Thursday, October 23, 2014

Selamat Tahun Baru Hijrah 1436



Di dalam kelas pengajian Masjid Ubudiah minggu lepas, 

Rujukan kitab Mastika Hadis m/s 362-365

107-Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullullah SAW bersabda : Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap saudaranya sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya. Bahkan pada masa itu, kalau ia mempunyai amalan soleh akan diambil daripada amalannya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu. Kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.

(Tarmizi)

108- Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda : “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?” Sahabat-sahabat baginda menjawab: “Orang yang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
 Nabi SAW bersabda : “Sebenarnya orang  muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, makan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang maka diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.”

(Muslim dan Tarmizi)

Bahasa mudahnya:

Kalau kita menzalimi orang di dunia, amal soleh yang kita buat selama ini akan diberi kepada orang itu. Kalau orang itu tidak ada amal soleh, akan diambil kejahatannya itu dan terpaksa kita pula menanggung beban dia. 

Orang muflis di akhirat apabila segala amal yang dilakukan seperti sembahyang, puasa dan zakat tapi ketika di dunia menuduh tanpa bukti, memaki orang, berkelahi, membunuh, lalu pada hari kiamat akan diambil pahalanya serta diberi kepada orang yang dizaliminya itu. Jika pahala amalnya telah habis diberikan sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizaliminya itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.

Kita selalu dengar,  dialog (orang yang diumpat) “Biarlah orang nak kata apa pun, nanti pahala dia saya yang dapat.”  Tapi rasanya sebelum kita menuturkannya kita pun kena ingat juga mungkin kita yang akan jadi muflis di akhirat walaupun selama ni kita sembahyang , berpuasa dan berzakat sebab memaki hamun/berkelahi dengan orang. Sia-sia sahaja amalan yang telah dilakukan. Bayangkan kalau di dunia ini kita tak beramal, dengan apa kita nak ‘bayar’.




Kelmarin ke  Kampung Gajah. Lalu di kawasan perkuburan ni. Kemas dan teratur. Tak nampak macam kubur pun masa lalu tu sebab ia dihiasi dengan pokok.  Selalunya nampak batu nisan dulu tapi ni nampak pokok yang cantik macam musim luruh. Kena tengok sendiri sebab dalam gambar ni tak nampak sangat kecantikannya. Saya juga diberitahu, tanah perkuburan ni lengkap dengan sistem komputernya jadi senanglah kalau orang nak cari kubur yang hendak diziarah.

Taman Barzakh Felcra Bandar Seberang Perak
Selamat tahun baru hijrah 1436. Masuk tahun baru bukan bermakna penambahan tapi pengurangan usia. Terkesan bila terkenangkan kematian rakan sebaya secara mengejut Aidilfitri yang lepas.  Ia sebenarnya suatu peringatan dari Tuhan untuk kita yang muda. Selagi masih ada masa, pintu taubat masih terbuka.

No comments: