Saturday, January 27, 2018

Program Ziarah Luar - Umrah 30 Nov - 10 Dis (Bahagian 8)

Hari keempat, ziarah luar Madinah. Mutawif memberitahu akan pergi ke Masjid Quba, beliau menasihatkan jemaah berwuduk dari hotel lagi.

Rasulullah bersabda,
Barang siapa berwuduk di rumahnya kemudian terus pergi di Masjid Quba lalu mendirikan solat sunat dua rakaat, maka pahalanya adalah menyerupai pahala dari orang yang menunaikan umrah.
                                                                (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Dalam perjalanan menuju ke Masjid Quba ini kita akan lalu di Masjid Bilal yang kubahnya berwarna hijau bersempena nama Bilal bin Rabah r.a.

Masjid Quba.
Masjid Quba
Pada hari Isnin 8 Rabi’ul Awal tahun 14 kenabian iaitu tahun pertama hijrah bersamaan 23 September 622 (M) Rasulullah SAW tiba di Quba. Ketika orang-orang Islam di Madinah mendengar bahawa Rasulullah SAW telah keluar dari Mekah, setiap pagi mereka akan keluar ke padang lapang untuk menantikan baginda SAW. Di Quba, Rasullullah SAW menetap selama 4 hari iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Di situ baginda mengasaskan Masjid Quba dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid yang pertama sekali diasaskan atas dasar takwa selepas baginda menjadi Nabi (Sumber: Sirah Nabawiyyah, Yadim, Kuala Lumpur, m/s 244-245).

Masjid dibina dari bahan alam sekeliling yang wujud. Batang-batang pohon kurma dibuat tiang, pelepah dan daunnya dibuat atap dan batu-batu pejal berwarna merah dijadikan tembok tanpa simen.
Kenapa Nabi pilih desa Quba tempat persinggahannnya? Kenapa di desa Quba Nabi pilih untuk mendirikan sebuah masjid pertama di dunia? Jawabnya kerana desa Quba sebelum ketibaan Nabi memang sudah sekian lama menjadi tempat persinggahan orang-orang Islam yang datang dari Mekah. Juga di rumah Kalthum bin al-Hadam dan jirannya Sa’ad bin Khaythamah tempat mereka menumpang tidur dalam perjalanan ke daerah-daerah Madinah yang lain. (Sumber: Tempat-tempat bersejarah Mekah-Madinah, Kalam Hamidi Al-Haj,1987)

Tidak putus-putus orang datang menziarah
Masjid Quba sekarang berbeza betul jika dibandingkan dengan sejarah pembinaannya. Jemaah dari negara lain juga ramai yang turut menziarah di sini. Bas bersusun. Masa yang diberi untuk solat sunat dan melawat kawasan sekitar hanya setengah jam. Bayangkan dengan keadaan ramai begitu memang tempat solat sentiasa penuh.  Kena sabar menunggu giliran. Perlu berdiri di luar terlebih dahulu. Saf bertukar ganti sekelip mata. Semuanya mahu mendapatkan fadilat mengerjakan solat sunat di sini.  Di hadapan masjid, kelihatan banyak dedak-dedak burung. Hati-hati jalan di sini. Licin disebabkan banyak makanan burung tu. Terdapat deretan kedai juga ada di halaman masjid ni. Memang tak sempat nak tengok.

Ladang kurma tu takde la pulak pergi tengok dekat-dekat pokok kurma tu. Setengah jam sahaja masa diberi untuk membeli.

Ladang Kurma
Destinasi seterusnya Ladang Kurma untuk beli kurma dengan harga borong. Penjual memang dah siap-siap bungkus untuk 1kg. Kurma ajwa SR60 untuk 1 kg. Kalau di kedai sekitar Masjid Nabawi, setiap pembelian masih boleh tawar-menawar lagi tapi kat sini tak dapat pun. Boleh beli oleh-oleh lain juga, bukan hanya kurma. Tengah pilih-pilih, datang bas rombongan lain pula. Sesak jadinya. Terus naik bas.

Sepanjang umrah ni kena sentiasa ingat warna bas kita, nombor plat bas dan park di mana. Setiap tempat pun ramai, jadi potensi untuk tak jumpa bas memang besar. Dahlah basnya semua nak sama je. Sementara kita nak tunggu bas bergerak tu, ada penjual akan naik bas dan menjual macam-macam. Untuk sakit asma- hati unta kering. Minyak unta? Untuk lenguh-lenguh dan pelbagai testimonilah yang disenaraikan. Orang kalau dah sakit, pantang dengar bila dikatakan ubat ni boleh baik, ubat ni  bla bla bla … lepastu bila buka, “Eh sikitnya isi. Dahlah bau macam minyak sapi je.”. Hehe macam kena tipu tapi halalkan ajelah sebab orang tu pun dah ke mana-mana pergi naik bas yang lain. 
Gambaran dari dalam bas, peniaga menjual t-shirt

Masjid di kawasan Bukit Uhud. Tak sempat tengok nama sebab mencari tandas. Nak pergi tandas di Ladang Kurma kotor jadi menahan la.

Bukit Uhud

Ketika belajar subjek Sejarah Islam masa form 6, formula saya untuk mengingati susunan nama-nama perang  - BUKT (BUKIT/BUKU), ia merupakan singkatan daripada Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak dan Perang Tabuk.  Bila kita melalui sendiri tempat-tempat ni, barulah kita boleh bayangkan apa yang telah dipelajari sebelum ini. Tak sangka sekarang dapat menyaksikan sendiri tempat-tempat bersejarah ini. Aisehman kenapalah dulu-dulu cikgu tak memaksa belajar sejarah betul-betul. Beritahulah, “Nanti awak pergi tempat ni menyesal tak tahu sejarah.”  Hehe. Ketika di Turki, sejarah Uthmaniyyah  semua pun lupa.Tak apa, jangan dikesali perkara yang lalu. Sekarang ada Google dan Youtube, boleh belajar semula.

