Wednesday, October 24, 2018

Persediaan ke China

1. Pasport
Utamanya mestilah pastikan pasport sah laku lebih 6 bulan daripada tarikh akhir kita balik ke Malaysia.

Contoh:

Tarikh tamat pasport : 4 April 2019

Tarikh balik ke Malaysia 17 September 2018.

Berkali-kali mengira dengan jari, weh macam dekat sangat nak mati pasport ni. Habislah kalau tersangkut di imigresen nanti.

Oleh itu mari kita gunakan teknologi yang lebih tepat untuk mengira. Google time and date dan keputusannya:



6 bulan 19 hari lagi sebelum pasport ini tak boleh digunakan. Ok selamat.

2. Visa
Boleh dapatkan maklumat dengan google berkenaan visa ke China. Boleh download borang dan isi siap-siap atau online rasanya. Tapi saya print borang, senang tulis masa tenang. Hihi. Gambar diperlukan. Kena cakap dekat orang studio tu visa ke China. Taulah dia syarat yang diperlukan. Background putih. Sebelum ini saya ingatkan boleh je pakai gambar Visa umrah. Lain rupanya. Kecil sikit saiz.

Untuk dokumen lain yang diperlukan dan cara nak mohon boleh rujuk di sini.

3. Kit bekas air
Seperti biasa bila melawat tempat yang confirm tiada paip di dalam tandas. Bekas air ini akan jadi keperluan. Sepanjang berada di sana, hanya jumpa satu toilet sahaja yang ada bidet (masa melawat panda). Ingatkan masa pergi ke masjid, adalah paip dalam tandas, rupanya tak ada juga. Adoi.

Boleh lipat dan kepilkan dalam hand bag atau klipkan sahaja di hand bag.

4. Pocket Wifi
Bagi memastikan kesinambungan perhubungan sepanjang masa antara Malaysia dan China, tempah wifi dari Malaysia lagi.

5. Makanan.
Kami sampai 10.40 malam. Memang plan stay di airport sementara tunggu pagi. Jadi, prepare baju sejuk, stokin, pencuci muka, berus gigi, ubat gigi letak dalam bagasi yang bahagian atas. Senang capai nanti. Bekalan makanan untuk kudap-kudapan juga jangan lupa sementara menunggu hari esok. Mana nak tau di airport ada kedai apa.

6. Itinerary.
Apabila jalan sendiri. Kerja kena lebih. Cari maklumat tentang tempat, pengangkutan, cara nak pergi, baca pengalaman orang  dan lain  Screen shot dulu apa maklumat penting dan download laluan subway. Walaupun boleh je google masa dah sampai sana, tapi persediaan dari awal kan lebih bagus.




Sunday, October 21, 2018

91,519 langkah di Chengdu, China (12 Sept - 18 Sept 2018)

Chengdu? Mana tu? Ada apa tu? Kalau Beijing ke Guangzhou ke, Shanghai ke, Guilin ke memang orang dah biasa dengar dan tahu apa yang ada di situ, tapi Chengdu ni entah apa yang ada ya?



Dikenali kerana adanya Chengdu Research Base of Giant Panda Breeding. Boleh tengok baby panda yang comel ya amat. Walaupun hanya dapat melihat di sebalik cermin, "Ala la la tomei!"

Masa ni pagi, bebudak ni tengah meroloh (bahasa Perak -tidur)

Kempen 10, 000 langkah sehari yang telah dicanangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hanya dapat dicapai bila melancong ke luar negara. Pernah menjangkau 22, 000 langkah sehari. Gigih,kan? Maklumlah dah sampai tempat orang, kena melangkah lebih jauh untuk menerokai apa yang ada di sini. Naik kejang kaki. Mujur duduk di Airbnb boleh buat macam rumah sendiri. Rendam kaki dalam air panas.

Chengdu sebenarnya terkenal juga dengan alam semulajadi lebih-lebih lagi bila orang pergi ke Tibet melalui Chengdu. Kami hanya melawat di tengah bandar sahaja. Namun begitu,cantik juga port untuk ambil gambar. Sisi moden dan tradisional bersatu. Tanglung merah bergantungan menaikkan seri foto yang ditangkap.

Jinli Street

Celah bangunan pun jadi bergambar. 
"Kunci" menuju ke Tai Koo Li. Wah semuanya kedai berjenama. Reka bentuk setiap kedai tu pun menarik.

Pengangkutan rasmi kami Metro. Memang mudah, line pun tak banyak. 6 line sahaja, senang nak hadam. Cuma pergi sesuatu  tempat tu masalah bahasa memang ketara. Banyak guna apps google translate sahaja. Tidak ramai yang ditemui boleh berbahasa Inggeris, jadi kita hanya akan dapat balasan dengan gelengan kepala sahaja tanda tidak tahu. Dahlah bila google peta semua nama jalan dan nama bangunan karakter Cina. First day tu memang huru-hara juga nak mencari alamat airbnb yang disewa.

