Sunday, October 21, 2018

91,519 langkah di Chengdu, China (12 Sept - 18 Sept 2018)

Chengdu? Mana tu? Ada apa tu? Kalau Beijing ke Guangzhou ke, Shanghai ke, Guilin ke memang orang dah biasa dengar dan tahu apa yang ada di situ, tapi Chengdu ni entah apa yang ada ya?



Dikenali kerana adanya Chengdu Research Base of Giant Panda Breeding. Boleh tengok baby panda yang comel ya amat. Walaupun hanya dapat melihat di sebalik cermin, "Ala la la tomei!"

Masa ni pagi, bebudak ni tengah meroloh (bahasa Perak -tidur)

Kempen 10, 000 langkah sehari yang telah dicanangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hanya dapat dicapai bila melancong ke luar negara. Pernah menjangkau 22, 000 langkah sehari. Gigih,kan? Maklumlah dah sampai tempat orang, kena melangkah lebih jauh untuk menerokai apa yang ada di sini. Naik kejang kaki. Mujur duduk di Airbnb boleh buat macam rumah sendiri. Rendam kaki dalam air panas.

Chengdu sebenarnya terkenal juga dengan alam semulajadi lebih-lebih lagi bila orang pergi ke Tibet melalui Chengdu. Kami hanya melawat di tengah bandar sahaja. Namun begitu,cantik juga port untuk ambil gambar. Sisi moden dan tradisional bersatu. Tanglung merah bergantungan menaikkan seri foto yang ditangkap.

Jinli Street

Celah bangunan pun jadi bergambar. 
"Kunci" menuju ke Tai Koo Li. Wah semuanya kedai berjenama. Reka bentuk setiap kedai tu pun menarik.

Pengangkutan rasmi kami Metro. Memang mudah, line pun tak banyak. 6 line sahaja, senang nak hadam. Cuma pergi sesuatu  tempat tu masalah bahasa memang ketara. Banyak guna apps google translate sahaja. Tidak ramai yang ditemui boleh berbahasa Inggeris, jadi kita hanya akan dapat balasan dengan gelengan kepala sahaja tanda tidak tahu. Dahlah bila google peta semua nama jalan dan nama bangunan karakter Cina. First day tu memang huru-hara juga nak mencari alamat airbnb yang disewa.

Apps Google Translate memang banyak jadi penyelamat tapi paling kecewa sekali, bila balik Malaysia baru perasan tak guna fungsi conversation. Padahal dah terang-terang kat situ. Sebelum ini memang ada 2, 3 orang cakap dengan kami dalam Mandarin, hanya boleh balas "Wo bu mingbai (saya tak faham)" atau "Wo bu zhidao (saya tak tahu) je. Siap bukakan google translate dan suruh dia taip apa dia nak cakap. Kalaulah masa tu teringat guna fungsi conversation tentu perbualan itu akan jadi lebih manis.

Dari segi makanan, Chengdu terkenal dengan makanan pedas. Boleh nampak gambar cili-cili kering yang banyak. Bila pesan menu pun dia akan tanya "Spicy?" Saya memang boleh tahan makan pedas. Kalau makan bihun atau mi goreng memang akan tambah cili api sambal kicap bagi kick. Tapi mula-mula ni tak tahu tara mana lagi pedasnya. Memang minta yang medium pedas. "Oh takde la pedas sangat, campur minyak cili lagi, ok jugalah. Nampak je warna merah meletup tapi ok je.

Wantan sup
Yang merah-merah tu cili. Pengunjung boleh merasa pengalaman menggiling cili cara tradisional. Jinli Street

Airbnb yang kami sewa ada hiasan cili juga.

Tidak seperti melancong ke Korea dan Jepun yang akan nampak ramai sangat orang Malaysia, di sini memanglah tak jumpa langsung. Kalau berjalan tu memang nampak kami sahaja yang bertudung. Pengalaman menarik ada seorang Cina dari China yang bertudung, bagi salam.

"Assalammualaikum?"
 "Waalaikummussalam." Senyum-senyum dia dan terus pergi. Eh lepas tu dia patah balik nak ambil gambar bersama. Terkejut dengan responnya, kami pun tak sempat nak guna kamera sendiri. Hmm mungkin dia mualaf kut, seronok tengok kitaorang sama dengan dia. Menarik.

Ada satu kejadian lagi masa menunggu waktu malam di Anshun Bridge. Dialog Malaysia keluar, orang Cina sebelah terus berpaling," Dik, dari Malaysia ya?" " Ya" hehe. Mereka anak-beranak turut mengambil kesempatan cuti panjang Awal Muharam dan Hari Malaysia untuk bercuti.

Jauh perjalanan luas pemandangan kekalkan sifat Muslim dan semangat Malaysia di mana sahaja berada.

Credit: Terima kasih Yang, uruskan semua

No comments: