Wednesday, January 27, 2016

Kisah-kisah dalam Hadith Nabi

Mula-mula tahu tentang buku ni, ada seseorang dari group whatsapp forward. Walaupun sepatutnya  group tu tak boleh letak iklan. Udah terlepas kira halallah orang lain tengok.  Berdasarkan isi kandungan, menarik tajuk ceritanya. Nanti kalau pergi  kedai bolehlah cari.

 Dalam sebulan lepas tu, tiba-tiba dalam channel telegram yang saya ikut, keluar lagi buku ni. Déjà vu! Hehe.  Penulis ni jual sendiri dan katanya tiada dijual di kedai buku. Beli tu sebab percaya penulisnya mahir dalam bab hadith dan memang selalu berbicara tentang hadith. Dalam keadaan sekarang ni yang banyak hadith-hadith palsu tersebar, kita sebagai orang awam ni kenalah merujuk kepada seseorang yang mahir dalam bidangnya. Ini adalah buku kedua yang dibeli secara online selepas buku Kak Azlita Masam Manis. Maknanya, kalau beli online hanya untuk buku-buku yang dikenali penulisnya.


Tajuk: Kisah-kisah dalam Hadith Nabi
Penulis: Ad-Dien Abdul Kadir
Harga: RM 25.00 (tak termasuk kos penghantaran)
M/s: 227 halaman

Sinopsis:
Para Imam hadith telah menyusun hadith-hadith Nabi mengikut tema dan bab tertentu untuk memudahkan ummat selepasnya membuat rujukan. Hadith bukanlah semata-mata menceritakan hukum-hakam sebagaimana yang kita ketahui malah ia juga mencakupi akhlak, penyucian jiwa dan kisah-kisah yang menarik.

Buku yang berada di tangan anda ini mengumpulkan hadith-hadith berkaitan kisah-kisah yang unik, ajaib dan mempesonakan yang pernah terjadi di zaman Nabi, ummat sebelum mereka dan kisah-kisah ghaib yang diceritakan oleh Nabi.
Semoga para pembaca dapat merasai keunikan dan kekaguman kisah-kisah yang sebenar daripada hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam

Komen:
Terdapat 60 buah cerita, ada yang pendek ada yang panjang. Memang ada yang biasa didengar dan dibaca tetapi elok untuk dingatkan sekali lagi. Setiap cerita juga diletakkan sumber dan nombornya untuk rujukan. Kiranya cerita berfakta ni.  Kisah Pemuda dan Anjing Yang Haus, biasanya yang popular kisah pelacur yang memberi minum anjing yang haus, kan? Baguslah, ramai juga yang tak biasa dengan kisah pemuda dengan anjing ni. Yang penting, menyayangi makhluk hidup itu berpahala.

Kisah Keislaman Salman Al-Farisi, selama ni saya hanya mengetahui, Salman Al-Farisi yang mencadangkan digali parit dalam Perang Khandak tetapi di dalam buku ini kita dapat mengenali betapa bersungguhnya beliau mencari agama yang benar. Bandingkan dengan kita yang sedia Islam ni, setakat mana usaha nak mencari ilmu Islam dengan lebih dekat lagi? Retrospektif diri, fuh…kesat peluh kat dahi.

Jika kita baca terjemahan Al-Quran Surah At-Taubah:118 (Rujukan: Al-Quran khas untuk muslimah terbitan Karya Bestari) di nota kaki ada ditulis Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Mararah bin Rabi’, mereka disalahkan kerana tidak mahu turut berperang. Ya, siapa mereka ini, cerita yang lebih jelas dapat dibaca dalam Kisah Taubat Ka’ab bin Malik.

Kisah Makan Sedikit Menjadi Banyak. Jika masa sekolah rendah dulu memang seronoklah kalau tengok tajuk cerita yang macam ni. Kisah seorang pengemis yang miskin dan lapar, berapa hari tak makan, dihalau ke sana ke sini apabila meminta makan tiba-tiba jumpa tongkat sakti lepas tu minta apa sahaja makanan, dan terhidang macam-macam hidangan sedap yang menjilat jari. Itupun dah terpesona dengan cerita tu. Dah besar baru tau, tipu jek. Takde maknanya tongkat sakti. Kena pecah tabung kalau nak makan ayam sedap sehingga menjilat jari hehe.  Tapi ni realiti,kisah Nabi Muhammad SAW, satu sha` gandum dan seekor anak kambing cukup untuk 300-800 orang para sahabat makan. Bagus cerita ni kalau dijadikan cerita untuk budak-budak mengenali Nabi Muhammad SAW. Cuma dipermudahkan bahasanya.

Sesetengah cerita diakhiri dengan kesimpulan penulis tentang cerita tersebut. Rasanya dari segi layout memang rugi kalau dibiarkan kosong sahaja, itu sebab kesimpulan ditulis di sesetengah cerita sahaja. Tapi kalau semua cerita pun ada kesimpulan penulis lagi bagus. Walaupun pembaca boleh fikir apa pengajarannya sekurang-kurangnya daripada kesimpulan penulis tu, fikiran lebih dipandu ke arah yang betul.

Biasanya bila para ustaz bercerita tentang kisah hadith ni lebih cepat ‘tangkap’ daripada kita membaca sebab terus bercerita. Tetapi bila baca kenalah tulis diriwayatkan oleh siapa dan style penulisan bahasa Arab tu masih ada. Otak yang biasa cerita Melayu ni eh, jap tadi siapa yang cerita ya. Eh..eh… huhu..fikiran ku selalu melayang.


Semoga akan datang ada Kisah-kisah dalam Hadith Nabi 2

Friday, December 25, 2015

Al-Qamariah vs Asy-Syamsiah

Peringatan: Hasil tulisan orang yang bukan bersekolah aliran agama dan baru belajar bahasa Arab. Kalau salah, sila tunjukkan. Perkataan dieja mengikut bunyi, untuk ejaan lebih tepat sila rujuk kamus atau google je.

Bila kita tengok tafsir al-Quran, perasan tak untuk nama surah (dalam rumi) ada yang dimulai dengan huruf ‘al-‘, ‘an-’atau ‘asy-‘.  Masa bila guna awalan ini? Biasanya saya sebut semuanya ‘al-‘ je. Akhirnya bila dah belajar bahasa Arab baru tahu penggunaannya.

Kita kena tahu kategori huruf-huruf qamariah dan huruf-huruf syamsiah. Kedua-duanya dieja dengan huruf alif dan lam (al) tetapi untuk huruf qamariah sebutan alif dan lam disebut dengan jelas tetapi untuk huruf syamsiah huruf lam itu tidak dibunyikan tetapi terus sebut huruf seterusnya. Contoh: Ad-Dukhan, An-Naml, Ar-Rad.

Huruf qamariah ada 14. Baki 14 huruf lagi huruf syamsiah. Jadi kita hafal huruf qamariah sahajalah. Lebih senang. Maksudnya kalau jumpa huruf lain tu kena baca ikut prinsip huruf syamsiah la.

Kategori huruf qamariah dengan contoh perkataan:
  1. Alif –  al-abu (ayah)
  2. Ba – al-babu (pintu)
  3. Jim – al-jannatu (syurga)
  4. Ha – al-himaru (keldai)
  5. Kho- al-khubzu (roti)
  6. Ain – al-ainu (mata)
  7. Ghin- al-ghoda’u (makan tengah hari)
  8. Fa – al-famu (mulut)
  9. Qaf- al-qamaru (bulan)
  10. Kaf- al-kalbu(anjing)
  11. Mim- al-ma’u (air)
  12. Wau – al-waladu (budak lelaki)
  13. Ha- al-hawa’u (udara/angin)
  14. Ya- al-yadu (tangan)

Susah kalau nak hafal satu-satu macam ni. Jadi cara saya buat macam cerita sambil membayangkan:


AL-ABU pakai AL-YADU buka AL-BABU guna AL-AINU tengok AL-HIMARU bagi AL-KHUBZU untuk AL-GHODA’U guna AL-FAMU halau AL-KALBU bagi AL-MA’U pada AL-WALADU tengok AL-QAMARU rasa AL-HAWA’U macam AL-JANNATU

Friday, December 18, 2015

33 Tip Kuasai Bahasa Arab

Kepentingan bahasa Arab, untuk memahami al-Quran:

Surah 12 : 1-2

Alif Lam Ra. Ini ialah ayat-ayat al-Quran yang jelas.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab agar kamu berfikir.

KUISAS kat belakang rumah aja memang ada kursus bahasa Arab.. beratus jugak lah satu semester. Mahal tu takut hangat-hangat tahi ayam je.  Rugi pulak kalau bayar mahal. Huhu. Sebab bukan peringkat pelajar dah ni, kena ada semangat juang yang tinggi kalau peringkat sekarang ni.


Tajuk: 33 Tip Kuasai Bahasa Arab
Penulis: Dr Abd Razak bin Abu Chik
Penerbit: Dr Abd Razak bin Abu Chik , Pusat Bahasa Arab al-Mustayaar    Cetakan Pertama 2009
ISBN: 978-983-44607-0-9
Harga:RM 29.90 tetapi di Mydin Meru Raya RM28.50

Sinopsis:
Tujuan penerbitan buku ini;

Menyatakan bahawa bahasa Arab adalah keperluan utama sesiapa sahaja yang ingin maju dalam bidang yang diceburi. Ini kerana semua hal kehidupan di dunia dan di akhirat dibacarakan dalam al-Quran dan al-Hadis. Kedua-duanya dalam bahasa Arab.

Membuktikan bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang paling mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja yang berminat terutamanya bagi orang Melayu dan yang beragama Islam.

Membantu menyelesaikan beberapa masalah dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang dihadapi oleh pelajar dan guru.

Komen:

Jumpa buku ni kat Mydin, kalau tengok buku belajar bahasa Arab yang lain memang awal-awal dah surrender. Ism, Fi’l, Harf, Mudhakkar, Mu’annath, Mudaf, Mudaf Ilaih. Adoi tengok itu pun dah pening. Tapi buku ni menarik sebab dia tak mengajar terus tapi bagi tips kuasai bahasa Arab. Setiap helaian berwarna-warni dari segi teks,  gambar dan jadual. Seronok nak tengok, taklah macam baca buku teks.

Antara tips:  Sebenarnya bahasa Arab lebih mudah kerana kita sebenarnya dah biasa dengan bahasa Arab ni melalui solat. Bahasa Melayu pun banyak sekali meminjam perkataan daripada bahasa Arab.
Kalau nak dibandingkan bahasa Inggeris, bahasa Arab lebih mudah.

 Contoh: perkataan school, teacher, learn, student, research, lessons, kita perlu hafal enam perkataan yang berbeza tetapi kalau dalam bahasa Arab kita hanya perlu tahu 3 huruf dasar sahaja iaitu huruf dal-ro-sin (belajar) dan untuk perkataan-perkataan yang lain cuma tambah dua tiga huruf sahaja lagi kepada kata dasar itu.

Elok pula bila dah beli buku ni, dapat mesej dari Whatsapp Group ada Belajar Bahasa Arab Asas melalui WhatsApp. RM20 je sebulan. Murah je lagipun belajar di rumah.

Buku ni berjaya mengubah persepsi bahasa Arab ni SUSAH. Errk tapi memang tengah belajar dan dah peringkat pening-pening lalat dah hehe. Biasalah tu, kalau main games pun makin lama makin susah, kan? So cabaran bertambah. You can do it! Chaiyok!

Thursday, December 17, 2015

Kipidap! Dongibap! Gudbai!