Ketika Perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan, kemenangan di pihak Muslim. Walaupun di pihak Muslim bilangannya sedikit, ia dibantu oleh Allah seperti dalam surah al-Anfal: 9

(Ingatlah) ketika engkau memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu Ia perkenankan permohonanmu (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari Malaikat yang datang berturut-turut.

Kehebatan Perang Uhud ini terletak kepada adanya Panglima Khalid Ibnu Walid yang termasyhur gagah perkasa lagi bijaksana, baik sebelum Islam mahupun sesudah Islam.

Panglima Khalid Ibnu Walidlah yang berjaya mengharu-birukan tentera Islam yang sedang leka memungut harta rampasan (Ghanimah) dan derhaka dengan amanah Rasulullah sebagai pemimpin perang, bahawa sesiapa pun jangan meninggalkan kubu pertahanan, termasuk kubu utama di atas bukit Ainain, di mana 50 orang ahli pemanah ditempatkan di bawah pimpinan Abdullah bin Jubair Al-Ansari.
Orang ramai menaiki Bukit Pemanah

Sebaik Panglima Khalid Ibnu Walid melihat tentera Islam sedang leka dan lalai, maka dengan pantas dia menyusun bala tenteranya dan sepantas kilat menyerbu di segenap sudut menyebabkan tentera Islam kacau bilau dan kelam-kabut.

Akibatnya gugur syahidlah ayahanda saudara Rasullullah, Sayidina Hamzah bin Abdul Mutalib, yang ditombak oleh Wahsyi hamba Abu Sufyan dengan isterinya Hindun dengan janji, akan dimerdekakan jika berjaya membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib. Manakala Baginda Rasulullah SAW sendiri patah giginya dan luka-luka di wajahnya.

Perang Uhud pada hakikatnya adalah perang dendam kesumat orang-orang Musyrikin terhadap orang-orang Islam kerana mereka kalah dalam peperangan Badar setahun yang lalu, walhal jumlah tentera mereka jauh lebih ramai daripada tentera Islam. (Sumber: Tempat-tempat bersejarah Makkah-Madinah,Kalam Hamid al haj,1987)

Di sini ditempatkan makam para syuhada dalam perang Uhud. Papan tanda ini menunjukkan tatacara ketika menziarah.

Bukti dendam mereka dapat dilihat apabila di kalangan mereka ada yang sibuk – termasuklah wanita-wanita mereka – mencincang  mayat tentera Islam. Mereka memotong telinga, hidung dan kemaluan serta merobek-robek perutnya. Hindun binti ‘Utbah (isteri Abu Sufyan) merobek jantung Hamzah dan mengunyahnya tetapi dia tidak berupaya untuk menelannya, lantaran itu dimuntahkannya. Dia mengambil telinga-telinga dan hidung-hidung para syuhada’ lalu dibuatnya menjadi gelang kaki dan kalung. (Sirah Nabawiyyah, Yadim, 2011)


Di luar kawasan ada peniaga-peniaga yang menjual herba-herba, buah-buahan, rempah ratus. 
Van aiskrim beratur. Panas-panas ni  boleh la layan aiskrim. Tapi saya tak sempat beli, dah tiba masa nak naik bas.
Seterusnya kami menuju perjalanan balik ke hotel memandangkan zohor dah nak masuk. Dalam perjalanan balik kami melalui Masjid Qiblatain. Tak singgah, lalu sahaja. Lalu juga tempat Perang Khandak (Perang Ahzab) berlaku, dah lupa di mana, tapi rasanya macam dekat-dekat sahaja.

Masjid Qiblatain (Masjid Dua Qiblat)

Menurut riwayat yang dirawikan oleh Bukhari dan Muslim daripada al-Bara’ bahawa ketika Nabi mula datang ke Madinah, baginda solat menghadap ke Baitul Maqdis, lamanya 16 atau 17 bulan. Sedang baginda rindu sekali kiblatnya itu menghadap ke Baitullah (Kaabah). Setelah permohonan baginda itu dikabulkan Tuhan, maka solat yang mula dihadapkannya ke Kaabah itu ialah solat asar. Satu kaum menjadi makmum di belakang  baginda. Setelah selesai solat, seorang di antara makmum itu pergi ke luar masjid. Maka bersumpahlah orang itu sambil berkata, “Saya bersaksi di hadapan Allah bahawa saya baru sahaja selesai solat bersama Nabi SAW menghadap Kaabah.” Mendengar perkataan orang itu maka sekalian orang yang solat itu memalingkan mukanya ke Kaabah dengan tidak memutusi solatnya. Sumber: Tafsir al-Azhar Juz 2, Prof Hamka, Yayasan Nurul Islam, (m/s 6)

Al-Baqarah:144

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah): dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (pertukaran kiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

Alhamdulilah ziarah luar ini seakan rombongan sekolah dahulu yang tujuannya menambah ilmu. Melihat makam para syuhada sepatutnya menjadi motivasi kepada umat Islam sekarang. Apakah yang telah kita korbankan untuk agama Islam?



Wednesday, January 24, 2018

Beli Selipar Jepun di Madinah - Umrah 30 Nov - 10 Dis (Bahagian 7)

Ketika membuat persiapan nak berangkat, tersenarai selipar dalam list cadangan travel agency. Biasa pergi travel satu kasut sahaja untuk semua keadaan. Tak terfikir pula pakai selipar. 1st time pergi umrah, tak tahu keadaannya. Bawa selipar dan uncang kasut. Uncang kasut ni sebenarnya beli untuk mak masa mak nak pergi Mekah. Masa tu baru duk Kolumpo. Beli di Mydin KL tapi mak dah ada jenis kain. Akhirnya yang saya beli ni pakai untuk diri sendiri rupanya. Fuh lama tu usianya daripada tahun 90-an.
Uncang selipar

Ramai yang menasihat, selipar dibawa bersama kerana ada kemungkinan masuk jalan lain dan keluar jalan lain. Nanti tak jumpa selipar. Walaupun ada rak kasut, tapi ramai tu di masjid, mau tak jumpa nanti. Petugas masjid tu sendiri berpesan. "Seliparnya jangan ditinggal, bu." Selipar yang dimasukkan dalam uncang diletak di hadapan sejadah (antara saf).

