Hari ketiga di Mekah, ke ladang unta. Jamal(un) kalau bahasa
Arabnya. Tapi sebenarnya banyak juga
istilah unta yang lain cuma kalau belajar bahasa Arab peringkat tadika ni,
jamalun la. Nabi sendiri ada unta yang disayangi, namanya al-Qaswa.
Ladang Unta |
Teringat dalam Al-Kulliyah sebelum ini, Ustaz Wadi Annuar
(semoga beliau diberikan kesihatan. Kemalangan kenderaan di Perak awal 2018) bercerita dengan baik kisah
terjadinya Perjanjian Hudaibiyah. Sampai saya minat mencari sejarahnya sebab masa tu bahagian satu dan tak sabar nak tunggu siaran minggu depannya untuk nak tahu kisah akhirnya.
Perjanjian terjadi setelah 6 tahun Rasullullah
berhijrah ke Madinah. Orang Muhajirin ni memang suka melakukan tawaf dan
terkenang tanah air mereka dan Kaabah.
Bayangkan dari Madinah kita nak ke Mekah naik bas pun dekat
5 atau 6 jam. Bandingkan zaman Rasulullah, bersusah payah datang hendak beribadat dengan
hanya berkenderaan unta. Muhasabah ya. Bersyukur dengan apa yang diperoleh.
Sebelum Perjanjian Hudaibiyah ini termeterai, Baginda
memberitahu sahabat tentang cadangannya untuk menunaikan umrah, lalu
bersiap-siaplah mereka berangkat. Baginda menunggang untanya yang bernama
al-Qaswa. Baginda membawa isterinya Ummu Salamah bersama seribu empat ratus
orang yang lain. Baginda tidak membawa kelengkapan senjata kecuali senjata yang
biasa dibawa oleh orang musafir sahaja iaitu pedang-pedang yang dimasukkan ke
dalam sarungnya. Bergeraklah baginda menunju ke Mekah. Apabila sampai di Dhul
Hulayfah baginda memasang gelang dan penanda pada binatang-binatang korban
seraya berihram untuk umrah. Tujuannya ialah supaya manusia tidak memeranginya.
Apabila orang Quraish mendengar berita keluarnya Nabi SAW
mereka pun bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menghalang orang-orang
Islam daripada sampai ke Baitullah dengan apa cara sekalipun.
Rasullullah SAW memilih jalan yang agak sukar di antara
lorong-lorong di bukit. Apabila sampai di Thaniyyah al-Mirar, untanya tiba-tiba
menderum tidak mahu berjalan. Unta itu tetap enggan bergerak walaupun mereka
menyuruhnya berjalan. Mereka pun berkata, “Al-Qaswa engan berjalan, al-Qaswa
engan berjalan. Nabi SAW bersabda, “Bukannya al-Qaswa sengaja enggan berjalan,
itu bukan perangainya, tetapi ia tertahan sebagaimana tertahannya gajah yang
menyerang Ka’bah. Kemudian baginda berkata, “Demi diriku yang berada dalam
kekuasaan-Nya, kalau mereka meminta kepadaku satu rancangan demi untuk
membesarkan Tanah Haram ini nescaya aku sanggup menunaikannya”. Kemudian
baginda mengerah al-Qaswa sehingga ia bangun. Kemudian baginda menukar arah
perjalanan sehingga sampai di hujung al-Hudaybiyyah dekat sebuat genangan air
yang sedikit. (Sumber:Sirah Nabawiyyah,
YADIM, 2011, hlm 499)
Orang Quraish menghantar utusan-utusan untuk menghalang Nabi
daripada masuk ke Mekah bersama rombongannya. Walaupun Nabi mengatakan mereka
datang untuk mengerjakan umrah tetapi orang Quraish tetap tidak benarkan.
Orang-orang Quraisy takut akan pengaruh Rasulullah. Mereka khuatir penduduk
Mekah akan bergabung dengan Nabi SAW.
