Wednesday, February 14, 2018

Mengimbau Perjanjian Hudaibiyah – Umrah 30 Nov – 10 Dis (Bahagian 11)


Hari ketiga di Mekah, ke ladang unta. Jamal(un) kalau bahasa Arabnya.  Tapi sebenarnya banyak juga istilah unta yang lain cuma kalau belajar bahasa Arab peringkat tadika ni, jamalun la. Nabi sendiri ada unta yang disayangi, namanya al-Qaswa.

Ladang Unta

Teringat dalam Al-Kulliyah sebelum ini, Ustaz Wadi Annuar (semoga beliau diberikan kesihatan. Kemalangan kenderaan di Perak  awal 2018) bercerita dengan baik kisah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah. Sampai saya minat mencari sejarahnya sebab masa tu bahagian satu dan tak sabar nak tunggu siaran minggu depannya untuk nak tahu kisah akhirnya.

Perjanjian terjadi setelah 6 tahun Rasullullah berhijrah ke Madinah. Orang Muhajirin ni memang suka melakukan tawaf dan terkenang tanah air mereka dan Kaabah. 

Bayangkan dari Madinah kita nak ke Mekah naik bas pun dekat 5 atau 6 jam.  Bandingkan zaman Rasulullah, bersusah payah datang hendak beribadat dengan hanya berkenderaan unta. Muhasabah ya. Bersyukur dengan apa yang diperoleh.

Sebelum Perjanjian Hudaibiyah ini termeterai, Baginda memberitahu sahabat tentang cadangannya untuk menunaikan umrah, lalu bersiap-siaplah mereka berangkat. Baginda menunggang untanya yang bernama al-Qaswa. Baginda membawa isterinya Ummu Salamah bersama seribu empat ratus orang yang lain. Baginda tidak membawa kelengkapan senjata kecuali senjata yang biasa dibawa oleh orang musafir sahaja iaitu pedang-pedang yang dimasukkan ke dalam sarungnya. Bergeraklah baginda menunju ke Mekah. Apabila sampai di Dhul Hulayfah baginda memasang gelang dan penanda pada binatang-binatang korban seraya berihram untuk umrah. Tujuannya ialah supaya manusia tidak memeranginya.

Apabila orang Quraish mendengar berita keluarnya Nabi SAW mereka pun bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menghalang orang-orang Islam daripada sampai ke Baitullah dengan apa cara sekalipun.

Rasullullah SAW memilih jalan yang agak sukar di antara lorong-lorong di bukit. Apabila sampai di Thaniyyah al-Mirar, untanya tiba-tiba menderum tidak mahu berjalan. Unta itu tetap enggan bergerak walaupun mereka menyuruhnya berjalan. Mereka pun berkata, “Al-Qaswa engan berjalan, al-Qaswa engan berjalan. Nabi SAW bersabda, “Bukannya al-Qaswa sengaja enggan berjalan, itu bukan perangainya, tetapi ia tertahan sebagaimana tertahannya gajah yang menyerang Ka’bah. Kemudian baginda berkata, “Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, kalau mereka meminta kepadaku satu rancangan demi untuk membesarkan Tanah Haram ini nescaya aku sanggup menunaikannya”. Kemudian baginda mengerah al-Qaswa sehingga ia bangun. Kemudian baginda menukar arah perjalanan sehingga sampai di hujung al-Hudaybiyyah dekat sebuat genangan air yang sedikit.  (Sumber:Sirah Nabawiyyah, YADIM, 2011, hlm 499)

Orang Quraish menghantar utusan-utusan untuk menghalang Nabi daripada masuk ke Mekah bersama rombongannya. Walaupun Nabi mengatakan mereka datang untuk mengerjakan umrah tetapi orang Quraish tetap tidak benarkan. Orang-orang Quraisy takut akan pengaruh Rasulullah. Mereka khuatir penduduk Mekah akan bergabung dengan Nabi SAW. 

Berlaku peristiwa mencemaskan apabila Nabi SAW menghantar Saidina Uthman bin Affan untuk berunding dengan Quraish namun tidak kembali semula dalam tempoh yang lama.
Akhirnya,  utusan Quraisy bernama Suhail bin Aimer datang  menyampaikan perdamaian dengan mengatakan pada tahun ini Baginda tidak boleh melakukan umrah. Umrah hanya boleh dilakukan pada tahun depan.

