Monday, July 30, 2018

Lagu yang Sesuai di Kenduri Kahwin.

Bulan Ogos dan bulan 9 ni rasanya ramai yang dah terima kad undangan untuk majlis perkahwinan kan?

Saya teringat komen ustaz dalam pengajian di masjid sebelum ni.  Perbualan dalam bahasa Perak,“Kenduri kahwin ni tak payahlah bermuzik-muzik. Nak berjumpa saudara-mara menyembang. Ate udah muziknya pasang kuat menjerit-jerit bercakapnya. Nak pulak yang dah usia lanjut ni. Idak la dengor telinganya.”

Anak-anak murid ni pun menjawab jugak,” Tak meriahlah ustaz.”

“Hish, kome. Kalau nak pasang pun cer pasang yang tak de bersuara ni. Tengok macam kat hotel tu, orang dinner. Bincang-bincang perniagaan. Idak payah orang yang bercakapnya nak menjerit-jerit.”

Hahaha. Betulkan? Saya pun kadang tension juga. Lebih-lebih lagi kalau duduk dekat speaker tu, malas benor nak menyembang dengan orang sebelah atau orang depan. Lagi-lagi kalau kenduri yang ada permintaan lagu. Karaoke tu, aduhai. Hmm, kan. Saya pernah menghadiri satu kenduri kahwin yang memang pasang lagu instrumental ni. Ni bukan kat hotel. Kat tempat terbuka macam kenduri-kenduri biasa. Ramai juga yang memuji tuan rumah. Pernah juga menghadiri kenduri yang memang tak ada muzik langsung. Tuan rumah faham syariat tapi tetamu yang datang pula la yang banyak komennya.

Berikut, instrumental daripada lagu Maher Zain. Cer tengok sesuai ke tak dengan kenduri kome.




Tuesday, July 24, 2018

Belajar Bahasa Arab di Ikim FM


Bahasa Arab bahasa al-Quran. Bagi yang mula nak berjinak-jinak dengan Bahasa Arab, moh dengar rancangan Hayyal bil Arabiah dalam slot Warna Pagi Ikim FM jam 7.45 pagi. Setiap hari Isnin hingga Jumat. Sekejap je, adalah lebih kurang 5-7 minit. Kalau tak silap, awal bulan Julai baru mula jadi sempatlah kalau nak ‘mengejarnya’ lagi.

 Saya biasanya dengar IKIM FM di radio, tapi kalau tidak berada di satu tempat boleh dengarnya di apps IKIM FM. Boleh download di Google Play store. Mudah boleh dengar di mana-mana asalkan ada capaian internet. Walapun begitu, selalunya saya sendiri pun terlepas nak dengar pagi-pagi ni. Pagi-pagi macam-macam hal. Ate, idok pulak bawak telefon sepanjang masa dengan kita, kan.  Lupa juga la alkisahnya.

Setelah download apps, akan terpapar di situ (dalam bulatan)



Paparan muka depan. Tekan play untuk dengar radio secara live.

Wednesday, July 18, 2018

Tempat Letak Kereta di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh


Mana-mana hospital kebiasaannya masalah terbesar bagi pesakit atau pengunjung nak letak kereta. Jangankan Hospital Besar, Hospital Daerah seperti di Kuala Kangsar ni pun kalau waktu pagi sekitar 7.45 – 10 pun berpusing-pusing mencari parkir. Waktu terbaik kurang orang, Jumaat, lepas pukul 3 dan bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang nampak perbezaannya daripada hari biasa.

Di Hospital Ipoh. Jadual waktunya. Kalau tak nampak van yang ditunggu, tanya guard di situ. Mereka sedia membantu. 

Hospital Bainun, Ipoh ada menyediakan perkhidmatan shuttle van bagi  mengatasi masalah meletak kereta. Selain daripada di hospital sendiri, orang ramai boleh parkir di hadapan klinik kesihatan Greentown dan Veledrom Rakyat. Untuk kali ini saya ceritakan shuttle van di Veledrom Rakyat sebab yang Greentown belum pernah naik.

Dulu-dulu mesti nak parkir di hospital juga walaupun pernah terbaca hospital ada sediakan shuttle.  Walaupun keluar dari KK (dalam pukul 7) dan sampai setengah jam kemudian di Ipoh, masih tidak menjamin boleh dapat parkir. Tak sah kalau berpusing dekat 3 hingga 4 kali. Stress. Ramai je yang letak di luar sepanjang jalan utama. Silakan, kalau nak kena samanlah. Saya tak kuasa nak membayarnya.  Lagipun ia akan menghalang laluan utama. Tak baik menyusahkan orang lain, kan?

Akhirnya setelah berkali-kali stress memikirkan nak parkir di mana, barulah terbuka hati mencari arah Veledrom. Sejak itu parkir di situ sahajalah. Hantar pesakit dahulu di hospital kemudian baru pergi Veledrom.

Keluar hospital àterus. Bulatan ambil pukul 6 àterus. Nampak lampu trafik, ambil susur kiri signboard Kompleks MBI -à terus. Nampak lampu trafik, ambil susur kiri signboard  Stadium. Terus dan lihat di bahagian kanan akan nampak ruang lapang jalan bertar dan tulis Tempat Menunggu Kenderaan Percuma.
Di Veledrom. Tengah tunggu shuttle van datang.

Ruang parkir luas tapi biasanya tak banyak kereta.
Van dah sampai. Jom naik. Kalau van penuh, terpaksa tunggu giliran yang kedua.

Parkir ikut suka hati anda sebab memang biasanya kosong. Yeah!

Tunggu je shuttle (van ambulans) di situ. Ada waktunya. Tapi biasanya saya tunggu sekitar 15-20 minit. Alah lebih kurang sama je kalau kita berpusing-pusing cari parkir
Sampai di hospital depan Tempat Mengambil dan Menurunkan Pesakit

Berikut merupakan masalah parkir di hospital lain:

Hospital Selayang
Gerak dari Damansara Damai pukul 6.30 pagi dan akan sampai di hospital pukul 7 atau 7.15 pagi. Kalau sampai lebih daripada  waktu itu akan berpusing-pusing jugalah  dua tiga pusingan hospital. Bila dah dapat parkir pula, ada masalah lain. Kena tolak kereta. Di sini ada double parking (kereta diparkir depan kereta kita dan brek tangan dilepaskan) Ada juga yang tarik brek tangan tapi tinggalkan nombor.  Lepas tu bila telefon, orang tu tak angkat. Aduh! Ini boleh mendatangkan marah. Tolak kereta pun bukan sebuah sahaja,  kadang-kadang kena 2 atau 3 kereta sebab masing-masing parkir di sepanjang-panjang depan kereta kita. Udahlah kurus ni, kan. Tolak kereta macam tak gerak. Hai nasib. Tapi di Hospital Selayang juga ada shuttle. Kalau tengok dari banner yang diletak, kena tunggu di Selayang Capitol atau Selayang Mall. Siapa yang pernah menggunakan perkhidmatan ini sila komen di bawah.

Hospital Taiping
Masalah parkir memang teruk juga pagi-pagi. Bila bangunan parkir baru siap (sebelum inilah) Ya Allah bersyukur sangat tiada lagi masalah berpusing-pusing mencari parkir. Setelah setahun berlalu dan kembali semula ke Taiping. Penuh memanjang. Signboard FULL. Memang guard tak bagi masuk. Gamble je park kat luar setelah tak jumpa parkir lain. Guard situ bagi tips, antara waktu 2 -3 petang boleh dapat tempat sebab staf hospital tukar shif. Tidak membantu langsung. Yang jadi masalah tu nak pergi pagi-pagi.

Hospital Kuala Lumpur.
Tempat letak kereta di sebelah Jabatan Radioterapi dan Onkologi selesa tetapi hendaklah sampai sekitar pukul 7.15 pagi. Kalau selepas waktu itu memang masih ada tapi jauh sikit dari Exit. Di sini mudah nak tengok dari jauh tempat parkir yang kosong sebab ada lampu dari siling parkir menunjukkan tempat kosong atau tidak.  Lampu merah menandakan sudah ada kereta dan lampu hijau menandakan kosong.  Malah dinyatakan tingkat mana yang banyak lagi kosong. Kedai makan  pun ada dalam ni. Lepas stress kena keluar pagi-pagi, jom kita minum dulu.

Bagi mengelakkan stress untuk ke hospital pagi-pagi memang kenalah keluar selepas subuh mengkala nak berebut dengan orang pergi kerja pun satu hal juga. Kena baca doa dan zikir banyak-banyak supaya urusan dipermudahkan. Insya-Allah.

Thursday, July 5, 2018

Dari TBS (Terminal Bersepadu Selatan) ke MKM (Maktab Koperasi Malaysia) Petaling Jaya.

