Tuesday, April 30, 2019

Biskut Kapal : Makanan poket nipis.


Orang dulu-dulu kalau makan petangnya tak rumit. Kebanyakannya yang ada dekat rumah dan dipelbagaikan.

Contoh: Ni mak panggil biskut kapal, entah mana datangnya nama tu. Zaman 60-an dah ada lah gamaknya kalau mak pun masih teringat lagi. Saya pun ingat-ingat lupa biskut ni. Zaman sekolah rendah adalah makan. Biskut ni tawar je tapi sedap je makan.

Tekstur biskut ni macam lompong je.


Biskut ni boleh makan cicah ngan ayor kopi atau teh di waktu petang. Tapi kalau dah bosan boleh cuba begini:

Gaul-gaul sebati dah boleh makan.

Patah-patah, kan. Pastu tabur nyor dan gula sikit. Siap untuk dimakan. Dulu-dulu kan duduk kampung banyak rumah yang ada pokok kelapa. Belah, kukur dah boleh jadi makanan petang. Tu yang kuih-kuih kita banyak guna nyor ni, lepat pisang, tepek pisang, sagu, lempeng nyor, pulut nyor, lopes dan beraneka lagi. 

Resipi yang sama, biskut tu diganti dengan jagung rebus. Jadi pula satu makanan lain. Tak perlu banyak belanja. Itulah sebabnya dipanggil makanan poket nipis. Orang-orang dulu bahasanya berseni.


Wednesday, April 17, 2019

Google Lens

Dulu-dulu saya kurang sikit pengetahuan berkaitan IT ni, orang lain dah bertukar kepada smart phone tapi saya masih dengan telefon Nokia 3310 je. Klasik.  Orang lain dah berzaman guna WhatsApp (WA) tapi saya hanya guna setelah adik beri telefon dia yang dia tak gunakan dah. Saya rasa, sayalah orang yang paling last dari kalangan rakan sebaya masuk group-group WA ni. Ketinggalan sungguh. Kalau di komputer pula, tak berapa berani nak tekan apa yang luar biasa sebab takut rosak. Nanti kena hantar kedai. Mahal.

Saya hanya berani nak explore sesuatu ni bila beli telefon sendiri yang storagenya kecik. Jadinya terpaksa belajar bagaimana nak guna secara maksimum.  Lagipun telefon bawah RM500 sahaja, kalau main tekan-tekan je tak de la rasa mahal sangat nak baiki.

Pernah telefon ni hilang icon phone. Entah macam mana, nak uninstall apps lain terbuang icon phone sekali. Telefon bunyi, tapi tak tahu nak angkat di mana sebab gambar ganggang telefon tu tak ada. Nak telefon orang pun tak boleh. Haha. Ada sekali tu pula terpadam apps yang memang siap ada dalam tu, fb rasanya. Sebab saiz besarlah, pandai-pandai nak tukar fb lite pulak. Sudahnya biul sedikit telefon tu. Tapi sekarang ni rasa takut tu dah hilang. Pakai tekan je apa-apa yang rasa ingin tahu.

Panjanglah pula sejarah ya,  haritu hasil tekan-tekan jumpa pula Google Lens ni. Google Lens ni dapat search gambar yang sama dengan gambar kita dan kenal pasti nama bunga atau tumbuhan serta tempat (banyak lagi fungsi tapi itu je yang tahu buat masa ini). Dan dari situ kita akan dapat maklumat terus mengenai sesuatu gambar tu tanpa pergi ke Google. Buka gambar di Google Photos :

Clik imej kamera/lensa ni.

Akan nampak flash ke atau macam bintang-bintang bergemerlapan ni. Dia akan tanya kita nak cari apa. Saya pilih similar images

Hasilnya keluarlah gambar yang serupa dengan gambar yang kita tangkap tu. Jika kita nak baca lebih lanjut maklumat tentang gambar tu, click sahaja di mana-mana.


Saya cuba pula gambar ni untuk tahu apa yang dia keluar. Dan dia tunjuk bunga matahari sebab itu je maklumat yang lebih jelas.

