Hari ketiga di Madinah, baru Mutawif bawa ziarah dalam sebab
masa hari pertama sampai petang. Hari kedua, Jumaat. Orang sibuk nak pergi
solat Jumaat pula nanti. Ziarah dalam bermakna kami dibawa sekitar Masjid
Nabawi .
Di Luar pun dah tulis 25. Inilah laluan keluar masuk kami. |
Sebelum ini hanya keluar masuk di pintu nombor 25 sahaja,
kini baru kami dibawa ke kawasan sekitar. Kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Bermula
dengan pintu 25, satu kumpulan bergerak ke kiri dan satu kumpulan lagi
bertentangan arah.
Di masjid ni pun dah ada tulis nombor 25. |
Menyelusuri kembali pembinaan masjid ini, Nabi sendiri terlibat
dalam kerja-kerja memindahkan batu bata. Asalnya masjid ini dua galang pintunya
diperbuat daripada batu, sementara dindingnya diperbuat daripada bata dan tanah
liat. Atapnya dibuat daripada pelepah-pelepah tamar sementara tiangnya dibuat
daripada batang tamar. Lantainya dihamparkan dengan pasir dan batu kerikil.
Masjid itu dibuat dengan tiga pintu. Panjangnya dari kiblat hingga hujungnya
ialah seratus hasta, sementara kiri kanannya juga seperti itu atau kurang
sedikit. Tapak asasnya hampir tiga hasta (Sumber: Sirah Nabawiyyah , Yadim,
Kuala Lumpur m/s 264)
1 Hasta = 45 cm
1 Hasta = ¼ depa
1 hasta berasal dari ukurang panjang di India. Pada zaman
dahulu, ukuruan 1 hasta diambil daripada panjang lengan mulai daripada siku
sampai hujung jari tengah (Sumber: kumpulan-ilmu-pengetahuan-umum.blogspot.com)
Bayangkan betapa bezanya saiz dengan sekarang, lelah juga
dibuatnya bila pusing satu masjid. Lebih 30 kalau tak silap pintunya. Jadinya
kalau masuk pintu berapa keluar pun pintu yang itu untuk mengelakkan sesat.
Dikhabarkan juga oleh mutawif, ada perancangan untuk
membesarkan lagi masjid ini hinggakan hotel-hotel yang kedudukan 150 meter tak
akan ada dah dan akan dipindahkan ke kawasan Masjid Quba. Tapi entah bila la
ya, lama lagi kot. Itu baru perancangan.
Pada zaman Nabi, masjib bukan hanya tempat solat tetapi
tempat pertemuan, dakwah, mesyuarat, markas tentera dan lain-lain. Sesiapa yang bersolat fardu di Masjid Nabawi
pahalanya akan dilipatgandakan 1000 kali berbanding solat fardu di masjid lain.
Rugi jika masa dihabiskan solat di hotel. Masuk masjid jangan lupa niat
iktikaf, dapat pahala iktikaf.
Perkuburan Baqi belakang ni. |
Seterusnya melalui Perkuburan Baqi. Tempat perkuburan para sahabat
nabi dan penduduk tempatan. Di sini juga
tempat bersemadinya anak-anak Nabi dan
isteri-isteri Baginda. Hanya Saidatina Khatijah sahaja yang disemadikan di
Mekah iaitu Perkuburan Ma’ala. Opah saya juga disemadikan di situ. Meninggal di
Mekah ketika menunaikan haji pada tahun 1983.
Saidatina Aishah
mengatakan Baginda sering menziarahi perkuburan Baqi pada tengah malam. Baginda
mengucapkan salam dan berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka
yang dikebumikan di situ.
Kubah hijau tanda di bawahnya itulah makam Rasulullah SAW |
Berjalan lagi, kami melintasi kubah hijau. Di bawahnya
itulah makam Rasulullah SAW. Masa zaman universiti dulu-dulu ada terbaca
berita-berita percubaan untuk melarikan jasad Nabi. Ya ketika itu, Subhanallah
tak tahu langsung bila disebut kubah hijau itu. Di sini juga adanya makam Abu
Bakar as Sidiq, dan makam Umar al-Khatab. Di dataran ini memang sentiasa ramai,
bukan hanya kumpulan kami sahaja ziarah, terdapat beberapa kelompok lain yang
kebanyakannya dari Malaysia dan Indonesia turut sama. Setiap kali kami berdiri
di hadapan kubah hijau itu, setiap kali itu jugalah polis/penjaga menghalau
kami. Bukan kami sahaja, kumpulan lain pun sama. Memang dia tak bagi berhenti
di situ. Jadinya mutawif bercerita sambil berjalan.
Mutawif menceritakan tentang Raudhah yang juga terletak di
bawah kubah hijau ini. Tempat mustajab berdoa.
Dari segi bahasa, Raudhah bermaksud taman.Tandanya permaidani
hijau. Lelaki boleh masuk bila-bila masa
sahaja iaitu melalui Babussalam ke arah pintu Baqi. Bagi wanita pula di pintu
nombor 25 tetapi terdapat had masa iaitu 7-10pagi, 1-3 petang dan 9.30 – 11 malam,
katanya iaitu lepas subuh, zohor dan isyak. Memandangkan, kami di situ pun dah 9 pagi, kami berazam untuk
pergi lepas solat zohor nanti.
Mula menuju keluar Masjid Nabawi |
Penerangan ringkas tentang Saqifah Bani Saedah |
Kami dibawa ke luar Masjid Nabawi iaitu Saqifah Bani Saedah
(keluar pintu 13). Nampak taman dan ada bunga-bunga sahaja. Rupa-rupanya ada
sejarah. Ia merupakan bangunan tiga dinding, tempat mesyuarat bagi kabilah bani
Saedah. Baginda selalu luangkan masa di
sini. Di sinilah perlantikan Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Malah sejarah
pertama perselisihan orang Islam.
Walaupun kini jadi taman, sejarah besar tercipta di sini. |
Setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, orang Ansar melobi
supaya kaumnya yang dilantik iaitu Saad bin Abi Ubadah. Orang Muhajirin
termasuk Abu Bakar dan Umar telah bergegas ke tempat perjumpaan tersebut
setelah mendengar perjumpaan dan ada agenda yang dijalankan. Abu Bakar telah memberi ucapan dan berkata
Nabi pernah cakap, ketua daripada kaum Quraisy yakni Muhajirin.
Ada yang mencadangkan 2 orang khalifah dilantik iaitu
seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang daripada golongan Ansar. Umar
menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir
sebuah negara. Abu Bakar cadang Umar dan Abu Ubaidah al Jarrah sebagai calon
dan dengan pantas Umar mengangkat tangan Abu Bakar dan membaiahnya atau janji
setia terhadap perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah.
Wah memang bersejarah tempat ini. Bermulanya pemerintahan
khalifah. Terdapat 3 pengajaran yang
boleh diambil dalam memilih ketua.
1)Pilih calon
2)Baiah –janji setia
3)Islam berkumpul untuk selesaikan masalah.
Pemandangan luar Muzium 99 Nama Allah |
Kami mengakhiri lawatan di Muzium 99 Nama Allah. Berdekatan
Masjid Nabawi pintu 13. Kami dikumpulkan dahulu dengan orang-orang yang
berbahasa Melayu. Tour bercampur
dengan kumpulan lain. Tujuan dia kumpul tu sebab orang yang akan bawa di dalam
tu bagi penerangan dalam bahasa Melayu -Indonesia. Pantas penerangannya hingga
tak sempat hayati sekeliling. Ruang di dalam tu dibahagikan ikut tema dan kita
akan mengenal Allah daripada 99 nama Allah itu. Yang Maha Pemurah, Yang Maha
Penyayang, syukur masih dapat menikmati alam ini dan rezeki yang diberikan. Namun begitu jangan lupa neraka dan azab Allah
yang pedih. Jauhi larangan-Nya.
Ar-Razzaq – Yang Maha Pemberi Rezeki
As-Sami – Yang Maha Mendengar
Al –Basir- Yang Maha Melihat
At-Tawwab- Yang Maha Penerima Taubat
Dalam muzium ini dihiasi dengan imej warna-warni yang menarik perhatian. |
Syukur menjadi seorang muslim. |
Terdapatnya video interaktif, gambar dan audio di dalam ni memang boleh membuka mata kita untuk mengenal Allah
dan bukan hanya melagukan zikir Asma Al-Husna di bibir. Free je masuk
tapi dia akan kumpulkan ikut kumpulan dulu.
Selepas habis tour, kami beli roti untuk lunch tengah hari. Aim
nak masuk raudhah lepas zohor jadi memang tak akan balik ke hotel untuk makan
tengah hari.
No comments:
Post a Comment