Showing posts with label Aceh. Show all posts
Showing posts with label Aceh. Show all posts

Friday, December 19, 2014

Makam Pahlawan Nasional Sultan Iskandar Muda, Bandar Aceh

Sultan Iskandar Muda memerintah kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1607-1636. Baginda berjaya menempatkan kerajaan Islam Aceh antara kerajaan terbesar Islam di dunia pada abad ke-16M.
Ketika itu Banda Aceh yang merupakan pusat kerajaan Aceh menjadi kawasan bandar perniagaan yang dikunjungi ramai dan menghubungkan Aceh ke peringkat internasional, terutama kawasan Nusantara. Ini kerana Selat Melaka merupakan jalan pelayaran kapal-kapal niaga asing  untuk mengangkut hasil bumi Asia ke Eropah. 

Makam Sultan Iskandar Muda


Sultan Iskandar Muda adalah seorang raja yang sangat bijaksana dan adil bahkan terhadap anak kandungnya sendiri. Dikisahkan, Sultan memiliki seorang putera yang bernama Meurah Pupok yang gemar pacuan kuda (judi lumba kuda agaknya??). Putera Mahkota akhirnya dihukum mati oleh Sultan kerana melanggar syariat Islam.

Makam kerabat yang terletak berdekatan

**undur balik lihat sejarah

Apa jadi dengan Melaka?

Setelah Tun Perak, pemimpin yang cekap itu meninggal dunia pada tahun 1498, pedagang-pedagang asing yang telah membawa kemakmuran kepada Melaka itu telah dikenakan cukai yang tinggi. Dengan ini pada tahun 1500 banyak di antara mereka mula memindahkan perdagangan mereka ke pusat-pusat yang lain kerana tindakan Melaka itu, di antaranya ialah Aceh yang mulai maju dengan pesatnya. Malah bermulanya kemerosotan Melaka kerana beberapa faktor.

Zaman renaissance mendorong manusia mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi dan kesediaan meneroka sesuatu yang baru. Atas galakan Putera Henry (anak King John I dari Portugal), orang Portugis menjelajah ke Timur.  Hasilnya Vasco da Gama sampai di India dan Lopez de Sequeira tiba di Melaka. Pada 24 Ogos 1511, di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque, Portugis berjaya menawan Melaka.

 Sultan Mahmud Shah diiringi kerabat diraja, pembesar dan pengikutnya berundur ke Muar-Pahang-Pulau Bentan. Namun Portugis menyerang Bentan pada tahun 1521 dan berlanjutan serang –menyerang antara kedua-dua pihak hingga 1525 dan Sultan Mahmud Shah terpaksa berundur ke Kampar dan mangkat di situ pada 1528.

Kemangkatan Sultan Mahmud walau bagaimana pun tidak juga menyenangkan kedudukan Portugis di Melaka. Serangan musuh-musuhnya datang bertalu-talu terutama dari Johor dan Aceh. Takhta kerajaan Johor telah diasaskan oleh putera Sultan Mahmud yang bergelar  Sultan Alauddin Riayat Shah II selepas kemangkatan ayahandanya. Baginda telah mendirikan ibu negerinya di Johor Lama iaitu di tebing Sungai Johor dan cuba membangunkan Kerajaan Melaka. Seorang lagi putera baginda ialah Sultan Muzaffar Shah merajai Perak.

Ketika ini Aceh sedang berkembang kekuasaannya. Dengan kemunculannya, sepanjang abad ke-16 Selat Melaka menjadi gelanggang pertempuran untuk merebut kuasa di antara pihak Portugis dengan pemimpin-pemimpin Johor dan Aceh.

Monday, December 15, 2014

Kapal di atas rumah Lampulo

Kapal ni datang dari pelabuhan yang berdekatan. Mereka menyelamatkan diri ke tingkat dua rumah ini dan nampak kapal ini datang.


Pada pagi minggu tanggal 26 Disember 2004 kami sekeluarga berkumpul di rumah, pada pukul 08.00 wib  saat gempa terjadi  yang sungguh kuat. Kami sekeluarga merasa takut dan keluar dari rumah duduk di halaman depan, tidak lama kemudian kami melihat ada orang berlarian sambil berteriak air laut naik- air laut naik … begitu terus yang kami dengar. Bapak saya berkata ayo kita lari naik mobil, kami semua pun masuk ke dalam mobil dan pergi dari rumah, di dalam perjalanan saya melihat banyak orang-orang berlarian dan tiba-tiba bapak saya membelokkan mobil ke jalan buntu. Bapak berkata turun, turun cepat dari mobil karena air lautnya sudah meluap dari sungai, saya bersama adik dan ibu terjebak di dalam mobil tidak bias keluar. 

Namun akhirnya dengan pertolongan Allah kami dapat juga keluar dari mobil dan berlarian keluar. Saat itu saya melihat adik saya Agam Fauzan digendong oleh bapak dan mereka naik ke atas pagar.
Saya panggil bapak! Bapak! Tapi beliau tidak memberikan jawaban apa pun kemudian saya terus berlari bersama ibu dan adik dan kami pun naik ke rumah pak Muhammad. Tidak lama kemudian kami menyaksikan bapak dan adik kami yang kecil digulung ombak gelombang tsunami, kami ingin menolong tetapi tidak bisa kerana arusnya terlalu deras … kami naik ke atas kapal yang tersangkut di atas rumah Ibu Abes, dari atas kapal saya melihat kedahsyatan gelombang Tsunami meluluh lantakan semua sarana dan prasarana yang ada baik rumah dan bangunan-bangunan lainnya. Kami semua yang berada di atas bot hanya bisa berdoa dan memohon ampun kepada Allah SWT semoga ini semua bukanlah akhir dari dunia ini.

 -Kesaksian Rina Octiva
 Sumber:  Buku Kesaksian Para Korban Tsunami (Kisah nyata warga yang selamat dalam boat yang tersangkut di atas rumah H. Misbah Lampulo)


Ia dibiarkan begini dan menjadi satu tempat lawatan untuk pelawat melihat keadaan gelombang tsunami yang kuat

Sebelum musibah, kapal ini ada di pelabuhan yang berdekatan.  Pada 26 Disember itu sebenarnya kapal kayu panjangnya 25 m dan lebar 5.5 m  dengan berat 20 tan akan diturunkan ke laut semula setelah dilakukan pembaikan. Tetapi Allah SWT berkehendakkan musibah gempa bumi dan tsunami telah membawa kapal ini terdampar sejauh 1 km dari tempatnya berlabuh ke kawasan perumahan penduduk. Alhamdulillah Allah SWT menyelamatkan 59 warga dalam kapal kayu tersebut.  

Di dalam rumah ini turut diletak nama-nama mangsa yang terkorban.  Di sini juga kita boleh dapatkan sijil penghargaan tanda kita dah sampai ke kampung ni.  Bayaran Rp5000. Tak mahal sangatlah, boleh juga dijadikan kenangan. Di setiap tempat yang dilawat  ada disediakan ‘kotak amal’ dan bolehlah kita menderma seikhlas hati.

Pelancong hanya boleh melawat di sini sahaja kerana dipalang dengan pagar.

Nama-nama mangsa korban gempa dan tsunami. Al-Fatihah

Gambar yang diambil selepas air surut

Sijil Penghargaan kerana melawat kampung ni. Kalau ikut yang tertulis di situ saya merupakan pengunjung ke 8805 tapi jumlahnya mesti lebih ramai sebab jumlah ini untuk orang yang ambil sijil ni sahaja.

Friday, December 12, 2014

Loceng Cakra Donya di Muzium Aceh



Tinggi loceng ini 125 cm dan lebar 75 cm dibuat pada 1409M. Di bahagian luar terukir hiasan dan tulisan Arab juga Cina. Loceng ini merupakan hadiah daripada Maharaja China yang berkuasa di Tiongkok sekitar abad ke-15 kepada kerajaan Samudera Pasai. Ia dibawa oleh Laksamana Cheng Ho sebagai simbol persahabatan dua negara pada 1414M. 

Kerajaan Pasai berpusat di Kecamatan (daerah/wilayah) Samudera Kota Lhokseumawe sekarang.  Selain sebagai pusat kerajaan Islam di Nusantara, Pasai menjadi kota pelabuhan yang maju. Banyak pedagang-pedagang dari Timur Tengah dan Gujerat India berniaga di sini. Selain menyebarkan Islam, Pasai juga mengeksport rempah-rempah ke pelbagai negara. Namun kini kejayaan Pasai hanya boleh didapati di dalam catatan sejarah. Pasai ditakluk kerajaan Aceh Darussalam yang dipimpin oleh Sultan Ali Mughayat Syah pada 1542M. Maka loceng ini pun dijadikan milik kerajaan Aceh.




Ketika Sultan Iskandar Muda memimpin (1607-1636) yang merupakan puncak kejayaan  kerajaan Aceh, loceng ini digantung di kapal perang induk milik kerajaan yang bernama Cakra Donya. Nama itulah akhirnya ditabal pada loceng.  Sewaktu melawan Portugis yang ingin merebut Melaka, loceng Cakra Donya menjadi alat penabuh bagi pasukan perang dalam kapal. Portugis yang kagum dengan kekuatan Cakra Donya menyebut armada tersebut dengan Espanto del Mundo yang ertinya ‘Teror Dunia’ 

Dari kapal perang, loceng ini berpindah di depan Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh. Masjid ini termasuk dalam Kompleks Istana Raja Aceh ketika itu. Loceng dibunyikan apabila penghuni istana harus berkumpul untuk mendengar pengumuman Sultan. Namun kini ia diletakkan di Muzium Aceh.
Loceng ini menjadi saksi bisu persahabatan dan perang. Cheng Ho dan loceng Cakra Donya adalah simbol hubungan Aceh-China. 

Cheng Ho berlayar ke Melaka pada abad ke-15 kerana membawa Hang Li Po untuk menikahi Sultan Mansur Syah (Sultan Melaka). Cheng Ho mengunjungi kepulauan di Indonesia selama tujuh kali.
 




** undur balik lihat sejarah

Melaka bukan sahaja terletak di pertukaran angin monsun tetapi Selat Melaka juga dilindungi dari tiupan monsun oleh gunung di kiri kanannya, ini menjadikannya tempat persinggahan di tengah perjalanan yang sangat diperlukan oleh pedagang China dan India.

Aceh yang terletak di bahagian timur laut Sumatera merupakan sebuah pelabuhan persinggahan yang akhir dalam perjalanan ke India dan sementara menunggu pertukaran angin maka mereka yang berlabuh di pelabuhan itu mengambil kesempatan mendapatkan makanan, air dan keperluan lain yang mustahak.

Wednesday, December 3, 2014

Aceh 28 Nov - 30 Nov 2014

25-28 Disember akan diadakan hari memperingati tsunami.
Belum pergi ke Mekah, dapat pergi ke serambinya sahaja pun tak apalah. Aceh dikenali sebagai Serambi Mekah.  Tanpa tsunami pun Aceh mempunyai ‘kekuatan’ sejarah tersendiri tapi siapa pula yang rajin nak melawat tempat-tempat sejarah ni, kan.  


Ingat lagi masa belajar sejarah dulu, kalau cerita fasal sejarah Melaka mesti ada juga disebut kerajaan Aceh  yang kuat dari segi mengembangkan Islamnya. Begitu juga kalau dalam subjek Sastera ada juga diceritakan kisah kerajaan Aceh ni. Malangnya dulu tak nak belajar rajin-rajin bila sekarang dapat pergi tempatnya tetapi tak dapat nak kaitkan sejarahnya. Huhuhuhu.


26 Dis 2014 akan datang ni genap 10 tahun kejadian tsunami. Mengikut poster yang terpampang di situ, sempena memperingati kejadian tsunami, pada 25-28 Dis ini akan diadakan bacaan doa bersama Ustaz Syeikh Ali Jabar, ekspo kebencanaan, karya kreatif Aceh, fotografi  dan larian. Mengikut pemandu pelancong kami, booking penuh hingga awal tahun depan. Mungkin juga ramai yang datang sebab nak tengok Aceh selepas 10 tahun.
 


