Showing posts with label Tip. Show all posts
Showing posts with label Tip. Show all posts

Tuesday, September 3, 2019

Tempe Kentang Goreng Sambal

Masakan ni memang kegemaran keluarga. Mak memang dah masak ni sejak 80-an lagi. Zaman tu rajin cuba-cuba resipi dengan dengar radio dan baca majalah. Kiranya makanan ni dah jadi signature dish. Kalau dihidang masa perjumpaan keluarga memang saudara-mara dah kenallah siapa yang buat. 

Masakan ni tak pernahnya ada resipi tepat, kira bantai je cilinya, bawangnya dan lain-lain. Ada masanya tambah ikan bilis dan kacang. Walaupun beberapa kali dah buat tapi masih tak dapat cara nak bagi kentang tu tahan rangup. Kerangupan hanya sekitar 2-3 jam je. Macam-macam petua ikut, rendam dalam aislah, tabur garam di kentang tu dan tapis (air kentang akan keluar) dan goreng. Kira boleh jugalah rangupnya tapi kalau masak pagi tu, petang dah lemau kentangnya. Tapi sebab suka lauk ni, makan je dengan gembira. Banyak juga kajian dibuat, kentang yang macam ada tanah-tanah ni kadang rangup, yang bersih je tu selalu cepat lemau. Mungkin juga sambalnya tak cukup kering, tu yang lembik kentang tu. Ha gitu kajian demi kajian dibuat.

Akhirnya rahsia kerangupan kentang kekal lama telah ditemui ....

Pakai pemotong tupperware ni. Tak payah langsung ikut petua-petua yang saya sebut tadi. Dengan tupperware ni potong terus ke kuali. Tahan sampai esok hari. Sebelum ni pakai pemotong biasa tu tak berani terus ke kuali sebab tak sempat nak 'kejar' nanti hangit. Sebenarnya takut juga terhiris tangan kalau buat laju-laju. Jadi memang akan buat di pinggan lain dulu. 

Comel je pemotong ni. Masukkan kentang dalam bekas petak yang putih tu, dan tutup dengan yang merah. Penutup merah tu akan 'menekan' kentang yang dalam bekas putih tu sehingga ke hirisan akhir.
Istimewanya pemotong tupperware ni, dia ada pemegang khas. Buat laju-laju pun tak risau sebab jauh dari pisau. Hirisan kentang pun lebih nipis. Nak buat bawang goreng pun senang dengan pemotong ni.

Resipinya:

Tempe. 1 peket/ seringgit- potong nipis dan gaul dengan garam kunyit. 
Kentang - dalam 4 biji saiz sederhana pun dah banyak
Bawang untuk buat bawang goreng. Ikut suka banyak mana nak.
Ikan bilis 
Cili api ikut kepedasan yang diinginkan, tumbuk.
Bawang besar sesuaikan nisbahnya dengan cili api tadi
Bawang putih dalam 2/3 ulas
Gula putih/gula kabung
Asam limau / lemon
*Tumbuk cili, bawang besar dan bawang putih.

Mula-mula, goreng bawang dulu supaya minyak akan jadi bau wangi. Guna pemotong Tupperware untuk mudah kerja masuk terus ke kuali. Kedua, goreng tempe atau kentang. Akhirnya baru masuk ikan bilis. Masak akhir sebab selalunya minyaknya akan jadi kotor. Kalau dah nampak keruh minyaknya, tukarlah minyak lain untuk masak sambal. 

Goreng campuran cili, bawang besar dan bawang putih yang ditumbuk tadi. Biar sampai agak kering, masuk gula dan asam limau. Masukkan bahan-bahan yang dah goreng awal tadi dan tutup api, tapi pastikan masih dikacau-kacau rata.  Angkat dan tus di atas tisu dapur. Bila dah sejuk, bolehlah masuk dalam bekas Tupperware. Dah siap.

Monday, September 2, 2019

Servis Valet di Hospital Selayang

Setakat ni kalau pergi mana-mana hospital pun, masalah besar yang dihadapi masalah nak letak kereta. Lebih-lebih lagi di awal pagi. Kalau sampai pukul 7.30 pun dah dikira lambat dan jangan harap dapat letak kereta dalam bangunan. Tawaf beberapa kali pun akhirnya park di tepi jalan utama. Berdepan pula kena saman daripada majlis bandaran. Jadi bila nampak adanya khidmat Valet di Hospital Selayang ni, bagus tindakan yang diambil oleh pihak hospital bagi mengurangkan stress pemandu. Baru sahaja diperkenalkan, 1 Ogos yang lalu. Saya tak pernah mencuba servis ni walaupun dah pernah nampak di KPJ Ipoh dan Damansara.  Kurang percaya gamaknya sebab tak rasa nak cuba. Hahaha.


