Tuesday, October 18, 2016

Gallery Bookstore kini dibuka di Kuala Kangsar.

Yeay! Ni boleh jadi tempat lepak terbaharu. Jarang-jarang juga lalu di laluan ni. 2 minggu lepas baru nampak papan tanda akan dibuka. Akhirnya...

Perasaan, macam masuk kedai buku Popular atau MPH kerana suasana persekitarannya hampir sama.

Di Kuala Kangsar ada 3 kedai buku yang biasa pergi. Err rasanya memang tiga ni je yang ada kat sini..haha

Jika nak cari buku-buku agama, majalah terkini, dan buku-buku dari penerbit terkemuka boleh pergi ke Pustaka Syafie di tengah pekan, Sederet dengan BSN dan CIMB. Di situ memang banyak pilihan bukunya, tapi untuk jadi tempat lepak sambil tengok buku lama-lama amatlah tak sesuai. Sempit dan orang pun sentiasa sesak dan sering berhimpitan.

Satu lagi kedai yang biasa pergi, Kedai Buku Al Muallim, di kawasan kedai Chandan Puteri menghala ke USAS (Universiti Sultan Azlan Shah - dulu KUISAS). Bukan yang bangunan ada Klinik 1 Malaysia tu, ke hadapan lagi. Kitab, buku-buku agama ada dijual di sini, cuma tak berapa banyak. Namun tetap ada tarikannya. Walaupun dia tak jual buku dari penerbit yang telah diketahui dan terkenal tapi banyak juga tajuk buku yang menarik terbitan syarikat baharu. Nota-nota dari KUISAS pun kadang kala ada dijual. Setiap kali pergi, memang tak pernah balik tangan kosong..huhuhu mesti terbeli juga walaupun bukunya takde lah banyak sangat kat situ. Hurmmm..

Ok Gallery Bookstore ni terletak berhadapan LHDN Kuala Kangsar ataupun jika dari jalan lama Ipoh tu, straight sahaja ke jam besar, di tengah perjalanan akan nampak kedai ni di belah kanan. Masa saya kecil-kecil dulu, bangunan ni merupakan bangunan supermarket lama. Berkat atau Fajar namanya masa tu, sekarang dah ada The Store.

Gallery Bookstore Sdn. Bhd
12, Jalan Daeng Selili
33000 Kuala Kangsar, Perak

Waktu operasi: 9 pagi - 9 malam


Nampak tak kawasan yang ada pokok di hujung tu, hah boleh nampak pokok getah tertua di situ. Pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam. 
Ni ada dalam buku sejarah ya adik-adik. Ingat lagi H.N Ridley?

Lampu terang, buku tersusun kemas, memang best nak belek-belek buku.
Promosi sebab baru buka, diskaun 10 peratus hingga 50 peratus. 
Tawaran sah hingga 31 Oktober. Dapat rebat baucar RM5 jika beli lebih RM50 rasanya... 

Cawangan lain di Masjid Tanah, Bangi, Jitra, Alor Setar dan Bandar Sri Permaisuri.

Friday, October 14, 2016

Eksploitasi Wanita di dalam Pengiklanan

Perkara ini sudah lama berlaku, kadang-kadang nak jual kereta sahajakan, apa salah tunjukkan kelebihan kereta itu sahaja. Tapi mesti terselit juga gambar wanita untuk menunjukkan kereta tersebut. Begitu juga di dalam perlumbaan kereta ke motor ke kenapa perlu ada gadis litar di situ? Kenapa? Keadaan perlu berubah. Apa kata kita buat macam ni:


Si Kuntum menggayakan basikal elektrik.

Ada terasa nak beli tak basikal ni dengan kucing sebagai modelnya. Hahaha. Ke gambar tak cukup fotogenik. 

*Dah lama tak post pasal kucing.

#kuntumTheCat

Tuesday, October 11, 2016

Everlasting Love , 5 tips mudah pasakkan ‘love’ dalam hati anak agar mereka cinta kita hingga akhir hayatnya

Tajuk: Everlasting Love , 5 tips mudah pasakkan ‘love’ dalam hati anak agar mereka cinta kita hingga akhir hayatnya.

Penulis: Dr Siti Ujila Masuri

Kategori: E-book

Halaman: 20 muka surat

Nota: Merupakan sebahagian daripada bab yang terkandung dalam buku terbaharu yang bakal dilancarkan Love Parenting – dijangka September 2016

Isi kandungan:  Permulaanya penulis bercerita tentang tanggungjawab yang amat berat dan banyak untuk mendidik anak.

Apa yang mesti aku buat kat anak?
Didikan apa?
Kemahiran apa yang perlu ditanamkan?
Apa yang anak mesti mahir dan pandai kelak?
Perasaan itu membuak-buak. Itu belum masuk bab apabila anak sudah masuk sekolah. Banyak tanggungjawab yang difikirkan hingga boleh membuatkan sesak fikiran.

Penulis membandingkan dengan didikan yang diterima daripada ibunya. Dan beliau masih mengingati bagaimana ibu tidak pernah merungut melayan kerenah anaknya walaupun dia amat 
kepenatan.

Itulah beza saya dengan emak. Bila saya tengok anak, saya nampak ‘tanggungjawab’ tapi ketika mak tengok saya, all she saw was love.

Appreciation
Nikmat
Anugerah…

Nak tahu 5 tips tersebut, boleh click di sini

Komen: Mengenali Dr Siti Ujila ni melalui Ustaz Asraff Ayob yang mengajar tajwid. Isteri beliau.

Sekarang ni banyak buku mengenai ‘Parenting’ sedangkan mak bapa kita dahulu tak ada pula yang pergi kursus, baca buku  dalam mendidik anak-anak tapi jadi ‘orang’ juga anak-anak tu, kan?
 Dulu, kebanyakan ibu merupakan suri rumah, ada masa ‘tengok’ anak-anak. Sekarang memang ada juga emak yang jadi suri rumah tapi sibuk juga dengan bisnes di rumah.  Dulu juga anak-anak tidak terdedah dengan dunia luar jadi memang  tidak langsung berfikiran jauh untuk membuat sesuatu yang luar biasa. Sekarang dunia tanpa sempadan, anak-anak pun dah  boleh tengok dunia luar sana dan akan mempengaruhi fikiran. Budak-budak sekarang, kalau lambat hantar Taska pun macam rasa dah ketinggalan sangat tu sebab anak orang lain awal-awal dah belajar macam-macam.  Jadi nak tak nak, memang kena belajar  dan ambil tahu juga skill parenting ni. Walaupun tiada anak, itu bukan alasan tak perlu ambil tahu, anak-anak saudara ada ni. Kena bagi contoh juga jadi mak cik yang baik.

Sama seperti yang Dr Siti Ujila cakap, ibu bapa tengok anak tu sebagai tanggungjawab sehingga banyak do and don’t yang sering keluar dari bibir. Tapi sebagai mak cik kepada 4 orang anak saudara ni, memang tak terbeban langsung bab tanggungjawab ni, just seronok main-main dengan derang. Lebih-lebih lagi sekitar umur 4-8 tahun ni main, main dan  main. Main sorok-sorok, main khemah, main masak-masak dan itu yang membuatkan derang nak ikut Mak Uda balik. Hahaha, adoilah anak-anak setakat 2, 3  hari memang la boleh layan main sepanjang hari. Kalau dah lama-lama, Mak Uda pun tak boleh buat kerja lain jadinya.

Sebagai mak cik, kita kena ikut dan menyokong peraturan yang telah dibuat oleh mak bapanya. Contoh, jangan makan tu, nanti sakit perut.  Walaupun dalam hati kecil kata, biorlah sikit je pun. Ha, kena ikut tu, tak pasal-pasal budak tu sakit perut nanti. Last-last mak bapak dia yang akan jaga kan.  Untuk mak saudara – mak saudara, fikiran perlu selaras dengan ibu bapa supaya anak-anak tidak akan membantah ibu bapanya sendiri. Itu pendapat sayalah.

Akhlak Rasulullah SAW dengan anak-anak wajar diikuti oleh kita umat baginda ni. Kasih sayang, itu yang telah Rasullullah SAW  tunjukkan kepada kita selama ini.


*I am Mak Uda


Monday, October 3, 2016

Jahama?

