Sunday, June 23, 2019

Tujuan Hidup


*tulisan ini ditulis berdasarkan pengajian di kelas tadabur Semat Quran Kuala Kangsar.

Rujukan nota kaki merupakan ayat terjemahan al-Quran (Al Quran Mu’jam terbitan Karya Bestari). Untuk tidak ‘mengganggu’ bacaan sebab tengok atas bawah atas bawah, boleh je abaikan nombor-nombor nota kaki tu.

Saya suka dengar dan baca kisah orang bukan muslim yang telah memeluk agama Islam. Terpancar kebahagiaan tatkala bercerita mengenai Islam. Mereka mendapat semangat baru dan nampak jelas tujuan hidup setelah membuat bandingan daripada anutan mereka selama ini. Bagaimana pula kita yang sedia muslim sejak dari lahir ini? Jelas tak tujuan hidup kita?  Tengok semula seharian hidup kita, solat, makan, kerja, tengok tv, tengok telefon- fb-whatsapp-ig-twitter-telegram, masak, tidur dan esok pun sama je.  Memang matlamat kita supaya dihindari dari masuk ke neraka dan menuju syurga yang abadi tanpa dihisab. Tetapi adakah amalan kita ini menuju ke sasarannya?

Tidakkah kita memerhatikan pada diri kita sendiri [1] tujuan hidup kita di bumi ini tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah[2].

Allah jadikan kita khalifah (pemimpin atau penguasa) di muka bumi[3] untuk memakmurkan bumi ini.

Tidakkah kita pernah berfikir tentang diri kita semua yang Allah ciptakan ada tujuannya, bukan saja-saja. Allah ciptakan langit dan bumi untuk kita (manusia)[4] ambil manfaatnya. Perhatikan apa yang Allah ciptakan, bulan, matahari.  Burung yang terbang di langit dan haiwan lain yang bertebaran di bumi juga ada manfaatnya. Kita fikirkan. Semuanya dari rahmat Allah dan rezeki yang dikurniakan Allah[5]. Allah kurniakan bukan hanya untuk orang Muslim sahaja tapi semua manusia.

Allah juga telah berikan ‘kelengkapan’ buat kita dengan ‘alat-alat’ makrifah seperti pendengaran (telinga), penglihatan (mata) untuk kita belajar[6] dan menerima ilmu. Adakah kita bersyukur?

Allah beri panduan hidup kepada kita dengan diturunkan al-Quran pada bulan Ramadan[7] yakni bulan yang istimewa supaya dapat ‘membina jiwa’. Malah dihantarkan Rasul[8] sebagai ‘guru’ kita untuk memahami panduan hidup ini (al-Quran) supaya kita dapat menjalani hidup dengan sempurna.   Analoginya, jika kita di sekolah hanya ada buku teks tanpa guru sebagai tunjuk ajar, bolehkah kita memahami dengan jelas apa yang hendak disampaikan?

Allah berikan kita semua ini untuk diuji. Manusia boleh pilih untuk jadi hamba Tuhan sebaik-baiknya atau tidak. Bukannya bergantung pada banyak amalan, tetapi yang baik amalannya[9]. Ujian yang kita tempuhi ini  sebagai persediaan untuk mati[10]. Jangan takut mati, semua orang akan mati. Kita bersedia untuk mati dan terselamat dari neraka dan masuk ke syurga Allah. Itulah orang yang berjaya.

Halangan yang kita akan tempuh; pertama, dunia. Dunia ini akan memperdayakan sehingga kita seronok dengan dunia. Kedua, syaitan[11] yang akan menyuruh kita melakukan keburukan seperti syirik, perkara keji - kedekut dan melanggar perintah Allah hingga boleh membuatkan kita terjerumus ke dalam neraka.[12] ‘Alat-alat’ makrifah yang telah dikurniakan[13] kepada kita seperti yang dinyatakan sebelum ini akan dipertanggungjawabkan. Ada hati tapi tak gunakan untuk faham ayat-ayat Allah, ada mata tapi tak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah, ada telinga tapi tidak digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Jadi apa bezanya dengan haiwan ternakan yang lain, malah lebih teruk lagi.

Macam mana syaitan ni menyesatkan kita? Syaitan jauhkan kita daripada al-Quran[14] dengan jauhkan kita dari membacanya. Sedangkan kita Islam, al-quran tu panduan kita. Ada yang boleh baca dan boleh pula mengalunkan bacaannya dengan sedap tapi tak faham pula. Sekadar membaca dan melagukannya. Ada pula yang bila dah faham, belajar dan belajar lagi tapi tak sanggup pula nak ikut seperti apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Ayuh kita pecahkan benteng-benteng yang syaitan buat ni[15]. Bagaimana caranya?  Kembali kepada al-Quran dengan membacanya, memahaminya dan melaksanakannya.  Selagi masih hidup kita masih punya masa. Jangan nanti bila ajal sudah datang kita gigit jari menyesal[16]. Orang yang zalim[17] meninggalkan apa yang Allah beri[18] dan akhirnya akan diseksa.[19] Semoga kita terhindar dari golongan ini.

Wallahu a’lam

Semoga bermanfaat dan ingatan buat diri sendiri yang sering lalai dan lupa.