Perjalanan dari rumah ke Hospital Selayang biasanya dalam 20- 30 minit je dah sampai kalau trafik lancar,  tapi masalah parkir di hospital ni la yang seksanya. Tempat saya biasa letak memang jauh dari bangunan utama, kawasan asrama jururawat. Senaman sikit. Tapi hari tu, terlewat sedikit keluar dan sampai di hospital 7.20 pagi. Memang tak ada parkir langsung sepanjang-panjang tepi jalan tu sampailah jalan utama jejambat tu. Tiada pilihan nampaknya, cuba sahajalah Valet Parking ni yang terletak di kawasan Hospital Pakar. Park di kawasan Valet tu dan beri kunci pada staff, dia akan beri resit yang tertulis nombor plat kereta kita. Bayar ketika ambil kereta. RM 12.

Ok, masalah mencari parkir dah selesai, tapi pendaftaran dalam hospital masih sesak ya. Sabar ajelah.  Urusan dalam hospital dari pendaftaran-tunggu jumpa doktor-ambil ubat, dalam 4-5 jam. Mujurlah bayaran Valet tidak dikira masa, kalau tidak 'masaklah' nak membayarnya.


*selain dari servis valet, di Hospital Selayang ada menyediakan shuttle van

Menunggu nombor giliran pendaftaran dipanggil. Kesemua kerusi dipenuhi dengan pesakit, orang sihat/peneman bagi chance pada pesakit.

Friday, August 9, 2019

Tabung 2 Ringgit - Korban 2019

Kebaikan blog  supaya dapat melihat kembali tulisan lama. Mana yang baik kita teruskan, mana yang buruk kita tinggalkan dan perbaiki. Akhirnya dapatlah melihat balik kisah tabung 2 Ringgit pada tahun 2016. Tabung 2 Ringgit dilancarkan semula habis je korban 2018.

Masa kerja tetap dulu patutnya senang lagi nak buat korban tapi tak pernah terlaksana. Hairan! Mungkin pemahaman tentang korban tu cetek jadi semangat tu kureng.
Masih mengekalkan kotak yang sama. Sticker colourful bertulis tarikh masuk duit supaya dapat memastikan setiap hari masuk. Tapi kadang bukannya masuk tiap-tiap hari RM2, ada juga hari yang lupa, so kadang masuk je RM10 tapi tulis tarikh untuk 5 hari terus. Jadi duit dalam tu ada yang bernilai RM5, RM10, RM20. Paling banyak sudah tentu nilai RM1. Bila orang dah tau saya banyak duit kecil ni, jadilah tempat orang tukar duit sokmo. Haha.
Hari yang paling gembira bila kira duit dan dah cukup.

Rasanya yang paling penting, bila niat untuk korban tu dah ada, semuanya akan jadi mudah. Tahun ni pulak dapat rezeki hadiah hari jadi dalam bentuk wang tunai dan dapat duit raya pulak. Alhamdulillah. Jadi, hasil yang terkumpul lebih cepat.  Semoga murah rezeki juga kepada yang memberi dana. Peringatan mesra, birthday Disember. Hihi. Betullah kata peribahasa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Bermula dengan RM2 je. Akhirnya dapatlah jumlah untuk 1 bahagian lembu.

Salam Aidil Adha semua. Berakhirnya bulan Zulhijjah bermakna bakal bertemu tahun baru. Azam baru kita. Insya-Allah.

Wednesday, April 17, 2019

Google Lens

Dulu-dulu saya kurang sikit pengetahuan berkaitan IT ni, orang lain dah bertukar kepada smart phone tapi saya masih dengan telefon Nokia 3310 je. Klasik.  Orang lain dah berzaman guna WhatsApp (WA) tapi saya hanya guna setelah adik beri telefon dia yang dia tak gunakan dah. Saya rasa, sayalah orang yang paling last dari kalangan rakan sebaya masuk group-group WA ni. Ketinggalan sungguh. Kalau di komputer pula, tak berapa berani nak tekan apa yang luar biasa sebab takut rosak. Nanti kena hantar kedai. Mahal.

Saya hanya berani nak explore sesuatu ni bila beli telefon sendiri yang storagenya kecik. Jadinya terpaksa belajar bagaimana nak guna secara maksimum.  Lagipun telefon bawah RM500 sahaja, kalau main tekan-tekan je tak de la rasa mahal sangat nak baiki.