Satu hari tu, tertinggal pula uncang. Plastik pun tak bawa. Takkan nak bawa kasut terbuka gitu. Nak sujud pun rasa semacam je. Akhirnya, kami sebilik letak kasut di rak kasut yang terletak di pintu masuk. Alhamdulillah, balik solat, selipar masih ada di kedudukannya.
Ni rak kasut bahagian luar. Saya letak rak di dalam. Lihat tu betapa bercelarunya kasut ni. Memang kena ingat jalur berapa baris berapa ni.

Keesokan harinya, kami nak ke Raudhah, jadi tak naklah bawa uncang ni. Menyusahkan. Letak di rak semalam. Sementara nak tunggu isyak, terasa nak pergi toilet. Cari selipar. Selipar tak ada. Uncang kosong. Kasut kawan yang dua lagi ada. Tak mungkinlah salah tempat. Saya pinjam kasut kawan untuk ke toilet dan pergi cari kedai beli selipar.

Boleh pula tak jumpa kedai yang jual kasut berdekatan masjid. Dekat nak sampai hotel dah, ambil je selipar yang ada. Selipar jepun 5 riyal. Sampai di masjid, letak balik di tempat rak yang hilang tadi bersama kasut rakan sebilik. Bukannya tak serik tapi sebab nak pergi Raudhah, malas bawa. Balik dari Raudhah. Alhamdulillah selipar jepun saya masih ada. Rupa-rupanya selipar kawan yang saya pinjam tu pula yang hilang. Waduh-waduh sebelum isyak tadi memang perasan uncang selipar macam dibuka ikatan. Saya ikat semula, rupa-rupanya hilang juga. Kawan saya balik berstokin ajelah cari kedai kasut tadi. Dia beli kasut 10 riyal. Macam kasut crocs yang besar tu. Dalam perjalanan balik kami gelak-gelak bercerita. Masih teringat selipar lama. Walaupun 10 ringgit je tapi selesa.

Bangun pagi, tengok telefon. Baca WA Group kumpulan bahasa Arab, ustaz letak poster di bawah ni. Wah seakan mengetahui perasaanku ketika itu. Macam takjub pula rasa, sebab ustaz tu memang sangat jarang forward something dalam group tiba-tiba bab kasut ni keluar.

Takjub kan? Hehe, jangan takjub sangatlah. Allah berada dekat dengan kita lebih dekat daripada urat leher tu pun ko tak pernah rasa takjub gitu sekali. Heheheh.

Surah Qaaf: 16

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

Ok muhasabah. Lupakan perihal kasut tu dah. Selipar jepun ni sedia memberi khidmat. Bila jalan ke masjid dan nampak selipar jepun sepesen je gelak sendiri. Ni mesti geng hilang kasut jugak. Sejak haritu memang tak pernah tinggal kasut di rak dah. Kena ingat bawa uncang.

Sebenarnya bukan sahaja kasut, ada lagi yang hilang. Aduhai la entah kenapa boleh lupa. Salah sendiri. Sejadah kain zaman dulukala. Sejadah ni memang biasa bawa travel sebab senang digulung-gulung atau dilipat-lipat. Masa pergi masjid memang sentiasa diselempangkan di bahu. Tersedar hilang bila nak solat kemudiannya. 'Eh! Tadi last masa kat kedai makan, tak ingat pula ada pegang ke tak.'

Hmm ... tak apalah dah biasa travel sejadah tu, mungkin dia nak mencari kedamaian hati di bumi Madinah. Hahaha.

Lepas tu gantilah sejadah dengan pashmina beli masa kat Turki. Special sikit ada sign Uthmaniah. Nak ganti kain batik, takkanlah, kan. Sempat 3 kali pakai jadikan sejadah. Tersedar hilang bila nak solat kemudiannya. "La tadi last rasanya ada ikat di leher." Wawawa, pashmina pun nak mencari kedamaian hati jugak ke? Selama ni tak pernahlah lupa begitu sekali sampai tak boleh nak keep track balik last pegang benda tu bila. Sudahnya, lepas-lepas tu tak ada apa dah pengganti sejadah. Kalau tiada tempat yang berpermaidani dan terpaksa solat kat simen, bantai aje la.

Tapi di Mekah beli sejadah baru. Supaya tak lupa kewujudannya, ikat di tangan je. Ok! Sejadah ni akan jadi sejadah travel yang baru. Travel ke mana kita lepas ni? Yuhuu are you ready?





Sunday, January 21, 2018

Termakbulkah doaku di Raudhah? – Umrah 30 Nov – 10 Dis 2017 (Bahagian 6)

Sementara menunggu waktu isyak, kelihatan di skrin tv ditulis tentang masuk Raudhah. Hanya boleh duduk di Raudhah maksimum 5 minit.

Apa yang perlu kita lakukan sesudah masuk ke Raudhah? Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak eloklah solat sunat dua rakaat.

Untuk masuk ke Raudhah, biasanya lelaki tiada had masa dan berbeza dengan perempuan. Disampaikan dari mulut ke mulut, waktunya pukul 8-9 pagi, 1-3 petang dan lepas isyak sampai 11 malam. Kami mencuba sebanyak 3 kali tapi belum berjaya.

