Kelas Bahasa Arab yang saya masuk, bahasa Quran. Perkataan Bahasa Melayu pun banyak diserap daripada bahasa Arab jadi sebenarnya banyak yang kita boleh faham. Lagipun kelas yang saya masuk ni tak ada peperiksaan, so enjoylah belajarnya.
Kami gunakan buku Nahu Mudah terbitan Telaga Biru untuk faham dulu perkara asas tentang Bahasa Arab dan setelah habis buku ni terus masuk al Quran dan pratikkan pelajaran tatabahasa yang telah dipelajari. Udah dekat 3 tahun rasanya, masih di surah al-Baqarah lagi. Kelas seminggu sekali, bila cuti umum dan cuti sekolah je, kami pun cuti juga. Masa Covid-19 ni pun cutilah, jadi kena belajar sendiri supaya tidak lupa
Perkataan bahasa Arab ni sebenarnya terdiri daripada tiga je:
- Kata nama
- Kata kerja
- Partikel.
Kata nama, samalah seperti kita belajar dalam bahasa Melayu, ada tanda-tanda untuk mengenalnya.
Kata kerja pula terdiri daripada :
- Kata kerja masa lampau
- Kata kerja masa kini
- Kata perintah
Jika dalam bahasa Inggeris, past tense dan present tense di mana perkataannya akan berubah mengikut masa.
Partikel pula ada:
- Kata nafi (tidak/tiada)
- Kata sendi (di/dalam/pada)
- Kata hubung (dan)
- Kata tanya (adakah)
Ada 'sifir' yang perlu diingat untuk kata ganti nama diri. Malah kata kerjanya akan berubah mengikut 14 kata ganti nama diri. Sedangkan sifir darab (x) 1 hingga 12 pun kita boleh hafal dan ingat sampai sekarang, begitu jugalah yang ni. Jika diulang-ulang, insya-Allah boleh. Tambahan pula zaman sekarang banyak ustaz/ustazah yang mempunyai teknik-teknik untuk belajar dengan mudah. Eh sifir tu bukan maksudnya angka ya, tapi 14 kata ganti nama diri yang perlu dihafal dan difahami penggunaan kata kerjanya. Takut pula orang nak belajar nanti, udah macam matematik
Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni jom kita belajar bahasa Arab melalui kata dasar (root word). Sama macam dalam bahasa Melayu ada kata dasar dan kata imbuhan. Manfaatkan internet percuma masa PKP ni untuk tengok video kat sini. Dari awal PKP telah diiklankan tapi saya baru sempat tengok video ke-2. Saya memang dah ada buku teksnya beli masa Pesta Buku tahun lepas.
Dalam ni ada mini kamus kata dasar bagi perkataan yang sering digunakan. |
No comments:
Post a Comment