Pernah telefon ni hilang icon phone. Entah macam mana, nak uninstall apps lain terbuang icon phone sekali. Telefon bunyi, tapi tak tahu nak angkat di mana sebab gambar ganggang telefon tu tak ada. Nak telefon orang pun tak boleh. Haha. Ada sekali tu pula terpadam apps yang memang siap ada dalam tu, fb rasanya. Sebab saiz besarlah, pandai-pandai nak tukar fb lite pulak. Sudahnya biul sedikit telefon tu. Tapi sekarang ni rasa takut tu dah hilang. Pakai tekan je apa-apa yang rasa ingin tahu.

Panjanglah pula sejarah ya,  haritu hasil tekan-tekan jumpa pula Google Lens ni. Google Lens ni dapat search gambar yang sama dengan gambar kita dan kenal pasti nama bunga atau tumbuhan serta tempat (banyak lagi fungsi tapi itu je yang tahu buat masa ini). Dan dari situ kita akan dapat maklumat terus mengenai sesuatu gambar tu tanpa pergi ke Google. Buka gambar di Google Photos :

Clik imej kamera/lensa ni.

Akan nampak flash ke atau macam bintang-bintang bergemerlapan ni. Dia akan tanya kita nak cari apa. Saya pilih similar images

Hasilnya keluarlah gambar yang serupa dengan gambar yang kita tangkap tu. Jika kita nak baca lebih lanjut maklumat tentang gambar tu, click sahaja di mana-mana.


Saya cuba pula gambar ni untuk tahu apa yang dia keluar. Dan dia tunjuk bunga matahari sebab itu je maklumat yang lebih jelas.

Siap penerangan nama saintifik dan gambar bunga matahari yang lain.

Yang ni dia dapat detect sama gambar dengan Sand Dunes Vietnam. Jadi kita pun boleh tengok gambar orang lain dan style dia bergambar.
Jangan pula pilih gambar collage begini. Pening dia nak cari berkaitan apa. 

Jom terus explore apa yang ada dalam telefon kita.

Tuesday, April 9, 2019

Google Drive : Bina 'Perpustakaan Mini' Anda


Penggunaan telefon pintar ni dah jadi kemestian. Jadi kenalah guna semaksima mungkin untuk memudahkan kita dalam segala macam hal.

Kita boleh bina perpustakaan mini secara maya dalam telefon, maklumlah sekarang ni dah banyak e-book yang boleh diperoleh.  Saya sebenarnya memang suka baca dalam bentuk fizikal lagi tapi memandangkan e-book sekarang banyak je yang free, dan tajuk-tajuk pun menarik jadi kenalah ikut peredaran zaman. Nak pula zaman sekarang ni banyak kumpulan WhatsApp, rajin beno dema share atau forward. Macam-macam recana dalam bentuk file pdf yang dikongsi.

Biasanya tak sempat nak baca masa tu dan kekallah di dalam storage telefon tanpa membaca.  Tiba-tiba datang masa telefon tu dah ‘jam’ mulalah sibuk padam mana-mana fail yang besar termasuklah e-book tu. Akhirnya tak sempat baca pun apa yang orang hantar.  Dan sampai satu masa, orang lain hantar semula dan kitarannya berpusing-pusing gitulah. Jadi apa kata kita simpan di Google Drive fail tu. Ada masa nanti boleh tengok semula. Failnya disimpan secara ‘cloud’ dan ruang yang Google beri secara percuma tu, memang cukuplah. Kita boleh delete fail yang disimpan dalam telefon kita tu. So jimat sikit ruang.

Google Drive merupakan aplikasi untuk penyimpanan dan perkongsian fail yang diberikan percuma oleh Google. Jika anda ada g-mail maknanya anda boleh guna dah tu. Google Drive ni ada macam-macam, kalau kita tiada Microsoft Office dalam laptop, kita boleh guna Drive ni. Sama je, ada Documents (sama macam Ms Words), Spreadsheets (sama macam Excel), presentation (sama macam Power Point) dan boleh buat macam-macam lagi tapi saya cuma nak tunjuk bina ‘perpustakan mini’  je hehehe sebenonya muat naik dokumen je tapi saja la ayat gempak sikit.

Jom kita tengok.

Cari Drive yang bentuk segi tiga ni.

Ok yang ni saya dah kategorikan mengikut apa tajuk-tajuk yang biasa saya simpan. Kiranya macam label atau di perpustakaan tu rak bukunya.

 
Kita labelkan folder ni dan boleh warnakan juga supaya ceria. Touch sahaja folder mana-mana kalau kita nak tengok apa yang disimpan. 



