Hari dan masa lawatan
8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan
ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Alamat:
Muzium Labuan, U0364, Jalan Dewan, 87008 WP
Labuan.
Untuk mengetahui sejarah sesuatu tempat itu sudah
pasti muzium paling sesuai. Memanglah bosan nak membaca, tapi kena juga memaksa
diri. Terletak berhampiran Dataran Labuan, seberang sahaja. Sebenarnya mencari
kedai makan, rupa-rupanya park kereta betul-betul dekat muzium. Oleh itu rajin-rajinkanlah
diri mencari ilmu untuk mengenali Labuan sebelum meneroka ke seluruh kawasan.
Bangunan
ini dibina pada zaman kolonial tahun 50-an dan pernah digunakan sebagai
pusat pentadbiran sejak zaman penjajahan sehinggalah selepas kemerdekaan. Ada
dua tingkat, tingkat bawah, anda akan dibawa untuk mengetahui sejarah Era
Perang, Era Pentadbiran British dan Era Pasca Perang. Manakala di tingkat atas
lebih kepada sosiobudaya, sosioekonomi dan seronok sikitlah nak melihatnya
kerana lebih dalam bentuk bercerita pada masa sekarang. Labuan mendapat namanya
daripada perkataan “labohan” (pelabuhan). Berukuran 92km persegi dan merangkumi
satu pulau utama dan 6 lagi pulau yang kecil.
Selepas kehancuran kerajaan Majapahit pada kurun
ke14, Labuan telah bertukar tangan di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei (ketika
itu Sultan Omar Ali Saifuddin II). Pada tahun 1846, pulau ini telah diserahkan
kepada pemerintahan British di mana telah dirasmikan sebagai sebuah jajahan
Kerajaan British. Di bawah pemerintahan British, pulau ini dinamakan Victoria
sempena nama Ratu Victoria. Labuan telah diisytiharkan sebagai pelabuhan bebas
cukai pada 1848 dan Inggeris mula membangunkannya dari segi ekonomi khususnya
perlombongan arang batu dan perdagangan.
Pada 1852, Labuan menjadi tempat berlabuh
kapal-kapal dagang yang berulang alik antara Singapura dan Brunei. Pada 1863,
aktiviti import eksport dengan Singapura, Hong Kong dan Sulu terus meningkat
terutama bagi barangan kapas, garam, candu, tembakau, peralatan tembaga,
pakaian, kelapa, tikar, buah pinang, sirip yu, sarang burung dan alat-alat
jentera. Barangan eksport Labuan sendiri selain arang batu ialah tepung sago,
balak dan papan.
Pada tahun
1 Jan 1942, tentera Jepun mula mendarat dan memerintah Labuan sehingga Tentera Bersekutu mula melancarkan serangan pada 10 Jun 1945. Ketika pemerintahan Jepun,
Labuan telah diberi nama Pulau Maida oleh Jeneral Tojo sempena nama Jeneral
Maida, Komander Tentera Jepun yang mati dalam nahas pesawat menuju Labuan pada
5 Sept 1942.
Antara Gabenor yang dilantik di Labuan. Jika
dilihat pada senarai ini pasti kita ingat dua nama ini yang biasa dalam sejarah
negeri lain iaitu James Brooke dengan sejarah Borneo dan Hugh Low sejarah
Perak. Orang yang samalah ni.
Kisahnya Sir James Brook ni telah dilantik
sebagai Gabenor Pertama dan Panglima Tertinggi Labuan pada 22 Jan 1848. Beliau
juga telah dilantik sebagai Pesuruhjaya dan Konsul Jeneral kepada Sultan dan
Ketua-ketua Bebas Borneo pada Feb 1847. Dikatakan tempoh dia dilantik menjadi
Gabenor Labuan barangkali merupakan detik yang mengecewakan sepanjang
kerjayanya yang cemerlang. Ini berpunca daripada begitu banyak jawatan yang
beliau pegang menyebabkan Brooke terpaksa menanggung banyak beban. Kesibukan
itu menyebabkan beliau jarang berada di Labuan dan gagal memberikan perhatian
untuk membangunkan pulau ini. Dalam tempoh 12 bulan dalam tahun 1849 contohnya
James Brooke hanya berada selama 39 hari sahaja di Labuan dan tugasnya
diserahkan pada timbalannya.
Sepanjang tempoh pentadbiran Brooke, Labuan tidak
dapat memenuhi tujuan sebenar ia ditubuhkan. Malah ia dibiayai oleh
Perbendaharaan British sebanyak purata 9000 paun setahun. Brooke melepaskan jawatan
sebagai Gabenor Labuan kepada John Scottt pada Okt 1854 dan meninggal dunia
pada 11 Jun 1869 di Devonshire selepas meninggalkan Borneo pada tahun 1863.
Gitulah kisahnya, hemm selalu kita baca sejarah pasal British penjajah so semua
yang buruk la..tapi kalau membaca kisah ini dikatakan Brooke kecewa tak dapat
membangunkan pulau ini seperti yang sepatutnya. Terselit kisah kemanusiaan.
Kontradiksi perasaan ni hehe.
Kisah Hugh Low pula, walaupun telah beberapa kali
menjadi pemangku Gabenor, beliau tidak dilantik sebagai Gabenor. Ini
menyebabkan beliau kecewa dan akhirnya meninggalkan Labuan pada 1877 untuk
menjawat jawatan Residen Perak dan telah berjaya menukarkan Perak kepada sebuah
negeri yang makmur hingga beliau diiktiraf sebagai antara pentadbir British
yang paling berjaya di Timur Jauh. Itu kalau dilihat daripada sudut pandangan
British, kalau dari sudut pandangan rakyat tempatan mungkin berbeza rasa.
Replika Rumah Kaum Kedayan yang terdapat di tingkat atas Muzium Labuan |