Thursday, November 27, 2014

Rahsia Menghafaz Surah Yasin

Buku ni dah lama beli, hampir setahun tapi belum ulas sebab belum berkesan lagi hafazan tu. Ya sebenarnya sikap hangat-hangat tahi ayam tu sukar diatasi. Bukan salah buku ni pun. Pelbagai teknik yang boleh diamalkan.  Penulis buku ni kelulusan Ijazah Sarjana Muda(Perniagaan) dari UUM dan menjalankan perniagaan sendiri. Belajar pun di sekolah biasa dan bukan sekolah tahfiz pun tetapi kerana minat yang mendalam dalam bidang keagamaan barulah berguru dengan beberapa guru tahfiz.  

Surah Yasin kebanyakannya memang semua orang dah tahu keseluruhan ayat. Mana taknya kan ke kalau kenduri tahlil, orang meninggal dan setiap malam Jumaat orang biasa baca Yasin. Dari dulu lagi dah amalan tu.  Kadang-kadang bila orang baca tu boleh je kita ikut tanpa tengok ayatnya tapi bila disuruh baca sendiri tulah tak pasti ayat mana yang dulu ayat mana yang kemudian. 

Sebenarnya ia berada di minda bawah sedar cuma kena asah. Contohnya macam kita bawa kereta manual, automatik kita tau nak tukar gear mana, reverse macam mana walaupun masa tu kita tengah bersembang dengan penumpang. Tak payah tengok gear pun dah tahu. Ha macam tulah Surah Yasin, dah biasa dengar dan dah ada dalam minda cuma tak dibiasakan melafazkannya itu yang kena juga pegang buku Yasin bila nak baca tu.


 



Tajuk: Rahsia Menghafaz Surah Yasin

Penulis: Abdullah Abu Mustofa
Penerbit: Pena Gemilang S/B, Ampang        Cetakan Pertama 2011
ISBN: 978-983-43595-4-6
Harga:RM 12.90 tetapi di KB1M, UTC KL harga RM11
Halaman: 120 muka surat
Sinopsis:
Menghafaz surah Ya-Siin bukanlah satu perkara yang mustahil walaupun untuk orang awam seperti kebanyakan kita. Alangkah baiknya jika umat Islam yang telah mengamalkan pembacaan surah ini sejak sekian lama dapat menghafaznya supaya apabila mereka sudah tua, uzur dan tidak dapat melihat nanti, surah YaSiin dapat kekal menjadi peneman dan penyejuk hati.  

Buku ini perlu dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin tahu cara menghafaz surah ini khusus untuk orang awam. Kandungan buku ini perlu diketahui oleh sesiapa sahaja yang menginginkan supaya surah yang selama ini dipegang di tangan dapat disimpan dan dijaga dalam hati. 
      
        Komen: 
         
         Antara strategi hafazan yang ada di dalam buku ini: 

  1. Pilih satu jenis mushaf sahaja
  2. Baca berkali-kali 
  3. Baca sehingga fasih berpandukan ilmu tajwid
  4. Dengar berkali-kali
  5. Bayangkan halaman mushaf
  6. Fahami maksud
  7. Niat dan fikir untuk menghafaz
  8. Jangka masa untuk menghafaz
  9. Kepentingan bahasa Arab 

               Keterangan lanjut kena tengok dalam buku ni lah.


Sebenarnya rujuk balik buku ni bila rasa tercabar tengok budak 5 tahun boleh hafal surah al-Kahfi 1-10. Di dalam slot Raudah di Nasional FM; dari ceramah ustaz ni;   sekarang ni dunia akhir zaman dan dah banyak tanda kiamat yang telah ditunjukkan. Begitu juga cerita Al-Quran yang ‘hilang’ ayatnya. Muka surat jadi kosong. Kebanyakan ayat yang hilang tu adalah surah al-Kahfi. Oleh itu kita disuruh hafal kerana surah ini akan dibaca di hadapan dajjal (yang akan datang nanti) untuk elakkan fitnah dajjal.  Sekarang ni baru peringkat nak biasakan diri mendengar ayat ni. Semoga berjaya. Ucap pada diri sendiri haha. At least dapat hafal 10 ayat.

Kita digalakkan baca surah al-Kahfi ni, lepas maghrib hari Khamis hingga lepas maghrib Jumaat keesokan harinya. Antara tips yang diperoleh dari page FB Tarbiah Sentap untuk menghabiskan bacaan surah al-Kahfi  

Tips dan trik nak habiskan surah Al Kahfi.

---

Cara untuk habiskan al kahfi :

Split 3 kali bacaan. Ayat ada 110.

1) Start lepas subuh, habiskan ayat 1 sampai Ayat 31.

Sebab ayat 32 tu dah masuk cerita lain, nanti tak syok nak follow up baca terjemahan dia kalau tergantung. Ayat 32 dah masuk cerita pasal dua lelaki dengan kebun tu.

2) Sebelum solat jumaat, sambung ayat 32 sampai ayat 59. Kalau larat sambung lagi dari 60 sampai 82. Tu dah masuk cerita pasal Nabi Musa dengan Nabi Khidir.

3) Lepas solat Jumaat tu habiskan je ayat 83 sampai 110 tu.Tak ada la semput sangat. Ayat 83 tu start dengan kisah Zulkarnain.

Moga ada manfaat!

Sunday, November 16, 2014

Kawan



Form 5

 Ada kawan tadika (hmmm tak ingat langsung siapa kawannya), kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah, kawan universiti, kawan serumah dan kawan sekerja.  


Kawan, cerminan diri kita. Biasanya kita mesti cari kawan yang boleh geng dan ‘masuk’ dengan kita. Masa sekolah, pandai biasanya sama pandai. Yang sederhana ni walaupun boleh juga masuk golongan kelas pandai tapi biasanya jadi canggung sebab yang pandai ni biasanya anak-anak orang besar/kaya.  Jadinya lebih selesa kalau geng dengan kelas yang tak berapa pandai ni. 
Lower 6.

Kawan serumah, biasanya bila dah duduk di KL lebih ramai jumpa kawan yang bukan senegeri dengan kita. Berbeza budaya, adat dan loghat. Sehingga kita bercakap pun kena hati-hati.  Cakap lain, makna lain. Yang faham lain. Masing-masing pening. 1st year sahaja lepas tu masing-masing dah boleh faham. Kawan serumah ni lah yang akan tahu buruk baik kita sebab dah serumah. Kena selalu bertoleransi. Bila asyik tak puas hati itulah yang asyik bertukar rumah sewa sahaja.  Sepatutnya kawan inilah yang akan menjadi kawan rapat tapi disebabkan berlainan negeri dan jarang berjumpa, yang rapat pun boleh jadi jauh.

Kalau rakan sekolah/sekampung menjadi rakan serumah juga tak berapa elok. Bila tak puas hati, rajuknya akan berpanjangan hingga ada yang berpatah arang berkerat rotan. Memang kalau boleh nak elak daripada berjumpa sebelum tercetus semula luka lama.
Upper 6
Kawan sekerja pun boleh jadi rapat sebab berkongsi ‘sasaran’ yang sama iaitu Bos. Ni bab kalau tak puas hati, memang kena cari geng untuk sesi luahan perasaan. Hehehe..tak baik tau tapi tak boleh elak. Biasanya juga dia tak boleh geng langsung dengan orang yang suka ‘kipas’ bos. Nak cari nahas? Tapi rapat pun masa kerja kat situ sahajalah. Bila bertukar tempat dan lain negeri memang jadi renggang lah.


Hanya yang akan kekal rapat. Kawan sekolah yang sama kampung.  Walaupun merantau jauh, pasti akan balik ke kampung juga. Berkongsi makanan kegemaran yang sama, tempat lepak yang sama, loghat yang sama dan kenangan sekolah yang sama. Tambahan pula kawan sekolah ni memang kita dah kenal tabiatnya, kenal keluarganya. Mana taknya, biasanya adik-beradik sekolah yang sama. 

Jadinya kalau jumpa dengan kawan sekolah ni, memang gurau kasar. Jangan ambil hati. Kadang-kadang tak bermaksud pun tetapi janganlah melampau-lampau. Semakin meningkat usia, semakin sensitif (uwaaa) depan nampak ok tetapi dalam hati siapa yang tahu.

     “Memendam rasa, baik yang elok mahupun yang tidak, semuanya pasti meletup. Yang diperam pasti masak, yang direbus pasti mendidih, yang ditanak pasti menjadi bubur.” (Petikan dari entah mana-mana tapi dari pembacaan sebelum ni)

Hati-hati dengan siapa berkawan. Mungkin akan berjumpa dengan kawan yang ‘makan’ kawan atau  yang mengambil kesempatan dan berkawan dengan kita kerana ada kepentingan. Namun jangan terus tinggalkan, cuma berhati-hati. Jangan ikut perangai buruk kawan tetapi jadilah seperti ikan yang tetap menjadi diri sendiri walaupun berada di lautan yang masin.

“Pizza always confuses us … it comes in a square box … when you open it’s round … when you start eating it … it’s triangle! Life and people are also like pizza. Look different, appear different and behave absolutely different” (dari FB)

Kini
Di dalam kuliah di Masjid Ubudiah kelmarin,  bercerita tentang hasad dengki. Hasad boleh ‘makan’ apa-apa amalan yang telah kita buat. Hasad dengki  ini merupakan perasaan dalam hati supaya sesuatu nikmat yang ada pada saudara itu hilang dan dapat dekat kita atau hilang terus supaya dia pun tak merasa.

Contoh:  Bila kita tengok kawan kita ni asyik berganti kereta baru.  Dalam hati dah merungut, “ Asyik-asyik kereta baru. Kena curi nanti, baru padan muka. Menunjuk sangat.”

Puncanya akidah kita tidak betul. Sepatutnya kita berfikir,  siapa yang beri nikmat? Allah. Allah yang beri rezeki pada dia. Dia rajin, aku malas. Padan muka aku!.

Kita dengki sebab tidak dapat berkongsi nikmat (kereta baru) itu. Oleh itu kawan yang kereta baru tu silalah ajak kawan yang dengki ni car pool setiap hari, kot-kot dengan berkongsi nikmat itu hilang dengkinya.. hehehe

‘Semak’ hati agar tidak dihinggapi virus hasad dengki ini. Payah nak buat tetapi memang kena buat. Kena selalu memujuk hati.

Adakah kita mampu menjadi kawan yang baik kepada orang lain?

13 tahun di SKDKKK dan SMRPKKK, berjumpa muka yang sama dari dulu hingga kini. Kalau masuk asrama penuh mungkin ceritanya akan berbeza.

Terima kasih kawan-kawan.

Thursday, November 6, 2014

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Pintu Gerbang sebelum sampai di Kompleks Sejarah

Jalan Pandak Endut. Pandak Endut merupakan orang yangdilantik sebagai wakil untuk membunuh Birch


Bila sebut Pasir Salak, sudah pasti kita akan ingat sejarah JWW Birch yang ditikam ketika sedang mandi. Kompleks sejarah ini sesuai untuk mengenali sejarah ini. Di sini ada Terowong Sejarah yang berbentuk diorama. Maksud diorama hurmmm tak tau.. tapi penceritaan sejarahnya dalam bentuk drama. Kita dapat tengok gambaran situasi masa itu. Bermula dari sejarah awal perkampungan air di muara Sungai Selinsing Perak sehinggalah Perak masa kini. Bukan hanya sejarah di Perak tetapi peristiwa penting yang ada dalam sejarah tanah air kita. Di sini juga kita dapat tengok tapak JWW Birch dibunuh. Kawan saya cerita, dulu-dulu ada rumah bot (rasanya) dan kita boleh jalan dan tengok dengan lebih dekat tapak Birch dibunuh tetapi sekarang ini hanya diletakkan batu peringatan menandakan tapak Birch dibunuh. Secara keseluruhan  menariklah juga tetapi bila masuk mula-mula macam daif aje rupanya dan nampak macam dah lama ditinggalkan sahaja. Huruf di depan kompleks ni pun dah tertanggal. Tandas lagilah tak terjaga, dari rasa nak buang air terus terbantut. 


Menyorot kembali sejarah bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu;  Perjanjian Pangkor 1874 membuka peluang untuk British campur tangan. Perebutan takhta kerajaan Perak antara Raja Abdullah(Raja Muda), Raja Ismail(Raja Bendahara) dan Raja Yusof(Raja Dihilir) menjadi punca Perjanjian Pangkor ini.
Sepatutnya setelah Sultan mangkat, Raja Muda yang akan naik takhta  tetapi pembesar Perak di Hulu Perak telah melantik Raja Ismail yang merupakan Raja Bendahara ketika itu sebagai sultan. 

 Keadaan ini menyebabkan Raja Abdullah telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Andrew Clark untuk meminta bantuan. Apalagi, Andrew Clark yang baru dilantik ke jawatan itu memang mencari peluang untuk cuba campur tangan dalam politik tempatan supaya dapat membantu menggiatkan lagi penguasaan ekonomi pedagang British di Tanah Melayu.
Pintu masuk ke Kompleks Sejarah
 Kesan daripada Perjanjian Pangkor, British mula menempatkan residen mereka di Perak dan memperkenalkan sistem pentadbiran British di dalam hampir semua aspek kecuali melibatkan agama dan adat. Perlantikan residen ini menimbulkan konflik antara Birch, Sultan dan pembesar Perak. Nama-nama yang akan muncul bila disebut sejarah di Pasir Salak ini ialah Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela, Pandak Endut dan Siputum.
Batu peringatan yang menandakan tapak JWW Birch dibunuh

Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela mengetuai misi pembunuhan JWW Birch. Mereka sentiasa hadir dalam setiap mesyuarat berkaitan rancangan membunuh JWW Birch. Perasaan tidak puas hati ini timbul apabila British cuba menguasai segala-galanya termasuk soal Raja, Islam, kutipan cukai dan bukannya menjadi penasihat seperti dipersetujui dalam Perjanjian Pangkor 20 Jan 1874.

Kronologi pembunuhan JWW Birch

Mesyuarat di Durian Sebatang 21 Julai 1875

 Laksamana mengesyorkan JWW Birch diracun. Sultan Abdullah pula mencadangkan ‘bermain’ hantu jika cadangan meracun gagal. Dato’ Maharaja Lela pula mencadangkan menikam. Selepas rancangan meracun dan ‘bermain’ hantu gagal, satu lagi mesyuarat diadakan.
Sebenarnya beberapa mesyuarat telah diadakan bagi menjayakan rancangan mereka.

Terowong Sejarah ini dikenakan bayaran

Tugu Peringatan Pahlawan Perak

Tugu Peringatan JWW Birch

Mesyuarat 31 Okt 1875
Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam menganugerahkan persalinan kepada Pandak Indut sebagai wakil beliau membunuh Birch. Dalam pertemuan ini, para hadirin dimaklumkan oleh Dato’ Maharaja Lela bahawa Sultan, Laksamana dan Syahbandar mengumumkan dalam beberapa hari lagi J.W.W Birch akan datang ke Pasir Salak dan dia hendaklah dibunuh

2 November 1875
Pandak Indut telah merejam lembing ke arah Birch yang sedang mandi di rumah mandi di rakit. Salah satu rejaman lembing mengenai Birch dan beliau jatuh ke dalam Sungai Perak. Hulubalang-hulubalang Melayu menggeledah kapal Naga dan rumah rakit untuk mencari JWW Birch. Apabila Birch muncul semula beliau telah ditetak di kepalanya oleh Sipuntum. JWW Birch terus tenggelam dan tidak dapat dilihat sehinggalah mayatnya dijumpai dekat Bandar Baru pada empat hari berikutnya (6 November)

Kejadian ini telah menggemparkan Kerajaan British dan bertindak menggembleng tenaga tenteranya dari seluruh Asia termasuk London, India dan Hong Kong. Mereka akhirnya dapat menangkap orang yang terlibat dalam pembunuhan JWW Birch. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Pandak Endut dihukum gantung sampai mati di Bandar Baru pada 20 Mei 1876. Sementara Sultan Abdullah, Laksamana, Shahbandar dan Menteri dibuang negeri ke Pulau Seychelles dan Raja Ismail dibuang ke Negeri Johor.

Rujukan:
1)Buku Panduan Pelawat Kompleks Sejarah Pasir Salak
2)Panduan Diorama  Terowong Sejarah
Kedua-dua buku ini boleh dibeli di kaunter terowong sejarah. Tak mahal pun kedua-duanya, satu RM2 dan satu lagi RM3 so semuanya RM5.
Waktu Lawatan
Isnin-Ahad 9.30 pagi – 5.00 petang
Jumaat       9.30 pagi – 12.00 tengah hari
                    2.45 petang – 5 petang
(Ditutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha)
Bayaran Masuk
Dewasa RM4
Kanak-kanak 7-12 RM2
 
Rumai Kutai