Setiap zaman ada bahasanya. Masa zaman sekolah menengah, tiada telefon bimbit lagi. Kalau ada pun, mungkin yang berat yang bimbit macam beg tu... ha tu betul namanya telefon bimbit.(Tua pulak rasanya bila dikenang semula) Bukan semua orang ada ya. Jadi zaman tu karangan Bahasa Malaysia masih tidak tercemar dengan bahasa SMS. Paling cool pun ejaan ekspedisi menjadi XPDC. Itupun setelah kemunculan kumpulan XPDC. Kalau ejaan Kuala Kangsar pun di eja Kay Kay. Stailo konon.

Dah ada handphone 3210 zaman 2000 baru pakai. Munculnya zaman bahasa SMS. Ni kalau siapa yang tulis penuh tanpa short form sama ada orang tu baru pakai telefon, orang tua, atau orang yang mementingkan bahasa Melayu. Bahasa  SMS bahasa ringkas yang mudah difahami oleh semua orang kebiasaannya. Misalnya:
  • yg - yang, 
  • kalu/kalo - kalau
  • mn - mana
  • ko - engkau
Masuk zaman sekarang yang ada Whatsapp yang ada Facebook, yang free dan ruang yang panjang untuk ditulis tapi lagi teruk bahasanya. Nak kata bahasa Melayu, bukan. Bahasa Inggeris, bukan. Bahasa Perak pun idok. Pening pikior. Terpaksa pula menjadi lebih kreatif untuk berfikir.
  • Kipidap - Keep it up
  • Dongibap- Don't Give Up
  • GudLak - Good Luck
  • Gudnait - Good Night
  • Jilake - Damn You
  • Hawauyu - How Are You
  • Siyusun - See You Soon
  • Kopipes - Copy & Paste
  • Gudbai-Good Bye
Menahan diri daripada menggunakan perkataan ini supaya tidak terpengaruh. Bukanlah polis bahasa sangat tapi Bahasa Jiwa Bangsa.



Tuesday, December 15, 2015

“Kucing jantan tiga warna bertuah,” kata opah.

Pedoman ni hehe. Dia pun dapat tahu dari maknya. “Kucing jantan tiga warna dan lelangitnya hitam, bertuah.”

Kenapa opah kata begitu ya? Cer kita tengok kucing jantan, biasanya satu warna yang sama atau dua warna  je.  Tak macam ni, kan. Kuntum The Cat – betina.  Jadinya, kalau ada kucing jantan yang banyak warnanya ni, of course lah bertuah.

Kuntum The Cat

Saya suka tengok cerita Sidewalk Scientist  8tv, pukul 3, Ahad. Rupa-rupanya ada penjelasan saintifik juga pasal warna bulu kucing ni. Ia berkaitan dengan DNA juga. Nak cerita panjang  lupa dah tapi point penting dari pakar itulah dianya. Kucing jantan memang satu atau dua warna kebiasaannya.

Betapa specialnya orang dahulu bila hanya melalui pengamatan dah boleh buat analisis.
Jadi kalau nak lukis gambar family kucing tu janganlah papa cat tu 3 warna sebab nanti nampak macam kucing betina pulak. Mummy cat takpe.


*Rancangan Sidewalk Scientist pengacaranya pelakon Hong Kong. Dulu-dulu rajin tengok TVB so boleh kenal. Tu yang buat tertengok cerita tu.  Kalau tengok tajuknya berkaitan dengan sains memang idak le tengok biasanya.  Setiap episod dia akan buat eksperimen dari soalan-soalan yang ditanya oleh penonton. Harap-harap Malaysia boleh buat macam ni dengan pengacaranya artis-artis popular.  So lagi cepat boleh faham sebab tak payah baca subtitle. 

#kuntumTheCat

Sunday, December 13, 2015

Travel-Barang-barang yang berbaloi dibeli.

Kebiasaannya bila kita ke luar negara, kita akan beli barang perhiasan yang kecil dan comel untuk hobi dan tidak terfikir untuk barang nak pakai lama. Baju-T  jenis  I love ... memang selalu beli, sudahnya semakin lama semakin kecik… errrk badan semakin membesar sebenarnya hahaha. Tapi memang ada baju yang bila basuh terus kecut. Hehe murah sangat. Berikut merupakan barang yang paling banyak digunakan. Kiranya berbaloi dibeli.


Bagasi ni kecil sahaja. Sesuai untuk 4 atau 5 hari perjalanan. Ada zip ditengahnya untuk dibuka bila beg ni dah beranak. Beli di Hong Kong, kat kedai tepi jalan sahaja. Murah je. Masa tu baru nak belajar melancong jadinya tak tahu nak bawa barang berapa banyak dan memang banyak la. Sampai siap bawak kasut tambahan. Bila beli barang lain dah tak muat jadinya. Kenalah beli beg satu lagi. Senang bawa beg ni untuk short vacation. Beroda. 10 tahun dah. Cuma dah loose bahagian pemegang, yang lain ok lagi. Masih elok dipakai. 

Dompet kecil ni juga beli di Hong Kong. Beli di pasar raya semasa jualan murah. 10 tahun juga dan masih elok digunakan. Senang nak bawa pergi jogging, boleh taruh IC dan duit sikit. Naik pengangkutan awam pun senang sebab boleh letak dekat dalam poket jean untuk taruh touch n go dan tiket. Jadi tak payahlah nak keluarkan purse yang besar gedabak yang penuh kad  diskaun macam-macam kedai  tu.
 Name tag bag beli masa pergi Universal Studio Singapore … bertahun juga dah. Sampai dah tercabut tempat nama tu. Tapi still pakai sebab belum jumpa lagi orang yang pakai ni. So senang nak kenal.
 Di Vietnam beli kain pasang (polka dot) 4 meter setengah. Banyak lebihnya kalau pandai jahit boleh jadi macam-macam lagi. Baju yang berlabuci ni beli siap. Selalu pakai masa kenduri maklumlah grand sikit Nampak lip lapnya. Malangnya masa pergi kenduri di Pantai Remis boleh pula terjumpa orang pakai baju yang sama. Waahh boria la pulak. Balik, pusing ikut lain supaya tak bertembung dengan orang tu. Hai jauh-jauh beli boleh jumpa kat Malaysia juga.

 Telekung kain cotton ni beli dekat Acheh. Dekat pasar Acheh ni memang la macam-macam kedai telekung, baju, tudung, kasut tapi semuanya sama je. Tak menarik perhatian. Cuma satu kedai ni je menarik, tingkat atas pulak tu. Agak tersorok sikit kedainya. Katanya ambil dari Bandung. Sedap pakai. Coraknya semua bunga-bungaan. Comel.
 Pashmina ni beli di Turki. Tak berapa pandai pakai sebenarnya tapi banyak jual kat sana, rugi tak beli. Selain dipakai boleh juga buat selimut. Dalam keretapi, aircond sejuk bila malam. Memang jadi mangsalah ni. Besar ni. Labuh sampai ke kaki.Yang biru tu ada sign Turki Uthmaniah. Nampak tak yang macam khat tu. 

Memang berbaloi beli barang-barang ni. Tak mahal mana pun walaupun dah tukar kepada RM. Brand luar negara. Walaupun takde nama. Hehehe

Saturday, December 5, 2015

Bengkel Terjemahan Al Quran Modul 1

Luangkan masa menambah ilmu, dipersilakan:


BENGKEL TERJEMAHAN AL-QURAN 
MODUL 1

Tarikh:

9-13 Dis 2015

atau

16-20 Dis 215

Hari & Waktu

Rabu - Ahad / 8.00 pagi - 5.00 petang

Tempat

Semat Qur'an Ipoh
97A, Jln Meru Perdana 1, Taman Meru Perdana,
31200 Chemor, Ipoh, Perak

Pendaftaran
05-529 9024, 010-231 4351