Apps Google Translate memang banyak jadi penyelamat tapi paling kecewa sekali, bila balik Malaysia baru perasan tak guna fungsi conversation. Padahal dah terang-terang kat situ. Sebelum ini memang ada 2, 3 orang cakap dengan kami dalam Mandarin, hanya boleh balas "Wo bu mingbai (saya tak faham)" atau "Wo bu zhidao (saya tak tahu) je. Siap bukakan google translate dan suruh dia taip apa dia nak cakap. Kalaulah masa tu teringat guna fungsi conversation tentu perbualan itu akan jadi lebih manis.

Dari segi makanan, Chengdu terkenal dengan makanan pedas. Boleh nampak gambar cili-cili kering yang banyak. Bila pesan menu pun dia akan tanya "Spicy?" Saya memang boleh tahan makan pedas. Kalau makan bihun atau mi goreng memang akan tambah cili api sambal kicap bagi kick. Tapi mula-mula ni tak tahu tara mana lagi pedasnya. Memang minta yang medium pedas. "Oh takde la pedas sangat, campur minyak cili lagi, ok jugalah. Nampak je warna merah meletup tapi ok je.

Wantan sup
Yang merah-merah tu cili. Pengunjung boleh merasa pengalaman menggiling cili cara tradisional. Jinli Street

Airbnb yang kami sewa ada hiasan cili juga.

Tidak seperti melancong ke Korea dan Jepun yang akan nampak ramai sangat orang Malaysia, di sini memanglah tak jumpa langsung. Kalau berjalan tu memang nampak kami sahaja yang bertudung. Pengalaman menarik ada seorang Cina dari China yang bertudung, bagi salam.

"Assalammualaikum?"
 "Waalaikummussalam." Senyum-senyum dia dan terus pergi. Eh lepas tu dia patah balik nak ambil gambar bersama. Terkejut dengan responnya, kami pun tak sempat nak guna kamera sendiri. Hmm mungkin dia mualaf kut, seronok tengok kitaorang sama dengan dia. Menarik.

Ada satu kejadian lagi masa menunggu waktu malam di Anshun Bridge. Dialog Malaysia keluar, orang Cina sebelah terus berpaling," Dik, dari Malaysia ya?" " Ya" hehe. Mereka anak-beranak turut mengambil kesempatan cuti panjang Awal Muharam dan Hari Malaysia untuk bercuti.

Jauh perjalanan luas pemandangan kekalkan sifat Muslim dan semangat Malaysia di mana sahaja berada.

Credit: Terima kasih Yang, uruskan semua

Thursday, October 11, 2018

Cara pergi stesen MRT dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Terminal Bas untuk perjalanan jauh.
Gambar: Carian Google


Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kita boleh naik ERL, Komuter dan LRT untuk pergi ke stesen MRT.
 
ERL
Gambar: Carian Google
MRT memudahkan perjalanan untuk Sungai Buloh sekitarnya juga Kajang dan sekitarnya. 
 
Stesen LRT Bandar Tasik Selatan
Gambar: Carian Google
Pilihan di tangan kita. Nak yang cepat sampai tapi mahal, yang murah tapi lambat atau yang sedang-sedang sahaja harganya. Kalau saya, pilihannya tengok bawak beg besar ke tak sebab kena mengangkut dari satu tempat ke satu tempat. 

Jika naik ERL dan Komuter boleh berhenti di stesen KL Sentral dan dari situ boleh naik MRT di stesen Muzium Negara.  Tak payah tukar-tukar tren tapi masalahnya nak pergi ke stesen MRT tu kena banyak jalanlah juga, naik eskalator, jalan lagi, naik eskalator lagi rasanya  jalan lagi barulah sampai (kira-kira240 m). Tapi ok je sebenarnya sebab berbumbung so jalan santai-santai tanpa risau dibasahi hujan atau panas.

Tapi saya pilih LRT sebab saya rasa pertukaran stesen MRT tu tak jauh sangat jalannya. Cumanya dari TBS tu nak ke stesen LRT kena jalan lebih sikit. Mula-mula dari TBS tu kita akan jumpa ERL dulu, kemudian Komuter dan barulah LRT.

Stesen LRT Bandar Tasik Selatan (BTS)  akan nampak tren Sentul Timur dan Ampang. Kita naik tren yang Sentul Timur tapi kalau dah naik yang Ampang punya pun tak apa cuma kena tukar tren di Chan Sow Lin dan naik tren yang ke Sentul Timur.

Kita nak pergi ke stesen Plaza Rakyat (garis satu di tengah). Perhatikan hentian akhirnya, Sentul Timur. Tu sebabnya kita naik LRT yang tulis Sentul Timur. Tapi kalau dah naik yang Ampang pun tak apa tukar sahaja di Chan Sow Lin (perhatikan pertemuan antara dua garisan tersebut) cuma menyusahkan sebab terpaksa tukar tren dan menunggu tren pulak la.
Boleh nampak KLCC 
Boleh nampak Menara KL
Ok kita dah sampai di stesen Plaza Rakyat. Turun eskalator dah boleh nampak arah MRT Merdeka
Turun di stesen Plaza Rakyat dah nampak sign MRT Merdeka. Tidak perlu exit sebab kita pindah daripada LRT ke MRT je. Bersepadu. Jalan selesa berbumbung.
Pilih laluan MRT sama ada hendak ke Sungai Buloh atau Kajang. 
Saya berhenti di hentian akhir MRT Sungai Buloh. Tambang keseluruhan RM5.  Eh lupa pulak termasuk feeder bus ke tidak ya. Lupa. Tapi feeder bus RM1 je.Guna Touch n Go senang je tak payah nak beli tiket.