Budak-budak yang membesar era 80-an, ingat lagi tak perkataan ni? Dalam Kamus Dewan pun tiada perkataannya. Memang bukan bahasa buku.  Biasanya bila ditanya bab mengaji Quran, dah sampai mana? Jahama. atau kadangkala  disebut juga muqaddam. Dah lama juga perkataan tu hilang dalam ingatan. Tetapi sejak udah besor-besor gini belajar tajwid balik, barulah perasan Juz Amma. Hmm adakah jahama itu Juz Amma? Hehehe.. tidak pasti sama ada ini loghat di sesebuah negeri atau macam mana. Tiada jawapan.

Juzuk 30  Juz 'Amma

Juz Amma ialah Juzuk ke-30 dan terakhir dalam al-Quran al-Karim serta mengandungi 37 surah -surah pendek. Surah-surah secara khususnya dan juzuk ini secara amnya mengingatkan kepada kedatangan hari akhirat. Kehidupan semula selepas mati, pertemuan dengan Allah SWT dan kekuasaan-Nya pada alam ini. Seolah-olah mengingatkan manusia: "Wahai manusia, jadilah hamba yang dekat dengan Allah, mentaati-Nya kerana segala urusan kembali kepada Allah. Kamu akan dibangkitkan dan dihisab segala amalan kamu pada hari kiamat iaitu hari semuanya akan berdiri di hadapan Allah. Justeru itu, laksanakanlah segala ajaran agama ini, hukum-hakamnya dan segala tingkah laku yang baik dalam kehidupan di dunia ini."

Ada 37 surah dan bermula dengan Surah An-Naba (Surah ke-78) dan diakhiri dengan Surah An-Nas (Surah ke-114).

Teringat satu ketika pertandingan dalam rancangan tv di astro. Soalan yang paling terkesan pada diri. Soalannya, ada berapa ayat di dalam al-Quran?  Diletak 3 pilihan jawapan. Ketika itu pasangan peserta tersebut bukan Islam, jadi dia memang percaya dekat kawannya yang Islam itulah akan jawab dengan betul. Banyak juga duit yang dipertaruhkan.

Sejak dari itulah saya sentiasa pahatkan dalam fikiran. Surah quran ada 114. Walaupun nampak simple je soalan tu tapi ia jelas menunjukkan betapa kita kenal atau tidak Quran itu keseluruhannya.


Saturday, October 1, 2016

Daging Pekasam

Biasa kita jumpa ikan pekasam, pertama kali jumpa daging pekasam. Saya beli masa  ada kursus di Alor Setar, Kedah. Memandangkan tempat kursus agak hampir dengan Pekan Rabu di Ukir Mall, tak sahlah tak singgah untuk beli buah tangan nak bawa balik rumah. Mak cik saya yang memperkenalkan daging pekasam ni. Tapi kedainya bukan betul-betul dalam bangunan Ukir Mall tu, ni di seberang jalan tempat yang ada jual ikan pekasam tu.

Disimpan sejuk. RM 10 untuk satu bekas ni. Penjual tu siap bungkus dalam satu plastik tambahan lagi sebab saya naik ETS.. manalah tau kuat pulak baunya nanti masuk tempat air cond. Tambah pula saya beli belacan dan asam jawa lagi.

Banyak ni isi dalamnya tapi boleh makan dalam 3/4 kali hidangan. Maklumlah, bukan makan banyak-banyak pun cuma jadi penyedap makanan dan pembuka selera. Resipinya, hiris daging ni kecil-kecil dan goreng. Semerbak tu baunya, bertambah keroncong perut. Hiris pula bawang dan cili api/cili hijau. Aduhai bertambah kelaparan. Bila dah agak layu boleh masukkan daging tadi dan gaul sebentar. Bolehlah dihidangkan dengan hirisan limau nipis yang akan diperah bila nak makan nanti. Fulamak lain rasanya, bertambah sedap. Tekak kampung rupanya aku ni! Haha

Versi yang ni tambah daun kari pulak.

Dalam Majalah Rasa Aidil Adha pun ada resipi daging pekasam ni:

Sambal Daging Pekasam

500 gm daging pekasam - hiris
1 biji bawang besar - hiris
Gula secukupnya
Garam jika perlu
MInyak masak secukupnya

Bahan kisar:
4 biji cili merah
10 biji cili padi
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm halia muda
2 batang serai

Cara memasak:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
  2. Kemudian, masukkan daging pekasam, kacau rata sehingga daging layu.
  3. Masukkan hirisan bawang besar, gula secukup rasa dan garam jika perlu.
  4. Terus kacau hingga daging kering.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.