Usai solat isyak, kami mencari tempat laluan walaupun memang kami sudah menunggu di ruangan pintu nombor 25 yang merupakan pintu untuk masuk ke Raudah. Ketika itulah nampak petugas masjid mula menutup pintu kayu yang besar itu. Lor patutlah masa zohor tadi kami tak dapat. Dah duduk saf yang awal juga tapi kami keluar pergi toilet. Bila nak masuk balik, tersangkut di pintu yang sudah ditutup.

Terperangkap dengan kata-kata orang  yang mengatakan 8-9 pagi, 1-3 petang dan isyak sampai 11 malam. Sebenarnya di kanvas putih yang tergantung di pintu kayu tu ditulis masuk Raudhah lepas syuruk, zohor dan isyak. Tak ada pun waktu yang ditetapkan. Bermakna ikutlah waktu solat tu, ada ketika, kan cepat, lepastu lewat sikit. Walaupun tulis dalam bahasa Arab tetapi fahamlah sedikit-sedikit.  Orang yang bercakap waktu-waktu tertentu  tu sebab dia yang masuk ikut time tu haha.

Sebenarnya kalau dah lepas solat subuh, zohor atau isyak tu, jangan keluar hatta nak pergi tandas pun sebab ia akan tutup pintu. Di dalam masjid itu ada sekatan-sekatan berbentuk pintu.  Dan ketika itulah jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan berbahasa Melayu, kumpulan Turki, kumpulan Pakistan dan India.  Ada papan tanda yang dibawa oleh petugas masjid. Petugas masjid akan memberi arahan supaya jemaah masuk ke kategori masing-masing. Kali ni barulah ada keyakinan dapat masuk. 

Mengikut sign yang disediakan, Kumpulan Berbahasa Melayu  biasanya Indonesia, Malaysia dan Singapura.  Terdiri di kalangan penduduk Asia Tenggara yang mempunyai saiz badan yang kecil. Kalau dicampur dengan yang lain mahu ‘terpenyet’. Namun,  walaupun sudah dibuat pembahagian begitu, masih ada yang tak faham dan menyelit dalam kumpulan Asia Tenggara ini juga.

Kumpulan negara lain akan bergerak dahulu. Oleh itu kita perlu menunggu. Dalam waktu menunggu tu eloklah baca quran dan berzikir  dulu bagi memanfaatkan masa. Apabila petugas masjid angkat sign dan jalan, semua orang pun ikut. Berhenti di hentian pertama. “Ibu, duduk! Duduk!” Menunggu sekitar 5 -10 minit. Di hadapan kelihatan kumpulan jemaah dari negara lain yang turut menunggu. Semuanya dilepaskan secara berperingkat. Apabila diasingkan begitu, nampaknya lancar. Tidak perlu risau dihimpit orang daripada negara lain yang berbadan besar.

Bila nampak sign tu diangkat dan bergerak, yang lain pantas mengikut. Berhenti lagi.  Kita tahu pintu masuk semakin dekat apabila melalui kawasan bumbung terbuka dan nampak kubah hijau yang menandakan makam Rasulullah SAW dibawahnya.

Ketika di kawasan bumbung terbuka ni, sebelah kiri jemaah Turki dan sebelah kanan ruang ditutup dengan kain kanvas putih. Bermakna Kumpulan Berbahasa Melayu berada di tepi sekali.  Kelihatan petugas masjid memarahi jemaah negara lain suruh duduk.  Udah berbuih mulut dema berteriak ikut bahasa sendiri, sedikit pun tak dengar arahan. Masih berdiri. Kami pun saling memuji diri bangsa sendiri. “Kita yang dari Asia Tenggara ni sahaja yang dengar cakap, kan?” Sambil orang-orang di tepi angguk, angguk. Setuju. Haha. Keliling saya orang Indonesia.

Tiba masa sign Kumpulan Berbahasa Melayu diangkat dan nak berjalan semula.  Semua berdiri. Keadaan jadi kelam-kabut, orang Turki di sebelah dah masuk ke kumpulan kami, sedangkan giliran mereka belum disuruh berjalan lagi. Sebelah kanan yang patutnya kain kanvas tu boleh ada pula jemaah Pakistan atau India yang datang dari celah mana. Petugas masjid suruh duduk, tapi memang tak boleh langsung, tiada ruang hendak mengundur pun. Akhirnya semua pun berdiri. Perempuan depan saya orang Malaysia. Agresif juga. “Melayu! Melayu!” Marahkan orang bangsa lain. Mata pun jegil-jegil lagi. Saya pun bisik kat kawan, “Kita ikut dia ni.” Hehe.

Masa untuk berjalan lagi, Ya Allah memang bertolak-tolak, suara petugas masjid yang menghalang suruh  jangan tolak-tolak  tak dengar dah,  dengar suara tangisan budak tersepit antara orang ramai menangis memanggil ibunya berhampiran saya. Kalau terjatuh time ni memang habislah terpijak. Sampai di tiang/dinding, ada orang ajak saya rapat ke dinding. Mengelak jemaah bangsa lain yang berangkai-rangkai merempuh. 

Saya memandang ke atas, kelihatan  tergantung kanvas ditulis dalam bahasa Melayu, jangan menyakiti diri sendiri dan orang lain dengan bertolak-tolak. Saya teruskan perjalanan mengikut arus, terdengar perempuan yang agresif tadi tunjuk arah kiri pada jemaah yang dibawa, itu makam Rasulullah, “Assalammualaika Ya, Rasulullah!” makam Abu Bakar dan makam Umar. 

Lelaki boleh masuk bila-bila masa. Masih ada ruang-ruang untuk bergerak. Kalau perempuan, memang tiada langsung ruang. Padat dan sesak. Kredit: Adam Ahmad Saifuddin

Kredit: Adam Ahmad Saifuddin. Boleh cari di Youtube, 3D Raudah untuk melihat keseluruhan kawasan.

Tak sedar dah sampai.  Pandang bawah, permaidani hijau. Tanda untuk mengenali Raudhah mempunyai permaidani berwarna hijau sedangkan permaidani masjid di bahagian lain berwarna merah.  Kawan suruh solat sambil dia ‘mengepung’ supaya orang lain tidak bertolak-tolakan. Kami berganti.

Akhirnya menuju keluar jalan yang berbeza daripada jalan masuk tadi. Dalam hati perasaan bercampur baur, kita menziarahi makam Rasulullah, tetapi keadaan kita yang bertolak-tolak dan mengepung tadi mungkin juga menyakiti orang lain. Tidak mengikut sunnah juga tu.

Daripada Abdullah bin Amr- radiyalLahu anhuma, daripada Nabi SAW, sabdanya, “Seorang Muslim yang paling utama itu ialah rasa selamat Muslim yang lain daripada angkara lidah dan tangannya. Muhajir itu pula ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang Allah tegahi.”
                                                                                            Sahih al-Bukhariy


Entahlah, hanya Allah sahaja yang tahu ganjarannya. Semoga dalam kita mengejar pahala, tidak pula bertambah dosanya.


Sunday, January 14, 2018

Raudhah di Masjid Nabawi –Umrah 30 Nov – 10 Disember 2017 (Bahagian 5)

Kawasan Raudhah tidak luas. Ia adalah bahagian di antara mimbar dan makam Nabi SAW.  Raudhah tempat mustajab berdoa dan ia taman syurga. Seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Antara mimbarku dan rumahku adalah taman dari taman-taman syurga (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dataran Masjid Nabawi. Tiang-tiang berpayung ini biasa dijadikan tempat untuk mengambil gambar. Seminggu sebelum nak pergi, tersiar berita larangan mengambil gambar di Masjid Nabawi dan Kaabah. Namun ramai je yang tangkap gambar, saya sahaja yang tak berani tangkap haha lagipun malas nak bawa telefon ke masjid.  Minimakan barang-barang yang perlu dibawa supaya tak hilang. Tu pasal gambar saya tak banyak. Biarlah kenangan itu hanya menjadi memori sendiri.
Kerja-kerja pembinaan untuk meluaskan lagi masjid masih dijalankan.

Topik hangat di Masjid Nabawi. Hari kedua, “Dah masuk Raudhah?”

“Dah lepas Subuh.”

“Eh, tadi orang kata tutup sebab nak bersiap untuk untuk solat jumaat.”

“Tunggu lepas solat jumaat nanti,” kata jemaah  yang lain pula.

“Malam nanti lepas isyak,” kata jemaah Indonesia.

“Oh … kami tiada di sini malam nanti, ada urusan Hari Keluarga,” saya menjawab.

“Cuba cari mutawif Indonesia, derang kata mutawif tu akan jaga kita,” kata seorang jemaah Malaysia yang kami temui.

Selepas zohor, mencari laluan untuk masuk. Di satu sudut, kelihatan orang keluar  dari satu arah. “Raudhah di sini?”

“Iya, tapi makamnya tidak dibuka,bu,” sambil berlalu pergi. Aik tak sempat la nak bertanya banyak lagi. Lihat orang pergi jalan ke pintu keluar, takkanlah kami nak masuk berlawanan arah. Akhirnya kami balik ke hotel.

Hari ketiga, ada ziarah dalam. Pukul 8 dikehendaki berkumpul di hotel. Mutawif membawa kami ziarah sekitar Masjid Nabawi dan memberitahu untuk perempuan Raudhah masuk di pintu nombor 25. Tetapi terdapat had masa iaitu 7-10 pagi, 1-3 petang dan 9.30-11 malam yakni lepas subuh, zohor dan isyak.

 Habis ziarah dalam, kami membeli roti untuk mengisi perut sementara nak pergi Raudhah lepas solat zohor nanti. Habis solat salah seorang terasa nak pergi tandas pula. “Baik pergi sekarang sebelum masuk Raudhah”.
Tandas dan tempat wuduk ni terletak dekat pintu 25. Memandangkan dekat dengan laluan kami masuk atau keluar jadinya mudah juga nak ke toilet kalau batal wuduk.

Balik dari tandas, sambil tu sembang-sembang dengan yang lain pasal Raudhah.

“Semalam dekat sinilah saya tunggu, ha pintu no 25 ni,” kata jemaah Singapura.
Kami pergi ke arah orang berkumpul ramai di hadapan pintu kayu sambil bertanya seseorang yang kelihatan seperti orang Malaysia.

“Sinikah tunggunya?”

“Agaknya, saya pun ikut orang ramai ni,” katanya.

Di pintu kayu tersebut ada ditulis dengan kain kanvas, dalam bahasa Arab tapi saya dapat tangkap sikit-sikit perkataan - masuk-Raudah-syuruk-zohor-isyak. 

“Tak de pun tulis masa pukul berapa? Hanya waktu solat sahaja. Kenapa pulak ada dua tiga orang yang beritahu kami masanya? Hmmm ..."


Memandangkan ramai orang mengunjungi Madinah, setiap travel agency akan 'memberi' satu tanda pengenalan yang seragam kepada kumpulan tersebut. Gambar di atas, tudung segi tiga yang berwarna oren. Macam kami hanya pakai tag nama. Ada kumpulan yang ada sekuntum bunga (korsaj) di atas kepala (telekung) dan ada yang memakai selendang segi tiga macam pengakap tu dan ditulis nama travel agency.
Kami sabar menunggu. Teringat pula dari bacaan di blog, akan dikumpulkan orang-orang dari Asia Tenggara.

 “Eh takdepun nampak tanda.”