                 Ringkasan laluan:

    LRT Bandar Tasik Selatan ---> LRT Plaza Rakyat----> MRT Merdeka ---> Destinasi anda


Feeder Bus MRT. Boleh tengok laluan feeder bus di bus stop. Guna Touch n Go dan 'tap' di mesin? dekat driver dan bila nak turun, 'tap' sekali lagi di mesin pintu keluar. 




Wednesday, October 10, 2018

Madame Bokary II

Buku ni pinjam kawan. Sebab-sebab tertarik nak pinjam buku ni, kawan bercerita kisah penulis ni dengan maknya yang kelakar. Sampai orang yang mendengar ni (saya dan kawan) boleh terbahak-bahak ketawa. Tapi bila baca, peratus lawak tu ada sikit kureng sebab penulisan ni memang tulis bahasa yang betul (bukan bahasa pasar). Pandai betul kawan saya tu bercerita, penglipurlara sungguh. Hahaha. 



Tajuk: Madame Bokary II
Penulis: Fikri Kacak
Penerbit: Studio Anai-anai
ISBN: 978-967-13318-3-5
Harga: RM20.00 (Kedai Buku Popular)     Cetakan pertama dan terakhir 2015
M/S: 128 halaman

Sinopsis:
‘Anak emak’ memang manja. Macam Fikri Kacak. Macam saya. Macam sebahagian kecil ‘anak emak’ di luar sana.

Bukan semua orang sukakan ‘anak emak’. Tetapi, percayalah kami punyai peminat kami sendiri.

Ada orang beritahu, kalau nak pikat ‘anak emak’ – kena pikat emaknya dulu. Sebab 100% rahsia diri si anak berada dalam genggaman si emak. Ini bukanlah buku tentang kami – ‘anak emak’. Ini buku tulisan Fikri Kacak. Dalam buku ini Fikri Kacak bercerita tentang dia dan emaknya. Entahlah, semasa saya membaca teks buku ini, tiba-tiba saya rindukan arwah emak saya.


Komen:
Buku ini menceritakan kisah pendek antara penulis dan ibunya.   Penulis 3 beradik dan dia anak sulung (Along). Kebanyakan kisah tentang along dan ibunya, kisah zaman kanak-kanak, masuk sekolah asrama dan sudah bekerja. Gurauan ibunya selalu tentang badannya yang gemuk  dan tiada calon isteri.

Sesetengah cerita memang ada persamaan je, rasanya semua keluarga pun sama. Contoh kisah makanan sihat. Si emak biasanya ‘terpaksa’ kupas buah siap-siap kalau nak bagi buah tu cepat habis.

“Dah dibelikan, tinggal nak makan pun masih malas lagi!” Emak tinggikan suara bila buah-buahan yang dia beli minggu lepas masih di dalam peti sejuk, tidak berusik.

Bila emak mula kupas buah mangga, epal dan pear yang makin lebam kulitnya, kami mula berkerumun kelilingi emak.

“Ini kalau tak emak yang kupas ni,  sampai tumbuh pokok dalam ice box pun belum tentu ada orang yang kupas.”

Korang sama tak? Haha. Kan. Kalau mak saya, rambutan tu dikupasnya simpan dalam Tupperware dan letak peti ais. Barulah luak. Adoi pemalas betul zaman bebudak tu.

Penulis juga menceritakan tentang dia selalu dipanggil MBJB kerana dia yang selalu kena habiskan makanan. Majlis Bandaraya Johor Bahru rasanya sebab dia selalu cerita pasal Johor Bahru. Saya pula biasanya jadi MDKK (Majlis Daerah Kuala Kangsar – kini MPKK- Majlis Perbandaran Kuala Kangsar). Simbol orang yang akan habiskan makanan-majlis bandaran mana-manalah agaknya sebab masa di KL saya biasanya jadi Alam Flora. Habiskan makanan kawan-kawan selagi terdaya untuk elakkan pembaziran.

Penulis bercerita dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kita akan terasa zaman yang dilalui itu sama seperti apa yang pernah dilalui. Kiranya mengenang memori jugalah bila baca buku ni. Contoh, biji getah. Kalau gesel pada permukaan bersimen ia akan jadi panas. Kemudian kita akan tekap biji getah tu dekat orang lain biar dia terkejut. Jajan chikedees ha sapalah yang tak pernah makan, kan.

Cerita-cerita biasa seharian kini diabadikan menjadi buku dan menjadi memori di kemudian hari. Kini semua orang boleh menulis.