambil sampel masih kelihatan. Itu jadi peringatan. Silalah pakai sarung tangan untuk mengendalikan luka-luka ni. Bacaan lanjut untuk mengetahui penyakit sporo ini boleh dibaca di sini. Jelas penerangannya.

Thursday, January 24, 2019

Rawatan Kucing Pendatang

Rumah saya memang tempat kucing selalu datang. Kadang orang buang ke kawasan ni. Nak beri makan tu bukanlah masalah besar. Kadang diberi makan sampai jadi manja dan nak duduk dalam rumah. Kucing saya yang seekor ni bukannya boleh berkongsi. Dia nak duduk sekor-sekor dia je.

Kuntum, Si Tuan Rumah

Ada juga kucing yang dah diberi makan tapi liar je. Kalau nak pegang, dia lari. Masalah timbul bila kucing pendatang ni sakit.

Biasa kalau musim biang ni kucing jantan suka bergaduh, mulalah luka sana luka sini. Dan biasanya juga kucing ni kena bisul, tetiba je bengkak dan bila pecah keluar nanah dan air. Euww. Mulalah lukanya besar. Post ni tak akan letak gambar-gambar luka, geli la pulak kalau orang tengah makan, kan. So gambar yang sudah ditapis sahaja.

Kalau kucing pendatang yang manja ni, walaupun boleh dipegang, bila kita nak bawa dia pergi klinik, mulalah garang ya amat. Abis kita dicakarnya. Kucing yang liar ni lagi lah tak boleh nak bawa langsung. Jadi apa rawatan yang sesuai untuk kucing ini? Dua barang je penting. Sama ada serbuk kunyit dan air gamat. Ini untuk penyakit yang tak kritikal ya, kalau luka terlalu besar perlu bawa ke klinik untuk dijahit.

Kalau kucing tu luka, tabur je serbuk kunyit atas luka tu. Ia akan mengeringkan. Buat sampai luka tu kering.

Kucing ni tau datang time makan. Liar je. Tabur je serbuk kunyit tu. Janganlah pula ditambah garam, udah macam nak goreng ikan pula. 

Kalau yang bisul pecah tu pula saya campak je air gamat. Memang la pedih, tapi dah dia tak nak dibawa ke klinik, buat la rawatan alternatif. Lebih elok kalau dapat tekap dengan tisu dan letak dekat luka tu. Tapi biasanya jaranglah dapat, dia nampak kita pegang botol tu pun dah agak-agak nak lari. Nak taruh pun perlu diumpan dengan makanan terlebih dahulu.

Yang penting, walaupun kucing pendatang, rawat dia setakat yang kita mampu. Klinik veterinar kerajaan harganya berpatutan.
Kucing ni saya dah salah diagnosis hihi. Sebab dia liar dan susah nak dibawa, saya just  pergi klinik dan beritahu  masalah dia. Esok-esoknya masih tak baik sampailah dia lemah tak larat nak melawan baru boleh bawa ke klinik.



Wednesday, August 15, 2018

Nasib Kucing Betina.


Kawasan rumah saya selalu didatangi kucing betina. Dibuang dik orang agaknya. Diskriminasi berlaku bila ramai yang lebih suka bela kucing jantan sebab tak adalah beranak-pinak di rumah. Kadang yang datang ni masih remaja. Kesian. Bela di luar sahaja. Bagi makan. Mengkala datang musim kucing gatei, tidak berapa lama kemudian, kucing yang datang ni pulak mengandung. Ha mulalah membiak generasi seterusnya. Nak pula kucing ni setahun pun dah dua tiga kali mengandung. Tu yang tak upaya kita nak membelanya. Mujurlah duduk kawasan kampung. Berkongsilah laman dengan makhluk Allah yang lain. Biarkan dia liar di luar sahaja.

Masalahnya dah ada 3 ibu kucing yang datang ke kawasan rumah ni. Tapi yang sebenarnya emak saudara saya yang lebih banyak bela. Kami berkongsi laman yang sama.



Yang ni sebenarnya dah pernah nampak dia dari rumah sebelah, tapi selalu juga datang makan di rumah masa dia mengandung. So dah agak bukan kucing orang sebelah. Sekali, masa dia datang makan, mak saudara tengok perutnya dah kempis, “Mana anak kamu?” saja sembang-sembang ngan kucing. Malam tu dengar bunyi anak kucing belakang rumah. Dia bawak anaknya 4 ekor. Ya Allah, faham bahasa rupanya kucing ni. Udah terpaksa bela pula. Tambahan anak-anaknya warna bulunya cantik. Udah dua kali beranak di sini. Kiranya dah jadi penduduk tetap tapi  bela di luar sahaja. Ni namanya Mak Bu (Kelabu).


Yang ni jantan. Datang kemudiannya.  Remaja. Kami syak dia ni anak Mak Bu yang sebelum ni sebab tak marah pun. Warna pun nak sama. Ni namanya Anak Bu.  (Banyak sangat datang, tak tau nak beri nama apa jadi hanya ikut fizikal).

Yang ni anak yang baru, nampak ke yang dalam longkang renit-renit 4 ekor tu?

Ini Mak Tam. Mula-mula datang dengan anak kecik seekor. Setelah dirisik-risik, dapat tahu jiran punya. Tapi tak tahulah apa ceritanya, sama ada tak diberi makan ke tapi selalu datang makan di rumah mak saudara.  Waktu malam dia balik rumah pula. Anaknya ditinggalkan. Entah macam mana, boleh pula menetap  di sini. Anak yang seterusnya beranak di sini. *Pening.  Anak tiga ekor.  Satu mati. Tinggal dua sedang meningkat remaja. Nasib baik jantan. Kalau betina, bertambah lagilah lapisan generasinya. Macam zaman jahiliah pula ya. Automatik berperasaan begitu huhu.

Zoom dari atas.

Ni anak Mak Tam yang mula-mula datang. Namanya Cetokin (stoking) Dari anak kucing udah meningkat remaja. Udah beranak sulung pula. Dua ekor anaknya. Beranak di tempat lain. Bila anak dah besar sikit, diangkut semula balik ke rumah. Dua-dua mata biru.

Peh! Peh!, tak padan-padan dengan cinonit nak marah orang hahaha. Cat-therapy

 Penyayangnya Cetokin, teman anak-anak main. Elok-elok dalam hutan ada ular. Mungkin itu pesanan emaknya

Duduk di kawasan stor. Kalau saya datang dekat, derang ni dah lari menyorok.

Siapa tak kesian, bila tengok kucing betina yang datang macam ni. Sarat nak bersalin ni.
Gambar dari Twitter Dr Afiq Vet

Berserikan wajah ibu mengandung?



Gambar x-ray kucing mengandung, nak tengok anak kucing ada berapa ekor berpandukan daripada tulang belakang. Dr Afiq ada buat thread pasa kucing mengandung ni. Boleh Google untuk baca lebih lanjut. 

Fakta ibu kucing. (Sumber:  Buku Doktor Vet Menulis, Vet Rangers Enterprise, Dis 2016)
1.      Tempoh bunting kucing adalah selama 64-67 hari
2.      Selama 15-18 hari kebuntingan, payudara kucing sudah mula membengkak dan kemerah-merahan.
3.     Seperti manusia, kucing juga mengalami gejala muntah-muntah dan kurang selera makan ketika awal tempoh kebuntingan.
4.      Kucing boleh bunting dan beranak-pinak sebanyak empat kali setahun,

Sayangi kucing betina. Meow.