Siap penerangan nama saintifik dan gambar bunga matahari yang lain.

Yang ni dia dapat detect sama gambar dengan Sand Dunes Vietnam. Jadi kita pun boleh tengok gambar orang lain dan style dia bergambar.
Jangan pula pilih gambar collage begini. Pening dia nak cari berkaitan apa. 

Jom terus explore apa yang ada dalam telefon kita.

Tuesday, April 16, 2019

Zombie Kucing


Kalau tengok cerita Zombi Kampung Pisang, kita boleh tertawa melihatnya walaupun nak digambarkan mukanya seram, tetapi bila tengok kucing yang dijangkiti penyakit Sporo ni, kita akan jadi sedih sangat bila tengok keadaannya. Kenapa dikatakan zombie? Sebab dia boleh berjalan macam biasa tapi mukanya dah ‘berlubang’ seperti kawah akibat jangkitan. Boleh google gambar, tak sanggup nak menangkap gambar bila tengok keadaan macam tu.

Sporo merupakan sejenis penyakit kulit yang lambat sembuh. Mulanya lukanya kecil (sebesar syiling 5 sen) sahaja di atas dahi tapi dalam masa 3 hari dah kelihatan menanah, membesar dan berlubang sekitar dahi sehingga mata hanya boleh dibuka kecil sebab nanah dan air tu mengalir.

Mengimbas semula 6 tahun lalu, ketika itu saya tak tahu sangat pasal penyakit ni. Ia menjangkit kucing pendatang yang selalu datang rumah.  Cuba mengubatinya dengan kunyit dan air gamat tetapi tak mahu baik malah setiap hari kelihatan luka membesar. Setelah dibawa ke klinik veterinar kerajaan, katanya tak boleh buat apa di situ tapi boleh cuba bawa ke klinik swasta di Taiping. Biasanya susah naik baik dan kos agak tinggi.

Dia boleh berjalan dan makan macam tiada sakit apa-apa tetapi mukanya seperti ‘dimakan’ sesuatu. Bila dah lama tu, memang keadaan dah teruklah, tiada selera makan dan lebih banyak duduk. Tidur tersengguk-sengguk. Lalat menghurung muka yang berlubang. Tiada daya upaya nak bawa ke Taiping pula. Cuma bersih luka sahaja yang mampu.

Dalam waktu yang sama, saya pula luka di jari tengah. Terbelah sikit sahaja di sendi jari terkena gunting. Tampal dengan plaster je. Dekat seminggu tak baik pula luka tapi jadi macam bisul. Geram pula mencari punat nak keluarkan nanah. Luka biasa je jadi rawat sendiri di rumah. Tiba-tiba dia jadi macam ada bonggol tapi tiada air atau nanah. Barulah pergi Hospital Kuala Kangsar. Doktor bagi ubat sapu antifungal.

Dekat seminggu, tiada apa-apa perubahan. Pergi hospital lagi dan doktor bagi ubat sapu yang lain dan ubat makan rasanya. Antibiotik kut. Tak ingat. Besarnya luka tu hingga orang bank boleh tegur, kenapa? Masa tu ada urusan nak cap jari. Kiranya macam pakai cincin batu akik orang dulu-dulu yang boleh kelihatan jelas.

Tiada perubahan juga ubat kali kedua, sampai doktor yang merawat tu pun pening-pening tak tahu kenapa dan dia panggil doktor di sebelah untuk tengok. Akhirnya dia bagi surat rujukan untuk pergi ke Hospital Ipoh bahagian kulit (dermatologi).

Sebelum nak pergi ke Ipoh tu elok pulak kawan bercerita pasal kucing yang sporo ni dan boleh berjangkit. Saya macam tak percaya je, eh takkanlah boleh berjangkit sebab sebelum ni pun saya bersihkan luka kucing tu. Tak ada apa-apa pun.

Semasa di Hospital Ipoh, saya ceritakan jari luka kena gunting tapi tak baik-baik. “Doktor, bolehkah luka kucing berjangkit dengan saya sebab sebelum ini saya ada bersentuhan juga dengan kucing tu tapi tak ada apa-apa pun. Kucing tu ada sporo.”

Doktor tu siap bawa saya ke bilik ketua dia dan terpaksalah mengulang balik cerita. Keputusannya, kena ambil sampel untuk test (biopsi). Kena buat pembedahan kecil ambil kulit (isi?) dekat lengan. Seriau dibuatnya sebab suruh baring nak bedah walaupun kecik je sebenarnya. Hihi. Lepas tu ambil darah dan tunggu keputusan. Minggu depan datang semula.

KEPUTUSANnya, betul ada jangkitan dari kucing tu. Sebelum ini memang saya cuci luka kucing dan tiada apa-apa. Tetapi bila tangan saya tu luka, masa tulah luka tu berjangkit. Memang tak sangka sungguh sebab luka saya tu kecik je. Doktor bagi ubat makan, berkotak-kotak sampai tak muat tangan membawanya dan ubat sapu untuk luka di jari. Saya tak ingat nama ubat sebab dah lama. Dalam masa beberapa minggu, ambil darah dan jumpa doktor semula. Alhamdullillah tiada jangkitan lagi dah.

Walaupun ada rasa risau (belum sampai trauma) bila tengok kucing mula luka ni tetapi memang tak akan ketepikan mereka. Malah akan lebih berhati-hati mengendalikannya.  Parut masa ambil sampel masih kelihatan. Itu jadi peringatan. Silalah pakai sarung tangan untuk mengendalikan luka-luka ni. Bacaan lanjut untuk mengetahui penyakit sporo ini boleh dibaca di sini. Jelas penerangannya.

Tuesday, April 9, 2019

Google Drive : Bina 'Perpustakaan Mini' Anda


Penggunaan telefon pintar ni dah jadi kemestian. Jadi kenalah guna semaksima mungkin untuk memudahkan kita dalam segala macam hal.

Kita boleh bina perpustakaan mini secara maya dalam telefon, maklumlah sekarang ni dah banyak e-book yang boleh diperoleh.  Saya sebenarnya memang suka baca dalam bentuk fizikal lagi tapi memandangkan e-book sekarang banyak je yang free, dan tajuk-tajuk pun menarik jadi kenalah ikut peredaran zaman. Nak pula zaman sekarang ni banyak kumpulan WhatsApp, rajin beno dema share atau forward. Macam-macam recana dalam bentuk file pdf yang dikongsi.

Biasanya tak sempat nak baca masa tu dan kekallah di dalam storage telefon tanpa membaca.  Tiba-tiba datang masa telefon tu dah ‘jam’ mulalah sibuk padam mana-mana fail yang besar termasuklah e-book tu. Akhirnya tak sempat baca pun apa yang orang hantar.  Dan sampai satu masa, orang lain hantar semula dan kitarannya berpusing-pusing gitulah. Jadi apa kata kita simpan di Google Drive fail tu. Ada masa nanti boleh tengok semula. Failnya disimpan secara ‘cloud’ dan ruang yang Google beri secara percuma tu, memang cukuplah. Kita boleh delete fail yang disimpan dalam telefon kita tu. So jimat sikit ruang.

Google Drive merupakan aplikasi untuk penyimpanan dan perkongsian fail yang diberikan percuma oleh Google. Jika anda ada g-mail maknanya anda boleh guna dah tu. Google Drive ni ada macam-macam, kalau kita tiada Microsoft Office dalam laptop, kita boleh guna Drive ni. Sama je, ada Documents (sama macam Ms Words), Spreadsheets (sama macam Excel), presentation (sama macam Power Point) dan boleh buat macam-macam lagi tapi saya cuma nak tunjuk bina ‘perpustakan mini’  je hehehe sebenonya muat naik dokumen je tapi saja la ayat gempak sikit.

Jom kita tengok.

Cari Drive yang bentuk segi tiga ni.