Yang ni folder Bahasa Arab, ha banyak dah ebook yang saya simpan untuk pembelajaran. Kalau nak baca, touch sahaja.
Sedia untuk dibaca.
Ok kita tengok macam mana nak muat naik fail.

Kalau di telefon saya (ASUS) saya buka di file manager dan boleh lihat banyak dokumen-dokumen yang ada. 
Kita pilih dokumen yang kita nak dan akan nampak tanda Google Drive berserta tambah di atas sebelah kanan. Tekan di situ dan dokumen akan dimuat naik. 
Ok dah masuk dalam Google Drive. Tapi ni dia letak merata lagi. Untuk masuk dalam folder, tekan tiga titik bertindih tu dan pilih Move. Anda akan diberi pilihan nak masuk dalam folder yang mana. 
Ok dah masuk dalam folder Bahasa Arab. Selesai.
Oleh kerana fail disimpan secara cloud, jadi kita boleh tengok di mana-mana tempat selagi mempunyai sambungan internet.  Tak kisahlah dari rumah, pejabat atau dalam perjalanan dan menggunakan semua peranti seperti PC, telefon pintar atau pinjam laptop orang lain.

Wednesday, April 3, 2019

Pesta Buku Antarabangsa KL : Trip Sehari dari Perak ke PWTC dengan ETS


Panduan ini sesuai untuk sesiapa yang sekitar Perak untuk merancang perjalanan. Balik hari sahaja dengan ETS. Pesta Buku 2019 bermula dari 29 Mac hingga 7 April.

Masa saya duduk di KL dahulu biasanya akan pergi minggu awal dan minggu akhir.  Dah duduk jauh ni kenalah merancang masa yang sesuai dan apa yang nak beli lebih awal.

Tahun lepas saya pergi betul-betul petang hari akhir, memang dapat banyak buku yang murah dan free sebab banyak lelong tetapi buku yang kita nak pula dah habis. Tahun ni pergi hari biasa orang bekerja. Tak adalah dapat banyak murah pun, buku baru dalam 10 % dan banyak jualan kombo. Tetapi, punyalah aman nak membeli-belah. Tak perlu bersesak-sesak. Budak-budak sekolah memang ramai sebab derang ada aktiviti tapi tak adalah pergi sangat tempat yang kita nak pergi tu.


 Perancangan awal sebelum pergi.
  1. Saya ikut channel telegram info PBAKL di https://t.me/ShareInfoKLBookFair
  2. Guna Google Keep senaraikan reruai (booth) yang nak pergi dan buku yang nak beli
  3. Saya pilih pergi hari Selasa sebab tiket ETS ada potongan 25%** pada hari tu.
  4. Jangan lupa bawa beg lipat sebab beg biasanya beranak-pinak dah. Ada orang siap bawa bagasi dan troli. Itu memang dah bajet nak membeli banyak tu. Ikutlah keperluan.

Senaraikan booth yang kita nak pergi dan buku yang hendak dibeli


Tiket pukul 7.28 pagi dari Kuala Kangsar.

Stesen-stesen seterusnya:

Ipoh 7.52
Batu Gajah 8.10
Kampar 8.23

Maknanya ni dalam setengah jam nak sampai dah


Kuala Lumpur 10.32 (Stesen kereta api KL)

KL Sentral 10.44

Sampai sahaja di KL Sentral, buat urusan tambah nilai kad Touch N Go dulu supaya senang nak turun naik lrt.

Sambung perjalanan dengan menaiki LRT ke stesen Masjid Jamek

KL Sentral 10.54
Pasar Seni 10.57
Masjid Jamek 11.00

Turun di  stesen ini dan tukar LRT ke arah Sentul Timur. Tak perlu touch kad  Touch n Go, terus je ikut EXIT Sentul Timur. Jalan kaki lebih kurang 8 minit mengikut kadar kelajuan biasa-biasa aje.

Ikut EXIT ke Sentul Timur untuk nak ke PWTC

Stesen Masjid Jamek dan belakang tu masjidnya.


Masjid Jamek 11.08
Bandaraya 11.10
Sultan Ismail 11.12
PWTC 11.14 Sudah sampai. Tambang dari KL Sentral ke PWTC tadi RM2 je.

Ikut je arah ke PWTC, tapi saya melencong dulu ke Sunway Putra Mall, brunch (breakfast dan lunch) dulu. Maklumlah pagi-pagi tadi sempat beli putu piring Perak je buat bekal. Lagipun di Mall ni banyak pilihan nak pergi. Ada food court atas dan bawah serta fast food. Kebetulan masa pergi situ ada sambutan Hari Autism.