 Tiba-tiba kumpulan hadapan kami berlari-larian satu arah. Apalagi kami pun mengikut. Terhenti di sekatan pintu. Saya mencari lokasi yang boleh menyandar pada dinding supaya mudah menyusup. Strategi berjaya, hampir 30 minit tiada apa perubahan. Seakan menunggu pintu pasar raya dibuka. Sabar menanti. Semakin lama menunggu, orang yang berada di hadapan kami keluar, tak tahan menunggu. 
Yang ni dari Indonesia, pakai mafla. Malaysia pun ada yang pakai gini, rasa macam nak pi tengok bola juga. Hehe. Ada yang pakai seakan baju top dan belakang ada tulis nama travel agency. Yang pasti, kalau Asia Tenggara tu dikenali dengan pemakaian telekungnya. 
Yang ni selendang biru berjalur putih kalau tak silap Turki. India, Pakistan atau Bangladesh tiada uniform, biasanya punjabi suit sahaja. Jadi mereka ni lah yang memeriahkan warna-warni masjid. Algeria biasanya putih sahaja.

Kami mengambil tempat mereka dan akhirnya berada depan pintu kayu. Yeay berjaya mengambil tempat di hadapan. Mengintai di celah lubang ukiran kayu, macam tiada apa-apa. Kosong je. Ada dua tiga orang jemaah lelaki duduk baca Quran. Kami duduk bersila, maklumlah dari tadi berdiri menunggu giliran. Pandang sekeliling.

“Eh, apasal semua keliling kita ni, orang Turki, Algeria, Bangladesh, Pakistan dan India.?” Seorang pun tiada Asia Tenggara, hanya kami sahaja yang bertelekung. “Hahaha!” Saling berpandangan sesama sendiri. “Raudhah?” salah seorang macam dari India atau Pakistan bertanya. Udah tanya orang yang tak tahu juga, akhirnya kami beralih dari situ. Waktu asar dah dekat, kami  cari tempat.

Balik asar, singgah kedai beli nasi sebab di hotel confirm habis sebab dah waktu asar. Kena makan nasi juga sebab tadi hanya lunch roti. Malam ni cubaan nak pergi  Raudhah lagi, cari tenaga. Di lobi hotel, jumpa geng yang lain tanya dapat masuk tak.

“Dapat, zohor tadi.”

“Ehh hairan bin ajaib, kami pun pergi tadi lepas zohor. Pintu 25, betullah tu. Tak boleh jadi ni, malam ni kena cuba juga sebab esok nak ziarah luar, tak ada masa. Lusa nak ke Mekah.”

Nombor pintu tercatat di luar masjid dan juga di dalamnya. Kalau nak berjanji dengan orang lain kena beritahu nombor pintu sebab keadaan di luar ni sebenarnya sama sahaja. 
Naik ke bilik, lunch yang dah nak jadi makan petang/ hi tea la pulak. Siap-siap nak solat Maghrib.
Habis solat maghrib, pergi ke toilet ada seseorang ni duk senyum-senyum kat kami.

“Seperti pernah kulihat wajah ini. Tapi di mana ya …?” Jenuh mengingatkan. “Ohh … senasib semasa melangut depan pintu nunggu Raudhah tadi. Haha.”  Just ucap salam dan masing-masing perkenalkan diri dari negara mana.

“India.”

“Malaysia!”


Begitulah cubaan-cubaan untuk masuk ke Raudhah yang belum kesampaian. Ok kita sambung kemudian pula sama ada dapat masuk atau tak.

Thursday, January 11, 2018

Menyelusuri Sirah – Umrah 30 Dis -10 Disember 2017 (Bahagian 4)

Hari ketiga di Madinah, baru Mutawif bawa ziarah dalam sebab masa hari pertama sampai petang. Hari kedua, Jumaat. Orang sibuk nak pergi solat Jumaat pula nanti. Ziarah dalam bermakna kami dibawa sekitar Masjid Nabawi .
Di Luar pun dah tulis 25. Inilah laluan keluar masuk kami.

Sebelum ini hanya keluar masuk di pintu nombor 25 sahaja, kini baru kami dibawa ke kawasan sekitar.   Kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Bermula dengan pintu 25, satu kumpulan bergerak ke kiri dan satu kumpulan lagi bertentangan arah.
Di masjid ni pun dah ada tulis nombor 25. 

Menyelusuri kembali  pembinaan masjid ini, Nabi sendiri terlibat dalam kerja-kerja memindahkan batu bata. Asalnya masjid ini dua galang pintunya diperbuat daripada batu, sementara dindingnya diperbuat daripada bata dan tanah liat. Atapnya dibuat daripada pelepah-pelepah tamar sementara tiangnya dibuat daripada batang tamar. Lantainya dihamparkan dengan pasir dan batu kerikil. Masjid itu dibuat dengan tiga pintu. Panjangnya dari kiblat hingga hujungnya ialah seratus hasta, sementara kiri kanannya juga seperti itu atau kurang sedikit. Tapak asasnya hampir tiga hasta (Sumber: Sirah Nabawiyyah , Yadim, Kuala Lumpur m/s 264)

1 Hasta = 45 cm
1 Hasta = ¼ depa
1 hasta berasal dari ukurang panjang di India. Pada zaman dahulu, ukuruan 1 hasta diambil daripada panjang lengan mulai daripada siku sampai hujung jari tengah (Sumber: kumpulan-ilmu-pengetahuan-umum.blogspot.com)

Bayangkan betapa bezanya saiz dengan sekarang, lelah juga dibuatnya bila pusing satu masjid. Lebih 30 kalau tak silap pintunya. Jadinya kalau masuk pintu berapa keluar pun pintu yang itu untuk mengelakkan sesat.

