Showing posts with label Perpustakaan mini. Show all posts
Showing posts with label Perpustakaan mini. Show all posts

Tuesday, June 2, 2020

Kebenaran Rentas Negeri

Perkataan rentas atau maksudnya melintasi biasanya pakai zaman sekolah je dalam merentas desa. Berbanding sukan lain, yang ni la paling best sebab tiada tekanan nak menang. Lari ikut kemampuan dan biasanya yang belakang-belakang tu sambil nyembang-nyembang. Masuk pula jalan-jalan kampung yang tak pernah pergi. Best!

Sejak Covid-19 ni semakin popular perkataan merentas ni. Tiada siapa sangka nak pergi merentas negeri pun kena minta izin polis. Kalau dulu, pergilah bila-bila masa pun. Norma baru, kena banyak bersabar dalam segala urusan.

Mengikut siaran media harian oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato Sri Ismail Sabri penghujung Mei lalu, kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan/kematian, perubatan dan kerja. (Sidang media harian 2 Jun 2020 terdapat beberapa kebenaran yang lain)

Saya minta kebenaran atas tiket perubatan. Senang,  tak ada banyak soal dengan polis. Hanya tunjuk kad hospital yang ada tarikh appointment. Ramai juga yang minta kebenaran, kiranya saya datang 3 kali ke sana tu dalam 10 minit dekat sana, tak putus-putus jugalah orang datang nak isi borang dan hantar borang. Saya curi dengar alasan yang diberi, nak ambil barang di rumah sewa sebab kena kosongkan bilik, nak ambil mak di KL sebab dah lama sangat kat sana, nak ambil kereta bawa balik kampung, nak pergi hospital di KL tapi tidak dinyatakan dengan jelas hospital mana. Ha yang ni semua memang kena soal jawab dengan polis kat situ ya.

Cara untuk minta izin:

Pergi ke balai polis berdekatan. Isi borang Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan yang disediakan di situ. Untuk Balai Polis Kuala Kangsar, urusan dibuat di luar bangunan. Dari pintu masuk, akan nampak khemah di belah kanan. Urusannya sekejap sahaja, pagi hantar borang, petang sebelum 4.30 dah boleh ambil. Saya minta kebenaran tiga hari sebelum tarikh nak pergi.

Di borang kena isi perkara berikut:

  1. Nama pemohon
  2. Kad Pengenalan
  3. Alamat tinggal (Kuala Kangsar)
  4. No telefon
  5.  Jenis kenderaan/No Pendaftaran
  6.  Jumlah orang (Perlu lampirkan butir-butir individu)
  7. Tarikh/Masa Pergerakan
  8. Alamat Destinasi
  9. Sebab-sebab permohonan pengecualian untuk pergerakan (Sakit/Kematian/Kerja/Kecemasan)

Dokumen sokongan yang diperlukan adalah:

Salinan fotostat kad pengenalan orang yang akan ada dalam kereta. Salinan fotostat Kad Hospital yang tertera dengan jelas nama hospital dan tarikh appointment. Buat 2 set salinan sebab satu set polis simpan dan satu lagi kita pegang untuk kita tunjukkan jika adanya sekatan jalan raya sepanjang perjalanan.  Fotostat sekali borang Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan yang kita dah tulis tu. Jadi eloklah bawa balik borang dan lengkapkan dulu kesemuanya barulah hantar.

Untuk balik, saya guna borang yang sama je sebab memang ada alamat tetap kat situ pun. Lagipun pergi dalam dua hari sahaja. Tak payah susah-susah nak pergi balai lagi. 

Borang permohonan sama ada lulus atau tak akan ditandatangani oleh polis berserta cop jawatan.

Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, idak le rasa beza apa pun dengan sebelum ni. Banyak je kereta di lebuh raya. Sama juga perjalanan balik. Banyak je keretanya.

 


Thursday, May 7, 2020

Bayaran Zakat Fitrah bagi Negeri Perak

Kebiasaan baharu yang perlu kita biasakan dalam kehidupan, pembayaran atas talian. Ini akan mengurangkan contact kepada orang lain dan akan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19. Bayaran zakat fitrah secara atas talian memang tahun lepas lagi dah guna tapi kali ini kita bantu orang yang biasanya bayar di masjid dan masjid ditutup kerana COVID-19. 

Untuk maklumat lanjut tentang zakat boleh layari website Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

Terdapat 5 medium pembayaran yang boleh digunakan ikut kemudahan kita iaitu:
  1. QR Pay Maybank
  2. Aplikasi GoPayZ
  3. Aplikasi SnapNPay
  4. FPX dengan melayari ezakat
  5. JomPay dengan billercode 9027
Bayaran sama ada, RM7, RM14, RM21

Kalau nak lebih menghampiri 'cara lama' dengan ada akad boleh melayari ezakat . Akan keluar borang dan isi butiran peribadi tapi jika pernah guna sebelum ini, isi je no kad pengenalan dan butiran diri akan keluar. Setelah kita pilih berapa tanggungan,  akan keluar pengesahan bayaran dan niat zakat. Seterusnya tekan "Bayar Sekarang" dan pilih bank pilihan. 



Kadang kala bank pun problem offline,  tengah penyelenggaran  jadi tak boleh buat dan kena tunggu pula. Tulah dia keburukannya berbanding bayar dekat amil. Bagi duit. Ok selesai. 

Saya juga cuba bayar guna JomPay. Mudah saja. Pilih sahaja JomPay dari website bank anda dan masukkan biller code 9027, terus minta TAC no. Isi  dan selesai.
Pembayaran cara sekarang mudah. Tapi pastikan duit ada dalam akaun ya. Saya ni tradisional sikit, lebih suka bayar Cash. Jarang sekali shopping atas talian. Hanya guna pembayaran atas talian bila betul-betul perlu sahaja. Macam sekarang ni kalau tak saya pergi pejabat agama je bayar sebab memang lalu situ. Laju sangat duit tu keluar bila bayar atas talian. 

Sumber: Website Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak





Monday, April 20, 2020

Bahasa Arab itu mudah.

Sekarang nilah berani nak kata mudah sebab dah belajar. Dulu-dulu selalu dimomokkan susah sampai takut nak masuk kelas. Yang susah tu bab tatabahasa dan komunikasinya. Sama ajelah belajar Bahasa Melayu pun. Jenuh aih masa tingkatan 6 ... morfologi, sintaksis.. ha entah apa ke bendanya lagi. Belajar pun tak ingat. Sama juga dengan Bahasa Inggeris, sampai sekarang idaklah dapat menguasainya.

Kelas Bahasa Arab yang saya masuk, bahasa Quran. Perkataan Bahasa Melayu pun banyak diserap daripada bahasa Arab jadi sebenarnya banyak yang kita boleh faham. Lagipun kelas yang saya masuk ni tak ada peperiksaan, so enjoylah belajarnya.

Kami gunakan buku Nahu Mudah terbitan Telaga Biru untuk faham dulu perkara asas tentang Bahasa Arab dan setelah habis buku ni terus masuk al Quran dan pratikkan pelajaran tatabahasa yang telah dipelajari. Udah dekat 3 tahun rasanya, masih di surah al-Baqarah lagi. Kelas seminggu sekali, bila cuti umum dan cuti sekolah je, kami pun cuti juga.  Masa Covid-19 ni pun cutilah, jadi kena belajar sendiri supaya tidak lupa

Buku ni ada banyak cetakan, kadang kala dalamnya berubah. Jadi kalau orang duk bergaduh-gaduh eh apasal yang ni lain, yang tu lain. Tengok je cetakan berapa ya. Tapi sikit jelah berubahnya tapi bendanya betul.

Perkataan bahasa Arab ni sebenarnya terdiri daripada tiga je:

  1. Kata nama
  2. Kata kerja
  3. Partikel.

Kata nama, samalah seperti kita belajar dalam bahasa Melayu, ada tanda-tanda untuk mengenalnya.

Kata kerja pula terdiri daripada :

  1. Kata kerja masa lampau
  2. Kata kerja masa kini
  3. Kata perintah

Jika dalam bahasa Inggeris, past tense dan present tense di mana perkataannya akan berubah mengikut masa.

Partikel pula ada:

  1. Kata nafi (tidak/tiada)
  2. Kata sendi (di/dalam/pada)
  3. Kata hubung (dan)
  4. Kata tanya (adakah)

Ada 'sifir' yang perlu diingat untuk kata ganti nama diri. Malah kata kerjanya akan berubah mengikut 14 kata ganti nama diri. Sedangkan sifir darab (x) 1 hingga 12 pun kita boleh hafal dan ingat sampai sekarang, begitu jugalah yang ni. Jika diulang-ulang, insya-Allah boleh. Tambahan pula zaman sekarang banyak ustaz/ustazah yang mempunyai teknik-teknik untuk belajar dengan mudah. Eh sifir tu bukan maksudnya angka ya, tapi 14 kata ganti nama diri yang perlu dihafal dan difahami penggunaan kata kerjanya. Takut pula orang nak belajar nanti, udah macam matematik

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni jom kita belajar bahasa Arab melalui kata dasar (root word). Sama macam dalam bahasa Melayu ada kata dasar dan kata imbuhan. Manfaatkan internet percuma masa PKP ni untuk tengok video kat sini. Dari awal PKP telah diiklankan tapi saya baru sempat tengok video ke-2. Saya memang dah ada buku teksnya beli masa Pesta Buku tahun lepas.
Dalam ni ada mini kamus kata dasar bagi perkataan yang sering digunakan. 


Monday, April 13, 2020

Motivasi daripada lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April 2020.

Setiap kali dengar pengumuman Perdana Menteri untuk tarikh PKP sama ada dilanjutkan atau tidak, setiap kali tu juga semangat baru datang untuk nak buat macam-macam. Macam azam la, setiap kali datangnya Muharam atau Januari, azam terpahat. Gitulah, manusia sentiasa menunggu sesuatu tanda dijadikan batu loncatan untuk berubah. Patutnya tak boleh gitu ya, masa tidak menunggu kita. (Diri sendiri pun kena selalu dimotivasikan)

Orang Islam patutnya tidak membuang masa, lebih-lebih lagi masa PKP ni. Setiap kali selepas mesyuarat atau penutup majlis pun kita akan diingatkan untuk membaca surah Al-Asr yang berkaitan dengan masa. Manusia akan berdepan dengan kerugian kecuali jika dia:

  1. Beriman
  2. Melakukan amal soleh
  3. Berpesan-pesan dengan kebenaran
  4. Berpesan-pesan dengan kesabaran

Orang Islam juga sepatutnya sentiasa berfikir. Dalam al-Quran sendiri selalu ada ayat yang disuruh memerhatikan, berfikir, memahami dan mengambil pelajaran. Antara ayatnya:

  1. Al-Baqarah : 219
  2. Al-Baqarah : 266
  3. An-Nisa : 82
  4. Al-An’am : 151
  5. Al-A’raf :176
  6. Al-A’raf : 179
  7. Yunus : 3
  8. Yunus : 5
  9. Hud : 24
  10. Ibrahim : 52

Ambil peluang PKP ni untuk retrospeksi diri. Kita juga kena tambah kebiasaan baharu yang memang kita tak pernah lakukan sebelum ini.

Jangan lupa lakukan perkara berikut:

Baca doa. Setiap pagi dan petang




  1. Tidak bersalaman. Apatah lagi salam arab yang berlaga pipi.
  2. Membiasakan cuci tangan dengan sabun (20 saat). Jika keluar dan tiada air dan sabun, guna hand sanitizer. Jangan sentuh muka, jika tangan belum dicuci.
  3. Tidak berkumpul ramai-ramai. Jarak dari orang lain sekurang-kurangnya 1 meter.
  4. Pakai mask.
Semoga kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Monday, April 6, 2020

Buku Kompas 114 Bantuan Pengembaraan Anda Menghayati Al-Quran


Kompas yang merupakan alat untuk pemandu arah, begitulah buku ini yang membantu kita 'mengembara' untuk menghayati al-Quran


Tajuk: Kompas 114 Bantuan Pengembaraan Anda Menghayati Al-Quran

Penulis: Syaari Ab Rahman

Penerbit: Ibrah Paradigm Training & Consultancy, Bandar Baru Bangi, Selangor

ISBN: 978-967-15748-1-2

Harga: RM 40             Cetakan Pertama: Mei 2018

M/s: 279 halaman

Sinopsis: 

“Kompas 114” berhasrat untuk menjadi alat bantu buat pembaca al-Quran sebelum mereka mengembara lebih jauh dalam Kitabullah itu sendiri dengan bantuan kitab-kitab tafsir yang muktabar. Dengan kompas ini, semoga anda menemui sebab mengapa anda wajar jatuh cinta kepada mana-mana surah dalam kalangan 114 surah al-Quran ini, sama ada Makkiyah atau Madaniyyah dan panjang atau pendek. Besar harapan saya agar buku ini membantu masyarakat awam mendapatkan “idea-idea besar” mengenai sesebuah surah, lantas memotivasikan mereka untuk membaca kesemua 114 surah daripada 30 juzuk al-Quran ini tanpa meninggalkan satu surah pun sepanjang pengembaraan kerohanian mereka semasa dalam atau luar bulan Ramadan. Semoga “Kompas 114” berjaya menimbulkan “debaran” terhadap keindahan dan keunikan setiap surah dalam al-Quran.

Di awal halaman telah ditulis metodologi penulisan untuk kita memahami penggunaan buku ini

Komen:  

Saya mengenali penulis ini melalui slot Ibrah di Ikim FM sebelum-sebelum ini. Memang menarik penceritaannya tentang ibrah yang kita boleh peroleh dari al-Quran. Buku ini saya beli secara online melalui fb ibrah paradigm. Dalam buku ni penulisnya menulis, ianya separa ilmiah tapi saya rasa memang ilmiah sepenuhnya dah ni. Memang idak le dibaca dari kulit ke kulit sebab baca pun tak masuk dalam kepala sangat. Errk. Tapi saya lebih gunakan buku ini untuk merujuk. Misalnya ketika membaca sesuatu ayat yang dikongsi ketika dalam kelas tadabur atau dalam Whatsapp kita akan tertanya-tanya lagi mengenai surah tu. So akan rujuk buku ni untuk tahu gambaran keseluruhan surah. Malah untuk kita nak hafal sesuatu ayat juga sesuai untuk kita tahu gambaran keseluruhan surah supaya dapat membantu mengingat lagi. Ibaratnya kalau dulu masa sekolah ada kamus ke ensiklopedia ke, ha ginilah juga buku ni untuk rujukan. Penulis juga mempunyai blog, boleh check di sini.  Dan ada nota kuliah di slideshare. Infografik yang berwarna-warni untuk bacaan kita.


Peta Sejarah Penurunan Surah
#manfaatkan PKP

Wednesday, March 11, 2020

KWSP & PERKESO Bekerja Sendiri


Kumpulan Wang Simpanan Bekerja (KWSP) atau bahasa Inggerisnya EPF merupakan sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan persaraan. Manakala fungsi utama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau SOCSO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Bagi yang pernah bekerja dengan kerajaan atau swasta mesti dah biasa dengan kedua-dua ni. Bila bekerja sendiri macam mana ya? Tak boleh sambung caruman ke?

Saya tahu mengenai caruman KWSP bekerja sendiri ni sejak 2010 di bawah SSP1M ataupun Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia. Udah takdelah nama ni, kan tapi masih boleh mencarum sendiri. Untuk permulaan pergi sahaja ke pejabat dan isi borang pengesahan, seterusnya bolehlah mencarum secara online sahaja.  Caruman serendah RM 50 sebulan.

Buletin  KWSP  tahun 2010
PERKESO pula baru ni je tahu tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. Perlukan salinan SSM yang menunjukkan perniagaan itu kepunyaan sendiri dan salinan kad pengenalan.

Kalau dah ada akaun sebelum ni boleh terus sambung ke? Tidak boleh. Sebab kalau dah ada sebelum ini, anda adalah pekerja tapi bila bekerja sendiri, anda adalah majikan. Ia merupakan dua akta yang berbeza. Jadi yang akaun lama tu tunggu sahaja ketika umur 60 tahun nanti kalau ada keperluan pencen ilat. Bagi akaun yang bekerja sendiri ni, boleh mencarum serendah RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun. Faedah yang diperoleh boleh baca di website perkeso atau pergi sendiri ke pejabat.

Saya suka kampung saya ni, walaupun kecil tapi urusan begini senang sebab semua pejabatnya berdekatan.  KWSP dan PERKESO satu baris je. Kalau nak buat ic baru, minta sain pengesahan apa-apa di Jabatan Pendaftaran Negara, ha depan tu je, urusan BSH atau cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri, belakang je. Kalau nak bayar zakat, Pejabat Agama depan sikit je. Nak renew road tax atau lesen. pergi pejabat pos depan sikit je. Boleh bayar bil sekali. Tapi TNB, Telekom dan Lembaga Air Perak pun idak le jauh mana, dalam kawasan sekitar je kalau nak pergi. Nak bayar cukai pintu?  Pergi Majlis Perbandaran depan sikit lagi. Kena saman trafik? Ha balai polis seberangnya. Kalau kena tipu beli barang dan nak lapor kepada KPDNKK ha tu jauh sikit, adalah 10 minit perjalanan. Walaupun sekarang ni semua mudah dengan online, ate kalau dah semua tempat dekat-dekat ni, keluar ajelah ambik angin  tengok keadaan keliling jumpa orang.  Tapi semua ni kena urusan seawal pukul 8 pagi ya, aman hidup senang cari parkir betul-betul depan pintu pejabat.

From Kuala Kangsar Bandar Diraja with love.

Tuesday, February 11, 2020

Analogi Hidup Melalui Meter (Minyak) Kereta Rosak


Masih di takuk bawah walaupun dah isi.
Siapa yang ada kereta lama ni mesti menghadapi masalah meter minyak kereta rosak. Masih di paras bawah walaupun isi minyak penuh.

