Kalau tengok cerita Zombi Kampung Pisang, kita boleh tertawa melihatnya
walaupun nak digambarkan mukanya seram, tetapi bila tengok kucing yang
dijangkiti penyakit Sporo ni, kita akan jadi sedih sangat bila tengok
keadaannya. Kenapa dikatakan zombie? Sebab dia boleh berjalan macam biasa tapi
mukanya dah ‘berlubang’ seperti kawah akibat jangkitan. Boleh google gambar,
tak sanggup nak menangkap gambar bila tengok keadaan macam tu.
Sporo merupakan sejenis penyakit
kulit yang lambat sembuh. Mulanya lukanya kecil (sebesar syiling 5 sen) sahaja
di atas dahi tapi dalam masa 3 hari dah kelihatan menanah, membesar dan berlubang
sekitar dahi sehingga mata hanya boleh dibuka kecil sebab nanah dan air tu
mengalir.
Mengimbas semula 6 tahun lalu, ketika
itu saya tak tahu sangat pasal penyakit ni. Ia menjangkit kucing pendatang yang
selalu datang rumah. Cuba mengubatinya
dengan kunyit dan air gamat tetapi tak mahu baik malah setiap hari kelihatan
luka membesar. Setelah dibawa ke klinik veterinar kerajaan, katanya tak boleh
buat apa di situ tapi boleh cuba bawa ke klinik swasta di Taiping. Biasanya
susah naik baik dan kos agak tinggi.
Dia boleh berjalan dan makan macam tiada sakit apa-apa tetapi
mukanya seperti ‘dimakan’ sesuatu. Bila dah lama tu, memang keadaan dah
teruklah, tiada selera makan dan lebih banyak duduk. Tidur tersengguk-sengguk.
Lalat menghurung muka yang berlubang. Tiada daya upaya nak bawa ke Taiping pula.
Cuma bersih luka sahaja yang mampu.
Dalam waktu yang sama, saya pula luka
di jari tengah. Terbelah sikit sahaja di sendi jari terkena gunting. Tampal
dengan plaster je. Dekat seminggu tak baik pula luka tapi jadi macam bisul.
Geram pula mencari punat nak keluarkan nanah. Luka biasa je jadi rawat sendiri
di rumah. Tiba-tiba dia jadi macam ada bonggol tapi tiada air atau nanah.
Barulah pergi Hospital Kuala Kangsar. Doktor bagi ubat sapu antifungal.
Dekat seminggu, tiada apa-apa
perubahan. Pergi hospital lagi dan doktor bagi ubat sapu yang lain dan ubat
makan rasanya. Antibiotik kut. Tak ingat. Besarnya luka tu hingga orang bank
boleh tegur, kenapa? Masa tu ada urusan nak cap jari. Kiranya macam pakai
cincin batu akik orang dulu-dulu yang boleh kelihatan jelas.
Tiada perubahan juga ubat kali kedua,
sampai doktor yang merawat tu pun pening-pening tak tahu kenapa dan dia panggil
doktor di sebelah untuk tengok. Akhirnya dia bagi surat rujukan untuk pergi ke
Hospital Ipoh bahagian kulit (dermatologi).
Sebelum nak pergi ke Ipoh tu elok
pulak kawan bercerita pasal kucing yang sporo ni dan boleh berjangkit. Saya
macam tak percaya je, eh takkanlah boleh berjangkit sebab sebelum ni pun saya
bersihkan luka kucing tu. Tak ada apa-apa pun.
Semasa di Hospital Ipoh, saya
ceritakan jari luka kena gunting tapi tak baik-baik. “Doktor, bolehkah luka
kucing berjangkit dengan saya sebab sebelum ini saya ada bersentuhan juga
dengan kucing tu tapi tak ada apa-apa pun. Kucing tu ada sporo.”
Doktor tu siap bawa saya ke bilik
ketua dia dan terpaksalah mengulang balik cerita. Keputusannya, kena ambil
sampel untuk test (biopsi). Kena buat pembedahan kecil ambil kulit (isi?) dekat
lengan. Seriau dibuatnya sebab suruh baring nak bedah walaupun kecik je
sebenarnya. Hihi. Lepas tu ambil darah dan tunggu keputusan. Minggu depan
datang semula.
KEPUTUSANnya, betul ada jangkitan
dari kucing tu. Sebelum ini memang saya cuci luka kucing dan tiada apa-apa.
Tetapi bila tangan saya tu luka, masa tulah luka tu berjangkit. Memang tak
sangka sungguh sebab luka saya tu kecik je. Doktor bagi ubat makan, berkotak-kotak
sampai tak muat tangan membawanya dan ubat sapu untuk luka di jari. Saya tak
ingat nama ubat sebab dah lama. Dalam masa beberapa minggu, ambil darah dan
jumpa doktor semula. Alhamdullillah tiada jangkitan lagi dah.
Walaupun ada rasa risau (belum sampai
trauma) bila tengok kucing mula luka ni tetapi memang tak akan ketepikan
mereka. Malah akan lebih berhati-hati mengendalikannya. Parut masa ambil sampel masih kelihatan. Itu
jadi peringatan. Silalah pakai sarung tangan untuk mengendalikan luka-luka ni. Bacaan
lanjut untuk mengetahui penyakit sporo ini boleh dibaca di sini. Jelas
penerangannya.
No comments:
Post a Comment