Tuesday, August 28, 2018

Pemulangan Tambang Tiket ETS


Pernah tak anda dah check masa dan hari tiket keretapi atau bas tapi masih tak nampak kesalahan dan hanya ternampak bila esoknya nak berlepas. Jeng jeng jeng. Aduhai. Nasib baik tiket keretapi je, kalau tiket flight, rugi besar ni.

Saya beli tiket ETS dari Kuala Kangsar ke Taiping dua hala. Memandangkan janji dengan kawan yang dari KL untuk naik tren yang sama, jadi berpandukan nombor  tren dia dan masa berlepas, saya beli di Kuala Kangsar. Kami jumpa dalam tren. 

Saya lebih suka beli di kaunter berbanding online sebab stesennya tak lah jauh sangat, alang-alang memang ke pekan. Singgah je. Senang minta kat orang tu je. Dah siap tulis atas kertas nombor tren, masa dan destinasi dan bagi di kaunter. Dapat tiket. Semak. Betul masanya.

Hari nak bertolak, semak sekali lagi tiket pergi dan balik. Baru perasan tiket nak balik tu salah. Perbezaan am dan pm. Fuh. Pilih tiket 8.21pm. Dibaginya 8.21 am. Masa tengok tiket kawan tu, waktu 24 jam (20:21) saya tukar 8.21pm. Mungkin orang di kaunter perasan am dan boleh pula ada tren waktu yang sama. Tengok balik kertas yang saya tulis tu, nombor tren memang lain. Salah sendiri. Cepat-cepat cari tiket online kena beli lain, tinggal 3 seat je lagi.  Sempat direbut.

Menyesal betul salah tengok, walaupun RM13 je, makan nasi pun kenyang ya amat tu. Try tanya di kaunter kut boleh dapat balik duit. Kalau bas boleh dapat separuh balik duit. 

Ya boleh dapat 50 %, kena isi borang, tulis nama, ic dan tanda tangan. Kalau pulang tiket lebih awal (lebih 72 jam daripada waktu berlepas pemulangan tambang         75 %).



Perkara penting yang kita perlu perhatikan bila dapat tiket.

1)      Destinasi kita betul tak.

2)      Tarikh dan waktu berlepas. Masa yang diberi 24 jam. Tapi biasanya orang kaunter tu tulis waktu 12 jam  dengan pen besar-besar supaya orang tak tersalah tengok.  Walaupun saya ni anak askar yang sepatutnya biasa dengan waktu 24 jam, hanya beberapa waktu sahaja yang terus boleh tukar dalam kepala iaitu:
1300 – 1pm
1400 – 2pm
1500 – 3 pm
2000 – 8 pm
2100 – 9pm
2300 – 11pm

Untuk waktu-waktu yang lain, kira dengan tangan hahaha.

Waktu berlepas penting untuk kita, waktu tiba penting untuk beritahu orang yang akan ambil kita. Jangan tersalah beritahu pula, melangut di stesen keretapi pula nanti.

3)      Nombor  tren, penting masa kita nak naik nanti. Tengok di papan pemberitahuan. Kadang kala ada tren yang lambat, jadi tren kita akan jadi lambat juga. Bila tren yang tu sampai, kita ingat itu tren kita sebab sampai waktu kita. Sedangkan tren kita pun akan jadi terlewat sedikit. Bagi mengelak sebarang keraguan pastikan nombor tren di tiket dengan jadual.

Kita juga dapat pastikan sama ada keretapi ini kelas Platinum atau Gold. Platinum tak banyak berhenti. Macam tiket saya ni, dia tak berhenti di stesen Padang Rengas. Tapi untuk Gold dia berhenti di Padang Rengas. Beza tiket, RM1 je.  Kebiasaannya orang ambil ikut masa je, tak pedulilah gold ke platinum ke. Janji dapat tiket. Ya tak?

4)      Tempat duduk.  

5)      Tambang. Sila semak baki yang diterima setelah membeli tiket.


Wednesday, August 15, 2018

Nasib Kucing Betina.


Kawasan rumah saya selalu didatangi kucing betina. Dibuang dik orang agaknya. Diskriminasi berlaku bila ramai yang lebih suka bela kucing jantan sebab tak adalah beranak-pinak di rumah. Kadang yang datang ni masih remaja. Kesian. Bela di luar sahaja. Bagi makan. Mengkala datang musim kucing gatei, tidak berapa lama kemudian, kucing yang datang ni pulak mengandung. Ha mulalah membiak generasi seterusnya. Nak pula kucing ni setahun pun dah dua tiga kali mengandung. Tu yang tak upaya kita nak membelanya. Mujurlah duduk kawasan kampung. Berkongsilah laman dengan makhluk Allah yang lain. Biarkan dia liar di luar sahaja.

Masalahnya dah ada 3 ibu kucing yang datang ke kawasan rumah ni. Tapi yang sebenarnya emak saudara saya yang lebih banyak bela. Kami berkongsi laman yang sama.



Yang ni sebenarnya dah pernah nampak dia dari rumah sebelah, tapi selalu juga datang makan di rumah masa dia mengandung. So dah agak bukan kucing orang sebelah. Sekali, masa dia datang makan, mak saudara tengok perutnya dah kempis, “Mana anak kamu?” saja sembang-sembang ngan kucing. Malam tu dengar bunyi anak kucing belakang rumah. Dia bawak anaknya 4 ekor. Ya Allah, faham bahasa rupanya kucing ni. Udah terpaksa bela pula. Tambahan anak-anaknya warna bulunya cantik. Udah dua kali beranak di sini. Kiranya dah jadi penduduk tetap tapi  bela di luar sahaja. Ni namanya Mak Bu (Kelabu).


Yang ni jantan. Datang kemudiannya.  Remaja. Kami syak dia ni anak Mak Bu yang sebelum ni sebab tak marah pun. Warna pun nak sama. Ni namanya Anak Bu.  (Banyak sangat datang, tak tau nak beri nama apa jadi hanya ikut fizikal).

Yang ni anak yang baru, nampak ke yang dalam longkang renit-renit 4 ekor tu?

Ini Mak Tam. Mula-mula datang dengan anak kecik seekor. Setelah dirisik-risik, dapat tahu jiran punya. Tapi tak tahulah apa ceritanya, sama ada tak diberi makan ke tapi selalu datang makan di rumah mak saudara.  Waktu malam dia balik rumah pula. Anaknya ditinggalkan. Entah macam mana, boleh pula menetap  di sini. Anak yang seterusnya beranak di sini. *Pening.  Anak tiga ekor.  Satu mati. Tinggal dua sedang meningkat remaja. Nasib baik jantan. Kalau betina, bertambah lagilah lapisan generasinya. Macam zaman jahiliah pula ya. Automatik berperasaan begitu huhu.

Zoom dari atas.

Ni anak Mak Tam yang mula-mula datang. Namanya Cetokin (stoking) Dari anak kucing udah meningkat remaja. Udah beranak sulung pula. Dua ekor anaknya. Beranak di tempat lain. Bila anak dah besar sikit, diangkut semula balik ke rumah. Dua-dua mata biru.

Peh! Peh!, tak padan-padan dengan cinonit nak marah orang hahaha. Cat-therapy

 Penyayangnya Cetokin, teman anak-anak main. Elok-elok dalam hutan ada ular. Mungkin itu pesanan emaknya

Duduk di kawasan stor. Kalau saya datang dekat, derang ni dah lari menyorok.

Siapa tak kesian, bila tengok kucing betina yang datang macam ni. Sarat nak bersalin ni.
Gambar dari Twitter Dr Afiq Vet

Berserikan wajah ibu mengandung?



Gambar x-ray kucing mengandung, nak tengok anak kucing ada berapa ekor berpandukan daripada tulang belakang. Dr Afiq ada buat thread pasa kucing mengandung ni. Boleh Google untuk baca lebih lanjut. 

Fakta ibu kucing. (Sumber:  Buku Doktor Vet Menulis, Vet Rangers Enterprise, Dis 2016)
1.      Tempoh bunting kucing adalah selama 64-67 hari
2.      Selama 15-18 hari kebuntingan, payudara kucing sudah mula membengkak dan kemerah-merahan.
3.     Seperti manusia, kucing juga mengalami gejala muntah-muntah dan kurang selera makan ketika awal tempoh kebuntingan.
4.      Kucing boleh bunting dan beranak-pinak sebanyak empat kali setahun,

Sayangi kucing betina. Meow.

Tuesday, August 7, 2018

Al-Quran Panduan Wakaf & Ibtida’


Sekarang ni, pelbagai jenis quran boleh dibeli. Kalau yang terjemahan tu, ada yang khusus pada tajwid, terjemahan per kata, wakaf dan ibtida’ dan pelbagai lagi. Ayuh, dekatkan diri kita dengan al-Quran dan beramal dengannya.



Al-Quran jenis panduan wakaf (memberhentikan bacaan) dan ibtida’(memulakan bacaan) ni sesuai untuk orang yang tak cukup nafas. Tak tahu nak berhenti kat mana dan nak mula di mana semula. Kita bukan boleh berhenti sesuka hati je, lain pula makna.

Dalam bahasa Melayu pun kalau tidak ditandai dengan koma ayatnya jadi lain bila kita salah berhenti.

Contoh:
Saya makan roti Benggali bawah rumah.

Kalau kita terputus nafas seperti ini:
Saya makan roti … Kemudian kita sambung pulak Benggali bawah rumah.

Ha, kan sudah ada dua maksud ayat yang berbeza tu. Hihi.

Nota: Roti Benggali tu roti yang saiz tebal selalu orang buat letak telur goyang tu.


Berikut penerangan Panduan Waqaf dan Ibtida’:

Al-Quran ini tidak sesekali mengubah tanda waqaf yang sedia ada dalam al-Quran. Jika pembaca itu mampu dan berupaya menghabiskan bacaan dan berhenti pada tanda waqaf yang sedia ada dalam al-Quran, maka itu adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Namun, jika terdapat ayat yang panjang dan tidak terdapat tanda waqaf, maka pembaca boleh menggunakan panduan yang disediakan.

Boleh tengok di sini ada tiga warna kat sini iaitu merah, hijau dan biru.
Bagi ayat yang berwarna merah, pembaca boleh memberhentikan bacaan (waqaf) di akhir perkataan yang berwarna merah dan memulakan semula (meneruskan) bacaan (ibtida') di awal perkataan yang berwarna merah.

Bagi ayat yang berwarna hijau yang terletak di hujung ayat yang berwarna merah, pembaca boleh berhenti (waqaf) pada akhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan semula (meneruskan) bacaan di awal perkataan yang berwarna hijau dan tidak perlu mula di awal perkataan berwarna merah.

Bagi perkataan yang berwarna biru. Pembaca boleh berhenti di akhir perkataan yang berwarna biru dan memulakan semula (meneruskan) bacaan pada perkataan selepasnya dan tidak perlu mengulang kembali perkataan yang berwarna biru itu.


Bila perkataan ini diwarnakan, secara tidak langsung kita tahu makna ayat yang berwarna itu. Dan satu lagi yang best al-quran ini ada ada tajuk-tajuk kecil. Oleh itu kita akan lebih fokus penceritaan tentang ayat tersebut. Malah quran ini juga ada asbabun nuzul iaitu sebab ayat itu diturunkan.


Al Quran al Karim dan Terjemah Al-Ghufran dengan panduan Waqaf dan Ibtida'
Keluaran Telaga Biru.
Harga ketika beli beberapa tahun yang lalu, RM:80.00