Risau benarlah bab minyak tak cukup ni takut enjin mati tengah jalan. Kereta saya tahun 2001 tapi meter rosak ni adalah dalam tujuh atau lapan tahun dah. Masa mula-mula nak rosak dulu, kalau kita ketuk/pukul je atas meter tu, baru penunjuk aras tu akan naik. Ate udah lama buat gitu, sekarang ni, kalau kita ketuk je atas meter sampai gegor kereta pun idaknya naik. Pernah tanya kat kedai kalau nak baik tapi orang tu kata lecehlah, ramai oranglah sekarang tak ada masa, bla bla bla.  Sampai ke sudah akhirnya terus tak tanya dah. Kadang kala, bila kita rasa betul-betul nak tahu minyak tinggal berapa, memang betul petunjuk aras tu naik. Kata-kata itu satu doa? Hehe.

Kadang-kala ok sendiri.
Setiap minggu memang akan isi RM15 sebab akan lalu di stesen minyak bila nak pergi kelas. Biasanya dalam seminggu tu laluan perjalanan pun sama je dan memang cukuplah. Masalah akan timbul bila minggu tu tak pergi kelas dan terus tak isi minyak. Bila tabiat tu ditukar, ha sistem pun mulalah kacau sikit. Kadang pula sampai terlebih penuh sebab bila jalan jauh kita risau tak cukup. Pernah isi RM3 je sebab ingatkan tak penuh. Haha. Kaunter pun hairan sebab dia tengok kereta dan bukannya motor. Dalam keadaan paranoid sentiasa tu, rupa-rupanya terleka juga. Minyak betul-betul habis. Start enjin tak hidup-hidup.  Mujurlah dah sampai kawasan rumah, cuma tak masuk pagar sahaja lagi.

Begitulah ‘ketakutan’ kereta mati tengah jalan dan akan sentiasa isi minyak untuk hidup. Bandingannya dengan kehidupan ini, kita memang tahu mati pasti datang bila-bila masa sahaja tapi apa ‘bekalan’ yang kita bawa?’ Bekalan itu bandingannya mengisi minyak. Cukup ke tidak? Kenapa ‘ketakutan’  kematian itu tidak terasa sepertimana kita takut minyak kereta kita tak cukup, lebih-lebih lagi kalau perjalanan kita masih jauh.

Sebenarnya mula terfikir pun selepas terdengar ceramah Ustaz Dato’ Dr. Izhar Ariff dalam Forum Perdana sebelum ni. Keretanya pun meternya rosak.

Muhasabah diri.


Friday, January 24, 2020

Multiracial Reverted Muslims (MRM)


Merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membangunkan usaha dakwah dan kebajikan. Terletak di Desa Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.  Ia ditubuhkan untuk berkongsi keindahan Islam kepada dunia melalui sumber yang sahih yakni al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad saw. Bermula dengan Page FB sahaja tapi dah jadi NGO yang dikenali. Diasaskan oleh Firdaus Wong Wai Hung. Ha bukan Wong Fei Hung macam dalam cerita cina tu ya. Panggil Bro Firdaus sahaja.

Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti Kursus Metadologi Dakwah di  MRM. Bayaran RM48 sahaja untuk dua hari tapi perkongsiannya memang banyaklah yang menjentik minda.
Dari kanan, Bro Azim, Bro Firdaus dan Ustaz Iqram

Saya rasa masyarakat kita ni ‘takut’ dengan perkataan dakwah ni. Dulu-dulu masa masuk universiti, tengok orang tu tudung labuh, berjubah pun kadang-kadang jauhkan diri. Takut kena dakwah huhu sebab masa tu kan macam budak-budak mentah baru datang bandar. Tapi sebenarnya kalau kita belajar sejarah, antara sebab penjajahan di Tanah Melayu ialah misi agama Kristian. Zaman dulu lagi derang dah ada matlamat nak dakwah. Sahabat Nabi saw pun sebarkan Islam ke pelusuk dunia. Bermakna, ia sepatutnya menjadi kebiasaan seorang muslim. Sampai tang kita, semua itu hanya sebagai satu sejarah untuk menjawab soalan peperiksaan. Malah dakwah dikatakan tugas ustaz dan ustazah.

Mengikut kata Firdaus Wong, masa mula-mula dia dah pilih jalan nak berdakwah, kawannya yang Melayu beragama Islam tanya, “Buat apa? You baru masuk Islam.” Dia jawab, “Sebab you tak buat, terpaksalah Cina ni yang buat.” Mestilah kita terasa, kan? (Bagi yang ada hati dan perasaan).

Sebenarnya masa saya bekerja dengan syarikat Cina ni, memang saya rasa saya tak pernah terangkan pasal Islam ini sebab macam tak tahu apa nak dicakap. Sedangkan kawan sekerja ni pula yang lebih banyak terang pasal Buddha. Dia excited bercerita.  Cerita pasal datuk kong, perayaan hantu lapar, kuih chang, dewi kwan yin, perayaan qing ming, sebab tak makan daging, yee sang, moon cake, dan lain-lain. Walaupun saya tak lah terikut tapi sekarang ni baru rasa menyesal tak ambil peluang untuk terangkan pasal Islam selain hanya tunjuk perilaku seorang muslim sahajalah.



Apa alasanmu? Itulah salah satu tajuk yang dibincangkan dalam kursus.

Peserta mula menyenaraikan alasan-alasan kenapa tidak berdakwah iaitu tak ada ilmu, tak ada masa, perkara sensitif, malu, tak pandai bercakap dan takut. Semua alasan itu mudah sahaja dicantas oleh Bro Firdaus.

Tiada ilmu – Nabi bersabda sampaikan olehmu walau hanya satu ayat. Ha boleh je, kan. Sambil-sambil tu kita tambahkanlah ilmu, takkan nak statik je. Bukan jugalah nak suruh hafal ayat Quran sehingga jadi ustaz baru nak mula dakwah.

Tiada masa – Nabi Muhammad sendiri banyak peranan dan tanggungjawab, suami, bapa, ketua perang, pemimpin dll tapi ada je masa. Sebenarnya masa akan ada jika kita nak cari. Contoh: Kalau anak masuk wad kecemasan dan kita sibuk kerja. Keutamaan yang dipilih? Bila kita tahu keutamaan, kita akan peruntukkan masa itu.

Takut kerana perkara berkaitan agama sensitif – sensitif itu dah tiada bila kita dah biasa. Dah kita tak mulakan, macam mana nak biasakan diri.
.
Malu – kadang kita ni malu tak bertempat. Kita tahu agama Islam itu benar. Kita tahu Islam itu baik dan sebab itu kita kekal sebagai muslim tapi kenapa kita tak kongsi perkara itu kepada orang lain yang belum Muslim. Kita dakwah bukan sebab nak hasil, tapi sebagai Muslim, kita ikut apa yang Allah suruh.

Fusilat 41:33 Tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta melakukan amalan soleh sambil berkata, “Sesungguhnya aku adalah dalam kalangan orang yang berserah diri!”

Tak pandai bercakap – Nabi Musa berjumpa Firaun untuk dakwah sebab Allah suruh. Nabi Musa tak petah bercakap tapi tetap berjumpa Firaun. Kita pun berjumpa orang idaklah macam Firaun tu, kan.

Satu perkara lain yang disentuh juga, kadang kala kita yang muslim dari lahir ini sendiri memberi persepsi yang salah tentang Islam. Bro Firdaus bercerita ketika belum Islam dia berkawan dengan seorang Melayu dan seorang India. Mereka berjanji nak main bola keesokan harinya, yang Melayu tu kata Insya-Allah. Tunggu punya tunggu esoknya kawan yang Melayu tak datang. Dia pun tanyalah kawannya bila dah jumpa. “Saya kata Insya-Allah, ma.” Sejak dari haritu Bro Firdaus akan ingat kalau kawannya kata Insya-Allah tu maksudnya tak datang lah. “Ni yang saya nak tegur Melayu ni. Suka hati guna perkataan Insya-Allah,” katanya. Haha. Betul, kan? Dah jadi kebiasaan. Kita memang tahu tarikh yang dijemput tu kita tak boleh datang tapi takut nak beritahu sebab bimbang orang tu kecil hati jadi guna Insya-Allah. Harap-harap tak adalah bersikap macam ni lagi ya. Kita ubah.

Satu lagi yang baru tersedar ada satu tabiat kita ketika minum. Nabi bersabda, makan dan minum dengan tangan kanan.Tapi kalau kita makan nasi dengan tangan kanan lepas tu nak pegang gelas pula, kebiasaannya kita akan pegang tangan kiri (sebab tak nak gelas kotor) dan akan ampu dengan tangan kanan (konon pegang dengan tangan kananlah). Ha korang buat jugak kan? Betul tak?  Logiknya kita sebenarnya pegang tangan kiri. Ha, kenapa kita tak ikut apa yang dikata oleh Nabi Muhammad sedangkan benda tu simple sahaja.

Perkara mudah yang kita boleh buat:

Janganlah guna bahasa arab, misalnya kalau sebut pasal Nabi, kita cakap radiallahanhu / saw. tapi cuba tukar gunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris supaya mereka tahu apa yang kita ucapkan. 'Sejahtera ke atas mereka'.

Sebutan Bismillah masa makan, sebut dengan kuat dan bukan dalam hati. Biar yang bukan muslim ni dengar. Macam dalam filem Inggeris di tv kalau derang makan satu keluarga, kan doa dibaca kuat dan ameen bersama-sama.

MRM biasa buat Dakwah Jalanan (Street Dakwah). Mereka akan solat di jalanan dan ajak yang bukan muslim ikut solat sekali. Kalau orang kita ni biasanya kecam, “Macamlah tak ada surau dah di Malaysia ni, kat jalan juga nak solat”. Sebenarnya itu satu kaedah untuk tunjuk kepada yang belum Muslim. Tambah mereka lagi,  biasanya bila orang belum muslim ni dapat masuk masjid, mereka akan ke depan mimbar dulu untuk ‘cari’ apa yang kita ‘sembah’. Dan biasanya masjid kita ni tak berapa friendly sangat kepada belum muslim melainkan masjid yang memang tumpuan pelancong. Harap pihak AJK masjid dapat ubah perkara ini.

Cara pegang brosur untuk diberi pun ada tekniknya, tajuk akan menghadap kepada orang yang kita beri tu supaya dia terus nampak apa yang ditulis.

Bro Azim ketua Street Dakwah
Dapat goodie bag ni,tapi kena beri kepada mereka yang lebih perlu. 
Kalau saya, memang confirmlah beli buku. 
Terima kasihlah barisan sukarelawan MRM. Ada yang meninggalkan gaji lima angka dan bidang profesional kerana tumpu kepada bidang ini. Khidmat pun bukan mengikut waktu pejabat. Mereka percaya rezeki itu dari Allah dan selagi bantu agama Allah, Allah akan membantu. Malah mereka mengunakan kepakaran dan pengalaman dari bidang mereka sebelum ini untuk mengukuhkan MRM.

Boleh ikuti mereka di Facebook Multiracial Reverted Muslims-MRM, Firdaus Wong Wai Hung-Official, Ahmad Iqram Mohamad Noor.

Semoga terus maju MRM. 

Monday, January 13, 2020

Disleksia huruf al-Quran?


Saya masuk kelas mengaji Quran untuk orang dewasa. Bayangkan seperti kelas P.Ramlee Jin pakai toncet hahaha.  

 Kelas ni pakai buku budak-budak sekarang ni belajar. Iqra. Baru masuk Iqra 4. Bukunya sampai Iqra 6. Jauh lagi perjalanannya. Zaman dulu-dulu ngaji,  alif atas ‘a’, alif bawah ‘i’, alif depan ‘u’. Kalau iqra terus je bunyikan sebutannya, tak adalah mengeja.

Dalam kelas ni ada seorang mak cik tu selalu kena marah dengan ustazah sebab asyik salah sebut huruf dan yang panjang dipendekkan, yang pendek dipanjangkan. Tapi suaranya memang sedap daripada orang lain yang boleh mengaji ni. Jadi saya pun tolong dia. Bukanlah mengajar sangat cuma buat macam study group sahaja. Setelah dua kali perjumpaan barulah saya dapat kesan dia ada masalah untuk kenal huruf antara ‘sod’ dan ‘dhod’, ‘fa’dan‘qaf’, ‘syim’ dan ‘syin’, ‘tho’ dan ‘zho’.

Kalau disleksia, seseorang tu biasa tertukar  ‘b’ dan ‘d’, ‘m’ dan ‘w’, ‘g’ dan ‘j’. Cara otak mereka memproses maklumat yang dilihat atau didengar adalah berbeza berbanding orang lain. Jadinya kiranya makcik ni dah macam disleksia jugalah kut. Mak cik ni pun sebenarnya tak boleh membaca. Kenal huruf tapi lambat mengeja. Saya nak ajar mengeja pun dia tak nak sebab dia kata cukup la belajar mengaji, nanti banyak-banyak pening. Kisah masa kecil dia memang sedihlah tu yang tak dapat pergi sekolah.

Untuk menyelesaikan masalah mak cik ni, saya pun teringatlah satu buku ni yang saya beli masa dengar ceramah pengenalan Kaedah Haraki. Buku ni tentang mengenal huruf hijaiyah dengan lebih mudah. Setiap huruf dibuat gambar yang membolehkan orang yang memang tak pernah kenal huruf hijaiyah pun (seperti non muslim) boleh mengaji sebab dia mengeja macam rumi. Kecualilah kalau dia memang betul-betul buta huruf.



Buku dalam bentuk penceritaan.
Seperti dalam bahasa Melayu yang ada huruf konsonan dan vokal untuk membentuk perkataan, begitu juga dalam al-Quran. Vokalnya adalah baris atas (fathah - a), baris bawah (kasrah- i) dan baris depan (dhommah – u). Huruf konsonannya ‘ba’, ‘ta’ dan seterusnya.

Huruf ‘ba’ digambarkan dengan bakul dan untuk titik diletakkan buah epal. Oleh kerana mak cik ni cuma sering terkeliru dengan beberapa huruf sahaja jadi saya beri penekanan pada huruf ‘sod’ (sotong), ‘dod’ (doraemon), ‘sin’ (sikat), ‘syim’ (syuhh – halau ayam). Setiap kali kalau dia teragak-agak nak sebut tu, saya akan sebut “ala, yang ada kipas atas kepala tu!”  Ha barulah dia teringat. 

Ang ang ang ... Doraemon
Sod dan dhod cuma dibezakan dengan titik. 
Alhamdulillah mak cik ni rajin mengulang kaji sendiri jadi kurang dah kena marah dengan ustazah. Dia pun dah seronok datang kelas sebab dah berkeyakinan. 

Kepada yang masih tak boleh mengaji al-Quran boleh check mana-mana kaedah dengan google je sebab dah banyak kaedah sekarang ni. Selamat mengaji ya! 

Sunday, December 29, 2019

Buku Seek The Signs of Allah


Isi kandungannya semua yang ada di gambar tu, Star, Cloud, Earth, Plants, Flowers, Night and Day, Fish dll



Tajuk: Seek The Signs of Allah
Penulis: Dr. Nasiroh Omar
Penerbit: Dakwah Corner Publications, Petaling Jaya, Selangor
ISBN: 978-967-0835-22-8
Harga: RM 25 (di MPH )       Cetakan Pertama 2017
M/s: 128 halaman

Sinopsis: How do we know that Allah SWT exists? The first and foremost requirement for a person tu become a Muslim is to believe whole-heartedly that Allah SWT exists. Allah SWT, the one and only God. Nevertheless, He cannot be seen by a human – or any living creature, for that matter. In simpler words, Allah SWT is invisible. He was, is, and will be invisible for the rest of the world’s existence until the day when the universe comes to an end.

Komen: Buku ni pinjam kakak punya. Tertarik sebab kulit buku (cover) warna terang dan ada gambar kartun di depannya yang menggambarkan bukan buku yang serius. Bila buka dalam dan tengok pengenalan, wah memang menarik. Menggunakan bahasa Inggeris yang jelas. Mudah difahami. Buku ini mengajak kita berfikir tentang Allah dalam setiap perkara. Kita biasa mengagumi ciptaan dan bukan penciptanya. Contoh, melihat bangunan yang berseni ciptaannya kita akan kagum dengan pereka/arkitek yang melakarkannya. Sedangkan kita pernah teringat tak Allah yang kurniakan otak/fikiran/ilham itu.

Dalam buku ini penulis membuat bandingan ringkas kosa kata yang biasa tapi dapat ‘mencari’ Allah di dalamnya.

Kosa Kata: GAME. Teringat zaman saya budak-budak dulu yang gemar main video games Mario Bros atau masa floppy disk (alamak mendedahkan ketuaan pulak haha) game Prince of Persia. Setiap game ada level. Betapa terujanya kita nak menghabiskan level pertama untuk nak naik level kedua. Ketika‘nyawa’ dah habis, GAME OVER dan terpaksa mula semula. Kita akan lebih mahir di level pertama sebab kita dah tahu apa halangan yang perlu ditempuhi.

Perasan tak game tadi sama je macam perjalanan hidup kita? Permulaan game – lahirnya kita, game over-umur, maknanya ada had, tak hidup selamanya. Halangan – ujian yang ditempuh. Markah – ganjaran dari Allah dan seterusnya … kenalah baca bukunya. Hihi.

Memetik di halaman 49;

Every time you want to play game, always remember! Remember that games and our lives are very much alike. Before playing any game, ask yourself: what rewards have I already gained today? Increase your rewards by following Allah SWT commands and avoiding sins. People who strive to follow the path of Islam are loved dearly by Allah SWT. Rewards in digital games have no meaning to our lives in the Hereafter. Striving to be a better Muslim and obtain peace in the afterlife can only be played in real life. Remember, games can be played again and again while life is only lived once.

Heaven is the highest level of achievement for Muslims and the purpose of this life is submission to Allah SWT.

Kosa Kata: PAIR. Biasa bila disebut pasangan teringat jodoh je. Tapi terlupakan yang ni;

Rich vs. poor
Strong vs. weak
Up vs. down
Win vs. lose
Big vs. small
Success vs. failure

Akhir kata, buku ini menarik untuk dibaca dan difikirkan.


Monday, September 23, 2019

Demi Masa ...

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan melakukan kebaikan, serta saling berpesan untuk kebenaran dan saling berpesan untuk kesabaran (Al-Asr: 1-3).

Semua orang tahu kepentingan masa. Dalam peribahasa Melayu juga, 'masa itu emas', tetapi adakah kita benar-benar memanfaatkan masa? Tambah-tambah lagi zaman sekarang ni kita dilekakan dengan gajet. Kalau yang memang kerja secara online tu tak apalah. Ni yang asyik melayari internet dari fb bertukar ke ig bertukar ke twitter, ke whatsapp ke telegram berjam-jam. Nak pulak, group chat tu banyak. Orang ni hantar video, balas pulak video ni. Berjam-jamlah kehidupan di alam maya ni. Kiranya telefon tak lekang di tangan.

Berapa ramai yang tertidur tapi tangan masih pegang telefon? Tu belum lagi yang ditimpa handphone bila baring. Dah mengantuk sangat tapi nak juga membaca .... opps pengalaman sendiri hihi.

Buku Pengurusan Masa ni saya beli second hand. Dalamnya ada satu bab, "Ketahui ke mana masa anda pergi". Sedar tak sedar dalam masa satu hari, persoalan yang timbul, "Eh apa yang aku dah buat hari ni? Macam tak ada apa yang bermanfaat pun."

Terjemahan Panel Penterjemah Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Diterbitkan oleh Synergy Publishing Co.


Cadangan daripada buku ini, cuba log masa anda. Tapi saya telah ubah sikit daripada apa yang dia sarankan supaya saya dapat tengok adakah masa  saya lebih banyak dihabiskan kepada gajet?

Hanya ambil sehelai kertas A4, buat 2 bahagian. Satu bahagian untuk masa, satu bahagian untuk aktiviti. Di bahagian masa kita tulis di setiap baris tu masa selang 15 minit dan senaraikan aktiviti. Contoh:

Masa                               Aktiviti

5.30 pagi
5.45 pagi
6.00 pagi
6.15 pagi
6.30 pagi
6.45 pagi
7.00 pagi

dan seterusnya sehinggalah waktu kita tidur. Jadi, kita senaraikanlah apa yang kita buat dalam ruang masa 15 minit tu. KEPUTUSANNYA: Biar sendiri je tahu, haha. Setelah tahu adakah banyak atau tidak kita dilalaikan telefon, eloklah kita kurangkan. Tapi saya memang akan tutup data/wifi masa tidur sebab malas nak menjawab wasap dalam keadaan separuh sedar. Bila dalam keadaan macam ni kadang-kadang kita tak ingat pun apa yang kita dah jawab.  Kalau ada kecemasan biasanya orang akan call. Tapi kalau pergi luar negara tak adalah macam tu, kena biar telefon online.  Risau pulak kalau ada kecemasan dan susah nak call.

Masa dan usia berkaitan. Masa berlalu, usia meningkat. Mencari keberkatan usia. Semoga kita tidak dilalaikan dengan perkara yang tidak bermanfaat.

Sunday, September 22, 2019

Perpustakaan di Institut Koperasi Malaysia Petaling Jaya

Ni pergi Julai 2019, maaflah kalau ada perubahan pula.



Maktab Koperasi Malaysia (MKM) telah dinaik taraf kepada Institut Koperasi Malaysia pada Mei 2019.  Sesuai dengan statusnya yang berubah tu  memang banyak perubahan dapat dilihat. Yang paling ketara perpustakaannya dah jadi macam kafe. Kalau dulu memang macam perpustakaan biasa-biasa yang ada rak buku, kerusi meja, tempat surat khabar. Kagum masa pertama kali masuk. Tak sempat lepak lama pun sebab habis kursus pukul 4.30 petang daan tutup pukul 5.30. Buka seawal 7.30 pagi (rasanya, sebab tak pernah la masuk awal pagi.) Kalau waktu petang ramai je budak-budak sekolah dari kawasan sekitar datang ke sini.

Saya datang hari Isnin, mesin kopi tu tak ada lagi. Esoknya tiba-tiba ada. Wah!. Tapi tak sempat juga nak merasa minum kopi dalam perpustakaan sebab kejar dengan waktu kursus.

Kaunter pinjam buku. Saya biasa pinjam maksimum yang boleh (10 buah) memandangkan malam-malam duduk asrama pun bukan buat apa. Ada tv, tapi dah datang jauh-jauh ni ambil kesempatan buat rujukan. Biasanya pun datang kursus setahun sekali. 

Meja bulat tu baru. Kalau ikut asal, memang hanya ada rak-rak buku sahajalah.

Ni nampak macam kafe


Pentas kecil untuk acara khas. Ada sofa bean bag


Sunday, June 23, 2019

Tujuan Hidup


*tulisan ini ditulis berdasarkan pengajian di kelas tadabur Semat Quran Kuala Kangsar.

Rujukan nota kaki merupakan ayat terjemahan al-Quran (Al Quran Mu’jam terbitan Karya Bestari). Untuk tidak ‘mengganggu’ bacaan sebab tengok atas bawah atas bawah, boleh je abaikan nombor-nombor nota kaki tu.

Saya suka dengar dan baca kisah orang bukan muslim yang telah memeluk agama Islam. Terpancar kebahagiaan tatkala bercerita mengenai Islam. Mereka mendapat semangat baru dan nampak jelas tujuan hidup setelah membuat bandingan daripada anutan mereka selama ini. Bagaimana pula kita yang sedia muslim sejak dari lahir ini? Jelas tak tujuan hidup kita?  Tengok semula seharian hidup kita, solat, makan, kerja, tengok tv, tengok telefon- fb-whatsapp-ig-twitter-telegram, masak, tidur dan esok pun sama je.  Memang matlamat kita supaya dihindari dari masuk ke neraka dan menuju syurga yang abadi tanpa dihisab. Tetapi adakah amalan kita ini menuju ke sasarannya?

Tidakkah kita memerhatikan pada diri kita sendiri [1] tujuan hidup kita di bumi ini tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah[2].

Allah jadikan kita khalifah (pemimpin atau penguasa) di muka bumi[3] untuk memakmurkan bumi ini.