[1] Al-Dzariyat 51:21 Dan pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
[2] Al-Dzariyat 51:56 Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
[3] Al-Baqarah 2: 30 Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang akan merosakkan dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Allah berfirman, “Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
[4] Al-Rum 30:8 Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya, banyak di antara manusia, benar-benar mengingkari pertemuan dengan Tuhannya.
[5] Al-Baqarah 2:168 Wahai manusia! Makanlah daripada (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuhmu yang nyata.
[6] Al-Nahl 16:78 Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.
[7] Al-Baqarah 2:185 Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan  al-Quran, sebagai  petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Oleh sebab itu, barang siapa dalam kalangan kamu yang berada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan  barang siapa sakit atau bermusafir (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.
[8] Al-Ahzab 33:21 Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari Kiamat serta yang banyak mengingati Allah.
[9] Al Mulk 67:2 Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.
[10] Ali Imran 3:185 Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan balasan bagimu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya, dia memperoleh kemenangan. Ingatlah kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.
[11] Al  Baqarah 2:169 Sesungguhnya (syaitan) itu hanya menyuruhmu melakukan kejahatan, perkara yang keji dan berkata (dusta) terhadap Allah, sesuatu yang kamu tidak ketahui.
[12] Al-Araf 7:179 Dan sesunguhnya, akan Kami isi neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebh sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
[13] Al Isra 17:36 Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semuanya akan diminta bertanggungjawab.
[14] Al Zukhruf 43:36 Dan barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (al-Quran). Kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.
[15] Al Zukhruf 43:37 Dan sesungguhnya, syaitan-syaitan itu benar-benar menghalang mereka daripada jalan yang benar, sementara mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.
[16] Al Furqan 25:27 Dan (ingatlah) pada hari (ketika) orang-orang zalim mengigit dua jarinya (menyesali perbuatannya) seraya berkata, “Wahai Tuhan! Kalaulah (dahulu) aku mengambil jalan bersama Rasul.”
[17] Al-Furqan 25:28 Wahai Tuhan, celakalah aku! Kalaulah dahulu aku tidak menjadikan si fulan (syaitan atau orang  yang telah menyesatkannya di dunia) itu sebagai teman akrabku.
[18] Al-Furqan 25:29 Sesungguhnya, dia telah menyesatkan aku daripada peringatan (al-Quran) ketika (al-Quran) itu telah datang kepadaku. Dan syaitan memang pengkhianat manusia.”
[19] Fatir 35: 6 Sesungguhnya, syaitan itu musuh bagimu, maka layanlah dia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.

Tuesday, June 18, 2019

Group WhatsApp Rakan-rakan Sekolah – Group Sokongan


Kewujudan Facebook membuatkan ramai yang jumpa semula kawan-kawan sekolah. Dari tadika sampai ke sekolah menengah. Selepas adanya WhatsApp, komunikasi beralih arah dan sembang-sembang lebih rancak lagi kat situ. Wujud pula group WA sekolah rendah dan menengah/group WA sekolah rendah sahaja, group WA form 5, group WA form 6. Biasalah tu kan, bila mencari geng yang serasi, wujud group-group kecil yang kadang lima enam orang je. Sekolah saya semua perempuan je. Topik utama dalam semua kumpulan tu, “Camne nak kurus ni. Ala, dah naiklah berat.” Hmm.. topik yang tidak akan habis. Haha.

Macam-macam hal kawan-kawan ni. Ada yang perangai dari sekolah tak berubah sampai lah ke besor ni. Reda aje.  Asam garam kehidupan.  Ada yang terasa hati, udahlah tinggalkan group. Pastu keluar madah berhelah di media sosial lain. Eh! Hihi. Demokrasi kan.  Tapi ada juga yang tinggalkan group sebab banyak beno bersembangnya, lagho kata dik dema. Ada yang memang tak masuk group langsung sebab dia mencari kawan-kawan baru yang dia kenal sahaja, kawan sekolah tak pandang. Senang je nak detect kawan gini, bila kita tanya sepatah, dia jawab sepatah. Pastu diammmm. Haha maknanya orang tu tak nak kawan dengan kita tau. Jadi biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.

Tinggalkan yang negatif, mari kita pandang dari sudut positif. Bila adanya group sekolah yang sama umur, sama jantina, sama kampung dan sama membesar ia seakan group sokongan. Contoh, sama-sama tua dah. Masing-masing banding uban di kepala dan kedut di mata yang mula kelihatan. Membesar di kawasan yang sama membuatkan memori yang tersimpan pun sama dan rasa cinta pada kampung tu masih kekal walaupun dah berhijrah. Lagipun, masing-masing kenal dah mak, bapak, adik beradik dan rumah lama.  Saling sama mendoakan kesihatan ibu bapa masing-masing. Tak sama perasaannya bila kita bercampur dengan group yang kita kenal masa belajar universiti, group kerja atau group rumah sewa.

Masa Ramadan baru ni kami yang dalam group WA sekolah rendah dan menengah buat satu projek untuk beri sumbangan kepada rakan sekolah dan suaminya yang mempunyai masalah kesihatan. Ramai yang menyumbang sebab terkenangkan rakan ni yang memang baiklah zaman sekolah dulu dan tingkah laku baiknya tak berubah sampai sekarang. Semoga persahabatan antara kita berkekalan dan sama-sama menuju ke syurga.

Sekolah Rendah

Sekolah Menengah


Gambar ihsan google sebab gambar saya banyaknya dah habis kena banjir masa bawa ke kl.