Tuesday, September 3, 2019

Tempe Kentang Goreng Sambal

Masakan ni memang kegemaran keluarga. Mak memang dah masak ni sejak 80-an lagi. Zaman tu rajin cuba-cuba resipi dengan dengar radio dan baca majalah. Kiranya makanan ni dah jadi signature dish. Kalau dihidang masa perjumpaan keluarga memang saudara-mara dah kenallah siapa yang buat. 

Masakan ni tak pernahnya ada resipi tepat, kira bantai je cilinya, bawangnya dan lain-lain. Ada masanya tambah ikan bilis dan kacang. Walaupun beberapa kali dah buat tapi masih tak dapat cara nak bagi kentang tu tahan rangup. Kerangupan hanya sekitar 2-3 jam je. Macam-macam petua ikut, rendam dalam aislah, tabur garam di kentang tu dan tapis (air kentang akan keluar) dan goreng. Kira boleh jugalah rangupnya tapi kalau masak pagi tu, petang dah lemau kentangnya. Tapi sebab suka lauk ni, makan je dengan gembira. Banyak juga kajian dibuat, kentang yang macam ada tanah-tanah ni kadang rangup, yang bersih je tu selalu cepat lemau. Mungkin juga sambalnya tak cukup kering, tu yang lembik kentang tu. Ha gitu kajian demi kajian dibuat.

Akhirnya rahsia kerangupan kentang kekal lama telah ditemui ....

Pakai pemotong tupperware ni. Tak payah langsung ikut petua-petua yang saya sebut tadi. Dengan tupperware ni potong terus ke kuali. Tahan sampai esok hari. Sebelum ni pakai pemotong biasa tu tak berani terus ke kuali sebab tak sempat nak 'kejar' nanti hangit. Sebenarnya takut juga terhiris tangan kalau buat laju-laju. Jadi memang akan buat di pinggan lain dulu. 

Comel je pemotong ni. Masukkan kentang dalam bekas petak yang putih tu, dan tutup dengan yang merah. Penutup merah tu akan 'menekan' kentang yang dalam bekas putih tu sehingga ke hirisan akhir.
Istimewanya pemotong tupperware ni, dia ada pemegang khas. Buat laju-laju pun tak risau sebab jauh dari pisau. Hirisan kentang pun lebih nipis. Nak buat bawang goreng pun senang dengan pemotong ni.

Resipinya:

Tempe. 1 peket/ seringgit- potong nipis dan gaul dengan garam kunyit. 
Kentang - dalam 4 biji saiz sederhana pun dah banyak
Bawang untuk buat bawang goreng. Ikut suka banyak mana nak.
Ikan bilis 
Cili api ikut kepedasan yang diinginkan, tumbuk.
Bawang besar sesuaikan nisbahnya dengan cili api tadi
Bawang putih dalam 2/3 ulas
Gula putih/gula kabung
Asam limau / lemon
*Tumbuk cili, bawang besar dan bawang putih.

Mula-mula, goreng bawang dulu supaya minyak akan jadi bau wangi. Guna pemotong Tupperware untuk mudah kerja masuk terus ke kuali. Kedua, goreng tempe atau kentang. Akhirnya baru masuk ikan bilis. Masak akhir sebab selalunya minyaknya akan jadi kotor. Kalau dah nampak keruh minyaknya, tukarlah minyak lain untuk masak sambal. 

Goreng campuran cili, bawang besar dan bawang putih yang ditumbuk tadi. Biar sampai agak kering, masuk gula dan asam limau. Masukkan bahan-bahan yang dah goreng awal tadi dan tutup api, tapi pastikan masih dikacau-kacau rata.  Angkat dan tus di atas tisu dapur. Bila dah sejuk, bolehlah masuk dalam bekas Tupperware. Dah siap.

2 comments:

Kak Vit said...

Had ni makan dengan nasik panas, tak toleh memana dah. Hehe.

zarina said...

Betul. Tapi kalau dengan nasi sejuk pun tak toleh memanah dah :)

Multiracial Reverted Muslims (MRM)