Ok yang ni saya dah kategorikan mengikut apa tajuk-tajuk yang biasa saya simpan. Kiranya macam label atau di perpustakaan tu rak bukunya.

 
Kita labelkan folder ni dan boleh warnakan juga supaya ceria. Touch sahaja folder mana-mana kalau kita nak tengok apa yang disimpan. 



Yang ni folder Bahasa Arab, ha banyak dah ebook yang saya simpan untuk pembelajaran. Kalau nak baca, touch sahaja.
Sedia untuk dibaca.
Ok kita tengok macam mana nak muat naik fail.

Kalau di telefon saya (ASUS) saya buka di file manager dan boleh lihat banyak dokumen-dokumen yang ada. 
Kita pilih dokumen yang kita nak dan akan nampak tanda Google Drive berserta tambah di atas sebelah kanan. Tekan di situ dan dokumen akan dimuat naik. 
Ok dah masuk dalam Google Drive. Tapi ni dia letak merata lagi. Untuk masuk dalam folder, tekan tiga titik bertindih tu dan pilih Move. Anda akan diberi pilihan nak masuk dalam folder yang mana. 
Ok dah masuk dalam folder Bahasa Arab. Selesai.
Oleh kerana fail disimpan secara cloud, jadi kita boleh tengok di mana-mana tempat selagi mempunyai sambungan internet.  Tak kisahlah dari rumah, pejabat atau dalam perjalanan dan menggunakan semua peranti seperti PC, telefon pintar atau pinjam laptop orang lain.

Wednesday, April 3, 2019

Pesta Buku Antarabangsa KL : Trip Sehari dari Perak ke PWTC dengan ETS


Panduan ini sesuai untuk sesiapa yang sekitar Perak untuk merancang perjalanan. Balik hari sahaja dengan ETS. Pesta Buku 2019 bermula dari 29 Mac hingga 7 April.

Masa saya duduk di KL dahulu biasanya akan pergi minggu awal dan minggu akhir.  Dah duduk jauh ni kenalah merancang masa yang sesuai dan apa yang nak beli lebih awal.

Tahun lepas saya pergi betul-betul petang hari akhir, memang dapat banyak buku yang murah dan free sebab banyak lelong tetapi buku yang kita nak pula dah habis. Tahun ni pergi hari biasa orang bekerja. Tak adalah dapat banyak murah pun, buku baru dalam 10 % dan banyak jualan kombo. Tetapi, punyalah aman nak membeli-belah. Tak perlu bersesak-sesak. Budak-budak sekolah memang ramai sebab derang ada aktiviti tapi tak adalah pergi sangat tempat yang kita nak pergi tu.


 Perancangan awal sebelum pergi.
  1. Saya ikut channel telegram info PBAKL di https://t.me/ShareInfoKLBookFair
  2. Guna Google Keep senaraikan reruai (booth) yang nak pergi dan buku yang nak beli
  3. Saya pilih pergi hari Selasa sebab tiket ETS ada potongan 25%** pada hari tu.
  4. Jangan lupa bawa beg lipat sebab beg biasanya beranak-pinak dah. Ada orang siap bawa bagasi dan troli. Itu memang dah bajet nak membeli banyak tu. Ikutlah keperluan.

Senaraikan booth yang kita nak pergi dan buku yang hendak dibeli


Tiket pukul 7.28 pagi dari Kuala Kangsar.

Stesen-stesen seterusnya:

Ipoh 7.52
Batu Gajah 8.10
Kampar 8.23

Maknanya ni dalam setengah jam nak sampai dah


Kuala Lumpur 10.32 (Stesen kereta api KL)

KL Sentral 10.44

Sampai sahaja di KL Sentral, buat urusan tambah nilai kad Touch N Go dulu supaya senang nak turun naik lrt.

Sambung perjalanan dengan menaiki LRT ke stesen Masjid Jamek

KL Sentral 10.54
Pasar Seni 10.57
Masjid Jamek 11.00

Turun di  stesen ini dan tukar LRT ke arah Sentul Timur. Tak perlu touch kad  Touch n Go, terus je ikut EXIT Sentul Timur. Jalan kaki lebih kurang 8 minit mengikut kadar kelajuan biasa-biasa aje.

