Thursday, October 11, 2018

Cara pergi stesen MRT dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Terminal Bas untuk perjalanan jauh.
Gambar: Carian Google


Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kita boleh naik ERL, Komuter dan LRT untuk pergi ke stesen MRT.
 
ERL
Gambar: Carian Google
MRT memudahkan perjalanan untuk Sungai Buloh sekitarnya juga Kajang dan sekitarnya. 
 
Stesen LRT Bandar Tasik Selatan
Gambar: Carian Google
Pilihan di tangan kita. Nak yang cepat sampai tapi mahal, yang murah tapi lambat atau yang sedang-sedang sahaja harganya. Kalau saya, pilihannya tengok bawak beg besar ke tak sebab kena mengangkut dari satu tempat ke satu tempat. 

Jika naik ERL dan Komuter boleh berhenti di stesen KL Sentral dan dari situ boleh naik MRT di stesen Muzium Negara.  Tak payah tukar-tukar tren tapi masalahnya nak pergi ke stesen MRT tu kena banyak jalanlah juga, naik eskalator, jalan lagi, naik eskalator lagi rasanya  jalan lagi barulah sampai (kira-kira240 m). Tapi ok je sebenarnya sebab berbumbung so jalan santai-santai tanpa risau dibasahi hujan atau panas.

Tapi saya pilih LRT sebab saya rasa pertukaran stesen MRT tu tak jauh sangat jalannya. Cumanya dari TBS tu nak ke stesen LRT kena jalan lebih sikit. Mula-mula dari TBS tu kita akan jumpa ERL dulu, kemudian Komuter dan barulah LRT.

Stesen LRT Bandar Tasik Selatan (BTS)  akan nampak tren Sentul Timur dan Ampang. Kita naik tren yang Sentul Timur tapi kalau dah naik yang Ampang punya pun tak apa cuma kena tukar tren di Chan Sow Lin dan naik tren yang ke Sentul Timur.

Kita nak pergi ke stesen Plaza Rakyat (garis satu di tengah). Perhatikan hentian akhirnya, Sentul Timur. Tu sebabnya kita naik LRT yang tulis Sentul Timur. Tapi kalau dah naik yang Ampang pun tak apa tukar sahaja di Chan Sow Lin (perhatikan pertemuan antara dua garisan tersebut) cuma menyusahkan sebab terpaksa tukar tren dan menunggu tren pulak la.
Boleh nampak KLCC 
Boleh nampak Menara KL
Ok kita dah sampai di stesen Plaza Rakyat. Turun eskalator dah boleh nampak arah MRT Merdeka
Turun di stesen Plaza Rakyat dah nampak sign MRT Merdeka. Tidak perlu exit sebab kita pindah daripada LRT ke MRT je. Bersepadu. Jalan selesa berbumbung.
Pilih laluan MRT sama ada hendak ke Sungai Buloh atau Kajang. 
Saya berhenti di hentian akhir MRT Sungai Buloh. Tambang keseluruhan RM5.  Eh lupa pulak termasuk feeder bus ke tidak ya. Lupa. Tapi feeder bus RM1 je.Guna Touch n Go senang je tak payah nak beli tiket.

                 Ringkasan laluan:

    LRT Bandar Tasik Selatan ---> LRT Plaza Rakyat----> MRT Merdeka ---> Destinasi anda


Feeder Bus MRT. Boleh tengok laluan feeder bus di bus stop. Guna Touch n Go dan 'tap' di mesin? dekat driver dan bila nak turun, 'tap' sekali lagi di mesin pintu keluar. 




Wednesday, October 10, 2018

Madame Bokary II

Buku ni pinjam kawan. Sebab-sebab tertarik nak pinjam buku ni, kawan bercerita kisah penulis ni dengan maknya yang kelakar. Sampai orang yang mendengar ni (saya dan kawan) boleh terbahak-bahak ketawa. Tapi bila baca, peratus lawak tu ada sikit kureng sebab penulisan ni memang tulis bahasa yang betul (bukan bahasa pasar). Pandai betul kawan saya tu bercerita, penglipurlara sungguh. Hahaha. 



Tajuk: Madame Bokary II
Penulis: Fikri Kacak
Penerbit: Studio Anai-anai
ISBN: 978-967-13318-3-5
Harga: RM20.00 (Kedai Buku Popular)     Cetakan pertama dan terakhir 2015
M/S: 128 halaman

Sinopsis:
‘Anak emak’ memang manja. Macam Fikri Kacak. Macam saya. Macam sebahagian kecil ‘anak emak’ di luar sana.

Bukan semua orang sukakan ‘anak emak’. Tetapi, percayalah kami punyai peminat kami sendiri.

Ada orang beritahu, kalau nak pikat ‘anak emak’ – kena pikat emaknya dulu. Sebab 100% rahsia diri si anak berada dalam genggaman si emak. Ini bukanlah buku tentang kami – ‘anak emak’. Ini buku tulisan Fikri Kacak. Dalam buku ini Fikri Kacak bercerita tentang dia dan emaknya. Entahlah, semasa saya membaca teks buku ini, tiba-tiba saya rindukan arwah emak saya.


Komen:
Buku ini menceritakan kisah pendek antara penulis dan ibunya.   Penulis 3 beradik dan dia anak sulung (Along). Kebanyakan kisah tentang along dan ibunya, kisah zaman kanak-kanak, masuk sekolah asrama dan sudah bekerja. Gurauan ibunya selalu tentang badannya yang gemuk  dan tiada calon isteri.

Sesetengah cerita memang ada persamaan je, rasanya semua keluarga pun sama. Contoh kisah makanan sihat. Si emak biasanya ‘terpaksa’ kupas buah siap-siap kalau nak bagi buah tu cepat habis.

“Dah dibelikan, tinggal nak makan pun masih malas lagi!” Emak tinggikan suara bila buah-buahan yang dia beli minggu lepas masih di dalam peti sejuk, tidak berusik.

Bila emak mula kupas buah mangga, epal dan pear yang makin lebam kulitnya, kami mula berkerumun kelilingi emak.

“Ini kalau tak emak yang kupas ni,  sampai tumbuh pokok dalam ice box pun belum tentu ada orang yang kupas.”

Korang sama tak? Haha. Kan. Kalau mak saya, rambutan tu dikupasnya simpan dalam Tupperware dan letak peti ais. Barulah luak. Adoi pemalas betul zaman bebudak tu.

Penulis juga menceritakan tentang dia selalu dipanggil MBJB kerana dia yang selalu kena habiskan makanan. Majlis Bandaraya Johor Bahru rasanya sebab dia selalu cerita pasal Johor Bahru. Saya pula biasanya jadi MDKK (Majlis Daerah Kuala Kangsar – kini MPKK- Majlis Perbandaran Kuala Kangsar). Simbol orang yang akan habiskan makanan-majlis bandaran mana-manalah agaknya sebab masa di KL saya biasanya jadi Alam Flora. Habiskan makanan kawan-kawan selagi terdaya untuk elakkan pembaziran.

Penulis bercerita dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kita akan terasa zaman yang dilalui itu sama seperti apa yang pernah dilalui. Kiranya mengenang memori jugalah bila baca buku ni. Contoh, biji getah. Kalau gesel pada permukaan bersimen ia akan jadi panas. Kemudian kita akan tekap biji getah tu dekat orang lain biar dia terkejut. Jajan chikedees ha sapalah yang tak pernah makan, kan.

Cerita-cerita biasa seharian kini diabadikan menjadi buku dan menjadi memori di kemudian hari. Kini semua orang boleh menulis.

Saturday, September 22, 2018

Bengkel Terjemahan Al-Quran di Semat Quran Kuala Kangsar

Ingin faham al-Quran tapi tak tahu bahasa Arab? Saya sendiri bukan pelajar dari sekolah aliran agama, 'takut' juga nak masuk bengkel ni. Mana taknya ada ke pulak nak terjemah tiba-tiba, kan?

Ustaz tu kata, sebenarnya kalau orang yang tak ada asas ni lagi mudah menyerap sebab dia tak terikat dengan pelajaran-pelajaran yang dulu. Jadi kita bermula daripada zero. Memandangkan saya memang suka belajar benda-benda baru ni, gagahkan juga menghadiri bengkel. Tapi saya ikut bengkel Semat Quran di Ipoh.

Dalam bengkel ni akan diperkenalkan teknik untuk memahami bentuk-bentuk ayat dan pengenalan bahasa Arab ni. Alhamdulillah, saya bermula dengan kelas ni dan terus berminat nak belajar bahasa Arab pula. Semoga dapat istiqamah untuk memahami bahasa al-Quran ini dan mengamalkannya.


Sekurang-kurangnya setiap bulan memang ada kelas terjemahan ni, untuk bulan ini ia akan diadakan pada:

Tarikh:26-30 September 2018 (5 hari)
Hari: Rabu hingga Ahad
Tempat: Dewan Semat Quran Kuala Kangsar.

Bayaran ni termasuk bahan pembelajaran (nota), sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Bagi 10 orang peserta yang mendaftar awal RM350 sahaja. Bagi yang lebih kemampuan boleh je menaja pelajar-pelajar sekolah. Sebelum ni ramai juga yang berbuat begitu. Semoga yang menaja turut mendapat manfaatnya.




Wednesday, September 5, 2018

Kuliah Hadis di Semat Qur’an


Setiap hari Sabtu pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di Semat Quran (SQ)Kuala Kangsar akan diadakan Kuliah Hadis. Nota yang akan dirujuk adalah Nota Hadith Mingguan yang telah ditulis oleh pengasas Semat Quran iaitu Ustaz Baharuddin Ayudin. Hanya RM1 sahaja untuk setiap risalah. Tiada bayaran dikenakan bagi kelas ini tapi infaq mengikut kemampuan bagi membantu pembangunan pusat ini juga. 

Kuliah diadakan setiap minggu hari Sabtu walaupun ianya jatuh pada cuti umum. Jika ada hal yang betul-betul penting sahaja ia akan ditangguhkan.  Cuma penuntutnya la yang celum-celam tak datang. Kadang ada hal sikit je pun terus tak datang. Sebenarnya dah banyak cawangan SQ yang dibuka. Berikut saya senaraikan dan anda boleh jenguk-jenguk ke sini nanti. Mari kita sematkan al-Quran ke dalam hati.
 
Terletak bertentangan dengan Hospital Kuala Kangsar. 

Tadabur dengan merujuk Quran dan Hadis

1) Semat Qur’an (Kuala Kangsar)
No 7 Persiaran Mutiara 1
Medan Mutiara, Jalan Taiping
33000 Kuala Kangsar, Perak.
No. Tel: 017-297 3945 / 017 847 4786
Ayat Quran untuk rujukan akan dipaparkan di hadapan. Kita baca sama-sama.
Nota Kuliah Hadis, cukup lengkap dengan nota kakinya. Terbaik.

Di sebelah dewan kuliah ada Restoran Semat Q. Mai singgah, bukan hanya untuk pelajar-pelajar di sini sahaja. Ada dijual lauk-pauk  dan kuih sejuk beku juga di sini.

Gambar daripada  SQ KK


2) Semat Qur’an (Ipoh)
99 Jalan Meru Perdana 1
Taman Meru Perdana
31200 Chemor, Perak
No. Tel: 05-529 9024/012-350 1593

Di Ipoh juga ada restoran. Jom singgah!

          3) Semat Qur’an (Ampang)
16-L2, Ampang Putra Residensi
Jalan Putra Sulaiman
Taman Putra Sulaiman
68000 Ampang, Selangor
No. Tel: 03-4251 7215 / 019-218 5560

4)  Semat Qur’an(Shah Alam)
No 12 A, Jalan Juruwang A-U1/A
Seksyen U1, TTDI Jaya
40150 Shah Alam, Selangor
No. Tel: 012-345 6703

5)Semat Qur’an (Bukit Mertajam)
 Bilik 3-12 A,
 Medan Perniagaan Pauh Jaya (Frontage)
13700 Jalan Baru, Seberang Perai Tengah
Pulau Pinang
No. Tel: 019-575 7119

Dan yang terkini dan baru dibuka selepas Aidilfitri yang lalu;
 
SQ Sg Buloh. Gambar daripada SQ.
      6)Semat Qur’an (Sungai Buloh)
B-G-13 &14 Jalan Seroja 1/6
Sungai Buloh Country Resort.
47000 Sungai Buloh, Selangor
No. Tel 012-345 6703

Kelas pengajian yang diadakan di sini antaranya ialah:
1.       Kelas Terjemahan dan Pemahaman al-Quran
2.       Kelas Tadabbur al-Quran
3.       Kelas Tilawah dan Tahsin al-Quran
4.       Kelas Nahu dan Saraf
5.       Kelas KAFA
6.       Bengkel/Kursus – Contohnya: Kursus Terjemahan dan Pemahaman al-Quran
7.       Kuliah Hadith Mingguan

Info lebih lanjut boleh semak di www.sematquranonline.ning.com  atau di Instagram dan Facebook juga.
Follow Insta SQ untuk info 
daripada instaSQ





Tuesday, August 28, 2018

Pemulangan Tambang Tiket ETS


Pernah tak anda dah check masa dan hari tiket keretapi atau bas tapi masih tak nampak kesalahan dan hanya ternampak bila esoknya nak berlepas. Jeng jeng jeng. Aduhai. Nasib baik tiket keretapi je, kalau tiket flight, rugi besar ni.

Saya beli tiket ETS dari Kuala Kangsar ke Taiping dua hala. Memandangkan janji dengan kawan yang dari KL untuk naik tren yang sama, jadi berpandukan nombor  tren dia dan masa berlepas, saya beli di Kuala Kangsar. Kami jumpa dalam tren. 

Saya lebih suka beli di kaunter berbanding online sebab stesennya tak lah jauh sangat, alang-alang memang ke pekan. Singgah je. Senang minta kat orang tu je. Dah siap tulis atas kertas nombor tren, masa dan destinasi dan bagi di kaunter. Dapat tiket. Semak. Betul masanya.

Hari nak bertolak, semak sekali lagi tiket pergi dan balik. Baru perasan tiket nak balik tu salah. Perbezaan am dan pm. Fuh. Pilih tiket 8.21pm. Dibaginya 8.21 am. Masa tengok tiket kawan tu, waktu 24 jam (20:21) saya tukar 8.21pm. Mungkin orang di kaunter perasan am dan boleh pula ada tren waktu yang sama. Tengok balik kertas yang saya tulis tu, nombor tren memang lain. Salah sendiri. Cepat-cepat cari tiket online kena beli lain, tinggal 3 seat je lagi.  Sempat direbut.

Menyesal betul salah tengok, walaupun RM13 je, makan nasi pun kenyang ya amat tu. Try tanya di kaunter kut boleh dapat balik duit. Kalau bas boleh dapat separuh balik duit. Ya boleh dapat 50 %, kena isi borang, tulis nama, ic dan tanda tangan. Kalau pulang tiket lebih awal (lebih 72 jam daripada waktu berlepas pemulangan tambang 75 %).



Perkara penting yang kita perlu perhatikan bila dapat tiket.

1)      Destinasi kita betul tak.

2)      Tarikh dan waktu berlepas. Masa yang diberi 24 jam. Tapi biasanya orang kaunter tu tulis waktu 12 jam  dengan pen besar-besar supaya orang tak tersalah tengok.  Walaupun saya ni anak askar yang sepatutnya biasa dengan waktu 24 jam, hanya beberapa waktu sahaja yang terus boleh tukar dalam kepala iaitu:
1300 – 1pm
1400 – 2pm
1500 – 3 pm
2000 – 8 pm
2100 – 9pm
2300 – 11pm

Untuk waktu-waktu yang lain, kira dengan tangan hahaha.

Waktu berlepas penting untuk kita, waktu tiba penting untuk beritahu orang yang akan ambil kita. Jangan tersalah beritahu pula, melangut di stesen keretapi pula nanti.

3)      Nombor  tren, penting masa kita nak naik nanti. Tengok di papan pemberitahuan. Kadang kala ada tren yang lambat, jadi tren kita akan jadi lambat juga. Bila tren yang tu sampai, kita ingat itu tren kita sebab sampai waktu kita. Sedangkan tren kita pun akan jadi terlewat sedikit. Bagi mengelak sebarang keraguan pastikan nombor tren di tiket dengan jadual.

Kita juga dapat pastikan sama ada keretapi ini kelas Platinum atau Gold. Platinum tak banyak berhenti. Macam tiket saya ni, dia tak berhenti di stesen Padang Rengas. Tapi untuk Gold dia berhenti di Padang Rengas. Beza tiket, RM1 je.  Kebiasaannya orang ambil ikut masa je, tak pedulilah gold ke platinum ke. Janji dapat tiket. Ya tak?

4)      Tempat duduk.  

5)      Tambang. Sila semak baki yang diterima setelah membeli tiket.


Wednesday, August 15, 2018

Nasib Kucing Betina.


Kawasan rumah saya selalu didatangi kucing betina. Dibuang dik orang agaknya. Diskriminasi berlaku bila ramai yang lebih suka bela kucing jantan sebab tak adalah beranak-pinak di rumah. Kadang yang datang ni masih remaja. Kesian. Bela di luar sahaja. Bagi makan. Mengkala datang musim kucing gatei, tidak berapa lama kemudian, kucing yang datang ni pulak mengandung. Ha mulalah membiak generasi seterusnya. Nak pula kucing ni setahun pun dah dua tiga kali mengandung. Tu yang tak upaya kita nak membelanya. Mujurlah duduk kawasan kampung. Berkongsilah laman dengan makhluk Allah yang lain. Biarkan dia liar di luar sahaja.

Masalahnya dah ada 3 ibu kucing yang datang ke kawasan rumah ni. Tapi yang sebenarnya emak saudara saya yang lebih banyak bela. Kami berkongsi laman yang sama.



Yang ni sebenarnya dah pernah nampak dia dari rumah sebelah, tapi selalu juga datang makan di rumah masa dia mengandung. So dah agak bukan kucing orang sebelah. Sekali, masa dia datang makan, mak saudara tengok perutnya dah kempis, “Mana anak kamu?” saja sembang-sembang ngan kucing. Malam tu dengar bunyi anak kucing belakang rumah. Dia bawak anaknya 4 ekor. Ya Allah, faham bahasa rupanya kucing ni. Udah terpaksa bela pula. Tambahan anak-anaknya warna bulunya cantik. Udah dua kali beranak di sini. Kiranya dah jadi penduduk tetap tapi  bela di luar sahaja. Ni namanya Mak Bu (Kelabu).


Yang ni jantan. Datang kemudiannya.  Remaja. Kami syak dia ni anak Mak Bu yang sebelum ni sebab tak marah pun. Warna pun nak sama. Ni namanya Anak Bu.  (Banyak sangat datang, tak tau nak beri nama apa jadi hanya ikut fizikal).

Yang ni anak yang baru, nampak ke yang dalam longkang renit-renit 4 ekor tu?

Ini Mak Tam. Mula-mula datang dengan anak kecik seekor. Setelah dirisik-risik, dapat tahu jiran punya. Tapi tak tahulah apa ceritanya, sama ada tak diberi makan ke tapi selalu datang makan di rumah mak saudara.  Waktu malam dia balik rumah pula. Anaknya ditinggalkan. Entah macam mana, boleh pula menetap  di sini. Anak yang seterusnya beranak di sini. *Pening.  Anak tiga ekor.  Satu mati. Tinggal dua sedang meningkat remaja. Nasib baik jantan. Kalau betina, bertambah lagilah lapisan generasinya. Macam zaman jahiliah pula ya. Automatik berperasaan begitu huhu.

Zoom dari atas.

Ni anak Mak Tam yang mula-mula datang. Namanya Cetokin (stoking) Dari anak kucing udah meningkat remaja. Udah beranak sulung pula. Dua ekor anaknya. Beranak di tempat lain. Bila anak dah besar sikit, diangkut semula balik ke rumah. Dua-dua mata biru.

Peh! Peh!, tak padan-padan dengan cinonit nak marah orang hahaha. Cat-therapy

 Penyayangnya Cetokin, teman anak-anak main. Elok-elok dalam hutan ada ular. Mungkin itu pesanan emaknya

Duduk di kawasan stor. Kalau saya datang dekat, derang ni dah lari menyorok.

Siapa tak kesian, bila tengok kucing betina yang datang macam ni. Sarat nak bersalin ni.
Gambar dari Twitter Dr Afiq Vet

Berserikan wajah ibu mengandung?



Gambar x-ray kucing mengandung, nak tengok anak kucing ada berapa ekor berpandukan daripada tulang belakang. Dr Afiq ada buat thread pasa kucing mengandung ni. Boleh Google untuk baca lebih lanjut. 

Fakta ibu kucing. (Sumber:  Buku Doktor Vet Menulis, Vet Rangers Enterprise, Dis 2016)
1.      Tempoh bunting kucing adalah selama 64-67 hari
2.      Selama 15-18 hari kebuntingan, payudara kucing sudah mula membengkak dan kemerah-merahan.
3.     Seperti manusia, kucing juga mengalami gejala muntah-muntah dan kurang selera makan ketika awal tempoh kebuntingan.
4.      Kucing boleh bunting dan beranak-pinak sebanyak empat kali setahun,

Sayangi kucing betina. Meow.

Tuesday, August 7, 2018

Al-Quran Panduan Wakaf & Ibtida’


Sekarang ni, pelbagai jenis quran boleh dibeli. Kalau yang terjemahan tu, ada yang khusus pada tajwid, terjemahan per kata, wakaf dan ibtida’ dan pelbagai lagi. Ayuh, dekatkan diri kita dengan al-Quran dan beramal dengannya.



Al-Quran jenis panduan wakaf (memberhentikan bacaan) dan ibtida’(memulakan bacaan) ni sesuai untuk orang yang tak cukup nafas. Tak tahu nak berhenti kat mana dan nak mula di mana semula. Kita bukan boleh berhenti sesuka hati je, lain pula makna.

Dalam bahasa Melayu pun kalau tidak ditandai dengan koma ayatnya jadi lain bila kita salah berhenti.

Contoh:
Saya makan roti Benggali bawah rumah.

Kalau kita terputus nafas seperti ini:
Saya makan roti … Kemudian kita sambung pulak Benggali bawah rumah.

Ha, kan sudah ada dua maksud ayat yang berbeza tu. Hihi.

Nota: Roti Benggali tu roti yang saiz tebal selalu orang buat letak telur goyang tu.


Berikut penerangan Panduan Waqaf dan Ibtida’:

Al-Quran ini tidak sesekali mengubah tanda waqaf yang sedia ada dalam al-Quran. Jika pembaca itu mampu dan berupaya menghabiskan bacaan dan berhenti pada tanda waqaf yang sedia ada dalam al-Quran, maka itu adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Namun, jika terdapat ayat yang panjang dan tidak terdapat tanda waqaf, maka pembaca boleh menggunakan panduan yang disediakan.

Boleh tengok di sini ada tiga warna kat sini iaitu merah, hijau dan biru.
Bagi ayat yang berwarna merah, pembaca boleh memberhentikan bacaan (waqaf) di akhir perkataan yang berwarna merah dan memulakan semula (meneruskan) bacaan (ibtida') di awal perkataan yang berwarna merah.

Bagi ayat yang berwarna hijau yang terletak di hujung ayat yang berwarna merah, pembaca boleh berhenti (waqaf) pada akhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan semula (meneruskan) bacaan di awal perkataan yang berwarna hijau dan tidak perlu mula di awal perkataan berwarna merah.

Bagi perkataan yang berwarna biru. Pembaca boleh berhenti di akhir perkataan yang berwarna biru dan memulakan semula (meneruskan) bacaan pada perkataan selepasnya dan tidak perlu mengulang kembali perkataan yang berwarna biru itu.


Bila perkataan ini diwarnakan, secara tidak langsung kita tahu makna ayat yang berwarna itu. Dan satu lagi yang best al-quran ini ada ada tajuk-tajuk kecil. Oleh itu kita akan lebih fokus penceritaan tentang ayat tersebut. Malah quran ini juga ada asbabun nuzul iaitu sebab ayat itu diturunkan.


Al Quran al Karim dan Terjemah Al-Ghufran dengan panduan Waqaf dan Ibtida'
Keluaran Telaga Biru.
Harga ketika beli beberapa tahun yang lalu, RM:80.00