Berlaku peristiwa mencemaskan apabila Nabi SAW menghantar
Saidina Uthman bin Affan untuk berunding dengan Quraish namun tidak kembali
semula dalam tempoh yang lama.
Akhirnya, utusan
Quraisy bernama Suhail bin Aimer datang
menyampaikan perdamaian dengan mengatakan pada tahun ini Baginda tidak
boleh melakukan umrah. Umrah hanya boleh dilakukan pada tahun depan.
Butir-butir perjanjian yang dimeterai:
1. Tahun ini Muhammad tidak
diperkenankan masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan orang-orang Islam boleh masuk
ke Mekah dan menetap di situ selama tiga hari. Tidak boleh membawa senjata.
2. Kalau ada orang Mekah
datang ke Madinah, Muhammad akan bertanggungjawab segera mengembalikan ke
Mekah. Tetapi kalau ada orang Madinah
datang ke Mekah, kaum Quraisy tidak mempunyai kewajipan mengembalikan ke
Madinah.
3. Kedua belah pihak memberi
kebebasan kepada kabilah-kabilah Arab, memilih pihak mana mereka mau bersahabat
dan meminta perlindungan. Kalau terjadi perselisihan atau peperangan di antara
suku-suku Arab itu sesama mereka, pihak Quraisy dan pihak Muhammad sama-sama
tidak boleh membela kabilah yang melindungkan diri kepada mereka. Hanya boleh
mendamaikan.
4. Gencatan senjata selama 10
tahun di antara kedua-dua belah pihak.
Para Sahabat merasa tidak puas hati dengan perjanjian
ini kerana berpendapat seakan-akan kaum
Muslimin yang rugi. Namun Rasullullah menjawab,”Aku utusan Allah, Dia tidak
mengecewakan daku.” Dan memang benar. Allah tidak pernah mengecewakan umat-Nya.
(Sumber: Hamka berkisah tentang Nabi Muhammad SAW, Pustaka
Melayu Baru 1982)
Mengikut
mutawif di tempat yang berbatu inilah perjanjian diadakan. Susah juga bila di
semua tempat lawatan tu diberi masa hanya 30 minit. Dahlah nak solat sunat kat
sini pun sentiasa penuh dengan orang ramai, mana nak tengok tempat lain lagi
jadinya tangkap gambar aje. Lagi satu kebanyakan tempat sejarah di sini tiada
papan tanda yang jelas menceritakan tentang sejarah. Maksudnya bergantung apa yang
diceritakan oleh mutawif. Malah daripada apa yang diberitahu, kebanyakan tempat
sejarah ‘dijaga’ oleh orang luar dan bukannya kerajaan Arab Saudi sendiri. Ini
kerana kerajaan bimbang akan adanya pengunjung-pengunjung yang melakukan
perkara bidaah di tempat-tempat sejarah tersebut.
Bagi yang belum bertukar ihram, masa nilah pun nak tukar dan buat solat sunat ihram. Masjid Hudaibiyah |
Bukan sahaja jemaah Malaysia yang turut berhenti di sini, ada 3 hingga 4 buah bas lagi yang datang. |
Setiap
tempat yang dikunjungi ramai. Ada jemaah yang kata, masa dia pergi haji tahun
80an pun keadaannya macam nilah, bersesak-sesak menunggu giliran nak masuk
solat. Nampaknya tidaklah kerajaan ni nak besarkan tempat agar lebih selesa.
Ohh… sepanjang di Mekah dan Madinah juga saya perasan tiada cermin di masjid.
Ha perasan tak? Akhirnya pakai telefon untuk membetulkan tudung /telekung.
Terpegun tengok seorang Arab ni betulkan pashmina tanpa tengok cermin pun, elok
terletak tudungnya. Pantas pulak tu pakainya. Kalau sayalah, bayang-bayang dari
anak mata orang pun jadilah, sebab nak bagi tudung nampak elok terletak. Hehe.
No comments:
Post a Comment