Terminal Bersepadu Selatan. Gambar: Ihsan Google
Maktab Koperasi Malaysia Jalan Templer. Gambar: Ihsan Google


Maktab Koperasi Malaysia terbahagi kepada beberapa zon:

1. MKM Zon Tengah yang juga Kampus Induk di Jalan Templer, Petaling Jaya
2. MKM Zon Sabah di Kota Kinabalu
3. MKM Zon Sarawak di Kuching
4. MKM Zon Timur di Kuantan
5. MKM Zon Selatan di Johor Bahru
6.  MKM Zon Utara di Alor Setar

Zon yang selalu menjadi tumpuan koperator (anggota koperasi) ialah MKM  Zon Tengah sebab pelbagai kursus jangka pendek yang lebih banyak diadakan. Bagi yang bukan anggota koperasi juga boleh menyertai kursus-kursus ini tapi yuran yang dikenakan berbeza. Boleh rujuk di laman web MKM

Oleh kerana ramai yang datang dari luar Kuala Lumpur, saya tunjuk jalan cara hendak ke sana dari TBS. Panduan ini juga boleh digunakan untuk sesiapa yang nak pergi menghala Petaling Jaya sehinggalah ke Kelana Jaya

                       TBS --- > Mid Valley Stesen---> KL-Gateway-Universiti Stesen ----> MKM
                               (komuter)                             (bas)                                                (teksi)    

Dari TBS, beli tiket untuk ke Stesen MidValley. Pakai Touch n Go lebih mudah tapi dia ada lane sendiri. Tengok arah. Naik komuter yang menghala ke KL Sentral. Senang je di sini, satu hala  KL Sentral, satu hala Seremban. Jangan pula poie Seremban.  

Sebelah kiri tu Little Penang Cafe. Kita keluar pintu ni akan nampak hentian teksi dan hentian bas. 

Berhenti di Stesen Midvalley, ikut je papan tanda masuk ke Mid Valley nanti turun satu tingkat dan cari jalan keluar.  Melalui Little Penang Café nanti akan nampak hentian teksi dan hentian bas. Tunggu bas yang tulis KL Gateway Universiti. Ada dua bas yang saya pernah naik.  Satu bas dia lalu depan pasar raya KL Gateway dan Flat PKNS  (T788) dan satu bas lagi dia akan terus menghala ke Lebuhraya Persekutuan. Jangan risau, boleh je naik sebab dia memang lalu stesen Universiti. Tambang bas antara 80 sen hingga RM1. Tak ingat.
 
Teksi pun banyak di Mid Valley Tapi kita nak jimat kos. Naik bas.
Kita akan berhenti di stesen ini sebelum meneruskan perjalanan. Gambar: Ihsan Google

Dari stesen ini nak ke Jalan Templer sebenarnya dah dekat jadi saya pilih naik teksi sahaja. Banyak teksi dekat Stesen Universiti ni. Meter dikira bermula RM3. Dalam 15 minit je dah sampai. Hari ahad petang tak jam. Total tambang RM7.

Alternatif:

TBS --- > Mid Valley ---> KL-Gateway-Universiti Stesen ----> Stesen Taman Jaya--- MKM
       (komuter)                 (bas)                                                  (lrt)                              (teksi)    

Stesen Taman Jaya, selang satu stesen sahaja dengan Universiti. Gambar: Ihsan Google

Cara lain, dari Mid Valley tadi dah naik bas, naik pula LRT di stesen Universiti tu dan berhenti  di Stesen Taman Jaya.  Kemudian, boleh naik bas. Ada 2 laluan juga, lalu depan MKM dan satu lagi dia berhenti di tepi dan kena jalan kaki dalam 1km lebih kurang.  *tapi yang ni saya naik tahun lepas. Sila rujuk dengan driver bas ya sama ada lalu atau tak depan MKM ni.

Tapi kalau dah bawa beg berat, baiklah naik teksi. Tambang mungkin RM4-5. Jalan di kawasan situ dah jadi one way, jadi saya tak pasti. 

Kenapa saya berhenti di  Mid Valley dan tidak turun di KL Sentral kemudian naik LRT ke Stesen Taman Jaya?

Walaupun Stesen KL Sentral hanya depan stesen Mid Valley sahaja, tapi saya mengelak untuk berhenti di KL Sentral yang biasanya ramai orang.  Tengah bawa beg banyak ni. Lagipun seakan berpatah balik ke belakang. Apabila di Mid Valley kita dah jimat masa sikit sebab dah separuh menghala ke Petaling Jaya. Cuma nunggu bas tu la ya mungkin ambil masa sebab Federal Highway ke Mid Valley tu memang kawasan sesak. Apa pun saya  prefer pilihan yang ni dan ia akan berubah kalau nak kejar masa (akan naik LRT dari TBS lagi) atau hujan lebat. Ikut situasi ketika itu.