Tidakkah kita pernah berfikir tentang diri kita semua yang Allah ciptakan ada tujuannya, bukan saja-saja. Allah ciptakan langit dan bumi untuk kita (manusia)[4] ambil manfaatnya. Perhatikan apa yang Allah ciptakan, bulan, matahari.  Burung yang terbang di langit dan haiwan lain yang bertebaran di bumi juga ada manfaatnya. Kita fikirkan. Semuanya dari rahmat Allah dan rezeki yang dikurniakan Allah[5]. Allah kurniakan bukan hanya untuk orang Muslim sahaja tapi semua manusia.

Allah juga telah berikan ‘kelengkapan’ buat kita dengan ‘alat-alat’ makrifah seperti pendengaran (telinga), penglihatan (mata) untuk kita belajar[6] dan menerima ilmu. Adakah kita bersyukur?

Allah beri panduan hidup kepada kita dengan diturunkan al-Quran pada bulan Ramadan[7] yakni bulan yang istimewa supaya dapat ‘membina jiwa’. Malah dihantarkan Rasul[8] sebagai ‘guru’ kita untuk memahami panduan hidup ini (al-Quran) supaya kita dapat menjalani hidup dengan sempurna.   Analoginya, jika kita di sekolah hanya ada buku teks tanpa guru sebagai tunjuk ajar, bolehkah kita memahami dengan jelas apa yang hendak disampaikan?

Allah berikan kita semua ini untuk diuji. Manusia boleh pilih untuk jadi hamba Tuhan sebaik-baiknya atau tidak. Bukannya bergantung pada banyak amalan, tetapi yang baik amalannya[9]. Ujian yang kita tempuhi ini  sebagai persediaan untuk mati[10]. Jangan takut mati, semua orang akan mati. Kita bersedia untuk mati dan terselamat dari neraka dan masuk ke syurga Allah. Itulah orang yang berjaya.

Halangan yang kita akan tempuh; pertama, dunia. Dunia ini akan memperdayakan sehingga kita seronok dengan dunia. Kedua, syaitan[11] yang akan menyuruh kita melakukan keburukan seperti syirik, perkara keji - kedekut dan melanggar perintah Allah hingga boleh membuatkan kita terjerumus ke dalam neraka.[12] ‘Alat-alat’ makrifah yang telah dikurniakan[13] kepada kita seperti yang dinyatakan sebelum ini akan dipertanggungjawabkan. Ada hati tapi tak gunakan untuk faham ayat-ayat Allah, ada mata tapi tak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah, ada telinga tapi tidak digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Jadi apa bezanya dengan haiwan ternakan yang lain, malah lebih teruk lagi.

Macam mana syaitan ni menyesatkan kita? Syaitan jauhkan kita daripada al-Quran[14] dengan jauhkan kita dari membacanya. Sedangkan kita Islam, al-quran tu panduan kita. Ada yang boleh baca dan boleh pula mengalunkan bacaannya dengan sedap tapi tak faham pula. Sekadar membaca dan melagukannya. Ada pula yang bila dah faham, belajar dan belajar lagi tapi tak sanggup pula nak ikut seperti apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Ayuh kita pecahkan benteng-benteng yang syaitan buat ni[15]. Bagaimana caranya?  Kembali kepada al-Quran dengan membacanya, memahaminya dan melaksanakannya.  Selagi masih hidup kita masih punya masa. Jangan nanti bila ajal sudah datang kita gigit jari menyesal[16]. Orang yang zalim[17] meninggalkan apa yang Allah beri[18] dan akhirnya akan diseksa.[19] Semoga kita terhindar dari golongan ini.

Wallahu a’lam

Semoga bermanfaat dan ingatan buat diri sendiri yang sering lalai dan lupa.




[1] Al-Dzariyat 51:21 Dan pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
[2] Al-Dzariyat 51:56 Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
[3] Al-Baqarah 2: 30 Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang akan merosakkan dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Allah berfirman, “Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
[4] Al-Rum 30:8 Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya, banyak di antara manusia, benar-benar mengingkari pertemuan dengan Tuhannya.
[5] Al-Baqarah 2:168 Wahai manusia! Makanlah daripada (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuhmu yang nyata.
[6] Al-Nahl 16:78 Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.
[7] Al-Baqarah 2:185 Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan  al-Quran, sebagai  petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Oleh sebab itu, barang siapa dalam kalangan kamu yang berada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan  barang siapa sakit atau bermusafir (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.
[8] Al-Ahzab 33:21 Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari Kiamat serta yang banyak mengingati Allah.
[9] Al Mulk 67:2 Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.
[10] Ali Imran 3:185 Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan balasan bagimu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya, dia memperoleh kemenangan. Ingatlah kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.
[11] Al  Baqarah 2:169 Sesungguhnya (syaitan) itu hanya menyuruhmu melakukan kejahatan, perkara yang keji dan berkata (dusta) terhadap Allah, sesuatu yang kamu tidak ketahui.
[12] Al-Araf 7:179 Dan sesunguhnya, akan Kami isi neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebh sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
[13] Al Isra 17:36 Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semuanya akan diminta bertanggungjawab.
[14] Al Zukhruf 43:36 Dan barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (al-Quran). Kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.
[15] Al Zukhruf 43:37 Dan sesungguhnya, syaitan-syaitan itu benar-benar menghalang mereka daripada jalan yang benar, sementara mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.
[16] Al Furqan 25:27 Dan (ingatlah) pada hari (ketika) orang-orang zalim mengigit dua jarinya (menyesali perbuatannya) seraya berkata, “Wahai Tuhan! Kalaulah (dahulu) aku mengambil jalan bersama Rasul.”
[17] Al-Furqan 25:28 Wahai Tuhan, celakalah aku! Kalaulah dahulu aku tidak menjadikan si fulan (syaitan atau orang  yang telah menyesatkannya di dunia) itu sebagai teman akrabku.
[18] Al-Furqan 25:29 Sesungguhnya, dia telah menyesatkan aku daripada peringatan (al-Quran) ketika (al-Quran) itu telah datang kepadaku. Dan syaitan memang pengkhianat manusia.”
[19] Fatir 35: 6 Sesungguhnya, syaitan itu musuh bagimu, maka layanlah dia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.