Dari stesen PWTC hingga ke Sunway Putra Mall laluan berbumbung. Begitu juga ke PWTC.

Sambutan Hari Autism


Dah soru, barulah ada tenaga nak membeli-belah. Ada dua jalan masuk tapi saya ikut je jejantas dan ke arah Hotel Pacific. Akan nampak pintu gerbang menyambut kedatangan pengunjung. Ada pelan booth untuk kita rujuk tapi kalau jenis yang memang pening bila tengok macam-macam nama tu, kan. Boleh je tanya orang yang ada selempang ‘boleh kami bantu anda’ ha lebih kurang la bunyinya gitu. Memberi bantuan.


Pintu Gerbang berdekatan Hotel Pacific


Saya cari booth ikut yang telah saya senaraikan terlebih dahulu. Bila dah dapat apa yang nak tu baru pergi tengok lain. 


Booth Dubook

Seronok tengok hiasan booth

Galeri Ilmu
Budak-budak sekolah banyak di kawasan buku sekolahlah dan aktiviti

Iman Publication

Karangkraf 

Utusan, buku RM5. Benda-benda ginilah yang boleh menghabiskan duit tanpa sedar. Ala macam kita masuk kedai RM2. Murah je kan tapi bila dah dikumpul-kumpul ha berpuluh jadinya.
PTS, yang lama-lama RM4 je. Ada buku Saiful Nang 1 dan 2 tapi ala dah beli. 


Ate orang paghit, ni buku mike dekat booth Perpustakaan Negeri Perak.
Surau ada dua tempat, satu tingkat 3  dan satu lagi dekat bahagian masuk dari Hotel Pacific tu. Tapi bila ramai orang ni, sesak di surau lah pula. Alhamdulillah orang masih solat kan.


Arah surau

Pukul 2.45 dah selesai sebab dah melebihi bajet. Kalau tengok-tengok lagi, terbeli pulak lagi.


So kalau siapa yang nak balik hari tu bolehlah beli tiket ETS pukul 5.30 ke atas. Tapi, saya balik hari esoknya hihi. Memandangkan dah datang KL tu pi jumpa kawan sekalilah. Lagipun hari Rabu** pun ada potongan 25% tiket ETS.

Untuk mengelakkan keadaan tren yang sesak lebih-lebih lagi di Masjid Jamek tu, pukul 3 tu sedang elok masanya nak balik. Kalau balik time orang balik kerja juga, hai masaklah dengan nak ngangkut hasil tangkapan dari PBAKL lagi.

Bagi sesiapa yang tak sempat pergi Pesta Buku, boleh je pesan daripada Personal Book Shopper. Boleh ikuti channel telegram di t.me/addien90 dan tengok buku-buku yang ditawarkan. Cepat, cepat 7hb dah habis.


**kena beli di kaunter. Kena beritahu orang tu. Tidak boleh pulang balik atau tukar tarikh atau masa. Kiranya kalau tak jadi pergi haritu, kira hangus ajela tiket.

Hasil. Ambil buku motivasi, bahasa arab dan agama je.




Thursday, February 7, 2019

WhatsApp Viral. Sahih atau tidak?


Sejak ada Group Whatsapp, bukan main banyak lagi mesej-mesej viral atau tular disebarkan. Makin banyak group, makin banyak la yang dapat. Kadang-kadang sampai kita sendiri tak pasti yang mana mesej yang benar dan mana satu yang merepek. Keliru dengan kebenaran. Masa dulu kalau nak buat assignment sudah ditekankan setiap rujukan yang diambil kena ada nota kaki yang menunjukkan tajuk buku, penulis, tahun dan halaman. Mesej yang dihantar melalui whatsapp kadang kala tanpa sumber langsung. Takkan lah kita nak percaya bulat-bulat.

Sekarang ni pun orang boleh je ambil gambar penceramah atau tokoh dan kemudian petik kata-kata dia. Kemudahan teknologi sekarang mudah. Boleh je sesiapa nak buat macam tu.  Ada juga yang disebarkan, gambar dan audio tapi sebenarnya, audio tu tak ada kena-mengena pun dengan gambar. 

Jadi macam mana kita nak menanganinya?

1. Fikir sebelum sebar. Ikut logik.

Contoh mesej viral agama:
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita 1 Safar Kepada Yang Lain, Maka Haram Api Neraka Baginya”.
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita Arafah kepada Yang Lain, maka Haram Api Neraka Baginya”
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita 1 zulhijjah Kepada Yang Lain, Maka Haram Api Neraka Baginya”
Nabi SAW, “Barang siapa yang memberitahukan berita Sya’ban kepada yang lain, maka haram api neraka baginya.”
Rasullullah bersabda “Barangsiapa yang memberitahukan berita 1 Rajab kepada yang lain, maka haram api neraka baginya”
Mesej ini akan dikitar semula setiap kali bertukar bulan Islam. Mengikut kefahaman kita, takkanlah hanya beritahu orang lain masuk bulan baharu sahaja terus diharamkan api neraka. Apabila satu perkara yang kecil tapi ganjarannya terlalu besar dan melebih-lebihkan cerita, kita kena siasat dahulu. 
2. Skill mudah untuk siasat, Google je.
Contoh mesej viral kesihatan:
Gambar Paracetamol yang mengandungi  virus ‘Machupo’

Setiap tahun mesti dapat. Dimulakan dengan AMARAN URGENT, memang akan menimbulkan keresahan kepada pembaca. Di hujungnya pula, sila kongsi mesej ini untuk menyelamatkan nyawa ….

Bagi yang percaya mesej tersebut, ‘Aku kena beritahu semua orang cepat-cepat ni. Bahaya.’

Sabar! Meh kita google sat je untuk pengesahan.

Taip keyword “paracetamol” dan  “machupo”

Taip keyword


Dan jelas jawapannya. Tidak boleh dipercayai.

Contoh viral agama:
Waktu afdal ziarah kubur khamis, jumaat, sabtu … kupasan Kitab Riyadhus Solihin
Mesej yang tular entah beberapa kali.

Walaupun ada sumber dan tidak pernah lah mengaji kitab Riyadhus Solihin  tapi bila baca kita akan rasa ragu-ragu sedikit sebab boleh je pergi kubur hari apapun.
Kalau kita taip di Google dengan keyword Kitab Riyadhus Solihin. Result pasal kitab. Anda masih tak jumpa jawapan. Mau berjam-jam mencarinya. Kita tukar keyword kepada “Status Hadis Sunat Ziarah Kubur Ibu bapa hari Khamis” ha biar panjang berjela pun tapi jawapannya telah diperoleh di tangga teratas. Jika kita teliti sumbernya, kita akan dibawa ke link fb  Dr. Ustaz Rozaimi Ramle.


3.Ketahui bidang seseorang.
 Jika sesuatu mesej diterima dan ada sumbernya, tapi di dalam hati masih rasa macam ragu-ragu je. Contoh mesej di atas mengenai hadis. Dr Ustaz Rozaimi memang diketahui bidangnya hadis. Sama seperti mesej-mesej kesihatan. Kadang kala ada mesej petua-petua yang kata makan ni makan tu untuk jaga buah pinggang. Tengok pula sumbernya, rupanya-rupanya dia seorang penjual jus kesihatan.  Lainlah kalau sumbernya doktor pakar buah pinggang.
4. Tapis dengan adanya ilmu.
Contoh viral bahasa:
Gambar Dr Zakir Naik dan dinyatakan ejaan Insya-Allah harus dieja dengan In Shaa Allah.  Begitu juga dengan ejaan Aamin, Amin dll.
Sebelum adanya mesej ini saya memang biasa tulis dengan adanya sempang sebab ia dicatat di dalam Kamus Dewan. ‘Kitab’ apa lagi yang lebih tinggi dalam ejaan ni kalau bukan Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa Pustaka, kan?
Bila kita tulis sahaja ejaan sebegitu, terus ada yang menghantar mesej yang menyatakan ejaan Insya-Allah yang sepatutnya. Eh terasa kita, tau.
 Mari kita Google juga, taip keyword “ejaan insyaAllah yang betul” dan pelbagai penjelasan boleh dilihat.  Kita boleh tekan juga di google kategori image dan akan nampak mesej viral tersebut serta penjelasan.
 Saya berpegang kepada seorang pendakwah (Addien) yang menyatakan “Sebenarnya yang mengubah makna jika salah ejaan bila perkataan itu dieja dalam Bahasa Arab sahaja. Ini kerana perubahan huruf dan baris memberi maksud yang berlainan dalam bahasa Arab. Adapun ejaan “sebutan Arab” bahasa Melayu, ia tidak membawa sebarang makna. Ini kerana bahasa Melayu tidak mempunyai fungsi yang sama seperti bahasa Arab. In & Sha itu tidak ada makna khusus pun dalam Bahasa Melayu. Apa yang penting dalam bahasa Melayu ialah lafaz sebutan dan konteks perkataan Arab yang dimaksudkan dalam percakapan bahasa Melayu itu. Sama juga sebutan Amin, maka yang dimaksudkan dan difahami di situ ialah sebagai “perkenankanlah permintaan” bukan jujur atau aman.
 Ini sebabnya kita kena belajar bahasa Arab supaya kita dapat fahami apa yang kita ucapkan.
4.Lihat keseluruhan mesej
Contoh viral terima hadiah
You Winner
No Simcard anda menang cabutan bertuah,
RM18,000.00
selaku pemenang ke (2)
pin hadiah 497522
untuk maklumat lanjut
 Jangan seronok sangat bila diberitahu menang. Sabar, tengok keseluruhan mesej. Bahasa rojak, sekejap Inggeris, sekejap Melayu. Tak formal langsung. Hadiah pulak sampai RM18,000, takkanlah boleh terpilih begitu mudah sekali. Kalau menang loteri pun kena beli nombor dulu, ni random melalui simcard je? Bertuah sangat nak kena tipu tu. Hadiah pula tebus di ATM sebab siap ada no pin lagi. Pelik tu.
 Kesimpulannya, apa yang kita perlu buat bila baca sesuatu mesej yang tular dan tak pasti kesahihan?
1.   Tapis dengan adanya ilmu – belajar, membaca dan cari pelbagai sumber seperti FB, IG, Twitter atau;
2.   Ikuti Channel Telegram http://t.me/zerohoax atau http://sebenarnya.my atau;
3.    Biar sahaja, jangan forward. Tunggu sahaja, dalam masa 24 jam mesti ada je yang akan beritahu kalau maklumat tu tak betul. Maklumlah sebab dah jadi viral, kan. Mesti pemberita akan buat liputan.
 Kadang hairan juga tengok orang yang sebar maklumat tu panjang-panjang. Ai rajin benar derang membacanya.  Dulu-dulu masa baru mula whatsapp, rajin juga baca yang panjang-panjang ni tapi sekarang, malas nak baca. Bila ada yang membincangkan, barulah tengok semula mesej tu, ha scroll balik. Video atau gambar pun saya tak download kecuali mesej personal dan group tertentu. Nak keluar group, takut terlepas mesej penting pulak. Jadi buat je la media visibility dan mute notifications 8 hours.

  


Wednesday, January 9, 2019

Google Photos – Gudang Gambar Anda


Hujung 2015 dah tahu kewujudannya bila main tekan-tekan apa yang ada di telefon. “Eh apa pula gambar logo kincir angin ni?”. Tapi masa tu tak tahu sangat pasal Google Photos ni.
 
Gambar-gambar ni daripada telefon lama. Walaupun dah tukar telefon ia tetap ada sebab simpan secara Cloud. Macam Telegram, secara cloud. Bandingkan dengan whatsapp kalau kita tak buat back up, bila tukar telefon baru kita tak dapat baca mesej-mesej yang lama. Berbeza dengan Telegram, walaupun tukar telefon lain kita masih boleh baca mesej yang lama.

Tahun 2018 lah baru saya explore pasal Google Photos ni setelah 6 sebab ni:

1)Storage telefon kecil
Telefon yang ada sekarang ni storage 16gb je. Dah lah nak taruh apps macam-macam, simpan gambar, video dan dokumen lagi. Dari masalah kita cari penyelesaiannya. 

2)Back up
Bila main tekan-tekan Photos ni dan belek-belek, “Eh ni gambar dari telefon lama yang dah rosak dan tak boleh buka tu dah.”  Tak kisahlah telefon lama tak pakai dah ke, ada dua nombor ke, janji akaun gmail anda sama, gambar-gambarnya semua akan tersimpan di situ. Gambar  atau video yang kita tangkap sync dengan akaun Google kita tu.Cuba bayangkan kalau orang curi telefon anda dan dia selfie. Ha anda dapat tengok muka pencuri tu.

3)Boleh buka di laptop
Kita boleh buka di laptop selagi masih guna akaun gmail tu. Log in untuk tengok.

4)Penyimpanan gambar secara teratur
Anak saudara suka main phone. Dia ingat ada games dalam tu. Takdenya. Untuk tidak mengecewakan mereka, tunjuk gambar/video derang masa kecil, gambar kucing, gambar atuk dan opah dll. Tengok beberapa kali pun derang enjoy je. Photos ni simpan gambar ikut bulan dan album juga. Kita boleh simpan ikut tema dengan menamakan fail tersebut.