Rujukan:
1. Panduan naik bas :

Pilih Lebuhraya Persekutuan untuk tengok laluan.   

2. Naik komuter ke Mid Valley




Tuesday, July 3, 2018

Drama Bersiri Thailand : Waen Dok Mai (Flower Ring)


Saya bukan kaki TV.  Drama bersiri lagilah jarang sangat.  Kalau dah mula tengok, nak tunggu setiap hari atau setiap minggu. Tak larat. Drama bersiri Melayu pun lama tak tengok sejak banyak adaptasi daripada novel, sama je plot.  Opps.. jangan kecam ya. Ni dah adaptasi daripada drama bersiri negara lain pula, haih original still da best lah. Cuba la buat skrip sendiri, pasti sesuatu yang baru. Tapi, kut saya je lah yang tengok ya.  Haha, penerbit pun boleh gulung tikar kalau gini.

Baru-baru ni tersangkut pulak drama bersiri Thailand. Disiarkan di 8TV setiap Jumaat pukul 11 malam. Awal tahun haritu memang dah nampak iklannya, so memang tertunggu-tunggu dah. Sebab pernah belajar bahasa Thai kiranya tengok sambil ulangkaji gitu.

Gambar daripada Google

Sinopsis: Hero dan heroin ni lebih suka hidup single. Tapi kawan dan keluarga masing-masing selalu nak padan-padankan mereka berdua. Hero buka kedai bunga dan heroin kerja di penerbitan majalah berkaitan keluarga. Walaupun kedua-duanya bekerja dalam bidang yang melibatkan perkahwinan, cinta dan keluarga tetapi kedua-duanya masih tetap nak hidup single. Apabila hero ni ada masalah berkaitan keluarganya dan heroin ni selalu membantu, barulah hubungan semakin rapat tetapi mereka masih tetap dengan pendirian hidup single walaupun dalam hati dah ada bunga-bunga cinta.  Seterusnya saksikan sendiri ya. Kalau di 8TV rasanya dah lebih dua puluh episod.

Terlepas satu minggu sebelum ini, so cari online lah apa lagi. Bila dah mula tengok, dan internet pun laju, adoilah dari janji pada diri sendiri tengok episod yang terlepas je, sudahnya sampai ke The End. Hehe. Mana taknya pandai director tu edit pengakhiran setiap episod dengan scene yang tergantung.  ‘Alamak apa jadi lepas ni’? … akhirnya cari episod seterusnya dan lagi dan lagi. The End.

Saya tengok di sini dengan sarikata Inggeris. Ada sesetengah bahagian gambarnya blur dalam 2-3 minit, jadi terpaksa guna pendengaran sepenuh hati.  Drama bersiri ni elok jangan panjang sangat, mengarut lebih banyak nanti. Drama yang ni 35 episod. Ok jugalah. Tapi setiap minggu nak tunggu tu tak larat la juga.

Drama bersiri yang sentiasa jadi ingatan:

Drama bersiri Jepun – Oshin
Drama bersiri Korea – Full House
Drama bersiri Thailand – Flower Ring
Drama bersiri Melayu- Gol dan Gincu.
Drama bersiri Inggeris – Switch at Birth
Drama bersiri Kantonis – Police Cadet



Mari kita tengok sikit bahasa Thailand,  Waehn Dawk Mai. Tajuk drama ni.


Abjad Thai terdiri daripada konsonan dan vokalnya bagi membentuk ayat. Bila kita dah kenal huruf, pasti bacaan pun akan lebih mudah. Tapi kalau font tu bertukar jenis berseni-seni sikit, saya pun tak dapat baca sebenarnya (seperti dalam poster drama)

Waehn maksudnya cincin. Dawk mai maksudnya bunga. Bahasa Thai berkait dengan nada, bila ada tanda ‘v’ di atas huruf ‘a’ tu bermaksud bunyinya harus menurun dan kemudian naik, kiranya macam lembut je.  Sesiapa yang belajar bahasa Mandarin akan lebih mudah ikut sebab ada tone juga.

Untuk dawk pula huruf ‘a’ ada tanda menurun. Bermaksud sebutannya menurun.
Untuk mai pula huruf ‘a’ ada tanda menaik. Bermaksud sebutannya menaik.

Masa mula-mula belajar dulu memang susah betul, dengan nak memikirkan abjad lagi, dan nada asyik salah tone tapi enjoy sebab pensyarahnya sangatlah baik. Lembut je cakapnya.

"Khop khun kha." (Terima kasih) kerana melawat blog ini.