Sunday, March 25, 2012

Batu Bersurat Belanda, Pangkor



Batu bersurat atau Prasasti merupakan batu yang terpahat dengan huruf-huruf tulisan kuno. Ia merupakan bukti sejarah. Terletak tidak jauh dari Kota Belanda dan kita boleh berjalan kaki sahaja.

Penduduk tempatan percaya batu ini hidup kerana ia mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil. Panjang batu ini 10.7 meter, lebarnya 4.6 meter dan berketinggian 4.3 meter.


Terdapat gambar harimau yang sedang mencederakan (membaham?) seorang budak di batu tersebut. Dua bulatan berbentuk daun dan juga perkataan-perkataan Belanda serta Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743”. Tahun yang tercatat dikatakan sebgai tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk yang diketuai oleh Panglima Kulup sekitar 1690-an. Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyatakan secara huruf ringkas seperti ‘IK’, ‘R.O’, ‘BVH’, ‘PVL’, ‘VM’, ‘PP’, VOC (Vereenigde Oost-Indische Companie).

Tiada keterangan yang diperoleh di sini jadi pelancong-pelancong tak dapat maklumat tentang apa yang menariknya pasal batu ni. Satu kerugian. Berdasarkan pencarian di dalam internet, terdapat pelbagai versi yang menerangkan tentang lakaran harimau yang dipahat pada batu bersurat tersebut:

Versi pertama: Menurut sumber penduduk tempatan, gambar ini dipahat oleh orang Belanda sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut pada tahun 1743 iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III (1728-1756). Orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.

Versi kedua: Orang Bugis dan orang Melayu telah menculik dan membunuh anak pembesar Belanda untuk membalas dendam di atas kekejaman Belanda melayan penduduk tempatan. Apabila askar Belanda mencari budak tersebut, penduduk tempatan mereka cerita dengan menyatakan mereka nampak harimau telah melarikan budak itu. Namun, penduduk Pulau Pangkor yang lain percaya bukan harimau yang melarikan budak tersebut tetapi pembesar Melayu yang tidak puas hati dan ingin membebaskan Pangkor dari Belanda. Oleh sebab itulah askar Belanda ini melukis gambar harimau yang melambangkan ‘orang Melayu’. Batu ini juga dikenali sebagai ‘Tiger Rock’ kerana adanya gambar harimau tersebut.

Versi ketiga: Orang Belanda mengatakan anak kepada pembesar Belanda hilang dan dipercayai dibaham harimau. Walau bagaimanapun mengikut sumber penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh Belanda untuk menutup malu sebenarnya anak pembesar Belanda dilarikan oleh lanun.

Sumber: Arkib Negara, Tiger Rock, SMGR1991

No comments: