Wednesday, April 26, 2017

Sarip Dol versi kucing.

Pasti ramai yang mengenali watak Sarip Dol di dalam filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Watak ketua samseng Kampung Dusun. Ha, ni dia Sarip Dol, samseng di kampung ni.

Cak sikit.

 Mengikut pemerhatian sepanjang berpuluh tahun bela kucing ni, satu-satu masa tu akan ada seekor kucing jantan yang memang gangster la dalam kawasan tu.  Kucing jantan yang lain tak boleh masuk ke kawasan dia. Tak pasal-pasal kena buru nanti. Kalau dia masuk ke kawasan kucing jantan yang lain juga mereka akan beradu kekuatan. Siapa yang menang dia akan survive dan kawasan jajahannya akan lebih besar. Biasanya kucing jantan yang muka-muka ‘jambu’ dan muda-muda ni la yang jadi mangsa kena pukul. Kesian.
Cak banyak
Sarip Dol versi kucing ni,  nama sebenarnya Tiger sebab dari kecil memang warna macam harimau. Corak bulunya pun special. Kucing mak cik saya. Tapi dek kerana jenis garang suka mencakar, saya suruh tuannya tukarkan namanya. Manalah tau, kan, sebab namanya Tiger dia jadi ganas macam harimau. Haha.  Tapi sebab masih ganas lagi, akhirnya saya panggil Tan Tiger. Kat sini gambar Tan Tiger masa kecik.

Ada berani nak lawan saya?
Sebenarnya sebelum ni ‘abangnya’ ketua samseng di kawasan kampung ni tapi sejak dah hilang dan dia pun dah besar, Tan Tiger ni pula ambil alih. Kawasan jajahannya jauh juga lebih kurang 1km lebih dari kawasan rumahnya. Macam mana saya tahu? Jiran yang datang rumah nampak kucing tu, “Lor kucing Kak Gayah ke. Habis gaduh dengan kucing kat rumah tu.” Takpun, “Hai si pusar ni (siap tukar nama tu hehe), jahat betul”.  

Tenungan makrifat
Ha, terbabit sekali tuannya. Hihi. Macam mana pulak nak dilarang kucing tu, kan. Kawasan kampung, memang kucing tu bebas bergerak. Siapa yang kuat, dia akan survive. Kalau musim mengawan, memang tak nampak batang hidung. Tak balik rumah. Mencari aweks. Dua tiga hari kemudian baru balik. Kalau lepas ni dia pulak hilang, akan ada kucing lain yang akan menjadi ketua di kawasan itu. Belum nampak lagi siapa yang berpotensi itu.
Mangsa.  Baru datang. Namanya Si Pucat. Udah macam-macam kucing yang datang dan pergi. Dah tak tahu nak bagi nama apa. Gelaran Si Pucat sebab berwarna pucat. Berguling-guling sampai masuk longkang dipukul si Tan Tiger. Sentiasa kalah. Kena la orang menyelamatkan.

Monday, April 24, 2017

Budak Kripton

Alaf 21/Karangkraf, Telaga Biru, Utusan Publication, Berita Publishing, Dewan Bahasa Pustaka antara nama-nama besar yang memang dikenali bagi pencinta buku. Tapi sekarang ni rasanya macam banyak sangat penerbit-penerbit baru yang muncul. Contohnya macam buku ni daripada Legacy Publishing. Walaupun ada sesetengah majalah yang sudah dihentikan penerbitan sejak ada GST tapi banyak pula la kemunculan penerbit-penerbit baru ni. Itu belum masuk lagi ramai pula yang berkerjaya dalam bidang perubatan, engineering, dan kerjaya lain yang banyak pengikut di FB dan Twitter pun turut menulis buku. Yang memang penulis tak tau pulak nak tulis apa hehehe. Apa-apa pun baguslah bila ramai yang mula membaca buku. Bermakna buku fizikal masih diperlukan dalam industri walaupun dah banyak penawaran e-book. 



Tajuk: Budak Kripton
Penulis: Ammar Kamilin
Penerbit: Legacy Publishing PLT
ISBN: 978-967-0893-22-8
Harga: RM24.00                Cetakan pertama 2016
M/S: 146 halaman

Sinopsis:
Seronok melayan cerita anak-anak. Tanyalah sesiapa pun, soalan paling susah dalam dunia mesti soalan budak-budak. Mak ayah nak jawab pun boleh mendidih otak.

Tidak mengapa. Bapa yang jadi rujukan lebih 5,000 orang ibu bapa ini boleh membantu. Sebab beliau pun ada Budak Kripton di rumah.

Komen:
Tajuk Kripton tu memang menarik perhatian. Kenapa pula dipanggil sebegitu?  Ha kena baca sendiri ya. Biar ada kejutan sedikit. Buku ni sesuai untuk ibu bapa nak jadikan panduan macam mana nak jawab soalan anak-anak yang kadangkala boleh memeningkan kepala. Penulis, seorang yang mempunyai kelulusan Master Psikologi Pendidikan  UPM.  Beliau menceritakan pengalaman bersama anak-anak dan bagaimana cara mengatasi pertanyaan anak-anak tersebut. Ditulis secara santai, dan dalam buku ni ada warna-warni sikit jadi seronok membacanya. Dalam 3 jam je habis  itupun sebab tunggu giliran masa di hospital. Kalau tak, entah berapa lamalah nak habis. Saiznya pun kecil dan nipis jadi muat dalam handbag.

Antara soalan menarik,

Anaknya yang bernama Iman bertanya kenapa aurat perempuan lebih banyak daripada lelaki setelah melihat wanita Jepun yang memakai jubah sewaktu melawat masjid.

Penulis menjawab,
“Orang perempuan ni sangat berharga Iman. Tinggi nilainya. Cuba Iman tengok barang-barang mahal di kedai semua berbungkus, kan? Ada dalam kotak, ada dalam bungkus hadiah, diikat cantik-cantik. Sebab apa? Sebab nak jaga barang tu. Bila orang nak tengok, baru orang kedai bukakan bungkusan.” (Idea jawapan memang diceduk dari kisah-kisah pernah baca sebelum ini, abah tenang je jawab)
“Ooh, samalah macam lego Iman, Lego kan mahal, sebab itu dia masuk dalam kotak kan abah?”
“Haa, macam tulah lebih kurang.” ‘Macammana boleh tersasar ke lego pulak ni, takpelah janji sel-sel  otak mula berhubung’.
“Tapi abah, maknanya orang lelaki ni tak berharga lah eh?”
(Abah dah pengsan kat sebelah, berbuih mulut.)

*********************************


Sunday, April 23, 2017

Resipi Sambal Tempoyak Kacau

Kalau slang orang Kuala Kangsar, sambe tempoyak kaco. Hehe. Peminat sambe tempoyak ni, jangan pula jiwanya jadi kaco sebab tak dapat makan. Meh buat.

Bahan-bahan:

Cabai masak ikut tahap kepedasan yang diinginkan. Taruh cili api sikit biar pedas lagi.
Serai dalam tiga batang hiris halus.
Kedua-dua bahan ni ditumbuk. Setelah itu masukkan dalam periuk. Masukkan air sikit dalam lesung batu tu. Ambil air batu tu. Orang tua-tua kata bagi sedap. Entahlah tapi sebenarnya tak nak membazir baki-baki cabai yang ditumbuk tu.

Masuk ikan bilis, tempoyak ikut suka banyak mana. Kalau tempoyak tu masam taruhla gula sikit. Masuk air agak-agak macam sebati semua. Taruh garam sikit. Daun kunyit carik-carik. Ok setelah selesai bahan-bahan tersebut, masak atas dapur hingga jadi likat.

Dah likat tutup api. Bolehlah mencari segala ulam-ulam untuk cicah sambal ni.



Saya sebenarnya tak makan tempoyak mentah. Kalau jenis masak gini baru makan.

Friday, April 14, 2017

Apa itu jerayawara?

Saya terima surat dari agensi kerajaan dan tajuknya berbunyi sesi jerayawara 2017. Wah wah wah apakebenda la pulak tu. Surat bahasa Melayu pun tak faham dibuatnya. Walaupun bila dah baca isi tu agak-agak faham tapi ada satu tanda soal yang besar di kepala. Nasib zaman google je. Tanpa mencari Kamus Dewan jawapan yang diterima, dalam bahasa Inggeris roadshow. Ha lagi faham bahasa Inggeris sebab perkataan tu lagi banyak digunakan.

Kalau tak silap saya juga, kalau orang buat roadshow, perkataan 'jelajah' lebih banyak digunakan. Contoh siri jelajah bla bla bla. Jerayawara ini memang itu pertama kali saya membacanya. Dahlah tergeliat lidah nak menyebutnya. Oleh kerana ada persoalan lain yang bermain di minda, agensi yang layak ditanya sudah pasti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Soalan saya setelah diringkaskan: Adakah penggunaan jelajah tidak tepat untuk menggambarkan roadshow?

Jawapannya di bawah.

Mula-mula kita buka website ni dan ikut langkah-langkah berikut.
Pilih e-perkhidmatan

Pilih khimat nasihat bahasa 

Akan keluar paparan ini dan ada log masuk di situ. Oleh kerana saya memang dah daftar lama, jadi saya log in sahaja dan kemukakan soalan


Jawapan diterima dalam masa dua hari. Boleh telefon juga, tetapi emel lagi jelas penerangannya. Lagipun kita boleh tengok rekod soalan yang pernah ditanya sebelum ini. 

Jawapan daripada DBP: Perkataan jerayawara bermaksud persembahan, pameran, ceramah dan sebagainya diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang berkunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dan sebagainya. Perakataan jerayawara lebih mengkhusus maksudnya berbanding perkataan jelajah yang bermaksud pergi berjalan ke merata-rata tempat (untuk menyelidik dan lain-lain)

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Kita cuba.