Ikut EXIT ke Sentul Timur untuk nak ke PWTC

Stesen Masjid Jamek dan belakang tu masjidnya.


Masjid Jamek 11.08
Bandaraya 11.10
Sultan Ismail 11.12
PWTC 11.14 Sudah sampai. Tambang dari KL Sentral ke PWTC tadi RM2 je.

Ikut je arah ke PWTC, tapi saya melencong dulu ke Sunway Putra Mall, brunch (breakfast dan lunch) dulu. Maklumlah pagi-pagi tadi sempat beli putu piring Perak je buat bekal. Lagipun di Mall ni banyak pilihan nak pergi. Ada food court atas dan bawah serta fast food. Kebetulan masa pergi situ ada sambutan Hari Autism.

Dari stesen PWTC hingga ke Sunway Putra Mall laluan berbumbung. Begitu juga ke PWTC.

Sambutan Hari Autism


Dah soru, barulah ada tenaga nak membeli-belah. Ada dua jalan masuk tapi saya ikut je jejantas dan ke arah Hotel Pacific. Akan nampak pintu gerbang menyambut kedatangan pengunjung. Ada pelan booth untuk kita rujuk tapi kalau jenis yang memang pening bila tengok macam-macam nama tu, kan. Boleh je tanya orang yang ada selempang ‘boleh kami bantu anda’ ha lebih kurang la bunyinya gitu. Memberi bantuan.


Pintu Gerbang berdekatan Hotel Pacific


Saya cari booth ikut yang telah saya senaraikan terlebih dahulu. Bila dah dapat apa yang nak tu baru pergi tengok lain. 


Booth Dubook

Seronok tengok hiasan booth

Galeri Ilmu
Budak-budak sekolah banyak di kawasan buku sekolahlah dan aktiviti

Iman Publication

Karangkraf 

Utusan, buku RM5. Benda-benda ginilah yang boleh menghabiskan duit tanpa sedar. Ala macam kita masuk kedai RM2. Murah je kan tapi bila dah dikumpul-kumpul ha berpuluh jadinya.
PTS, yang lama-lama RM4 je. Ada buku Saiful Nang 1 dan 2 tapi ala dah beli. 


Ate orang paghit, ni buku mike dekat booth Perpustakaan Negeri Perak.
Surau ada dua tempat, satu tingkat 3  dan satu lagi dekat bahagian masuk dari Hotel Pacific tu. Tapi bila ramai orang ni, sesak di surau lah pula. Alhamdulillah orang masih solat kan.


Arah surau

Pukul 2.45 dah selesai sebab dah melebihi bajet. Kalau tengok-tengok lagi, terbeli pulak lagi.


So kalau siapa yang nak balik hari tu bolehlah beli tiket ETS pukul 5.30 ke atas. Tapi, saya balik hari esoknya hihi. Memandangkan dah datang KL tu pi jumpa kawan sekalilah. Lagipun hari Rabu** pun ada potongan 25% tiket ETS.

Untuk mengelakkan keadaan tren yang sesak lebih-lebih lagi di Masjid Jamek tu, pukul 3 tu sedang elok masanya nak balik. Kalau balik time orang balik kerja juga, hai masaklah dengan nak ngangkut hasil tangkapan dari PBAKL lagi.

Bagi sesiapa yang tak sempat pergi Pesta Buku, boleh je pesan daripada Personal Book Shopper. Boleh ikuti channel telegram di t.me/addien90 dan tengok buku-buku yang ditawarkan. Cepat, cepat 7hb dah habis.


**kena beli di kaunter. Kena beritahu orang tu. Tidak boleh pulang balik atau tukar tarikh atau masa. Kiranya kalau tak jadi pergi haritu, kira hangus ajela tiket.

Hasil. Ambil buku motivasi, bahasa arab dan agama je.