5)Rujukan semula gambar yang dirasa tidak penting.
Ada sekali tu waktu malam elektrik tak ada tapi bila tengok jiran sebelah ada pula. Sudah pastilah kita punya rumah yang bermasalah. Buat aduan di TNB dan TNB perlukan nombor tiang. Masalahnya,tiang dekat rumah jiran hadapan dan perlu menempuhi jalan yang semak-samun. Memang ada tulis tapi tulah orang lain yang simpan. Tak ingat letak mana.  ‘Rasa-rasa macam  ada tangkap gambar tiang sebelum ni.’ Belek punya belek dalam gallery telefon, tak ada. Cari dalam Photos,  ada rupanya. Dalam gallery telefon dah delete. Ye lah gambar tiang je, rasa macam tak penting nak memenuhkan dalam telefon, tu yang padam.

Situasi kedua, bapa masuk wad. Doktor perlukan maklumat perubatan dia, berapa kali buat rawatan radioterapi, nama ubat yang diambil sebelum ni. Kadang saya ni ambil gambar random sahaja sebab nak hantar dekat whatsapp group family. Belek punya belek dalam Photos rupanya memang ada pun saya tangkap gambar jadual rawatan dan nama ubat, akhirnya dapat tunjuk dekat doktor jawapan yang lebih tepat. Sebenarnya jarang sekali saya tangkap gambar nama ubat, tetapi masa tu senarai ubatnya banyak sangat, saja-saja tangkap. Dan rupanya ia menjadi satu gambar yang penting untuk keadaan masa tu.

Mari kita tengok  Google Photos ni.

Yang dibulatkan itu.

Telefon ni autosync jadi apa yang  dari Camera memang ada terus dalam Photos ni. Gambar-gambar buruk (tidak bersedia) walaupun kita dah delete di phone tiba-tiba tengok ada kat dalam Photos ni hihi.
Bila buka Photos, paparan ditunjukkan secara bulan.



Kita juga boleh upload apa yang ada dalam phone kita ni seperti image dan video dari Whatsapps. Pilih tiga garis bertindih ni dan pilih device folder, nanti pilih untuk back up dan sync atau upload. Cuba-cuba je tekan mana yang nampak tu.
 
Pilih tiga garis bertindih.
Paparan muka depan yang anda boleh pilih apa yang hendak dibuat.
Kita boleh simpan gambar-gambar ni ikut folder album. Jadi semua gambar yang berkaitan ada dalam tu. Biasanya dia automatik je dan boleh je pilih gambar-gambar untuk upload dalam satu fail tu.
Dia simpan automatik mengikut turutan gambar yang sama dan kita namakan album kita itu.


Ada fungsi assistant yang membolehkan kita edit dalam tu tanpa guna aplikasi yang lain.
Boleh buat movie, collage atau animasi. Ikut je arahan.
Saya guna fungsi black and white yang terdapat dalam ni.


Aha boleh buat video anak kucing yang comel sangat ni. Namanya Kentang. Akan diceritakan kisah Kentang ni di waktu yang lain.
Video dia dah siap pilih lagu tapi kalau kita rasa tak best, boleh je pilih music lain.


Boleh kongsi gambar dengan orang lain melalui copy link. Jadi kalau kita pergi trip ramai-ramai dan nak kongsi gambar dengan orang yang sama pergi trip tu bolehlah. Dulu-dulu kita pakai Dropbox untuk share fail-fail yang besar ni. 

Kadang kala kita akan terima notification daripada Google yang  beritahu gambar ni setahun yang lalu. Mengimbas kenangan. Dan ada juga notification yang mencadangkan kita buat Style pada mana-mana gambar.

Memandangkan ini produk google, kita boleh buka di PC asalkan ada akaun gmail untuk log masuk. Macam saya buka di PC ni boleh download gambar yang rasa nak letak di dalam blog. Kalau dulu pakai kamera, perlu sambung kabel usb ke PC untuk pindah gambar, sekarang ni dari phone terus ke PC.  Log in gmail dan pilih 9 kota kecik yang di atas kanan tu. Cari di situ gambar kincir angin berwarna-warni.
Paparan di PC. Sama cara seperti post Google Keep sebelum ini.


Mungkin ada yang tak pernah buka pun apa yang ada di phone tu dalam folder Google. Biasanya ada Google, Gmail, Maps, You Tube, Drive, Play Music, Play Movies & TV, Hangouts, Photos, Calendar dan Play Store. Cer tengok sekarang.



Masa beli telefon biasanya semua ini dah ada dalam satu folder. Kalau kita uninstall salah satu ni, biasanya bingung telefon kita tu nanti. Ada istilah dalam English, lupa pula sekarang ni.