Thursday, February 7, 2019

WhatsApp Viral. Sahih atau tidak?


Sejak ada Group Whatsapp, bukan main banyak lagi mesej-mesej viral atau tular disebarkan. Makin banyak group, makin banyak la yang dapat. Kadang-kadang sampai kita sendiri tak pasti yang mana mesej yang benar dan mana satu yang merepek. Keliru dengan kebenaran. Masa dulu kalau nak buat assignment sudah ditekankan setiap rujukan yang diambil kena ada nota kaki yang menunjukkan tajuk buku, penulis, tahun dan halaman. Mesej yang dihantar melalui whatsapp kadang kala tanpa sumber langsung. Takkan lah kita nak percaya bulat-bulat.

Sekarang ni pun orang boleh je ambil gambar penceramah atau tokoh dan kemudian petik kata-kata dia. Kemudahan teknologi sekarang mudah. Boleh je sesiapa nak buat macam tu.  Ada juga yang disebarkan, gambar dan audio tapi sebenarnya, audio tu tak ada kena-mengena pun dengan gambar. 

Jadi macam mana kita nak menanganinya?

1. Fikir sebelum sebar. Ikut logik.

Contoh mesej viral agama:
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita 1 Safar Kepada Yang Lain, Maka Haram Api Neraka Baginya”.
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita Arafah kepada Yang Lain, maka Haram Api Neraka Baginya”
Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita 1 zulhijjah Kepada Yang Lain, Maka Haram Api Neraka Baginya”
Nabi SAW, “Barang siapa yang memberitahukan berita Sya’ban kepada yang lain, maka haram api neraka baginya.”
Rasullullah bersabda “Barangsiapa yang memberitahukan berita 1 Rajab kepada yang lain, maka haram api neraka baginya”
Mesej ini akan dikitar semula setiap kali bertukar bulan Islam. Mengikut kefahaman kita, takkanlah hanya beritahu orang lain masuk bulan baharu sahaja terus diharamkan api neraka. Apabila satu perkara yang kecil tapi ganjarannya terlalu besar dan melebih-lebihkan cerita, kita kena siasat dahulu. 
2. Skill mudah untuk siasat, Google je.
Contoh mesej viral kesihatan:
Gambar Paracetamol yang mengandungi  virus ‘Machupo’

Setiap tahun mesti dapat. Dimulakan dengan AMARAN URGENT, memang akan menimbulkan keresahan kepada pembaca. Di hujungnya pula, sila kongsi mesej ini untuk menyelamatkan nyawa ….

Bagi yang percaya mesej tersebut, ‘Aku kena beritahu semua orang cepat-cepat ni. Bahaya.’

Sabar! Meh kita google sat je untuk pengesahan.

Taip keyword “paracetamol” dan  “machupo”

Taip keyword


Dan jelas jawapannya. Tidak boleh dipercayai.

Contoh viral agama:
Waktu afdal ziarah kubur khamis, jumaat, sabtu … kupasan Kitab Riyadhus Solihin
Mesej yang tular entah beberapa kali.

Walaupun ada sumber dan tidak pernah lah mengaji kitab Riyadhus Solihin  tapi bila baca kita akan rasa ragu-ragu sedikit sebab boleh je pergi kubur hari apapun.
Kalau kita taip di Google dengan keyword Kitab Riyadhus Solihin. Result pasal kitab. Anda masih tak jumpa jawapan. Mau berjam-jam mencarinya. Kita tukar keyword kepada “Status Hadis Sunat Ziarah Kubur Ibu bapa hari Khamis” ha biar panjang berjela pun tapi jawapannya telah diperoleh di tangga teratas. Jika kita teliti sumbernya, kita akan dibawa ke link fb  Dr. Ustaz Rozaimi Ramle.


3.Ketahui bidang seseorang.
 Jika sesuatu mesej diterima dan ada sumbernya, tapi di dalam hati masih rasa macam ragu-ragu je. Contoh mesej di atas mengenai hadis. Dr Ustaz Rozaimi memang diketahui bidangnya hadis. Sama seperti mesej-mesej kesihatan. Kadang kala ada mesej petua-petua yang kata makan ni makan tu untuk jaga buah pinggang. Tengok pula sumbernya, rupanya-rupanya dia seorang penjual jus kesihatan.  Lainlah kalau sumbernya doktor pakar buah pinggang.
4. Tapis dengan adanya ilmu.
Contoh viral bahasa:
Gambar Dr Zakir Naik dan dinyatakan ejaan Insya-Allah harus dieja dengan In Shaa Allah.  Begitu juga dengan ejaan Aamin, Amin dll.
Sebelum adanya mesej ini saya memang biasa tulis dengan adanya sempang sebab ia dicatat di dalam Kamus Dewan. ‘Kitab’ apa lagi yang lebih tinggi dalam ejaan ni kalau bukan Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa Pustaka, kan?
Bila kita tulis sahaja ejaan sebegitu, terus ada yang menghantar mesej yang menyatakan ejaan Insya-Allah yang sepatutnya. Eh terasa kita, tau.
 Mari kita Google juga, taip keyword “ejaan insyaAllah yang betul” dan pelbagai penjelasan boleh dilihat.  Kita boleh tekan juga di google kategori image dan akan nampak mesej viral tersebut serta penjelasan.
 Saya berpegang kepada seorang pendakwah (Addien) yang menyatakan “Sebenarnya yang mengubah makna jika salah ejaan bila perkataan itu dieja dalam Bahasa Arab sahaja. Ini kerana perubahan huruf dan baris memberi maksud yang berlainan dalam bahasa Arab. Adapun ejaan “sebutan Arab” bahasa Melayu, ia tidak membawa sebarang makna. Ini kerana bahasa Melayu tidak mempunyai fungsi yang sama seperti bahasa Arab. In & Sha itu tidak ada makna khusus pun dalam Bahasa Melayu. Apa yang penting dalam bahasa Melayu ialah lafaz sebutan dan konteks perkataan Arab yang dimaksudkan dalam percakapan bahasa Melayu itu. Sama juga sebutan Amin, maka yang dimaksudkan dan difahami di situ ialah sebagai “perkenankanlah permintaan” bukan jujur atau aman.
 Ini sebabnya kita kena belajar bahasa Arab supaya kita dapat fahami apa yang kita ucapkan.
4.Lihat keseluruhan mesej
Contoh viral terima hadiah
You Winner
No Simcard anda menang cabutan bertuah,
RM18,000.00
selaku pemenang ke (2)
pin hadiah 497522
untuk maklumat lanjut
 Jangan seronok sangat bila diberitahu menang. Sabar, tengok keseluruhan mesej. Bahasa rojak, sekejap Inggeris, sekejap Melayu. Tak formal langsung. Hadiah pulak sampai RM18,000, takkanlah boleh terpilih begitu mudah sekali. Kalau menang loteri pun kena beli nombor dulu, ni random melalui simcard je? Bertuah sangat nak kena tipu tu. Hadiah pula tebus di ATM sebab siap ada no pin lagi. Pelik tu.
 Kesimpulannya, apa yang kita perlu buat bila baca sesuatu mesej yang tular dan tak pasti kesahihan?
1.   Tapis dengan adanya ilmu – belajar, membaca dan cari pelbagai sumber seperti FB, IG, Twitter atau;
2.   Ikuti Channel Telegram http://t.me/zerohoax atau http://sebenarnya.my atau;
3.    Biar sahaja, jangan forward. Tunggu sahaja, dalam masa 24 jam mesti ada je yang akan beritahu kalau maklumat tu tak betul. Maklumlah sebab dah jadi viral, kan. Mesti pemberita akan buat liputan.
 Kadang hairan juga tengok orang yang sebar maklumat tu panjang-panjang. Ai rajin benar derang membacanya.  Dulu-dulu masa baru mula whatsapp, rajin juga baca yang panjang-panjang ni tapi sekarang, malas nak baca. Bila ada yang membincangkan, barulah tengok semula mesej tu, ha scroll balik. Video atau gambar pun saya tak download kecuali mesej personal dan group tertentu. Nak keluar group, takut terlepas mesej penting pulak. Jadi buat je la media visibility dan mute notifications 8 hours.