Butir-butir perjanjian yang dimeterai:

1.  Tahun ini Muhammad tidak diperkenankan masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan orang-orang Islam boleh masuk ke Mekah dan menetap di situ selama tiga hari. Tidak boleh membawa senjata.

2. Kalau ada orang Mekah datang ke Madinah, Muhammad akan bertanggungjawab segera mengembalikan ke Mekah.  Tetapi kalau ada orang Madinah datang ke Mekah, kaum Quraisy tidak mempunyai kewajipan mengembalikan ke Madinah.

3. Kedua belah pihak memberi kebebasan kepada kabilah-kabilah Arab, memilih pihak mana mereka mau bersahabat dan meminta perlindungan. Kalau terjadi perselisihan atau peperangan di antara suku-suku Arab itu sesama mereka, pihak Quraisy dan pihak Muhammad sama-sama tidak boleh membela kabilah yang melindungkan diri kepada mereka. Hanya boleh mendamaikan.

4. Gencatan senjata selama 10 tahun di antara kedua-dua belah pihak.

Para Sahabat merasa tidak puas hati dengan perjanjian ini  kerana berpendapat seakan-akan kaum Muslimin yang rugi. Namun Rasullullah menjawab,”Aku utusan Allah, Dia tidak mengecewakan daku.” Dan memang benar. Allah tidak pernah mengecewakan umat-Nya.
(Sumber: Hamka berkisah tentang Nabi Muhammad SAW, Pustaka Melayu Baru 1982)


Mengikut mutawif di tempat yang berbatu inilah perjanjian diadakan. Susah juga bila di semua tempat lawatan tu diberi masa hanya 30 minit. Dahlah nak solat sunat kat sini pun sentiasa penuh dengan orang ramai, mana nak tengok tempat lain lagi jadinya tangkap gambar aje. Lagi satu kebanyakan tempat sejarah di sini tiada papan tanda yang jelas menceritakan tentang sejarah. Maksudnya bergantung apa yang diceritakan oleh mutawif. Malah daripada apa yang diberitahu, kebanyakan tempat sejarah ‘dijaga’ oleh orang luar dan bukannya kerajaan Arab Saudi sendiri. Ini kerana kerajaan bimbang akan adanya pengunjung-pengunjung yang melakukan perkara bidaah di tempat-tempat sejarah tersebut.


Bagi yang belum bertukar ihram, masa nilah pun nak tukar dan buat solat sunat ihram. Masjid Hudaibiyah

Bukan sahaja jemaah Malaysia yang turut berhenti di sini, ada 3 hingga 4  buah bas lagi yang datang. 
Setiap tempat yang dikunjungi ramai. Ada jemaah yang kata, masa dia pergi haji tahun 80an pun keadaannya macam nilah, bersesak-sesak menunggu giliran nak masuk solat. Nampaknya tidaklah kerajaan ni nak besarkan tempat agar lebih selesa. 

Ohh… sepanjang di Mekah dan Madinah juga saya perasan tiada cermin di masjid. Ha perasan tak? Akhirnya pakai telefon untuk membetulkan tudung /telekung. Terpegun tengok seorang Arab ni betulkan pashmina tanpa tengok cermin pun, elok terletak tudungnya. Pantas pulak tu pakainya. Kalau sayalah, bayang-bayang dari anak mata orang pun jadilah, sebab nak bagi tudung nampak elok terletak. Hehe.


Monday, February 12, 2018

Uzur Ketika Umrah –Umrah 30 Nov – 10 Dis (Bahagian 10)


Ada beberapa dilema ketika dapat tahu tarikh umrah dekat-dekat dengan tarikh datang haid.  Jika mengikut apps Period Tracker, tarikh dijangka kena 2 hari sebelum nak balik ke Malaysia dan ketika itu di Mekah. Dilema bermula bila orang cakap rugilah bayar mahal-mahal untuk buat ibadah tiba-tiba masa datang sana haid. Masjid pun tak boleh masuk.  Mak cakap jika kena di sana, doa kepada Allah minta  supaya cepat kering dan dapat terus beribadah.

Tanya kawan-kawan yang dah pernah pergi, perlu tak makan ubat untuk hentikan sementara atau tangguhkan period tu. Kawan kata dia tak ambil langsung, dari Malaysia berdoa mohon Allah izinkan agar dapat menunaikan umrah, akhirnya kitaran periodnya berubah. Sepatutnya datang ketika di Mekah tapi ditukar datang ketika di Madinah dan hari terakhir balik ke Malaysia. Seorang kawan lagi baca doa di dalam satu buku tu. Mula baca di Malaysia dan minta sama ada diawalkan atau dilewatkan.  Akhirnya period datang awal 2 minggu sebelum ke sana.Sementara mencari-cari maklumat tu dan google rupanya ada doa yang kawan cakap tu.  

Ada seorang  kawan  lagi makan ubat sebab haid dia memang jenis tak teratur tapi sampai sana datang juga sebab terlambat makan ubat. Saya ni memang takut makan ubat kalau tak ada apa-apa sakit dan risau kitaran seterusnya akan terganggu. Hanya doa kepada Allah supaya dipermudahkan urusan dan haid itu diawalkan atau dilewatkan sehingga sampai di Malaysia.

Seminggu sebelum nak pergi tu, tanda-tanda haid seperti yang biasa dialami. Perut rasa sebu. Rasa tak selesa. Ingat nak ‘datang’ dah.  Jeng! Jeng! Jeng ! Tak ada rupanya. Hanya tanda-tanda.

Ketika di Madinah, esoknya dah nak ke Mekah. Datangla pulak. Huhu sedih. 2 hari awal daripada jangkaan Apps Period Tracker tu. Tiada tanda-tanda nak ‘datang’ pun.  Macam biasa je, maklumlah seminggu sebelum nak pergi dah ada tanda-tanda. Jadi rasa ketidakselesaan itu dah lepas.

‘Macam mana ni?’ Teringat buku Prof Kamil. Fitrah wanita, jangan bersedih. Dan masa inilah bertanya pendapat mereka yang dah pergi haji.

Teringat juga kenalan seorang mutawifah. Mujurlah WhatApps free boleh bertanya ke Malaysia soalan panjang-panjang.

Ikut apa yang dipelajari semasa kursus, setelah kita niat umrah selepas itu kita niat bersyarat supaya jikalau selepas itu ada keuzuran, kita boleh bebas daripada pantang larang dalam ihram. Tapi oleh kerana kita sudah datang haid, tak boleh lagi niat bersyarat.

Ada dua cara dari 2 orang mutawif. Sila rujuk dengan mutawif masing-masing kerana mereka lebih jelas dengan masalah anda.

1.Niat umrah ketika di miqat.
-pantang larang sepanjang tempoh dalam ihram perlu dijaga sebaiknya.
-lintaskan di hati bacaan surah al-Masad (Tabbatyada) agar darah tersebut cepat berhenti (kebiasaannya surah ini dibaca untuk hentikan pendarahan)
-sebaik sahaja kering dan yakin dalam tempoh 24 jam tiada darah keluar lagi, segera mandi wajib dan minta mahram/mutawif bawa segera tawaf, bersaie dan baru bertahalul.
-dalam tempoh haid ini elakkan berkunjung ke gerai atau kedai minyak wangi kerana bimbang peniaga akan mencalit minyak wangi pada kita. Tempat saie masih boleh masuk kerana tempat saie tidak termasuk kawasan masjid.

Pesan kawan lagi, jangan bimbang atau sedih dengan apa yang berlaku kerana ini juga anugerah dan bahagian Allah beri pada wanita. Jaga emosi agar stabil. Doa yang baik-baik dan perbanyakkan zikir.

Kredit: Azie, Mutawiffah

2. Apabila orang lain berniat ihram ketika di miqat, jangan berniat sama. Bila haid kering, mandi. Minta mahram bawa ke tempat miqat. Seterusnya tawaf, saie dan bertahalul.

Jadi apa yang perlu kita lakukan bila tidak lagi dapat berjemaah di Masjid Nabawi dan Masjidilharam?

Teringat lagi buku Prof Kamil yang mengatakan buat ibadah dengan cara lain. Oleh itu saya menawarkan diri jadi baby sitter pada anak sepupu yang  pergi bersama. Biar mereka suami isteri dapat ke masjid beriktikaf lebih lama. Sebelum ini mereka bawa anak ke masjid dan kadang-kadang bertukar giliran dengan Tuk dan Opahnya. Diharap dengan bantuan kecil ini dapat memberi ketenangan kepada mereka untuk beribadat.  

Lagi? Tolong jaga selipar dan barang-barang berharga masa kawan-kawan lain bersolat sunat ihram di masjid. Jangan tak tahu, setiap masjid atau R & R yang disinggahi sentiasa ramai orang.  Jadi mereka tenang untuk solat.  Sambil itu minta tolong mereka supaya doakan saya period cepat habis.

Hari kedua sampai di Mekah, ikut rakan-rakan sebilik turun sama ketika mereka nak bersolat sebabnya nak tengok tempat untuk tunggu.  Habis zohor nanti nak lunch sekali. Di dataran masjid, dari kejauhan 25 meter ke pintu King Abdul Aziz nampak imej hitam. “Eh itu ke Kaabah?”

Dari kejauhan 25 meter, betul-betul di tengah tu. Nampak imej gelap.

Balik ke bilik sambil berzikir tiba-tiba mengalir air mata, kata orang memang ketika nampak Kaabah akan merasa sayu. Saya sendiri tak tahu, mengalir air mata sebab melihat Kaabah atau sebab tak dapat masuk ke sana. Uwaaa…
Jam besar ni bertentangan dengan Gate King Abdul Aziz. Inilah sign senang nak balik hotel.

Hotel yang saya tinggal bawahnya pasar raya dan kedai-kedai yang sangatlah meriah penjualannya. Tak payah ke luar jalan besarpun. Orang kata, time nilah boleh mencuci mata, CUTI khas, kan. Memang saya tak pergi membeli-belah pun, hati tu rasa tak sedap sebab belum melaksanakan yang wajib.
Dataran masjid

Jemaah baru keluar lepas zohor. Masa saya menunggu kawan, lalu seorang ni "Eh macam kenal, eh kat mana la jumpa?" Jenuh nak ingat. Sampai la dia dah ke depan, adoi baru teringat orang kampung. Orang Perak, Hehe. Mufti Perak, Dato Harussani. Hai, udah jauh terlepas baru teringat, tak sempat nak tegur.

Sesekali terlintas, tak makbul pula doa supaya diawal atau dilewatkan haid tu. Astaghfirullah, muhasabah diri semula, saya juga pernah berdoa untuk menulis sesuatu yang memberi manfaat pada orang lain. Bila dah mengalami sendiri, barulah boleh menulis dengan lebih faham, kan?. Malah dapat membantu orang lain dengan cara yang lain. Ibadah itu bukan hanya di masjid, tindakan kita dalam menangani masalah, pandangan kita dalam ujian Allah dan hubungan antara manusia jangan lupa tu, ambil kira.



Tuesday, February 6, 2018

“Labbaikallahumma labaik!” – Umrah 30 Nov -10 Dis (Bahagian 9)


5 malam di Madinah, kini tiba hari terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW. 

“Janganlah jadikan kunjungan ini sebagai ziarah penghabisan. Kurniakanku peluang untuk menziarah kembali dalam keadaan sihat dan baik.” 
Masjid Nabawi

Labbaikalahumma labaik, labbaika laa syarikalaka labaik. Innalhamda, wan ni’mata, laka wal mulk, laa syarikalak.
(Ya Allah aku menyahut panggilan-Mu,  aku menyahut panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku menyahut  panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.)

Beg-beg sudah dikumpulkan terlebih dahulu. Selepas zohor semua siap menuju ke tanah suci kota Mekah dengan berpakaian ihram. Apa yang dipelajari semasa kursus akan dipraktikkan kini.

 Masjid Nabawi mula perlahan-lahan hilang di pandangan mata. Perjalanan seterusnya menuju ke tempat berniat ihram di miqat “Bir Ali” lebih kurang  12 km jaraknya.
Di Bir Ali, orang ramai ingin mengerjakan solat sunat
Di sini pun ramai orang, bukan rombongan kita sahaja.  Jemaah dari seluruh negara. Setengah jam masa diberi untuk menunaikan solat sunat ihram. Untuk yang pertama kali datang ke sini, memang kena patuh pada arahan mutawif tunggu di mana yang diarahkan. Sendiri cari mau tak jumpa jalan balik ke bas. Tak boleh terleka. Kena ingat di mana bas berhenti. Setelah semua kembali ke dalam bas dan meneruskan perjalanan, Mutawif membaca niat umrah. Orang lain turut melafazkannya. Wajib dilafazkan.

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala.”

 Seterusnya dilafazkan niat bersyarat (bagi perempuan , takut-takut period pula sampai nanti atau jika ada keuzuran yang lain, terbatallah umrahnya dan terlepas daripada pantang laram ihram.)

“In habasani habisun fa mahalli khaithu habastani”
(Jika aku terhalang oleh sesuatu kesulitan maka tahalulku di mana-mana sahaja aku menemui kesulitan.)

Oleh itu bermulalah pantang larang dalam ihram yang perlu dipatuhi. Maksud ihram itu sendiri mengharamkan apa yang boleh dibuat sebelumnya. Jika dilanggar akan dikenakan dam (rujuk pantang larang)

Perjalanan sejauh 450km mengambil masa 5 hingga 6 jam. Talbiah dibaca sepanjang perjalanan. Retrospeksi diri. Jaga hati jaga lisan.

Melihat matahari terbenam dalam perjalanan menuju Mekah


Kami berhenti di hentian tak tahulah apa namanya tapi ada masjid dan tempat makan. Masa yang diberi 1 jam untuk solat jamak maghrib dan isyak serta makan. Ya di mana-mana pun ramai. Semuanya dengan tujuan yang satu, menuju ke Mekah bukannya melancong. Destinasi yang sama dan niat yang sama. Walaupun toilet tak sedap mata memandang, seakan tak terjaga tapi terpaksalah menempuhnya udah tak tahan. Orang yang datang dari satu dunia, kalau di Malaysia pun tandas awamnya (bukan R & R) hmmm je kan. Inikan pula bila ramai-ramai ni berkongsi. Orang yang mencucinya pun tak nampak. Buka-buka pintu, nampak ‘jerangkap samar’ (najis) haha. Adoi tu yang tak tahan.

Makan martabak 5 riyal tapi bukanlah inti daging atau ayam macam di Malaysia. Dia taruh telur, daun bawang kot dan cicah dengan sos tomato. Rasanya sini memang tak ada sos cili sebab jumpa ‘ketchup’ sahaja. Minum teh susu 2 riyal. Cakap Melayu je order. 
Sini jual martabaknya. Di tingkap tu beli air.
Dinner. Tak cukup tempat, kita berkongsi-kongsilah meja beramai-ramai

Lagi 2 jam nak sampai, ramai juga yang dah terlelap.

Kami melalui Tanaim, merupakan salah satu tempat miqat juga. Mengikut sejarah, Saidatina Aisyah uzur dan setelah habis nak ikut nabi pergi umrah. Nabi suruh pergi ke Tanaim. Ini juga  tanda sudah sampai tanah haram. Satu bas bertalbiah dan terasa sayu lebih-lebih lagi dalam suasana malam yang hening.
Panduan ketika di masjidil haram. Kadangkala bila dah pergi saie, keluar ikut pintu lain, jadi menuju ke jam besar ni untuk balik arah hotel.

Kelihatan menara jam besar dari tingkap bas. Bermakna destinasi kami semakin hampir. Sekitar pukul 9.30 malam bas sampai di hotel. Selesaikan urusan beg dan masuk bilik dulu. Pukul 11 malam baru berkumpul semula untuk melaksanakan umrah.

Rukun-rukun umrah terdapat 5 perkara:

1.Berniat ihram – sudah pun dilaksanakan di Bir Ali
2. Tawaf di Baitullah
3.Saie di Mas’aa
4.Bercukur/bergunting
5.Tertib

Sekitar 3 hingga 4 pagi baru selesai. Ada yang tidak sempat tidur kerana risau tak terjaga subuh. Tidur-tidur ayam sahaja.

Sepanjang berada di Mekah, kita boleh memilih untuk melakukan beberapa kali umrah. Travel agency memang dah susun jadual ziarah dan akan pergi menuju tempat miqat sekali. Oleh itu sesiapa yang berhajat untuk melakukannya bolehlah sekali bawa pakaian ihram. Ada juga yang berniat untuk buat badal umrah.

Antara tempat  miqat yang disinggahi:
1.Zulhulaifah (Bir Ali)
2.Jaaranah
3.Hudaibiyah
Masjid Hudaibiyah mengerjakan solat sunat. 

4. Dan paling istimewa ketika melawat Taif kami  singgah di Qarnul Manazil. Orang-orang Malaysia hanya miqat di sini dari udara iaitu dalam kapal terbang  (orang Malaysia yang pergi ke Mekah terus). Tapi kami siap singgah solat lagi di sini.
Qarn al-manazil
Tanaim merupakan tempat miqat yang terdekat daripada Mekah,  oleh itu boleh pergi sendiri naik teksi.  10 riyal untuk seorang. Boleh berkongsi teksi. Tak perlu turun teksi untuk solat sunat pun tak apa. Niat ihram sahaja tapi ada pemandu teksi yang boleh bertolerensi, dia suruh turun solat dulu dan dia akan tunggu. Harga masih sama.