Friday, December 29, 2017

Merasa Kemeriahan Subuh Di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 2)

1 Disember, Maulidur Rasul. Jika di Malaysia, pastinya selawat dan lagu Rasulullah nyanyian Hijaz sudah berkumandang di radio.

                                    Rasulullah dalam mengenangmu
                                    Kami susuli lembaran sirahmu
                                    Pahit getir pengorbananmu
                                    Membawa cahaya kebenaran

                                    Engkau taburkan pengorbananmu
                                    Untuk umatmu yang tercinta
                                    Biar terpaksa tempuh derita
                                    Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Awal pagi
Namun di Madinah ini saya hanya mendengar selawat dari bilik hotel. Saya tidak pasti adakah inisiatif pengunjung hotel atau hotel itu sendiri. Malas pula nak tengok sebab nak tidur awal.

Merasa berjemaah subuh di Masjid Nabawi. Hari Jumaat pula tu, penghulu segala hari. 2.30 pagi lagi dah bangun. Tak jadi masalah sebab di Malaysia pukul 7.30 pagi. Pukul 3 pagi meriah di jalan. Ramai yang lain dari hotel berdekatan juga sudah mula bergerak ke masjid. Pintu 25 itulah pintu keluar masuk kami. Malah kalau ditenang-tenang, memang boleh nampak terus ke hotel. Datang awal-awal ni bolehlah pilih tempat mana yang nak duduk.

Rutin setiap hari datang ke masjid, minum segelas air zam-zam yang diletakkan di laluan masuk masjid sambil berdoa supaya diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di sini.  Di samping itu isi air zam-zam dalam botol untuk bekal bawa balik. Masa nak balik pun minum segelas lagi.

Ketika azan yang pertama (di sana azannya dua kali, sela waktu lebih kurang satu jam)semakin ramai yang mula memenuhi saf. Penjaga masjid (berpurdah hitam seluruhnya) mula meletakkan tape kuning di ruang-ruang solat yang berpermaidani dan orang ramai akan duduk di bahagian simen. Biasanya kalau dah letak tape kuning tu maksudnya ruang carpet tu dah penuh. Tapi sesiapa yang bentang sejadah di laluan berlapik getah tu siaplah kena halau dengan penjaga ni. Mana taknya, dah memang laluan orang nak jalan. “Ibu ke sini ibu”, “Hajjah! Hajjah! Sini ada kosong.” Begitulah tugas penjaga masjid atau pencuci masjid yang akan memanggil jemaah untuk memenuhi saf. Ramai juga pekerjanya orang Indonesia.  Seronok tengok gelagat orang ramai. Pagi tu, tiba-tiba rasa sejuk, “kuatnya aircond”. Tiba-tiba tengok orang keliling dongak ke atas. “La bila masa pula open air ni?” Rupanya bumbungnya terbuka tempat yang saya duduk tu. Tak sempat tengok dia buka dari awal, tengok-tengok dah ternganga. “Original aircond patutlah sejuk”. Masa tu je yang dapat merasa bumbungnya terbuka.  Hari lain tak dapat pun.

Selepas solat, biasanya ada solat jenazah. Saya tanya rakan sebilik, macam mana tahu? Dia kata memang begitulah kebiasaannya, setiap kali selepas solat memang ada solat jenazah. Selepas beberapa kali baru saya dapat ‘tangkap’ tanda-tandanya, imam akan menyebut ‘solat’ dan ‘mauta’. Sepanjang berada di Madinah dan Mekah  memang setiap waktu ada solat jenazah kecuali ada satu waktu je memang tak ada masa tu. Ambillah kesempatan untuk lakukan solat jenazah, pahalanya bersamaan sebesar bukit Uhud.



Kalau balik solat sahaja, fuh, menderu-deru orang keluar. Lebih baiklah duduk sebentar mengaji  atau baca al matsurat dulu. Hotel sediakan breakfast selepas solat subuh, lunch selepas solat zohor dan dinner selepas solat isyak. Kalau balik hotel pun susahnya sebab nak tunggu lif. Lifnya kecil sahaja, pengunjungnya ramai. Kalau masuk dek orang Turki, mau penuh dah. Alternatif – naik tangga- tapi tingkat 9. Oleh itu alternatif lagi, sebelum balik hotel singgah dulu kedai –kedai yang ada dalam perjalanan balik. Hehe. Tak pernah dibuat subuh-subuh sepii membeli-belah. Memang banyak je kedai buka lepas solat subuh. Taklah beli banyak pun sebab bukan kaki shopping, jadi penasihat pada orang je.
 
Selain kurma, tengok gelang, cincin, minyak atar.
Zoom daripada bilik hotel. Kredit: Adam Ahmad Saifudin

Ruang bawah tu penuh kedai-kedai Kredit: Ahmad Saifuddin
Tepi-tepi hotel ni pun ada kedai-kedai. Kiranya tak susah la kalau nak membeli barang keperluan .

Saturday, December 16, 2017

Perjalanan mencari keredaan Allah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 1)

Memandangkan giliran mengerjakan haji berpuluh tahun lagi, eloklah jika kita dapat mengerjakan umrah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Tengok orang atau artis pergi umrah setiap tahun, kan, mudah je kan.  Tambahan lagi bila cuti sekolah ni iklan umrah berlambak-lambak. Ada yang berkemampuan dari segi duit, tapi niat tu takde, katanya tunggu seru. Ada yang berniat sangat ingin pergi, tapi fulusnya tiada pula.  Namun percayalah bila dalam hati kita dah terdetik nak pergi, peluang untuk pergi itu insyaAllah ada. Banyak ruang dan peluang yang tidak disangka-sangka akan memudahkan perjalanan.

Pertama kali pergi, risau juga sebab ini bukan melancong tapi ibadah. Biasa pergi melancong dengan jeans dan kasut sukan, hai macam tak kena pulak pergi umrah. Syaratnya tutup aurat, kan.  Aha, jubah dan dalamnya jeans.  Mudah nak tolak beg besar.  

Seperti mana kita bersedia untuk menempuh beribadat di bulan Ramadan. Begitu juga untuk umrah. Wajib hadir untuk kursus umrah. Jangan ingat dapat A dalam subjek agama SPM dan baca sahaja daripada buku dah boleh pandai. Mencari ilmu dengan berguru baru ada manfaatnya sebab guru boleh menegur jika ada salah dan membetulkan. Saya hadir 3 kali kursus umrah, bila sampai di lapangan, macam dah lupa juga apa yang dikursuskan.  Terkejut juga bila semua tempat yang pergi seperti miqat, tawaf dan saie memang ramai.  Kena ada orang juga meneman untuk ingatkan.

 Jaga mulut jaga hati itu yang sering dipesan oleh orang ramai. Tanah Haram, apa yang diucapkan makbul.  Kalau yang buruk diucapkan bertambah dosa pula lagi. Dan itu juga yang menjadi sebab ada sesetengahnya takut  nak pergi sebab dapat balasan ‘cash’. “Banyak sangat baca Mastika tu,” kata ustaz masa kursus. Memang betul pun, dari dulu lagi memang selalu baca tu pun. Bermacam-macam seksaan diterima. Alah macam tengok cerita Tanah Kuburlah. Balasan yang baik tu sedikit sekali diceritakan. Tapi jangan lupa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Kenapa kita tak ubah kepada, kita cakap yang baik pun dapat ‘cash’ terus.  Contoh mudah, saya  beli makanan nasi dan ayam panggang. Lepas tu kawan sebilik terpandang pula fun fries, teringin sangat nak makan. “Jom beli.” Saya cakap, ni pun dah banyak, tak terhabis nanti. Masa balik ke bilik eh eh, ada pulak 2 batang fun fries dalam tu. Dapatlah hilang kempunan dia nak makan. Padahal semalam masa beli menu yang sama tak ada pula kentang tu. Itu benda yang nampak. Sedangkan banyak lagi nikmat yang Allah kurniakan yang tidak terjangkau di fikiran kita.

Mengerjakan umrah, peluang untuk  kumpul pahala banyak-banyak. Malah untuk mengenali lebih dekat Rasulullah dan sahabat.  Menaiki Saudi Airlines kami seterusnya mendarat di lapangan terbang Madinah. Ahlan wa sahlan Madinah. Bandar raya Nabi.  Alhamdulillah. Hanya kami sahaja ketika itu, urusan imigresen berjalan lancar cuma masalah beg lambat keluar.  Keluar sikit lepas tu conveyor berhenti. Sebenarnya awal penerbangan lagi ada masalah kargo dan dia pindahkan barang. Rasanya  itu sebabnya. Ujian pertama, tunggu beg.  Zohor dah masuk. Kalau solat sekarang, tiba-tiba beg keluar, siapa pula yang nak ambik. Masih fikir keduniaan lagi tu.  Semua ingat nak solat kat hotel saja rancangan awalnya.  Akhirnya, ada jemaah bersuara, jom kita solat. Muhasabah diri. Orang sana, masuk sahaja waktu solat, memang semuanya solat, semuanya ditinggalkan. Dan di mana-mana sahaja boleh solat, bentang lapik, menghadap kiblat dan solat.
KLIA
Perjalanan ambil masa 8 jam 27 minit. Sampai tu patutnya tengah hari.
Sedap juga nasi lemak dalam ni. 
Cantik binaan di airport Madinah ni

Tunggu beg


Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu, Ya Allah. Jangan kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan kau uji kami dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami, Ya Allah. Astaghfirullah
– petikan daripada buku Prof Mohd Kamil, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Saya tulis doa ni di post-it notes dan tampal di buku untuk dijadikan panduan dan reminder selalu. 
Laluan ke Masjid Nabawi
Dataran Masjid Nabawi

Perjalanan ke hotel melalui tanah perkuburan Baqi, kemudian ternampak orang berbondong-bondong dari satu arah. Kelihatan menara dan ‘payung’ dari kejauhan, walaupun hanya melihat Masjid Nabawi daripada gambar sahaja, confirm dah inilah masjid yang dirindui oleh ramai orang yang telah menziarahinya.  Hotel Durrat Andalus  nama hotel kami, menjadi tempat persinggahan ramainya jemaah Indonesia, Malaysia dan selebihnya Algeria dan Turki. Sebaik sahaja dapat kunci cepat-cepat bersiap nak solat maghrib. Tak tahu juga arah yang dekat sebenarnya. Dalam lif jumpa orang Algeria. Dia tegur, “Jemaah”, kitaorang pun tanya la ikut mana. Cakap Inggeris sikit-sikit sahaja, siap pimpin tangan kami. Memang dekat, lalu 3 blok sahaja. Dia tunjuk air zam-zam suruh minum. Belum sempat ucap terima kasih dah hilang. Indahkan, semua orang Islam itu bersaudara walaupun berbeza warna kulit dan dari mana datangnya.  Kena tahu bahasa Arab ni untuk berinteraksi.  Ada orang tu siap tanya saya, aduhai spontan je jawab “la lughatul arabiah” Haha macam ada yang tak kena je, tapi kira bolehlah tu.  Sebelum datang memang dah hafal sikit-sikit. Lupa eh bila tak biasa.