Masjid Raya Baiturrahman

Di sepanjang jalan dari airport ke bandar, banyak jumpa masjid sesuai dengan Acheh yang dikenali sebagai Serambi Mekah. Di Acheh ada Hotel Madinah, jalan depan sikit Hotel Mekah dan depannya lagi ada masjid. Cukup dah buat umrah hehehe. Berkesempatan solat maghrib di masjid. Tak pernah langsung melihat pemandangan Muslimah datang solat berjemaah di masjid dengan begitu ramai sekali. Kalau Ramadan tu biasalah. Nak ambil wuduk siap kena Q nak masuk dalam, sesak dan padat.  Masing-masing mengejar untuk solat berjemaah. Lepas solat ada juga yang duduk di situ mengaji al-Quran dan mungkin menunggu solat Isyak
Kuburan Massal - di makam ini sebanyak 46,718 korban gempa dan tsunami dikebumikan. Semua yang berumput itulah makamnya. Ada wakaf-wakaf yang disediakan dengan surah Yasin untuk kita baca. Nampak tak kat atas tu tulis 'Kun fa ya kun' - Jika Allah kata jadi, jadilah.


Kuatnya tsunami itu boleh dilihat apabila kapal yang seberat 2600 tan pun boleh terseret lebih kurang 5km. Kubah masjid juga boleh ‘tercampak’ di tengah sawah dan bot ‘tinggal’ di atas rumah. Kekuasaan Allah dapat dilihat bila seluruh kampung musnah tapi hanya nampak masjid yang masih tersergam. Cuma ada sedikit kerosakan. Ramai mangsa yang ingat itu merupakan kiamat kerana ketika itu tsunami begitu asing dari pengetahuan mereka. Kalau gempa itu sudah biasa.


Makam Pahlawan Nasional Sultan Iskandar Muda

Gunongan - simbol cinta Sultan Iskandar Muda kepada permaisurinya yang berasal dari Pahang, Malaysia agar permaisurinya tidak gundah gulana kerana teringatkan kampung sementara Sultan sibuk dengan pemerintahan. Boleh naik sampai ke atas tu tapi masa kami datang tu pintunya ditutup

Kapal tersangkut di atas rumah di Kampung Lampulo. Kira-kira 59 orang terselamat di dalam bot ini. Ramai yang menyatakan seakan-akan malaikat menghantar bot ini untuk mereka menyelamatkan diri dari ombak tsunami

PLTD Apung - Kapal seberat 2600 tan yang sedang ditambat di Perairan Aceh terseret arus lebih kurang 5 kilometer ke daratan dan terdampar di situ. Menunjukkan betapa kuatnya tsunami.

Rumah Cut Nyak Dhien yang merupakan srikandi Aceh ketika penjajahan Belanda

Di sekeliling masjid ini semua rumah musnah  dan ramai penduduk kampung yang terkorban kerana tidak sempat untuk menyelamatkan diri tetapi masjid ini masih tersergam. Jika dilihat di udara waktu itu, memang hanya nampak masjid ini sahaja sedangkan yang lain ibarat padang jarak padang terkukur.

Kubah masjid di tengah sawah. Kubah masjid tu dari kampung seberang dan terseret lebih kurang 2.5 km.  Ketika itu air setinggi pokok kelapa. 7 orang terselamat di dalam kubah masjid tu bersama-sama sebahagian helaian al-Quran


Makan tiada masalah langsung. Rasanya naik berat badan lepas balik ni. Sedap makan dan memang kena dengan tekak kita. Maklumlah serumpun. Setiap kali hidangan mesti ada keropok belinjau dihidangkan sekali dan memang kena beli lah bawak balik sebagai souvenir. 

 Kalau nak membeli-belah boleh di Pasar Atjeh. Tapi tak menarik sangatlah, telekung, tudung bolehlah beli sikit-sikit. Saya memang kurang membeli. Masalah kalau pergi Indon ni nak kira duit, pening ribu-ribuan gitu. Siap pembeli tu cakap “duitnya susah dikira ya” bila tengok saya terhegeh-hegeh mencari duit. “Banyak sangat kosongnya.” So tu yang ramai penjual siap beritahu duit Malaysianya berapa supaya senang nak buat bandingan. Masuk toilet pun dah seribu. Hehe. Sebenarnya senang je nak ingat Rp10 ribu 2.88 kira RM3 sahajalah . Rp100 ribu = RM 30 tapi bila datang lagi beribu-ribu tu pusing gue.