Dikhabarkan juga oleh mutawif, ada perancangan untuk membesarkan lagi masjid ini hinggakan hotel-hotel yang kedudukan 150 meter tak akan ada dah dan akan dipindahkan ke kawasan Masjid Quba. Tapi entah bila la ya, lama lagi kot. Itu baru perancangan.

Pada zaman Nabi, masjib bukan hanya tempat solat tetapi tempat pertemuan, dakwah, mesyuarat, markas tentera dan lain-lain.  Sesiapa yang bersolat fardu di Masjid Nabawi pahalanya akan dilipatgandakan 1000 kali berbanding solat fardu di masjid lain. Rugi jika masa dihabiskan solat di hotel. Masuk masjid jangan lupa niat iktikaf, dapat pahala iktikaf.
Perkuburan Baqi belakang ni.

Seterusnya melalui Perkuburan Baqi. Tempat perkuburan para sahabat nabi dan penduduk tempatan.  Di sini juga tempat  bersemadinya anak-anak Nabi dan isteri-isteri Baginda. Hanya Saidatina Khatijah sahaja yang disemadikan di Mekah iaitu Perkuburan Ma’ala. Opah saya juga disemadikan di situ. Meninggal di Mekah ketika menunaikan haji pada tahun 1983.

Saidatina Aishah mengatakan Baginda sering menziarahi perkuburan Baqi pada tengah malam. Baginda mengucapkan salam dan berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.
Kubah hijau tanda di bawahnya itulah makam Rasulullah SAW

Berjalan lagi, kami melintasi kubah hijau. Di bawahnya itulah makam Rasulullah SAW. Masa zaman universiti dulu-dulu ada terbaca berita-berita percubaan untuk melarikan jasad Nabi. Ya ketika itu, Subhanallah tak tahu langsung bila disebut kubah hijau itu. Di sini juga adanya makam Abu Bakar as Sidiq, dan makam Umar al-Khatab. Di dataran ini memang sentiasa ramai, bukan hanya kumpulan kami sahaja ziarah, terdapat beberapa kelompok lain yang kebanyakannya dari Malaysia dan Indonesia turut sama. Setiap kali kami berdiri di hadapan kubah hijau itu, setiap kali itu jugalah polis/penjaga menghalau kami. Bukan kami sahaja, kumpulan lain pun sama. Memang dia tak bagi berhenti di situ. Jadinya mutawif bercerita sambil berjalan.

Mutawif menceritakan tentang Raudhah yang juga terletak di bawah kubah hijau ini. Tempat mustajab berdoa.  Dari segi bahasa, Raudhah bermaksud taman.Tandanya permaidani hijau.  Lelaki boleh masuk bila-bila masa sahaja iaitu melalui Babussalam ke arah pintu Baqi. Bagi wanita pula di pintu nombor 25 tetapi terdapat had masa iaitu 7-10pagi, 1-3 petang dan 9.30 – 11 malam, katanya iaitu lepas subuh, zohor dan isyak. Memandangkan, kami  di situ pun dah 9 pagi, kami berazam untuk pergi lepas solat zohor nanti.
Mula menuju keluar Masjid Nabawi
Penerangan ringkas tentang Saqifah Bani Saedah

Kami dibawa ke luar Masjid Nabawi iaitu Saqifah Bani Saedah (keluar pintu 13). Nampak taman dan ada bunga-bunga sahaja. Rupa-rupanya ada sejarah. Ia merupakan bangunan tiga dinding, tempat mesyuarat bagi kabilah bani Saedah.  Baginda selalu luangkan masa di sini. Di sinilah perlantikan Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Malah sejarah pertama perselisihan orang Islam.
Walaupun kini jadi taman, sejarah besar tercipta di sini. 

Setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, orang Ansar melobi supaya kaumnya yang dilantik iaitu Saad bin Abi Ubadah. Orang Muhajirin termasuk Abu Bakar dan Umar telah bergegas ke tempat perjumpaan tersebut setelah mendengar perjumpaan dan ada agenda yang dijalankan.  Abu Bakar telah memberi ucapan dan berkata Nabi pernah cakap, ketua daripada kaum Quraisy yakni Muhajirin. 

Ada yang mencadangkan 2 orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang daripada golongan Ansar. Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara. Abu Bakar cadang Umar dan Abu Ubaidah al Jarrah sebagai calon dan dengan pantas Umar mengangkat tangan Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah.

Wah memang bersejarah tempat ini. Bermulanya pemerintahan khalifah.  Terdapat 3 pengajaran yang boleh diambil dalam memilih ketua.
1)Pilih calon
2)Baiah –janji setia
3)Islam berkumpul untuk selesaikan masalah.
Pemandangan luar Muzium 99 Nama Allah

Kami mengakhiri lawatan di Muzium 99 Nama Allah. Berdekatan Masjid Nabawi pintu 13. Kami dikumpulkan dahulu dengan orang-orang yang berbahasa Melayu.  Tour bercampur dengan kumpulan lain. Tujuan dia kumpul tu sebab orang yang akan bawa di dalam tu bagi penerangan dalam bahasa Melayu -Indonesia. Pantas penerangannya hingga tak sempat hayati sekeliling. Ruang di dalam tu dibahagikan ikut tema dan kita akan mengenal Allah daripada 99 nama Allah itu. Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang, syukur masih dapat menikmati alam ini dan rezeki yang diberikan.  Namun begitu jangan lupa neraka dan azab Allah yang pedih.  Jauhi larangan-Nya.
Ar-Razzaq – Yang Maha Pemberi Rezeki
As-Sami – Yang Maha Mendengar
Al –Basir- Yang Maha Melihat
At-Tawwab- Yang Maha Penerima Taubat
Dalam muzium ini dihiasi dengan imej warna-warni yang menarik perhatian.
Syukur menjadi seorang muslim.
Di bahagian ini seingat saya, dibayangkan neraka. Ketika masuk di awalnya bercerita tentang Allah yang maha pemurah, bagaimana alam sekitar ini diciptakan, lebih kepada kita rasa aman melihatnya. Di bahagian akhir ini agak menakutkan sebab ia bayangan dan penceritaan tentang dicampakkan ke neraka. Nauzubillah min zalik. Semoga kita semua terpelihara. 

Terdapatnya video interaktif, gambar dan audio di dalam ni memang  boleh membuka mata kita untuk mengenal Allah dan bukan hanya melagukan zikir Asma Al-Husna di bibir. Free je masuk tapi dia akan kumpulkan ikut kumpulan dulu.

Selepas habis tour, kami beli roti untuk lunch tengah hari. Aim nak masuk raudhah lepas zohor jadi memang tak akan balik ke hotel untuk makan tengah hari.


Saturday, January 6, 2018

Hari Keluarga di Madinah – Umrah 30 Nov hingga 10 Dis 2017 (Bahagian 3)

Trip umrah ini sebenarnya rombongan saudara mara. Allahyarham Haji Wahid dan Haji Mohamad merupakan adik-beradik. Oleh itu waris daripada kedua-dua ini yang menyertai umrah. Kiranya generasi anak, cucu dan cicit ada dalam ni. Pening juga nak memanggil ikut ‘pangkat’ apa. Nasib baik ada carta salasilah sebagai panduan.

Salasilah Keluarga. Sumber: Buku Keluarga Haji Wahid.
Dekat setahun juga dah digembar –gemburkan untuk perjalanan ini. Alhamdulillah berjaya juga dilaksanakan. Ada AJK yang dilantik daripada kedua-dua buah keluarga. 62 orang  semuanya. Masa kursus umrah haritu dah berkenal-kenalan juga. Wajah-wajah yang biasa nampak di kenduri-kendara tapi tak kenal sangat. Kini lebih kenal lagi sebab dah 10 hari bersama-sama siang dan malam. 

Tercetusnya program ini kerana ada saudara yang duduk di Riyadh. Era tahun 40-an, sudah menjadi kebiasaan ibu bapa menghantar anak-anak belajar agama di Mekah hingga ada yang berkahwin di sana dan dapat anak. Ada yang balik semula ke Malaysia dan ada yang menetap terus di sana dan berkahwin dengan orang tempatan. Dan itulah puncanya kenapa ada saudara di sana. Kami memang merancang untuk berbaju kebangsaan. Lelaki berbaju Melayu dan perempuan baju kurung. Dah macam raya pula. Lupa pula tangkap gambar untuk kad raya tahun ni. Ahaks!

Mutawif beritahu kalau majlis orang Arab ni, makannya lambat. Mau dekat tengah malam. Dia nasihatkan alas perut dulu sebelum pergi. Kami bergerak lepas asar. Dalam setengah jam perjalanan, sampailah kami di dewan.
 
Persembahan daripada kumpulan jemputan.

Angin sepoi-sepoi bahasa je pun tapi bila dah lama duk ke luar, mau tak sejuk hingga ke tulang sum-sum. Haih lupa bawa pashmina tapi ada bawa telekung, kalau sejuk lagi  memang pakai aje la telekung hehe.
Sedap roti ni, initnya cream cheese. Pelbagai jenis, ada inti buah zaitun juga tapi macam pelik sikit rasa. 
Payah kalau nak terangkan susur galur. Sib baik saya bawa salasilah yang telah diphotostat. Tunjuk je kita berada di mana jadi taulah nak kaitkan 'pangkat'.

Masuk dalam dewan, bagi gula-gula  pula. Nasi di mana nasi? Haha
Orang arab ni kiranya pangkat sepupu, dua pupu, tiga pupu, kupu-kupu.. hmmm lupa  hehe..

Waris keluarga Hj Mohamad

Waris keluarga Hj. Wahid dan Hj. Mohamad


Komunikasi dalam bahasa Inggeris sahaja. Ada persembahan dari kumpulan jemputan. Oleh kerana masa tu Maulidur Rasul, “Tala’al badru alayna, min thaniyati-al Wada …”. Dan seterusnya nasyid-nasyid Arab. Sambil-sambil itu, tetamu dihidang manisan seperti biskut, coklat dan air teh perasa mint dan herba. Buat di luar, sejuk betul. Sebelah kolam ada air pancut. Bila angin kuat sikit, tempias air. Bertambah sejuk. Semuanya lupa bawa baju sejuk. Lepas habis acara memperkenalkan keluarga, baru masuk ke dalam dewan.  Sesi bergambar.  Pukul 9  baru makan. Ikut waktu Malaysia dah 2.00 pagi. Keriuk keriuk. Perut ngikut waktu Malaysia.  Lepas makan ada persembahan lagi.  Kalau ikutkan, biasanya majlis lebih lama, tapi AJK dah beritahu keluarga di sana, nak balik pukul 11 malam.   
 
Ok dah kenyang makan. Kita duduk sini pula. Ada persembahan lagi.  
Lupa tangkap gambar makanan utama. Maklumlah dah lapar. Haha, baik isi perut daripada bergambar. Sedap-sedap. Macam-macam salad, nasi Arab, Pasta.

Yeay, semua orang dapat cenderamata. 


Ada kawan pernah tanya, “Eh macam mana korang boleh cari sampai ke nama mak bapak moyang pun boleh tahu? Aku punya sejarah family setakat mak bapak je tau. Inikan pula saudara mara yang lain.”

Dalam setiap keluarga tu mesti ada seorang yang rajin dan berinisiatif untuk mencari maklumat tu. Jadi kita bantu sahaja memberi maklumat.  Saya sendiri pun tahu keluarga belah dekat sahaja. Pak cik saya pula jenis yang suka simpan foto lama dan dari situ juga boleh disimpulkan sejarah.  Oleh itu pentingnya setiap maklumat itu didokumentasikan